Wednesday, May 1, 2019

Yusuf Taiyoob sedia 5,000 tan kurma

MyMetro
Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my

YUSUF (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan cek RM84,000 kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Zulkifli Long (dua dari kiri), sambil diperhatikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) sempena Majlis Sumbangan Ehya Ramadan di SP Arena, Seberang Jaya, hari ini. 
FOTO Ramdzan Masiam.

SYARIKAT pengedar kurma terkemuka, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menghasilkan 5,000 tan pelbagai jenis kurma sebagai persediaan untuk menyambut kehadiran Ramadan, tidak lama lagi.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Yusuf Taiyoob, berkata daripada jumlah itu 80 peratus daripadanya akan dijual di pasaran tempatan dan selebihnya dieksport ke Singapura, Thailand dan Brunei.

“Alhamdulillah, syukur kerana perniagaan kami semakin baik. Tahun lalu kami hasilkan hampir 5,000 tan juga, tidak banyak beza dengan tahun ini.

“Apa yang penting, harga semua produk kurma kami masih sama dan tiada kenaikan kepada pengguna,” katanya ketika ditemui di Seberang Jaya, hari ini.

Terdahulu, Yusuf mendermakan 250 karton kurma kepada 231 masjid dan surau di Pulau Pinang sempena Majlis Sumbangan Ehya Ramadan di SP Arena, Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, antara produk kurma paling mendapat sambutan ketika Ramadan adalah kurma Safiyya.

Katanya, kurma Safiyya yang dinamakan sempena nama anak keduanya itu adalah kurma bermutu tinggi yang diimport khas dari Tunisia.

“Kurma Safiyya sering mendapat permintaan tinggi dan tahun ini, kami sediakan 500 hingga 600 tan sepanjang Ramadan khas untuk kurma Safiyya sahaja.

“Ramai yang menggemari kurma Safiyya kerana ia jenis bertangkai, selain dikatakan lebih segar dan sedap berbanding kurma lain,” katanya.

Sementara itu, Yusuf memberi jaminan semua produknya yang dipasarkan di negara ini selamat dan suci.

Ini kerana, katanya, syarikat berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu buah kurma menjalani proses pembungkusan, penggredan dan kualiti makanan ketat.

“Kami tidak buat kerja kotor. Semuanya mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:58 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-