Monday, October 1, 2018

Ahli lebih jelas hala tuju Umno selepas PAU 2018

Faiz Zainudin
-October 1, 2018 12:23 AM

Perhimpunan Agung Umno ke-72 tidak semeriah dahulu, tetapi pemimpin berjaya menyampaikan mesej penting kepada akar umbi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Walaupun Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-72 selama 3 hari tidak semeriah dahulu, tetapi pucuk pimpinannya berjaya menyampaikan mesej berguna kepada akar umbi untuk bersama memulihkan parti itu.

Ahli Umno kini jelas tentang hala tuju parti, selepas kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kini hanya memiliki 49 kerusi Parlimen.

Perwakilan dari Kuala Nerus di Terengganu, Zamzaini Zolkeffi berkata, PAU 2018 merungkai segala persoalan yang timbul selepas kekalahan Umno dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

“Ahli sudah jelas hala tuju parti selepas pasca kekalahan PRU14, sebelum ini kita tertanya-tanya.

“Semalam presiden sudah jelaskan 7 teras dan 21 langkah. Jadi, ahli sudah jelas apa yang perlu kita buat, sekarang bertenang dan taat kepada apa yang dirangka pucuk pimpinan,” katanya kepada FMT.
Perwakilan Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid.
Perwakilan Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetengahkan idea dan nafas baru dalam ucapan pertamanya sebagai presiden.

“Beberapa langkah seperti had jawatan presiden kepada 2 penggal, tubuh sekolah politik untuk memantapkan ahli Umno ke arah perjuangan lebih menjurus kepada kepimpinan bersatu padu.”

Seorang perwakilan Johor yang enggan dikenali, menolak cadangan menurunkan had umur keahlian Umno daripada 18 tahun kepada 16 tahun kerana mereka tidak matang berpolitik di usia muda.

Beliau berkata, Umno juga tidak perlu mengikut parti lawan menubuhkan sekolah politik yang dilaksanakan DAP sekian lama.

Katanya, masih ada cadangan diketengahkan Zahid yang membawa banyak manfaat untuk memulihkan parti.

Zahid dalam ucapan dasarnya pada Sabtu menyentuh 7 teras dan 21 langkah untuk mengembalikan kekuatan Umno bagi menghadapi kerajaan Pakatan Harapan.

Antara rancangan itu ialah penjenamaan semula BN yang terdiri daripada 5 parti komponen dan membenarkan keahlian langsung daripada individu.

Katanya, BN juga sedia bekerjasama dengan NGO dan parti politik lain yang berkongsi perjuangan sama.

Di akhir PAU 2018 hari ini, lagu nasyid berjudul teman sejati menggantikan lagu Warisan (Anak kecil main api) yang dimainkan setiap tahun, selain laungan “hidup Umno” dan “hidup Melayu” juga tidak kedengaran lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-