Showing posts with label Barisan Nasional (BN). Show all posts
Showing posts with label Barisan Nasional (BN). Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

PH-BN sukar menang di Malaysia Timur jika ada PRU mengejut, kata aktivis

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
17 Feb 2025, 10:03 PM

Johan Ariffin Samad berkata, rakyat Sabah dan Sarawak anggap kerajaan perpaduan melampaui batas dalam hal ehwal agama.
Ura-ura PRU mengejut timbul apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera partinya digerakkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan PRU akhir tahun ini.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan cabaran di Sabah dan Sarawak jika PRU diadakan secara mengejut, kata aktivis dan pengulas politik Sabah Johan Ariffin Samad.

Beliau mengaitkan perkara ini dengan rasa tidak puas hati yang semakin menebal terhadap penglibatan kerajaan persekutuan dalam hal ehwal agama.

Menurutnya, rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai ‘pendirian tegas’ tentang kebebasan beragama.

Perkara seperti Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, contohnya, hanya menguatkan ketakutan terhadap Islamisasi, katanya.

“Umno mahu tuntut semula kerajaan bersama-sama PH, tetapi dasar agama mereka boleh menjejaskan sokongan di Sabah dan Sarawak, di mana kebebasan beragama sangat dilindungi,” katanya ahli kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 itu dalam episod audiosiar TheGoodCastShow.

Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia Timur menganggap penglibatan kerajaan dalam hal ehwal agama melampaui batas, dan ini sangat bercanggah dengan perjanjian 20 perkara Sabah sebelum pembentukan Malaysia.

Katanya, perkara pertama dalam perjanjian itu berkaitan dengan agama, khususnya peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terpakai di Sabah.

Beliau juga berkata, agama dijadikan senjata untuk kepentingan politik, menyimpang daripada nilai inklusif yang diajar di sekolah.

“Perlembagaan dengan jelas meletakkan hal ehwal agama bawah raja-raja negeri, jadi mengapa adanya campur tangan persekutuan?”

Ura-ura mengenai PRU mengejut timbul apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera partinya digerakkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya di seluruh negara pada akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata, Muhyiddin mengeluarkan arahan itu berikutan ‘perkembangan yang sangat memberangsangkan’ selepas pertemuan antara pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS pada 5 Feb.

Johan mengakui Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan cabaran mengimbangi tuntutan pengundi Melayu sambil memastikan keterangkuman, mengambil kira kepelbagaian rakyat Malaysia, untuk menang PRU akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia milik setiap rakyatnya.

“Meraikan perayaan masing-masing, seperti Ramadan dan Krismas, memupuk perpaduan. Tiada siapa yang mahu kerajaan seperti Taliban. Umat Islam moden seperti kita rasa terkongkong, dilayan seperti kanak-kanak walaupun sudah dewasa,” katanya.

Saturday, February 15, 2025

'Konstantinopel pun boleh ditawan, kita setakat nak jatuhkan Sanusi saja' - Saifuddin

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan 
hifzuddin@bh.com.my
- Februari 15, 2025 
Saifuddin (kanan) mengakui tidak bimbang dengan keyakinan Muhammad Sanusi dalam mempertahankan Kedah di bawah kepimpinan PN.

SUNGAI PETANI: Usaha Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) 'menawan' kembali Kedah pada pilihan raya akan datang bukan misi mustahil terutama dengan gerak kerja yang teratur.

Memberi contoh kejayaan kerajaan Islam suatu masa dahulu menawan Kota Konstantinopel (kini Istanbul), Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia wajar dijadikan sumber inspirasi dalam usaha menawan kembali negeri itu yang kini dikuasai PAS.

"Kita ini setakat untuk ambil alih kerajaan Kedah saja... bukan nak tumpah darah, setakat nak jatuhkan Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) saja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Pengerusi AMANAH Kedah, Asmirul Anuar Aris.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Nabi Muhammad SAW sendiri dalam hadis ada menyebut bahawa umat Islam akan berjaya menawan Kota Konstantinopel, walaupun ketika itu dakwah Baginda cuba dihalang.

"Dalam keadaan itu pun Nabi SAW berkata 'suatu hari nanti tentera Islam akan tawan Konstantinopel, ketika itu pemimpinnya sangat hebat dan tenteranya sangat berdisiplin.

"Ketika awal perjuangan Islam, orang takut dan tak sokong, tetapi Nabi Muhammad SAW tunjuk hala tuju dengan yakin suatu hari Konstantinopel akan diambil... ketika itu Konstantinopel adalah kuasa besar dunia

"Sirah Nabi Muhammad SAW itu wajar kita ambil contoh untuk ikut," katanya.

Tambah Saifuddin lagi, dalam politik terdapat gelombang pasang dan surut dengan beliau sendiri tidak menafikan kelebihan itu kini berada pada pihak Perikatan Nasional (PN).

"Sekarang gelombang ada pada dia (PN), tetapi gelombang ada pasang surutnya... gelombang pasang itu tak akan pergi kepada 33 (kerusi Dewan Undangan Negeri dikuasai PN ketika ini) lagi.

"Tiba masa gelombang akan surut, pergi pada kita pula. Itulah hukum alam, kerana itu kita dengan tawaduk, penuh insaf dan sedar diri akan tunggu waktu itu," katanya.

Sementara itu, Saifuddin pada sidang media selepas program berkata, beliau tidak bimbang dengan keyakinan Muhammad Sanusi dalam mempertahankan Kedah di bawah kepimpinan PN.

"Saya tidak ada gundah gulana dengan kenyataan Menteri Besar yang penuh yakin seperti ungkapannya suruh kita tunggu sampai kiamat. Itu adalah karakter dia, dia boleh teruskan kerana tiada siapa boleh ubah.

"Tapi tak ada siapa boleh sekat gerak kerja kita dan akhirnya kita serah kepada kebijaksanaan rakyat Kedah. Tak ada yang mustahil dalam dunia ini melainkan melalui usaha yang berterusan," katanya.

Sunday, February 2, 2025

‘Serah pada takdir’, Zahid ulas tempoh pegang jawatan presiden Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
02 Feb 2025, 12:32 PM

Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat meramal perjalanan politiknya termasuk bila akan lepas jawatan presiden Umno disandang sejak 2018.
Zahid Hamidi mula menjadi presiden Umno sejak 2018 selepas menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: “Saya serah kepada takdir Allah.” Itu kata Zahid Hamidi mengulas tempoh beliau akan melepaskan jawatan presiden Umno bagi memberi laluan kepada pemimpin lain dalam parti itu.

Bercakap dalam program audio siar TV3, Zahid yang mengepalai Umno sejak 2018 berkata beliau tidak boleh membuat ramalan kepada perjalanan politiknya pada masa depan.

“Ustaz agama saya pernah beri bayangan yang semua orang tahu tarikh lahir tetapi bukan tarikh mati…begitu juga dalam politik yang kita tak akan tahu bila tarikh akhir.

“Untuk buat spekulasi apa akan berlaku 10 tahun akan datang pada diri seseorang itu, saya fikir eloklah kita berbalik (serah) kepada takdir Allah,” katanya mengulas pertanyaan berhubung kedudukannya selepas ini termasuk sama ada akan melepaskan jawatannya kepada pemimpin lain, terutamanya orang muda.

Bagaimanapun beliau menjelaskan Umno tetap berusaha mencungkil bakat baharu untuk pemimpin pelapis pada masa depan.

“Sekolah patriotik bukan hanya satu jalan tetapi banyak perkara lain… dalam majlis kerja tertinggi (MKT) 50% orang baharu, 30% pemimpin Wanita pun pemimpin baharu manakala 85% Pemuda dan 97% Puteri.

“Itu adalah proses pengenerasian baru untuk pemimpin politik… dan kita tak boleh lari untuk mencari pemimpin baru.

“Mesti ada komunikasi baik antara pemimpin lama dan baru…yang baharu mesti disayangi manakala lama dihormati,” katanya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri mula duduk di kerusi Presiden Umno selepas mengambil alih daripada Najib Razak, selepas parti yang menaungi Barisan Nasional (BN) itu tewas pada PRU14.

Beliau kemudian menewaskan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan Umno penggal 2018-2021.

Zahid mempertahankan kedudukannya itu dalam pemilihan parti pada Mac 2023, namun kali ini tanpa dicabar susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Mohamad Hasan yang menjadi timbalan Zahid sejak 2018 turut menang tanpa bertanding.

Wednesday, October 2, 2024

Penghinaan jijik DAP terhadap Umno

harakahdaily.net
October 2, 2024
Dr Zulkeflee Yaacob

KOTA BHARU: Dakwaan seorang pemimpin DAP Johor era pemerintahan BN-Umno merosakkan negara kerana salah urus ekonomi dan rasuah memperlihatkan retak menunggu belah hubungan DAP-Umno.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dilapor berkata, Pakatan Harapan (PH) menyelamatkan Barisan Nasional (BN) sehingga mendapat sokongan semula rakyat.

Kata beliau, terbaharu berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Pensyarah Psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kenyataan Cheng Hau sebagai penghinaan yang jijik terhadap Umno.

Katanya, DAP begitu teruja dengan kerjasama politik PH-BN atas perpecahan orang Melayu di negara ini.

“Mobiliti politik DAP menggunakan segelintir pemimpin Melayu sebagai ejen memecahkan perpaduan orang Melayu, namun malangnya ada orang Melayu masih alpa dan leka.

“Kalau ada kesedaran sebilangan orang Melayu pun belum pada tahap adaptasi kerana mahu menyelamatkan pemimpin Umno yang ada kedudukan dalam kerajaan Madani sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini portal berita melaporkan Cheng Hau mendakwa rawatan pakar daripada DAP memulihkan Umno-BN dalam arus politik perdana.

Sedangkan katanya dahulu Umno dibelenggu kronisme dan rasuah serta salah urus ekonomi ketika menerajui pentadbiran negara.

Dr Zulkeflee juga berkata, plot hubungan PH-DAP-Umno sering berantakan kerana perbezaan dasar perjuangan yang begitu jauh.

“Mereka sekadar memperlihatkan kebersamaan dalam kerajaan Madani bagi menyelamatkan kedudukan seorang dua pemimpin Umno,” ujarnya. 

Monday, September 16, 2024

Kempen skala kecil tampak PRK Mahkota suram

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
16 Sep 2024, 03:04 PM

Kempen skala kecil bersama komuniti setempat lebih bermakna kerana beri ruang pengundi lebih kenal calon.
Perang bendera dan poster pada PRK Mahkota masih ‘suam-suam kuku’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perang bendera dan poster PRK Mahkota masih lagi suram walaupun waktu berkempen sudah memasuki hari ketiga.

Tinjauan beberapa lokasi sekitar DUN Mahkota mendapati, perang bendera parti bertanding masih suam-suam kuku, walaupun terdapat bendera dinaikkan di beberapa lokasi terutamanya di pusat daerah mengundi (PDM).

Walaupun kelihatan kurang meriah jika dibandingkan dengan beberapa PRK sebelum ini, penduduk di sekitar DUN Mahkota berkata mereka lebih selesa dengan pendekatan kempen skala kecil, berbanding kempen secara besar-besaran.

Pesara kerajaan Mohd Ali Mansor, 62 berkata kempen skala kecil bersama komuniti setempat lebih bermakna buat penduduk berbanding ceramah mega kerana ia memberi ruang kepada pengundi untuk lebih mengenali calon.

Lebih baik berkempen secara kecil tetapi padat pengisiannya. Kalau dilaksanakan ceramah mega sekalipun, kosnya tinggi dan ada masanya yang hadir lebih ramai penyokong luar. Kami tidak berpeluang menyuarakan isi hati terus kepada calon, jadi lebih mesra begini (skala kecil), katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Tani Kampung Melayu, di Kluang.

Turut bersetuju ialah penjawat awam, Alif Abdul Aziz, 34, yang berpandangan kempen berskala kecil lebih aman dan kurang menganggu kehidupan seharian penduduk seperti kesesakan trafik atau bunyi bising, mengambil kira kempen juga berlangsung pada hari bekerja.

Tambahan pula sekarang sudah banyak platform media sosial. Pengundi boleh mengikuti akaun calon jika mahu mengikuti perkembangan kempen di mana-mana dalam situasi lebih selesa, katanya.

Peniaga Tiam Hock, 43, bagaimanapun berbeza pandangan kerana berharap perang bendera atau poster lebih meriah bagi menimbulkan suasana pilihan raya dan berharap situasi itu berubah apabila masuk minggu kedua berkempen.

Ada masanya parti yang bertanding akan menonjolkan kreativiti semasa berkempen dan ini menarik untuk diperhatikan. Ketiadaan bendera, poster menyebabkan suasana PRK ini tidak begitu dirasakan, sedangkan ia hanya berlangsung untuk tempoh dua minggu, katanya.

Setakat ini, dua calon bertanding dari Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dilihat memilih pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka sama ada berkunjung dari rumah ke rumah atau hadir ke kawasan tumpuan.

PN sebagai contoh turut menggunakan platform ceramah pada sebelah malam, namun ia juga berlangsung dalam skala kecil iaitu ceramah kelompok, selain kedua-dua calon juga memanfaatkan media sosial bagi menambat hati pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota diadakan pada 28 Sept, manakala 24 Sept adalah hari undi awal.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Saturday, September 14, 2024

PRK Mahkota: Laungan 'Hussien' bergema

bharian.com.my
Oleh Alias Abd Rani 
bhnews@bh.com.my
- September 14, 2024 @ 9:39am
Penyokong BN mengiringi Syed Hussien ke pusat penamaan calon - NSTP/ALIAS ABD RANI

KLUANG: Laungan 'Hussien! Hussien! Hussien!' bergema ketika penyokong Barisan Nasional (BN) mengiringi Syed Hussien Syed Abdullah ke pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, pagi ini.

Syed Hussien, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menjadi taruhan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijadualkan berlangsung 28 September ini

Terdahulu, beliau tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi anggaran kira-kira 5,000 penyokong BN bersama kepimpinan parti itu serta Pakatan Harapan (PH).

Antara yang kelihatan ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Selain itu, turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketika melangkah ke pusat penamaan calon, Syed Hussien dilihat mengaminkan doa.

Beliau turut menyebut 'doakan saya' beberapa kali sambil melemparkan senyuman kepada penyokong BN.

PRK Mahkota: Calon, penyokong PN berarak sambil berselawat ke pusat penamaan calon

bharian.com.my
Oleh Mohamad Fahd Rahmat 
bhnews@bh.com.my
- September 14, 2024 @ 9:10am
Penyokong PN hadir di sekitar pusat penamaan calon bagi memberi sokongan kepada calon dinamakan parti itu untuk bertanding PRK DUN Mahkota, pagi ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

KLUANG: Ratusan penyokong berarak mengiringi calon dinamakan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, sambil berselawat sejauh kira-kira satu kilometer dari Jalan Besar ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, pagi ini.

Mereka mula berarak dari tempat parkir di Taman Tasik, Jalan Besar, kira-kira jam 8.20 pagi sebelum Mohamad Haizan yang juga dikenali sebagai 'Coach Haizan', 61, dibawa masuk ke dewan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi urusan penyerahan borang penamaan calon.

Antara yang hadir memberi sokongan ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; serta Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Selain itu, Pengarah PRK DUN Mahkota merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, turut hadir.

Cuaca redup di lokasi dengan penyokong sudah berkumpul seawal jam 7 pagi tadi dengan dikawal oleh anggota polis bertugas di sepanjang laluan.

Sunday, September 8, 2024

BN dijangka menang besar PRK Mahkota - Annuar Musa

bharian.com.my
Oleh Mahani Ishak 
mahani@bh.com.my
- September 8, 2024 @ 3:55pm
Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) dijangka menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, mengulangi kejayaan diperoleh di Nenggiri bulan lalu.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata keyakinan itu hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada November tahun lalu yang menunjukkan BN memperoleh lebih 16,000 undi sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh lebih 11,000 undi.

"Hasil keputusan itu menjadikan Mahkota kubu terkuat BN, PH MADANI di Johor.

"Apalagi dalam PRK (Mahkota) dengan segala jentera kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang sudah pun dikerahkan bekerja untuk pasukan Perpaduan MADANI.

"Dijangkakan, BN dengan mudah menambah undi mereka seperti di Nenggiri. Mungkin melebihi 30,000 undi," katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Syed Hussien sebelum ini adalah antara dua nama yang disenarai pendek sebagai calon BN.

Seorang lagi adalah Naib Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin.

Annuar berkata, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) bermodalkan hanya 7,000 undi pada PRN lalu.

"Ini menunjukkan lebih 20,000 undi lebih rendah daripada undi diperoleh BN-PH.

"Majoriti BN dalam PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baharu mereka bersama 'Kerajaan Perpaduan'," katanya.

Monday, August 26, 2024

PH perlukan BN di sebalik cita-cita Umno, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-26 Aug 2024

PH sedar ia mungkin tidak memiliki kekuatan untuk membentuk majoriti kerusi tanpa sokongan BN, serta Sabah dan Sarawak, menurut penganalisis.
Di sebalik cita-cita Umno untuk menjadi parti dominan, Pengerusi PH Anwar Ibrahim membuka rundingan kerjasama dengan BN bagi PRU16.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan masih memerlukan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan walaupun berdepan cita-cita Umno untuk kembali menjadi parti dominan.

Penganalisis percaya PH sedar ia mungkin tidak memiliki kekuatan untuk membentuk majoriti kerusi tanpa sokongan BN, serta parti-parti di Sabah dan Sarawak yang pernah bersama gabungan itu.

PH tak mampu bergerak solo dalam perkara ini. Paling banyak kerusi yang boleh diperolehi 80 Parlimen sahaja dan lebihan untuk dapat majoriti mudah bentuk kerajaan memerlukan sokongan BN, sekurang-kurangnya di Semenanjung, kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.

Azmi mengingatkan bahawa PKR dan Amanah sukar menarik sokongan pengundi Melayu, manakala hubungan lama antara BN dan parti-parti di Sabah dan Sarawak akan memudahkan kerjasama.

Jika PH bekerjasama dengan BN secara automatik parti di Sabah dan Sarawak akan turut serta dalam kerjasama itu, katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Anwar Ibrahim bahawa rundingan kerjasama dengan BN bagi PRU16 masih terbuka.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2024 yang berakhir pada Sabtu, para pemimpin tinggi Umno dalam ucapan mereka menekankan pemulihan, yang menurut Naib Presiden Johari Abdul Ghani mungkin memerlukan dua atau tiga PRU untuk kembali dominan.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah PH mengekalkan dialog dengan BN menunjukkan kesediaan untuk membentuk pakatan politik yang boleh menjamin kestabilan dan kesinambungan pemerintahan.

Sikap ini katanya akan membantu memupuk kepercayaan dalam kalangan pengundi bahawa ia sedia bekerjasama demi kebaikan negara dan bukan semata-mata untuk kepentingan politik.

Dalam erti kata lain, PH mahu menggambarkan diri mereka sebagai pemain politik yang inklusif dan bersedia mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan parti, katanya.

Sementara itu, Azmi berkata Umno perlu menggandakan usaha bagi mengimbangi kekuatan DAP, sekiranya mahu dilihat sebagai parti dominan.

Untuk menjadi dominan, kalau nak kekal bekerjasama dengan PH maka Umno perlu meningkatkan kerusi lebih, sama ada sama dengan DAP atau PKR atau kena lebih dari DAP dan PKR, katanya.

Sunday, August 25, 2024

Kenyataan Zahid buktikan UMNO akan terus jadi pelengkap bukan dominan

utusantv.com
Oleh UtusanTV
-August 24, 2024

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid


KETIKA menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO, semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan isyarat bahawa parti itu yang mengepalai Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke -16 (PRU-16) nanti.

Kata Presiden UMNO itu, ‘’Dengan penegasan tentang konsep perkongsian kuasa yang ditunjangi UMNO sehingga kini, kita akan meneruskan pelayaran bahtera perjuangan ini untuk mara ke hadapan.’’.

Kenyataan itu sekaligus bermakna UMNO tidak akan GO SOLO kerana Ahmad Zahid mempersoalkan,’’ adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa? Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?’’

Ia juga bermakna kepemimpinan UMNO sudah tidak ada keyakinan lagi untuk parti itu bukan sahaja bertanding dengan secara bersendirian malah tidak mungkin akan kembali dominan. Selepas ini UMNO akan mengikut apa sahaja percaturan politik yang akan disusun oleh PH dan DAP terutamanya juga dari segi pembahagian kerusi.

Pendirian Ahmad Zahid itu turut membuktikan tiada apa-apa yang mahu dibanggakan dengan jumlah keahlian UMNO seramai 3.4 juta orang memandangkan selepas ini parti tersebut tidak akan menjadi dominan dalam kerajaan. Sebaliknya, PKR dan DAP akan menentukan segala-galanya walaupun PKR hanya ada ahli 1.5 juta manakala DAP tidak diketahui jumlah sebenar ahlinya. Amanah pula ada ahli tidak sampai 600,000 orang.

Benar berdasarkan keputusan pilihan raya, jumlah ahli ramai bukanlah penentu dan itu diakui oleh Ahmad Zahid selepas melihat nasib UMNO dalam PRU-14 dan PRU-15 tetapi untuk menyatakan UMNO ditolak kerana fitnah dan tohmahan tidak tepat..

Hakikatnya, orang Melayu menolak UMNO kerana pelbagai ‘penyakit’ yang ada dalam parti itu sehingga sebelum PRU-15, pemimpin PKR dan DAP yang kini menjadi sahabat baik UMNO menganggap ‘parti korup’, ‘parti yang menjadi punca masalah negara’ dan ada pemimpin PKR kata ‘’saya tidak akan sembah perasuah untuk Perdana Menteri’.

Sekadar mahu mengingatkan beberapa kes mahkamah melibatkan pemimpin UMNO termasuk ada kes yang digugurkan ketika perbicaraan adalah fakta yang menyebabkan orang Melayu menjauhi UMNO bukan hanya kerana fitnah semata-mata.

Penulis ingatkan kembali ayat 7 surah Al-Isra yang dibacakan oleh Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya iaitu Allah SWT berfirman;

‘’Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.’’

Tetapi semua itu sudah jadi sejarah sebab segala keburukan UMNO sudah dibersihkan oleh PKR, DAP dan Amanah manakala segala kejelikan PKR, DAP, Amanah sudah ‘diterima’ oleh UMNO. Mereka kini sudah berada dalam satu pasukan menguruskan negara kerana Ahmad Zahid berkata:’’perkongsian kuasa membentuk Kerajaan Campuran bukanlah fenomena baharu di pentas politik dunia.’’

Penulis bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid bahawa :

‘’Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya. UMNO mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar kita tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.’’

Sememangnya sejak dulu lagi, UMNO tidak akan menang dengan bergantung kepada ahli parti itu sahaja, ini fakta dan sudah berpuluh-puluh tahun berlaku dalam pilihan raya. BN menang atas sokongan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kaum lain terutama ketika sebelum era tahun 2008. Namun sekarang bukan kata kaum lain malah orang Melayu pun turut meninggalkan UMNO dan paling malang ahli UMNO pun malas mahu mengundi BN-UMNO. Kenapa itu berlaku? Ia disebabkan kesilapan dan kelemahan barisan kepemimpinan UMNO itu sendiri.

Janganlah asyik menuding jari kepada parti-parti lain terhadap apa yang berlaku kepada UMNO. Kalau apa sahaja parti lawan kata dianggap fitnah dan tohmahan, maknanya pada PRU-14 dan PRU-15, PKR,DAP dan Amanah juga bertanggungjawab melakukan perbuatan itu terhadap UMNO!

Ertinya apa diperkatakan oleh parti lawan termasuklah oleh Pas dan Bersatu terhadap UMNO adalah benar bukan tohmahan, justeru seharusnya kepemimpinan UMNO bermuhasabah termasuklah mengkaji adakah mereka masih lagi relevan untuk membawa parti itu turun ke gelanggang PRU-16.

Mendendangkan lagu lama dengan mengaitkan Bersatu dengan keputusan kerajaan berkaitan dengan ICERD, bukan tindakan politik yang bijak. Ia kerana kalau istilah ‘kerajaan’ dan ‘Perdana Menteri’ juga daripada Bersatu mahu dirujuk maka Ahmad Zahid juga perlu merangkul sama PKR, DAP dan Amanah sebab mereka juga adalah berada dalam kerajaan ketika itu.Kenapa Ahmad Zahid tidak menyebut tindakan Pas yang mengerahkan puluhan ribu ahlinya turun ke Kuala Lumpur untuk membantah ICERD bersama dengan UMNO? Kenapa beliau lebih selesa menuduh Pas bertopengkan agama dan mempersoalkan agenda Islam parti itu?

Hujah Presiden UMNO sudah basi kerana kalau itulah hujah yang diterima pakai oleh rakyat sudah pasti UMNO tidak akan kalah teruk dalam PRU-15 dan PRN enam negeri sehingga terpaksa mengharapkan ehsan PH-DAP untuk menjadi menteri besar di Perak dan Pahang.

UMNO tidak boleh selama-lamanya menjadi fitnah dan tohmahan sebagai alasan mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Sekarang bukannya tahun 90-an sebarang fitnah dan tohmahan tidak boleh dijawab dengan serta-merta dan paling penting janganlah merendah-rendahkan kebijaksanaan pengundi terutamanya pengundi muda membuat keputusan.

Percayalah, selagi UMNO benar-benar tidak melakukan perubahan terutamanya dari segi barisan kepemimpinannya, selagi itulah UMNO tidak akan mendapat sokongan rakyat seperti mana diharapkan kerana isu atau masalahnya bukan parti tetapi individu yang mengendalikan parti itu.

Kesimpulannya, dalam keadaan berputus asa untuk kembali menjadi parti dominan dan dalam situasi ghairah mahu terus berkuasa bersama PH-DAP, janganlah UMNO terlupa bahawa biarlah dianggap kura-kura yang sekali sekala menyorok kepalanya daripada menjadi kakak tua yang mengikut apa sahaja kata tuannya.

Paling penting jangan lupa, sejinak-jinak manapun harimau sarkas tetapi haiwan itu tetap menyimpan kukunya sebelum menerkam mangsa apabila tiba masanya. Siapa mangsa, siapa harimau..kita sama saksikan nanti.

Wednesday, August 21, 2024

Dakwa ‘sogokan’ di Nenggiri, PN akan hantar petisyen bantah kemenangan BN

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-21 Aug 2024, 10:30 PM

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor mengesahkan pihaknya sedang kumpul ‘bukti’ apa didakwa sebagai sogokan dan ugutan ke atas pengundi.
Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor, berkata PN sedang kumpul bukti sebelum failkan petisyen pilihan raya membantah keputusan memihak BN di Nenggiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Azmawi Fikri Abdul Ghani, 17 Ogos lalu.

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor, berkata segala maklumat sedang dikumpul termasuk dakwaan wujud sogokan dan ugutan kepada pengundi sepanjang kempen PRK berlangsung.

Ya (akan fail petisyen) dan kini kami sedang kumpul semua bukti, katanya kepada FMT.

Terdahulu, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa membangkitkan dakwaan berlaku sokongan kepada pengundi dan salah guna aset kerajaan pusat sepanjang kempen Nenggiri.

Dakwaan itu termasuk pengundi diberi wang dan peneroka diberi sijil perakuan milik lot rumah semasa berkempen.

Pada PRK Nenggiri Sabtu lalu, Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Sunday, August 18, 2024

PN kalah kerana ‘salah pilih’ calon, kata sumber

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
18 Aug 2024, 12:04 AM

Sumber dalaman gabungan itu berkata, calon BN lebih dikenali dalam kalangan belia, sedangkan calon PN hanya popular dalam kalangan ‘orang masjid’.
Dua calon bersaing bagi kerusi Nenggiri, Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) dan Rizwadi Ismail (PN), turut mengundi hari ini.

PETALING JAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) memilih calon yang salah menjurus ke arah kekalahannya pada PRK Nenggiri hari ini, menurut sumber gabungan.

Sumber dalaman yang enggan namanya disiarkan itu berkata, bahawa calon PN Rizwadi Ismail didapati hanya popular dalam kalangan ‘orang masjid’.

Menurut sumber itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang tepat pada PRK Nenggiri, iaitu Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memperoleh majoriti selesa dengan 9,091 undi, manakala Rizwadi hanya memperoleh 5,739 undi.

Sumber PN itu berkata, Azmawi sangat rapat dengan golongan belia di Nenggiri dan Gua Musang, dan pernah menaja acara belia.

Azmawi turut memanfaatkan kedudukannya dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), yang membangunkan 70% kemudahan di Gua Musang.

Sebab tu undi anak muda ‘swing’ (kepada BN), katanya.

PN turut bertelingkah berhubung pemilihan calon, kata sumber itu. Bersatu mencadangkan dua calon tetapi PAS tidak berminat disebabkan pengalaman mereka dengan Azizi Abu Naim, yang menang pada 2022 atas tiket Bersatu.

Pada Jun, Bersatu mengumumkan Azizi bukan lagi ahlinya, menyebabkan kerusi itu diisytiharkan kosong, mencetuskan pilihan raya kecil.

“PAS cakap, imej Bersatu tengah buruk (disebabkan tindakan Azizi). Mereka cadangkan calon PAS tetapi ‘tukar’ baju Bersatu.

Mungkin kalau kita pilih antara dua calon yang mula-mula dicadangkan itu, (PN) ada peluang lebih cerah (menang PRK Nenggiri), katanya.

Annuar Musa, pengarah pilihan raya gabungan itu untuk PRK Nenggiri, turut dilihat sebagai liabiliti, menurut Hisyamuddin Ghazali, seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan.

Katanya, Annuar bukan sahaja kelihatan sombong, malah seorang yang suka menunjuk-nunjuk kekayaannya, menjengkelkan pengundi.

Keputusan untuk ‘mengitar semula’ pemimpin seperti Annuar tidak membawa impak yang ketara, katanya dalam catatan di Facebook.

Hisyamuddin, yang bertanding merebut kerusi Kuala Krai pada PRU 2022, turut mendakwa, perpecahan dalam kalangan akar umbi Bersatu dan PAS disebabkan pemilihan calon turut menyumbang kepada kekalahan PN.

Saturday, August 17, 2024

Nenggiri milik PN atau kembali ke pangkuan BN

bebasnews.my
By Hassan Mohd Noor
-17/08/2024

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).



PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing yakin untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila 20,216 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PN mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu dengan majoriti 810 undi manakala BN mahu merampas kembali kerusi yang diwakili selama empat penggal sejak 2004.

Mampukah PN yang berbekalkan majoriti 810 undi pada PRN lalu mengekalkan kerusi yang pernah menjadi kubu BN itu? Adakah gelombang kemenangan PN melalui calon Pas pada PRK di Sungai Bakap akan melanda Nenggiri?

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, tinjauan yang membabitkan hampir 500 pengundi terpilih mendapati sebahagian besar mereka menyokong PN dan akan memberi undi kepada calon kita. Mereka ada sebab musabab tidak sokong BN.

BN pula khususnya UMNO walaupun turun secara ‘underdog’ mengharapkan ‘cahaya terang di hujung terowong’ pada PRK ini. BN ingin menambah kerusi pembangkang di negeri itu selepas hanya menang dua kerusi sebelum ini.

Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah enam kali turun padang untuk berkempen, sesuatu yang tidak pernah dilakukan di PRK lain. UMNO perlu menang menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan. Itu misi penting.

“Insya-Allah, DUN Nenggiri (akan) adalah milik kita semula. Kita berharap dapat menambah seorang lagi ADUN supaya kita boleh mewujudkan tiga ‘tungku mendidihkan air’ bagi suhu politik di Kelantan ini,” katanya.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala calon PN adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Rizwadi pada peringkat awal tidak ada dalam senarai tetapi pada saat akhir beliau ‘meninggalkan’ Pas untuk menyertai Bersatu dan dipilih sebagai calon mengisi kuota Bersatu, bertanding di bawah Bulan. Maka timbul isu Bersatu ketandusan calon.
PRK ini diadakan susulan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN yang mempertahankan kerusi itu, Ab Aziz Yusoff
memperoleh 5,707 undi.

Selain masing-masing mengharapkan undi Orang Asli, peratusan keluar mengundi juga menjadi antara indikator penting menentukan keputusan PRK Nenggiri. Pada PRN lalu, hanya 61 peratus pengundi keluar mengundi.

Adakah jika peratusan keluar mengundi tinggi, peluang UMNO-BN cerah atau sebaliknya berlaku? Pengundi akan memberi jawapannya.

Apa yang menarik pada PRK ini, BN tidak mengalu-ngalukan kehadiran ‘rakan sepejabat’ DAP untuk berkempen malahan Ketua UMNO bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga ‘melarang’ DAP turun berkempen.

Larangan itu wajar sekiranya dilihat majoriti pengundi di situ adalah orang Melayu tetapi kenapa kehadiran DAP dikhuatiri sedangkan ramai juga wakil rakyat Melayu DAP sama ada di Dewan Rakyat atau DUN serta pengerusi itu ini.

Adakah BN atau UMNO tidak mahu dilabelkan dengan gelaran UMDAP jika pemimpin DAP terus berada di pentas kempen UMNO? Atau UMNO pun bimbang akan lahir pula cawangan DAP Melayu di Gua Musang? Realitinya DAP ‘memberi kesan’.

Apa pun sesuatu yang menarik perhatian pada PRK ini adalah sejauh mana dua nama yang pernah mewarnai kepemimpinan UMNO peringkat Pusat membuktikan sokongan pengundi apabila mereka mengetuai jentera kempen PRK Nenggiri.

Di pihak BN, Razaleigh yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri BN manakala Annuar Musa yang suatu ketika sebagai Setiausaha Agung UMNO/BN sebagai Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri.

Ku Li sudah tentu mahu ‘menebus’ kekalahan BN pada PRN lalu malahan jika menang dapat mengubat kekecewaan selepas tewas kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Masing-masing anak Kelantan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk memastikan pengundi mengundi parti dokongan mereka. PN ada kelebihan sebagai kerajaan negeri manakala BN sebagai kerajaan Pusat.

Banyak janji ditawarkan BN yang sudah empat penggal mewakili Nenggiri sebelum ini, yang juga berada di bawah Parlimen Gua Musang yang sebegitu lama dikuasai BN. Begitu juga tawaran Kerajaan Pas yang sudah lama mentadbir Kelantan.

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).

BebasNews
View Synonyms and Definitions

Thursday, August 15, 2024

BN underdog dalam pilihan raya kecil Nenggiri, kata Ku Li

themalaysianinsight.com
Ian McIntyre
Diterbitkan pada 15 Aug 2024 11:00AM 
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Barisan Nasional melalui sayap Pemuda Umnonya, sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan gelombang yang berkisar tentang kaum dan agama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2024.

VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah menganggap calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani masih calon underdog bagi pilihan raya kecil Nenggiri dengan hanya 48 jam sebelum pengundian bermula.

Tengku Razaleigh, atau dikenali sebagai Ku Li berkata, walaupun pilihan raya kecil itu berada di halaman sendiri, yang dikuasainya sejak 50 tahun lalu, sentimen serentak cenderung memihak kepada penyandangnya - Perikatan Nasional (PN) di sini.

Ku Li berkhidmat sebagai ahli Parlimen Gua Musang dari 1974 hingga 2022 dan pada masa ini, beliau dilihat sebagai bahan perdana menteri pada 1980-an dan awal 2000-an.

Walaupun beliau telah mengakui usia adalah faktor dalam kerjaya politiknya yang terdekat, beliau tetap mempunyai keyakinan untuk meneruskan perjuangannya buat masa ini.

PN meletakkan bekas ketua Pemuda PAS Gua Musang Rizwadi Ismail, yang bertanding atas tiket Bersatu.

“Ia adalah pilihan raya kecil yang penting kerana kita diamanahkan untuk mengelakkan gelombang hijau PAS yang telah melanda negeri-negeri kawasan Melayu sejak dua tahun lalu,” kata Ku Li.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, BN melalui sayap Pemuda Umnonya, sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan gelombang yang berkisar tentang kaum dan agama tetapi ia adalah perjuangan yang sukar di hadapan.

“Kita perlu berdepan dengan sentimen ketidakpercayaan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan.

“Ia ditambah lagi dengan perjuangan kerajaan untuk mengawal kos sara hidup dan pandangan yang lembap di peringkat akar umbi. Kami memerlukan pendirian yang lebih proaktif daripada kerajaan untuk membersihkan salah faham,” katanya.

Ku Li, 87, telah menawarkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari sudut sebagai negarawan, bukannya hanya berdasarkan partisan politik.

Beliau telah menawarkan cadangan bagaimana untuk merangsang lagi ekonomi bagi membantu negara mengharungi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Ku Li percaya jika Umno dapat menghentikan gelombang hijau PN, khususnya PAS, ia boleh menandakan permulaan tolak balik.

Pasukan perpaduan perlu menolak ekstremisme dan dasar seperti toleransi terhadap rasuah, yang cenderung melemahkan dan bukannya mengembangkan ekonomi.

Umno menentang sentimen yang diukir oleh PAS bahawa kemenangan PN adalah untuk mencerminkan ketidaksetujuan mereka terhadap perpaduan nasional yang ditubuhkan.

Mereka mengerahkan pemimpin kanan parti iaitu timbalan presiden Mohamed Hasan dan naib presiden Johari Abdul Ghani.

Kedua-duanya berkempen di pilihan raya kecil Nenggiri.

20,259 pengundi akan membuang undi pada hari Sabtu.

Daripada 20,259 pengundi itu, 85% adalah Melayu - Islam manakala selebihnya adalah Orang Asli, Cina, India dan lain-lain.

Kawasan itu kebanyakannya separa luar bandar dengan banyak penempatan Felda, Kesedar dan orang asli terletak di sekitar Gua Musang.

Kegiatan ekonomi utama di kawasan itu ialah perladangan, pembalakan dan pertanian. 

15 Ogos, 2024.
View Synonyms and Definitions

Tuesday, August 13, 2024

BN tanding Mahkota, Zahid beri amaran ‘parti lain jangan kacau’

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
13 Aug 2024

Pengerusi BN berkata menerusi persefahaman kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula parti berkenaan’.
Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan bertanding PRK DUN Mahkota 28 Sept ini, kata Zahid Hamidi.

Justeru, pengerusi BN memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti.

Saya tak mahu kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin besar atau kecil yang menuntut mana-mana kerusi diperuntukkan untuk dituntut atau keluar kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi sebaliknya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Platinum Sentral.

Pada 5 Ogos lalu Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.

Menyusul desakan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi DUN tersebut, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan terhadap kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos yang ditandingi Umno untuk merebut semula kerusi berkenaan daripada Bersatu.

Pada 8 Ogos lalu Zahid berkata parti dalam kerajaan perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan milik mereka dan ia perlu dihormati.

Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini, kata timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Zahid berkata bagi menghadapi PRK Mahkota, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno seterusnya membawa keputusan tersebut dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, menerusi persefahaman dalam kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili oleh mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula oleh parti berkenaan’.

DUN Mahkota adalah DUN di kawasan agak berpotensi untuk kita menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota pada 28 Sept dengan penamaan calon dan undi awal masing-masing 14 serta 24 Sept.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah menang kerusi DUN Mahkota mewakili BN dengan 16,611 undi dan majoriti 5,166.

PRK Nenggiri: Selepas seminggu kempen, mood ketika ini memihak BN - Penganalisis politik

bharian.com.my
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid 
khairil.ashraf@hmetro.com.my
- Ogos 13, 2024 
GUA MUSANG 10 OGOS 2024.. Bendera parti politik yang bertanding iaitu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) mula dipasang di sekitar kawasan jalan besar yang memasuki kampung Sungai Terah dan Bertam Lama ssempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri di sini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos ini. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu berkempen, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada ketika ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya yang telah turun padang di kawasan itu, ia disebabkan pengundi Orang Asli secara besarnya memihak kepada BN.

Kedua katanya, pengaruh bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih lagi besar di kawasan berkenaan khususnya di Nenggiri.

"Walaupun kawasan itu majoritinya orang Melayu, tetapi keadaan politik di Nenggiri atau Gua Musang itu 'templatenya' kita tak boleh samakan dengan Sungai Bakap, Kuala Kubu Baharu atau Pelangai. Setiap kawasan ada 'template' yang berbeza.

"Dalam tempoh minggu pertama ini, saya nampak BN mendahului kerana disebabkan deposit BN ada menerusi pengundi orang asli. Kedua, kekuatan dan pengaruh Tengku Razaleigh yang menyelinap di setiap peringkat akar umbi," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, keadaan politik itu juga boleh berubah pada bila-bila masa mengikut persepsi.

Sebagai contoh katanya, tawaran dikemukakan bagi menyelesaikan masalah tanah Lembaga Kamajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dalam PRK Nenggiri.

"Kemudiannya, kita lihat ada perdebatan itu memihak kepada sesetengah pihak. Contohnya (Pengarah Operasi Perikatan Nasional PRK Nenggiri), Tan Sri Annuar Musa pada awal itu agak 'low profile' tetapi apabila diserang memakai LV (Louis Vuitton), jadi orang kampung nampak ini seolah-olah macam berlakon.

"Serangan ini boleh berubah serta memberi persepsi yang berbeza dan boleh mempengaruhi kecenderungan keputusan pilihan raya di PRK Nenggiri," katanya.

Sementara itu, Mohammad Tawfik menyifatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sebagai bongkak apabila secara terbuka mencabar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berdebat menentangnya seorang diri.

Menurutnya, pelaksanaan debat bukanlah untuk mencari siapa individu yang hebat, menang atau lebih unggul berbanding orang lain.

"Bagi saya, tak perlulah kedua-dua itu turun untuk berdepan dengan Wan Ahmad Faysal kerana kedua-dua ini level (tahap) Menteri, bukan ahli Parlimen biasa dan sebelum ini pun, Wan Ahmad Fayhsal hanyalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan sebelum ini.

"Namun, kalau betul-betul nak buat debat, bagi saya ia mestilah ada impaknya kepada rakyat dan kita letakkan pemimpin yang sama taraf.

"Kemudian, hasil daripada debat itu dapat dilaksanakan kepada dasar dan rakyat mendapat manfaatnya. Bukan sekadar mencabar antara satu sama lain," katanya.

Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal dilapor menyatakan beliau tidak kisah untuk melawan dua orang Menteri daripada Kerajaan Perpaduan.

Menerusi kemaskini di aplikasi X, Ketua Armada Bersatu itu menamakan Rafizi dan Fahmi untuk berdebat dengannya berkenaan topik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang didakwanya menjual saham kepada syarikat pro-Zionis.

Rafizi sebelum itu mengajak Wan Ahmad Fayhsal untuk berdebat mengenai topik 'bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang'.

Sunday, August 11, 2024

PRN DUN Nenggiri: PN Kini Dahului Di Hadapan – Syahir

mediaislam.net
MI August 11, 2024
PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang mendahului di hadapan berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRK N.43 DUN Nenggiri selepas seminggu tempoh kempen, demikian pandangan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Menurut beliau yang turut turun bersama jentera kempen di lapangan, pada pemerhatiannya secara umum, walaupun kedua pihak bermula dengan peluang 50-50, namun memasuki separuh masa kedua keadaan kelihatan tenang di atas, tetapi semakin sengit di bawah.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu mengakui, disebabkan pertembungan satu lawan satu, beliau tidak menafikan bahawa BN yang berada di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai kelebihan terutama daripada aspek 3M iaitu jentera, kewangan dan juga media.

“Di mana dari segi ‘machinery’ (jentera) jelas kelebihan di pihak BN apabila jentera-jentera kerajaan, agensi-agensi kerajaan, Menteri-menteri turun, ibaratnya bertanding di antara pihak kerajaan melawan parti. Bukannya pertandingan di antara parti dengan parti.

“Ini yang kita dapat lihat di (PRK DUN) Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap khususnya. Bukan pertandingan antara parti dengan parti tetapi pertandingan antara kerajaan dengan parti. Jadi kelebihan kepada pihak BN jelas dalam aspek ‘machinery’.

“Dalam aspek ‘money’ (wang), taburan wang itu pastinya lebih memihak kepada mereka dan kelebihan media khususnya media massa,” ujar beliau menjelaskan gemblengan dilakukan BN untuk kembali merampas kerusi itu.

Pun begitu kemuka Syahir, di pihak PN khususnya dalam aspek jentera, jelas nampak satu kesepaduan gerak kerja di mana kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN termasuklah rakan-rakan NGO dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Terang beliau, semua mereka tersebut turun bersilih ganti melibatkan para pemimpin tertinggi antaranya Timbalan-timbalan Presiden iaitu Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Juga katanya, dalam kalangan Naib-naib Presiden seperti Datuk Ustaz Idris Ahmad, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Ustaz Idris Ahmad serta kepimpinan sayap-sayap.

“Pemuda, Muslimat, Armada, DHPP dan termasuklah Presiden GERAKAN (Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan rakan-rakan turut turun berkempen, malah lebih meriahnya rakan-rakan NGO ada Chegu Bard, Tun Faisal dan turut membantu.

“Bukan sekadar turun berceramah tapi kita turun ziarah, turun santai anak muda, turun berkampung dengan Orang Asal. Jadi ini satu kesepaduan gerak kerja di mana di pihak BN agak lompanglah memang tidak ada terlibat DAP, PKR, PAN pun boleh dikira dihitung dengan jari.

“Malah kalau kita singgah di kedai-kedai kopi, mereka bergurau (persoal) mana ‘Raja Formula’ mana Menteri-menteri pemimpin-pemimpin DAP? Mereka berguraulah kerana mereka lihat yang datang kedai kopi ini pimpinan BERSATU, pimpinan PAS,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Menurut Syahir juga, kehadiran rakan-rakan NGO dan bukan-Muslim terutama DHPP turut membantu memberi impak momentum di mana kelebihan kepada PN bahkan terlihat daripada reaksi atau sambutan para penduduk tempatan di Nenggiri itu sendiri.

Terang beliau, pendekatan bersemuka digunakan di sini lebih efektif berbanding pendekatan media sosial sepertimana di Sungai Bakap, sesuai dengan isu-isu tempatan di Nenggiri di mana pelbagai acara dan aktiviti juga lebih santai.

“Juga lebih informal, lebih dekat, lebih bersentuhan, lebih bersemuka. Ini memang digerakkan secara agresiflah di peringkat gelombang pertama ini dan pastinya memasuki separuh masa kedua gelombang baki tujuh hari ini akan lebih dipertingkatkan.

“Saya pun berjumpa dengan calon saudara Mohd Rizwadi (Ismail) memang alhamdulillah nampak ada ketokohan ada sambutan di pihak anak muda khususnya dan juga orang-orang kampung yang sudah biasa dengan wajah beliau sebagai Pengelola Halaqat.

“Rizwadi sudah dikenali dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan dakwah di sini. Jadi saya tinggalkan pesanan kepada jentera untuk teruskan melangkah, tingkatkan momentum dan kita rapatkan saf insya-Allah undi bulan,” ujarnya optimis.

Syahir turut memaklumkan, sebagaimana kelaziman PRK sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memberikan komitmen untuk turun berkempen dan berucap pada ceramah kemuncak (grand finale) dijadualkan pada Khamis, 15 Ogos ini.

Wednesday, August 7, 2024

Orang Melayu Nenggiri pun tolak ‘UmDAP’, PN tepis ramalan BN menang

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
07 Aug 2024, 07:12 PM

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa berkata rakyat DUN itu mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi seperti dibuktikan dalam PRU15 dan PRN lalu.
Annuar Musa mengakui pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah masih kuat namun penolakan rakyat terhadap Umno-DAP dan Presiden Zahid Hamidi juga kuat.

GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) menolak ramalan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah merampas kerusi DUN Nenggiri pada PRK 17 Ogos ini.

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Annuar Musa, berkata biarpun kawasan itu pernah menjadi kubu kuat Umno namun penyokongnya tidak begitu fanatik, malah pernah meninggalkan parti untuk bersama Semangat 46 ketika awal 90-an.

“Dalam PRU15 dan PRN baru-baru ini, rakyat Nenggiri tidak memilih Umno-BN. Ini menjadi bukti bahawa mereka mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi.

“Pandangan Khairy di mana mereka tidak lagi keliru apabila mengundi BN bermaksud memberi laba politik kepada DAP, adalah meleset.

Orang Melayu seluruh negara, tidak terkecuali juga di DUN Nenggiri, majoritinya menolak kerjasama Umno dan DAP, katanya ditemui ketika berkempen di Nenggiri.

Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap menjangkakan peluang BN merampas kerusi Nenggiri daripada PN cerah, antaranya kerana pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri belia dan sukan berkata, langkah menugaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang juga Ahli Parlimen Orang Asli pertama, berkampung di kawasan Orang Asli untuk berkempen juga akan dapat meningkatkan sokongan komuniti itu terhadap calon BN.

Annuar mengakui pengaruh Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li di kawasan itu masih kuat namun penolakan rakyat terhadap ‘UmDAP’ dan Presiden Umno Zahid Hamidi juga kuat.

“Trend dan gelombang tolak ‘UmDAP’ dan Zahid tetap kuat. Pengaruh Ku Li tetap ada, namun orang Melayu faham Zahid hanya memperalatkan Ku Li untuk mengelak kekalahan.

Ku Li tentu tidak lupa bagaimana Zahid dan ‘troopersnya’ menghina Ku Li semasa beliau bertanding jawatan presiden Umno melawan Zahid dan Khairy. Beliau juga pasti tidak lupa bagaimana dipermainkan oleh Zahid ketika kononnya Ku Li ditawar jadi calon perdana menteri tetapi Zahid sebenarnya merancang untuk mengangkat Anwar Ibrahim, katanya.

Tengku Razaleigh adalah pengarah pilihan raya BN bagi PRK Nenggiri. Ramli merupakan Ahli Parlimen yang pertama daripada komuniti Orang Asli. Masyarakat itu membentuk 13% daripada pengundi Nenggiri.

Sunday, August 4, 2024

Gagal lihat perubahan dalam rakyat punca UMNO hilang dominasi - Zahid

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
Ogos 4, 2024 @ 6:10pm

Ahmad Zahid (dua dari kanan) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja 2024 di Hotel Premiere di Klang. - NSTP / FAIZ ANUAR

KLANG: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pertumbuhan ekonomi yang dibawa UMNO dalam mentadbir negara sebelum tidak lagi mampu memberikan keyakinan politik kepada rakyat.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi sejarah lampau UMNO dengan parti kehilangan dominasi untuk mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada PRU pada 2008.

Puncanya, katanya disebabkan kegagalan untuk melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

"Bukan hanya di Selangor, tetapi seluruh negara. Kita sedang mendakapi realiti politik baharu... ini suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat (ke depan), sejarah silam jangan harus kita padamkan.

"Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat berstruktur," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli di peringkat akar umbi tidak merasa parti itu sebagai dominan seperti dahulu meskipun dengan pelantikan tujuh menteri Kabinet daripada UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

"DAP yang mempunyai (menang) kerusi lebih daripada kita, mereka hanya mempunyai lima menteri penuh. Janganlah kita yang berada di akar umbi ini (menganggap) bahawa tujuh (menteri Kabinet) ini seolah-olah kita dominan seperti dahulu.

"Realiti politik baharu ini, kita mesti mengukur baju di badan sendiri," katanya.

UMNO intai satu kerusi Parlimen Kota Raja

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyokong sekiranya gabungan itu diberikan satu daripada empat kerusi dalam Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahmad Zahid berkata, persefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan perbincangan secara harmoni bagi mencapai keputusan yang baik.

"Kita harap di Kota Raja, rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan lihat kebersamaan dan takkan daripada empat, satu pun tidak boleh diberikan kepada kita.

"Mohon satu kerusi 'no' (tiada) hal, kita bincang sesama kawan," katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam ucapannya menyatakan hasrat supaya UMNO diberikan satu daripada empat kerusi dalam bahagian Kota Raja yang kini disandang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Parlimen Kota Raja dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa ditandingi komponen Pakatan Harapan (PH).

Tuesday, July 30, 2024

‘Siapa DAP dalam kerajaan sehingga boleh langgar pekeliling KPM?’

harakahdaily.com
July 30, 2024
KUALA LUMPUR:“Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat lebih lunak kepada DAP berbanding dengan mempertahankan hak dan isu sensitif yang mengguris hati lebih ramai rakyat Malaysia.”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, DAP mahu semua perancangannya mengawal negara ini mengikut ‘tekak’ mereka mesti dituruti walaupun sehingga melanggar undang-undang negara.

“DAP berani mendesak apa-apa yang sudah termaktub diubah mengikut perancangan licik mereka. Pemimpin Melayu kendur bagai lembu dicucuk hidung setiap kali DAP bersuara.

“Bayangkan jika pemimpin Melayu masih tidak bersatu dan sanggup memecahkan sokongan demi membiarkan DAP terus berkuasa dan menjadi majoriti dalam kerajaan.

“Situasi membimbangkan seperti ini tidak mustahil jika DAP berjaya meluaskan pengaruh mereka melalui rancangan persempadanan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan menurut Zurk, impian DAP lebih mudah jika keberaniannya mengawal negara ini tidak dihalang oleh pemimpin dalam kerajaan campuran hari ini.

“DAP mesti terus ditolak! Aktiviti ‘buli’ mereka terhadap pemimpin Melayu Islam semakin membahayakan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bahaya DAP kian terserlah setiap kali berada dalam kerajaan dan segala perkara yang sering dituntut mereka sentiasa mengganggu keluhuran undang-undang di Malaysia.

Tambahnya, terdapat tiga persoalan yang perlu dirisaukan oleh negara mengenai campur tangan DAP yang mula menunjukkan besar kepala mereka.

“Siapa DAP dalam kerajaan hari ini sehingga mereka boleh melanggar (arahan) pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dibuat demi kebaikan pendidikan merentas kaum?

“Apa keistimewaan DAP sehingga Menteri KPM terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertimbangkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah vernakular?

“Kenapa DAP terlalu ditakuti sehingga tiada pemimpin kerajaan menyelar kenyataan DAP yang mempertikai kredibiliti Menteri Kerajaan Campuran,” katanya. 

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-