Friday, May 24, 2019

TMJ kongsi video dakwa Mukhriz tak salam sultan Johor


Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkongsi video yang memaparkan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir tidak bersalam dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tunku Ismail berkongsi video disiarkan Twitter Friends of Johor yang menghentam Mukhriz, anak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad - yang sebelum ini mempunyai hubungan tegang dengan istana Johor.

“Beza antara dua lelaki, @HRHJohorII (Tunku Ismail) bersalam dengan Tun M tetapi @MukhrizMahathir terlalu angkuh untuk bersalam dengan SOJ (Sultan Johor) di Istana Abu Bakar,” menurut tweet Friends of Johor.
TMJ bagaimanapun tidak mengulas kejadian itu secara langsung tetapi hanya meletakkan lambang isyarat tangan seperti sedang menyembah.

Dalam video 14 saat yang ditonton hampir 50,000 kali itu (setakat laporan ini ditulis), Mukhriz dilihat hanya menyembah sultan Johor tetapi berlalu dan tidak bersalam dengan baginda.
Muhkriz memberikan isyarat sembah ketika berdepan sultan Johor
Ramai pengguna maya meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

“Biadab, Tun M tak ajar you adab ke @MukhrizMahathir,” tulis seorang pengguna Twitter.
Mukhriz bagaimanapun dilihat bersalam dengan pihak lain dalam barisan sultan-sultan dan kerabat selepas itu.

Berdasarkan video pendek itu, pihak-pihak lain dalam acara itu dilihat bersalam dengan barisan sultan dan kerabat yang sedang berbaris.

Beberapa minit sebelum berkongsi video itu, Tunku Ismail terlebih dahulu berkongsi gambar baginda dan ayahandanya yang bersalam dengan Mahathir.

Hubungan Mahathir dan istana Johor sebelum ini tegang, antaranya menjelang pemilihan menteri besar dan isu Statut Rom yang kemudian menyebabkan Malaysia menarik diri.

Sultan, kerabat dan pemimpin-pemimpin negara semalam hadir ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Sultan Abu Bakar.

Malaysiakini telah menghubungi Mukhriz dan sedang menunggu penjelasannya berkaitan perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-