Sunday, September 16, 2018

8 aktivis pelajar ditahan di himpunan 'Pandang Sabah'

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan 16 Sep 2018, 1:35 petang


Lapan aktivis pelajar ditahan pada demonstrasi bantahan yang dinamakan 'Pandang Sabah' yang diadakan sempena Hari Malaysia di hadapan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu pagi ini.

Perkara itu turut dihebahkan oleh Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi dalam perkongsian di Facebook.

Aktivis pelajar berkenaan dikatakan menyatakan 10 tuntutan termasuk penyelesaian terhadap isu rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah, keselamatan perairan, isu pendidikan dan kemiskinan.

Salah seorang yang ditahan, Asrin Untong, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dibawa ke balai polis Karamunsing untuk diambil keterangan atas dakwaan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kami juga mungkin disiasat atas dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi.

Menurut Asrin, peserta demonstrasi mula berkumpul di hadapan DBKK sekitar 8.30 pagi sementara menunggu peserta lain untuk berarak ke pasar minggu di Jalan gaya.

Dia mendakwa bahawa pegawai DBKK "membuat provokasi" terhadap peserta demonstrasi itu dengan menolak mereka untuk menyuraikan himpunan.

Dalam klip video di Facebook Mukmin Nantang, salah seorang aktivis yang ditahan, peserta demonstrasi yang enggan bersurai dilihat bergelut dengan pegawai DBKK dan polis.

Beberapa aktivis pelajar berkenaan kemudian dilihat dimasukkan ke lori polis dengan ada antara mereka menjerit dan mendakwa dipukul anggota polis.

Asrin memaklumkan bahawa pelajar berkenaan adalah Sabir Syarifuddin yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sabah.

"Bajunya koyak, dia ditumbuk dan ditendang," dakwa Asrin dan menambaj beberapa yang lain turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Asrin memaklumkan bahawa empat yang lain yang ditahan adalah Mohd Rosyaidi Abdul Latiff, Razdey Ruslin, Syed Syaqir Adhli Syed Redzuan, Zulfian Ansar dan Khairuddin Daud.

Pemuda AMANAH gesa bebaskan tahanan

Mengulas insiden itu dalam kenyataan medianya, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithin membidas tindakan polis yang membuat tangkapan.

"Tangkapan yang berlaku ketika seluruh rakyat meraikan sambutan Hari Malaysia merupakan insiden yang memalukan negara dan amat-amat tidak boleh diterima.

"Program Pandang Ke Sabah merupakan kempen anjuran anak-anak muda Sabah bagi menuntut dasar dan polisi yang lebih baik untuk masa depan Sabah.

"Sebagai parti bernuansa nasional, Pemuda AMANAH memandang positif kempen ini; dalam kerangka Federalisme serta semangat Perjanjian 1963," katanya.

Shazni turut menggesa agar kesemua aktivis pelajar berkenaan dibebaskan.

"Kepimpinan negeri dan negara wajar menghormati suara dan pandangan anak-anak muda yang kritikal terhadap polisi dan masa depan tanah air.

"Malaysia Baru harus benar-benar baru. Usah diulangi tatacara angkuh kerajaan terdahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-