Sunday, August 5, 2018

Tuduhan berniat jahat satu pengkhianatan

MOHD HAFIZ ISMAIL
5 OGOS 2018

Fadiah Nadwa

SHAH ALAM - Susulan kontroversi forum ’Perlukah Kita Mengubah Kandungan Buku Teks Sejarah’, salah seorang panelnya, Fadiah Nadwa Fikri berkata, tindakan pihak tertentu yang lantang membuat tuduhan berniat jahat tetapi tidak hadir dalam perbincangan tersebut diibaratkan sebagai satu pengkhianatan.

Katanya, dalam perbincangan tersebut, beliau memulakan bicara dengan berkongsi dua perkara iaitu pandangannya mengenai kepentingan memahami dan mendalami semua peristiwa sejarah serta gerakan nasionalis kiri Melayu yang dibawa oleh Angkatan Pemuda Insaf (API).

Fadiah berkata, beliau menghuraikan beberapa perkara seperti gabungan Putera-AMCJA yang menyatukan semua gerakan nasionalis kiri Melayu dan gerakan pembebasan tanah air dari pelbagai bangsa.

"Adalah menjadi satu pengkhianatan yang besar bila ada di antara kita yang tidak hadir dalam perbincangan tersebut tetapi lantang memperbesarkan tuduhan berniat jahat ini tanpa usul periksa.

Saya terpanggil untuk menjawab beberapa tuduhan berniat jahat berkenaan isu komunis terhadap apa yang saya kongsikan di forum ‘Perlukah Kita Menulis Semula Buku Teks Sejarah’ bersempena acara memperingati sejarah darurat yang berlaku 70 tahun lalu.

Saya mulakan bicara dengan berkongsi dua perkara - pandangan saya tentang pentingnya untuk kita fahami dan dalami semua peristiwa dalam sejarah dan sejarah gerakan nasionalis kiri Melayu yang dibawa oleh Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai Ahmad Boestamam dan intipati perjuangan politiknya.

Saya juga menghuraikan beberapa perkara seperti gabungan Putera-AMCJA yang menyatukan semua gerakan nasionalis kiri Melayu dan gerakan pembebasan tanah air dari pelbagai bangsa, gerakan wanita, dan gerakan akar umbi.

Tujuannya adalah untuk membentuk Perlembagaan Rakyat yang ingin memecahkan tembok perkauman yang dibina melalui dasar pecah perintah pihak British yang disokong Umno.

Saya juga berkongsi tentang konsep Melayu luas yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang nasionalis kiri Melayu di mana konsep ini digunakan untuk tujuan penyatuan dalam melawan penindasan.

Malangnya, diskusi itu diganggu beberapa individu yang menggunakan hujah-hujah perkauman dan momokan komunisme yang jauh terpesong dari perbincangan yang sedang berlangsung.

Sudah masanya kita menerima fakta bahawa peristiwa-peristiwa dalam sejarah yang telah berlaku ini tidak akan boleh dipadam.

Kita punya hak untuk mengetahui apa yang telah berlaku untuk kita memahami dengan lebih mendalam mengapa ia berlaku.

Hal ini telah dibincangkan dengan mendalam oleh ahli-ahli akademik dan mereka yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa sejarah berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-