Thursday, December 6, 2018

Dr M sampai ucaptama Sambutan Hari Hak Asasi Manusia

MyMetro
Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucap utama pada Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu ini.

Timbalan Setiausaha, Dasar dan Perundangan SUHAKAM, Jesrina Grewal berkata, turut hadir pada sambutan itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail.

Katanya, acara sambutan itu yang bertema ‘Memperjuangkan Hak Asasi Manusia’ atau #StandUp4HumanRights akan bermula pada jam 9 pagi dan dijangka berakhir pada jam 3 petang.

“Sambutan ini dirancang seawal Oktober lalu dan tarikh yang Perdana Menteri boleh hadir adalah pada 8 Disember ini seperti dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri.

“Selain Perdana Menteri, sambutan itu dijangka turut dihadiri Jemaah Menteri, pemegang taruh, tokoh dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) mendokong hak asasi manusia,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Jesrina berkata, pelbagai aktiviti disediakan pada hari berkenaan termasuk persembahan kebudayaan, nyanyian, jualan dan 30 geran pameran mengenai hak asasi manusia.

Bagaimanapun, sambutan itu akan berlangsung serentak dengan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara.

Namun, perhimpunan itu pula hanya dibenarkan diadakan di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula 2 hingga 6 petang.

Susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja akan ditutup bermula Jumaat (esok) selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu.

Permohonan mengadakan perhimpunan itu dibuat tiga NGO iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen (Daulat).

Perhimpunan itu akan turut disertai UMNO dan PAS untuk menunjukkan solidariti serta tanda kesyukuran atas usaha kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 5:52 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-