in Edisi
by webadmin
SHAH ALAM – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor menggesa agar Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim menarik semula peraturan larangan pemakaian baju Melayu kecuali pada hari Jumaat.
Pemangku Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, Suee Lim seharusnya memahami latar belakang dan protokol kod pemakaian baju Melayu yang mempunyai status sama seperti ‘lounge suit’.
“Kemuliaan Dewan tidak hanya terletak kepada pakaian baju Melayu atau lounge suit semata-mata, tetapi turut melibatkan cara pemimpin berhujah dengan bahasa yang tertib dan mematuhi peraturan.
“Jadi peraturan itu perlu ditarik balik kerana ia tidak sesuai,”katanya ketika sidang media hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Speaker Dun kena tarik balik larangan pakai baju Melayu]
[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya cuma minta hormati etika pakaian’]
Sebelum ini, Adun Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin menggesa Suee Lim mempertimbangkan untuk menarik balik larangan berkenaan sepanjang Sidang Dun berlangsung.
Namun begitu, Suee Lim menjelaskan bahawa tuduhan dilemparkan terhadapannya itu ternyata tidak berasas dan berunsur fitnah berikutan etika pemakaian ‘lounge suit’ untuk hari biasa dan baju Melayu pula pada hari Jumaat sejajar dengan amalan yang diguna pakai sejak 1959.
Mengulas lanjut, Zainal yang merupakan bekas Speaker Dun Selangor pada tahun 1990 hingga 1994 memaklumkan bahawa Suee Lim tidak memahami sejarah budaya di negara ini malah perkara itu juga tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.
“Sebagai contoh, bekas Speaker Dun Selangor dari DAP, Datuk Teng Chang Kim dan Hannah Yeoh tidak pernah membangkitkan perkara ini sebelum ini.
“Jangan jadikan Dewan yang mulia ini untuk mencari publisiti dan membuat peraturan yang bercanggah dengan budaya dan protokol ditetapkan,”katanya.
Dalam pada itu, Zainal berkata pihaknya turut memberi tempoh sehingga Jumaat ini kepada Suee Lim untuk memberi maklum balas dan menarik balik peraturan itu.
Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Zainal berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk memanjangkan perkara itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas ini.
“Janganlah buat peraturan yang boleh menyinggung mana-mana pihak dan pihak berkenaan perlu tarik balik larangan ini,”katanya.
Source: SH Edisi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.