Saturday, August 25, 2018

Perhimpunan Agung Umno dipendekkan kepada dua hari

Zikri Kamarulzaman | Diterbitkan 25 Ogs 2018, 9:42 pagi


Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan diadakan selama dua hari berbanding lima hari seperti kebiasaan sebelum ini.

Acara tahunan yang berlangsung seperti karnival itu biasanya diadakan pada akhir November atau awal Disember.

Bagaimanapun tahun ini ia akan diadakan penghujung September.

Sumber parti itu memberitahu Malaysiakini bahawa perhimpunan sayapnya iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 29 September diikuti persidangan parti pada keesokan harinya.

Perhimpunan berkenaan akan tetap diadakan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimiliki parti itu.

Malaysiakini difahamkan antara sebab memendekkan acara itu kerana Umno tidak lagi berada dalam kedudukan untuk memaksa kerajaan persekutuan mengamati resolusinya.

Sebelum ini, Umno memperuntukkan selama dua hari untuk sayap parti dan badan utamanya membahaskan usul mengenai politik, ekonomi dan agama.

Apabila sesuatu resolusi dibuat ia akan disampaikan terus kepada perdana menteri yang juga presiden Umno.

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa agensi berkaitan kerajaan tidak akan menyediakan gerai di aras dua dan tiga PWTC, tidak seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, satu aras di PWTC masih dibuka untuk peniaga yang kebiasaannya sebelum ini diadakan di dewan pameran Dewan Tun Razak 4.

Kali ini, menurut sumber, gerai peniaga akan dibuka di aras dua berhampiran kafe.

Malaysiakini dan portal berita lain sebelum ini dihalang daripada memasuki dewan tempat perhimpunan itu berlangsung dan terpaksa bergantung pada paparan skrin di kawasan terbuka untuk membuat liputan.

Tidak jelas apakah amalan ini akan diteruskan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-