WAWANCARA | Isu hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baru di Perak pernah mencetuskan kritikan pada 2008 ketika Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu untuk tempoh yang singkat.
Sedekad kemudian, isu itu muncul kembali dan seperti biasa terheret menjadi isu perkauman apabila DAP Perak mengulang kembali komitmen untuk memberikan status itu kepada penduduk kampung baru.
Buat beberapa pihak yang membangkitkan perkara itu dari sudut perkauman, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengingatkan, manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri bukan menjanjikan perkara itu kepada kampung baru sahaja.
"Janji yang kita buat adalah memberi hak milik kekal - atau ramai yang sebut sebagai 999 tahun - juga kepada peneroka Felda, kampung baru Cina, kampung tersusun Melayu dan petempatan masyarakat India.
"Saya telah nyatakan berkali-kali bahawa saya komited menunaikan janji dalam manifesto," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun menyedari kerumitan undang-undang dan sensitifnya perkara itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri tidak terburu-buru untuk memberikannya sebelum mendapat pandangan semua pihak.
"Ada yang mengatakan ia di bawah kuasa kerajaan negeri dan ada juga yang kata ia tertakluk kepada Majlis Tanah Negara dan Akta Kanun Tanah Negara. Jadi apa yang tindakan saya seterusnya?
Belum ada kejar dengan parang
"Dua pandangan ini perlu dibincang dan dibahaskan dan saya akan bawa setiap pandangan ke Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan saya yakin kita akan dapat mencapai keputusan yang tepat," katanya lagi.
Pada 18 Ogos lalu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dilaporkan berkata pihaknya akan menuntut kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru dan berkata ia bawah bidang kuasa negeri.
Kenyataan itu dibuat susulan komen Ahmad Faizal lima hari sebelumnya bahawa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, dengan memetik MTN yang menetapkan tempoh pegangan pajakan kepada kampung baru adalah antara 60 hingga 99 tahun.
Apabila Malaysiakini membangkitkan kontroversi sama ketika pentadbiran Datuk Seri Nizar Jamaluddin (menteri besar Pakatan Rakyat), Faizal berkata ia perlu diambil kira oleh semua komponen dalam HARAPAN.
"Saya harap pemimpin HARAPAN jelas tentang perkara ini dan janganlah hanya mengikut kehendak pasukan tertentu dalam parti sahaja.
"Ambil kira semua pandangan dan jangan terburu-buru... Akhirnya kita bukan jadi wakil rakyat kepada pengundi kita sahaja," katanya lagi.
Ahmad Faizal yang juga anggota parlimen Tambun turut menceritakan pengalamannya melawat sebuah kampung baru untuk memberi penerangan tentang perkara itu.
"Semuanya baik, tak adalah sampai yang kejar saya dengan parang.
"Malah ada juga yang tak berminat untuk dapatkan status hak milik kekal kerana tahu bayaran premium yang tinggi," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.