Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, June 17, 2019

Dulu ada menteri kata maksiat ruang peribadi tiada tindakan…

Oleh Athirah Huda Zalhe
RZ 17/06/2019

Bagaimana dengan dakwaan seks sejenis dikaitkan dengan Azmin Ali?

BANGI, 13 Syawal 1440H, Isnin – Dulu menteri ada kata kalau maksiat dalam ruang peribadi, tiada tindakan boleh diambil, demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Membangkitkan semula isu serbuan khalwat yang pernah menjadi kontroversi pada Oktober tahun lalu, beliau berkata, menteri mungkin perlu memberikan definisi ‘ruang peribadi’ itu.

“Mengenai ‘video’ yang tersebar luas baru-baru ini, kita difahamkan bahawa satu laporan qazaf telah dibuat.

“Menteri agama mengatakan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) akan meneliti aduan itu dan siasatan awal akan dibuat mengikut undang-undang serta seksyen kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan qazaf yang dibuat Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khamis lalu berkaitan penyebaran video lucah mengaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan seorang lelaki.

Hilman Idham dilaporkan berkata, laporan qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan Jawi.

Ia susulan video aksi seks sejenis yang didakwa Mohamed Azmin mula disebarkan secara terancang pada minggu lalu dan sebaik Timbalan Presiden PKR itu menafikan pembabitannya, video siri kedua yang lebih jelas pula disebarkan.

Mohamed Azmin yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan beliau dan memusnahkan karier politiknya.

Mengulas lanjut, Aminuddin bagaimanapun mempersoalkan adakah perbuatan maksiat yang dilakukan di dalam bilik hotel boleh dikategorikan sebagai ‘ruangan peribadi’ dan bukan menjadi urusan kerajaan untuk masuk campur.

Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mencetuskan kontroversi apabila berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

“Penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksploitasi dalam beberapa kes. Mereka (pegawai) tidak sepatutnya mengganggu ruang lingkup peribadi seseorang individu,” kata Mujahid.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-