Wednesday, December 19, 2018

PM: Saya tak suka majoriti dua pertiga, saya mahu pembangkang yang kuat

Zikri Kamarulzaman 
Dikemaskini 19 Dis 2018, 10:13 pagi


WAWANCARA | Berbeza daripada kenyataannya tiga minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gemar mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Secara peribadi, saya tidak suka majoriti dua pertiga. Saya mahu pembangkang yang kuat, " kata Mahathir ketika ditanya sama ada langkah Bersatu mengalu-alukan mereka yang meningglkan Umno adalah satu usaha untuk meningkatkan bilangan MP Pakatan Harapan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kemasukan Ahli Parlimen Umno yang telah ditapis ke dalam Bersatu akan mengukuhkan parti itu dan Pakatan Harapan.

Pada 28 Nov, ketika Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan empat bekas senator Umno menyertai Bersatu, Mahathir berkata mereka diterima kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, dan tidak dapat menunaikan beberapa janjinya.

"Jadi dengan kemasukan mereka, kita mungkin mendapat angka yang kita perlukan," kata Mahathir ketika itu.

Bercakap dalam satu temu bual semalam, PM berkata beliau percaya tentang perlunya pembangkang sejak pertama kali beliau menjadi perdana menteri sebelum ini.

"Ketika saya mengetuai BN, saya pernah mengatakan bahawa kita memerlukan pembangkang.

"Tanpa pembangkang, ia seperti tidak mempunyai cermin untuk melihat diri sendiri. Anda fikir anda cantik tetapi sebenarnya anda sangat hodoh," kata Mahathir.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang telah berkecai, dengan MIC dan MCA "tidak berfungsi", sementara Umno telah berpecah kepada pelbagai puak.

"Jadi tidak ada lawan yang berwibawa pada masa ini," katanya.

Mahathir kemudian berkata bahawa Bersatu tidak mampu untuk mengabaikan semua mereka yang meninggalkan Umno.

Ini kerana pemimpin-pemimpin itu mempunyai sokongan orang Melayu yang besar di kawasan luar bandar, yang mana kerajaan perlukan sokongan mereka.

Mahathir juga berkata bahawa beliau tidak bimbang dengan MP Umno cuba berjumpa dengannya dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata dalam 'Malaysia Baru', semua orang dialu-alukan untuk berjumpa sesiapa sahaja, sama ada dirinya atau anwar.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa beliau telah menemui Anwar untuk memastikan Umno tidak dibatalkan pendaftarannya.

Sebagai pertukaran, Nazri berikrar bahawa semua Ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau akhirnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-