Tindakan mana-mana kumpulan yang mementingkan diri sendiri dan memilih kaedah yang tidak diterima masyarakat boleh menggagalkan reformasi dibawa PH, kata salah seorang pemimpin Bersatu.
Menurut Wan Saiful Wan Jan ketika ini kerajaan membawa gagasan mahu melakukan pembaikan yang lebih besar untuk manfaat rakyat terbanyak selepas berlaku kepincangan sebelum ini.
Namun kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ia akan gagal jika berlaku keadaan seperti mencampur-adukkan agenda LGBT dengan perarakan Hari Wanita Antarabangsa seperti semalam.
"Perjuangan menuntut hak-hak kaum hawa adalah perkara yang dihormati dan mulia yang wajar disokong, tetapi mencampurkan agenda itu dengan agenda LGBT adalah provokasi terhadap kestabilan negara.
"Ini perlu ditolak oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Semalam kira-kira 300 rang berkumpul di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa. .
Acara itu memfokuskan lima tuntutan, iaitu menggesa supaya keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual dihentikan; melarang semua perkahwinan kanak-kanak; menjamin hak-hak wanita terhadap diri dan kehidupan mereka; memastikan gaji minimum RM1,800 dan menghapuskan patriaki (ketuanan lelaki) dalam masyarakat.
Terdapat juga laungan "Jangan kacau LGBT" dan "Hidup LGBT" ketika perhimpunan berlangsung.
Bagaimanapun ucapan-ucapan yang dibuat hanya berkisar kepada lima tuntutan tersebut.
Kata Wan Saiful semua orang mahukan kebebasan namun ia perlu mempunyai konteks tersendiri.
"Semua individu yang boleh berfikir secara rasional akan memahami bahawa dalam konteks Malaysia agenda LGBT tidak dapat diterima," katanya.
Sementara itu Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas penganjur himpunan semalam kerana menimbulkan keresahan dan kemarahan umat Islam di negara ini.
Ketuanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata Awan kesal apabila himpunan memperingati hari wanita itu dicemari dengan insiden berkenaan.
"Kita memang bersetuju dengan hak kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini namun tindakan pihak yang berkenaan semalam melampaui batas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya pendirian kerajaan mengenai isu LGBT sangat jelas, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof berulang kali memberi amaran supaya ruang demokrasi yang ada di negara ini tidak disalah guna untuk mempertahankan perkara yang salah di sisi agama.
"Awan mendokong penuh pendirian perdana menteri yang menegaskan bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.