Monday, May 6, 2019

ADUN Larkin tangguh keluar parti - Mazlan

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my

Peletakan jawatan Mohd Izhar sebagai Ketua Bahagian BERSATU Labis sudah lama dibuat iaitu sebelum krisis Menteri Besar Johor lagi. 
- Arkib NSTP

JOHOR BAHRU: Kemelut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Johor semakin memuncak apabila dikatakan beberapa individu sudah hilang kepercayaan dan keluar dari parti.

Terbaru, viral sejak pagi tadi, paparan di aplikasi WhatsApp menunjukkan perbualan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad, yang mahu menyerahkan surat untuk keluar parti.

Ia disusuli tindakan Mohd Izhar keluar daripada kumpulan WhatsApp berkenaan, yang dipercayai turut menempatkan kepemimpinan utama parti di Johor.

Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata beliau maklum mengenai tindakan Mohd Izhar dan sudah berhubung dengan ADUN Larkin itu.

“Saya sudah berhubung dengannya (Mohd Izhar) dan memberikan nasihat, beliau juga akan menangguhkan dulu benda itu (keluar parti) dan saya akan bincang untuk selesaikan.

“Saya akan pujuk dia, ada beberapa perkara dia rasa kecewa, yang tidak boleh saya jelaskan terlebih dulu pada media.

“Perkara ini akan saya bincangkan juga dengan pihak atasan (pucuk pimpinan) dan sehingga kini, beliau belum tulis surat rasmi keluar daripada parti. Harap dia bersabar dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan sumbangan Duit Raya bersama penghuni Asrama Kebajikan ar-Rayyan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan menegaskan peletakan jawatan Mohd Izhar sebagai Ketua Bahagian BERSATU Labis sudah lama dibuat iaitu sebelum krisis Menteri Besar Johor lagi.

“Dia sudah serah surat peletakan jawatan kepada Pengerusi BERSATU Johor sebelum ini (Datuk Osman Sapian) dan perkara itu dibuat bukan disebabkan kemelut dalam parti, sebaliknya memberi laluan untuk melicinkan pentadbiran parti pada peringkat kawasan.

“Peletakan jawatan Mohd Izhar dibuat bagi memberi laluan kepada ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri, selaku wakil rakyat kawasan itu untuk memegang jawatan berkenaan (Ketua Bahagian Labis),” katanya.

Sementara itu, Mohd Izhar, ketika dihubungi BH, berkata beliau akan memaklumkan dan menjemput media jika membuat sebarang pengumuman mengenai kedudukannya.

“Saya akan jemput awak nanti kalau ada sebarang sidang media (pengumuman) mengenai perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-