Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebak ketika memulakan ucapan merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2018, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Di awal ucapannya juga, Mohamad yang segak berbaju Melayu berwarna ungu mengakui perasaannya sangat berkecamuk.
“Berat sungguh hati saya nak berucap sebab saya tak tahu bagaimana harus saya memulakan ucapan saya pada kali ini. Sangat berkecamuk perasaan ini.
“Bukan mudah untuk berhadapan dengan ahli Umno dan orang Melayu, dan memikul pertanggungjawaban terhadap kehilangan kuasa Umno sebagai pemerintah negara,” katanya yang turut mendapat reaksi hiba perwakilan Umno.
Selaku orang nombor dua Umno, Mohamad dalam ucapannya memohon maaf secara terbuka kepada akar umbi kerana gagal untuk terus mengekalkan kerajaan BN selepas 9 Mei lalu.
“Malam ini, sebagai Timbalan Presiden Umno saya ingin kembali kepada fitrah manusiawi. Mengambil pertanggungjawaban, sebagai nilai yang dituntut dari seorang pemimpin.
“Justeru, bagi pihak diri saya dan kepimpinan Umno, saya harus memohon maaf setulusnya kerana gagal menjayakan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke 14 yang lepas,” katanya
Terdahulu Mohamad tiba tepat pukul 8.40 malam diiringi barisan kepemimpinan tertinggi parti berteraskan Melayu itu termasuk Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Turut kelihatan ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kehadiran Mohamad turut diiringi ketua ketiga-tiga sayap pergerakan Umno iaitu Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.