Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Sunday, February 23, 2025

Nazri: Siapa lagi PM kesebelas jika bukan Anwar?

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Feb 23, 2025 8:30 AM
WAWANCARA | Setelah menamatkan tempoh dua tahun sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz kini kembali ke Kuala Lumpur dan memberi tumpuan kepada perkembangan politik tempatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas ahli parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu berkata fokusnya kini termasuklah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan memastikan presiden PKR itu kekal memimpin Putrajaya selepas PRU16.

Pada temu bual bersama Malaysiakini, Nazri berkata sokongan terhadap Anwar antaranya berpunca daripada kebimbangan kerana tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri, termasuk dalam partinya sendiri, Umno.

"Saya sangat bimbang untuk negara ini kerana tanpa PMX, siapa yang akan menjadi perdana menteri?
"Menyedihkan untuk dikatakan, sistem kita tidak membenarkan pembentukan pemimpin intelektual yang tidak memainkan sentimen perkauman dan agama.

"Cuba beritahu saya siapa? Ia akan menjadi bencana bagi kita jika Anwar tidak menjadi perdana menteri untuk lima tahun lagi selepas 2026," kata bekas menteri undang-Undang itu.

Nazri, yang mengesahkan dia tidak berhasrat kembali ke parlimen pada PRU16, selepas tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2022, turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakpastian politik mengenai calon perdana menteri seterusnya.

"Saya hidup dalam kebimbangan kerana saya tidak tahu siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya," katanya sambil ketawa, tetapi menegaskan komitmennya untuk membantu Anwar.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantunya (Anwar) dalam pilihan raya umum akan datang, termasuk turun padang berkempen dan memainkan peranan bagi memastikan beliau menang.

"Kerana saya risau. Tiada seorang pun yang saya yakin boleh mengambil alih sekiranya Anwar tiada," kata veteran Umno yang masih mengetuai bahagian Padang Rengas itu.

Umno tiada calon PM?

Selepas PRU15, Anwar membentuk kerajaan perpaduan dengan pelbagai gabungan dan melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Pengerusi Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof sebagai dua timbalan perdana menteri.
Umno kini hanya memiliki 26 kerusi di Dewan Rakyat, satu kedudukan yang menurut Nazri, tidak memberikan parti itu peluang untuk menamakan calon perdana menteri.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri secara sinis merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Saleh.

"Boleh kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa?" katanya.

"Saya mungkin boleh menyokong kamu. Tetapi berikan saya satu nama. Bahkan kamu sendiri pun tidak boleh memberikan satu nama," katanya.
Secara tradisi, presiden Umno calon perdana menteri Barisan Nasional (BN), kecuali Ismail Sabri Yaakob, yang menjadi perdana menteri ke-9 selama 15 bulan (2021-2022) walaupun hanya memegang jawatan naib presiden Umno pada ketika itu.

Menyentuh peranan Ketua Pemuda Umno, Nazri menegaskan pandangan Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama Umno.

"Dalam Umno, kita ada Pemuda, Wanita, Puteri dan Umno induk.

"Umno dalam parlimen hanya ada 26 kerusi, dan Akmal hanya mewakili satu perempat daripada Umno.

"Perlukah kita bimbang bahawa semua ahli Umno berfikir seperti dia?

“Atau adakah semua orang Melayu berfikir seperti dia," soal Nazri.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapannya terhadap Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Zahid dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam kerajaan, terutamanya DAP.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, meminta Akmal menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung garis panduan acara bukan Islam yang dihadiri oleh orang Islam.

‘Majoriti senyap’ tapi tak setuju

Akmal sebelum ini menolak pendirian perdana menteri bahawa garis panduan itu tidak diperlukan, dengan alasan tidak semua orang Islam memahami batasan ketika mengunjungi tempat ibadat bukan Islam.

"Ada yang tidak bersetuju dengannya (Akmal), tetapi mereka tidak akan menyatakannya secara terbuka.

"Mereka ini majoriti senyap [...] Tetapi bagi saya, Pemuda Umno sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu. Jadi, abaikan sahaja mereka," kata Nazri.

Ketika ditanya jika Umno patut kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16, Nazri berkata dia tidak berada dalam badan pembuat keputusan parti dan hanya akan menumpukan kepada menyokong Anwar serta kerajaan sedia ada.

[Baca berita asal]

Tuesday, February 18, 2025

Fesyen AJL39: Exco Selangor ingatkan TV3 tidak normalisasikan LGBT

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 18, 2025 8:30 AM

Exco Selangor, Najwan Halimi, mengingatkan TV3 agar tidak menormalisasikan budaya LGBT susulan penampilan fesyen kontroversi dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 yang melabuhkan tirai kelmarin.

Najwan, yang juga pemimpin PKR, menyelar tindakan stesen swasta itu yang membenarkan penampilan lelaki berpakaian feminin pada acara tersebut.

"Biadab dan memualkan! Saya nasihatkan @tv3malaysia jangan jadi enabler golongan mutasyabbih ini. Apakah TV3 menerusi #AJL39 cuba untuk menormalisasikan budaya LGBT di kalangan masyarakat?

"Tak sewajarnya insiden sebegini berlaku dalam majlis anugerah seni yang secara tradisi sejak 40 tahun lalu dianjurkan untuk meraikan karya terbaik di kalangan komposer dan penulis lirik tanah air," kata Najwan dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim, turut menyuarakan kebimbangan terhadap gaya pemakaian ala busana wanita yang dikenakan segelintir penonton lelaki pada acara itu.

"Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat, di mana pemakaian lelaki dan wanita mempunyai perbezaan yang jelas.

“Fesyen yang menampilkan lelaki berpakaian seperti wanita dilihat bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk prinsip dalam Islam dan budaya Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia menyifatkan mereka yang memilih berpakaian sedemikian bukan kerana gaya atau ekspresi seni, tetapi untuk mencipta kontroversi dan menarik perhatian media serta netizen.

Menurutnya, ini menjadikan AJL lebih kepada pentas "mencari publisiti" daripada acara penghargaan muzik yang sebenar.

“AJL seharusnya menjadi medan untuk meraikan muzik dan bakat artis, tetapi malangnya perhatian kini lebih tertumpu kepada pakaian aneh dan ‘songsang’ yang digayakan.

“Pemakaian seperti ini bukan sahaja menenggelamkan pencapaian artis dan lagu yang bertanding, malah menjadikan AJL sebagai acara fesyen yang penuh kontroversi,” ujarnya.

Justeru dia memberi amaran jika trend ini dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai yang tidak sejajar dengan budaya Malaysia.

“Saya dengan ini mendesak agar AJL menetapkan kod pakaian yang lebih jelas pada masa akan datang agar tidak mencetuskan kontroversi yang boleh mencemarkan imej acara berprestij tersebut.

"Penganjur hendaklah memastikan bahawa pakaian yang dipakai oleh selebriti mahupun peminat atau penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan,” katanya.

Selain itu dia turut mencadangkan agar Majlis Agama Islam memainkan peranan dalam menangani isu ini melalui peruntukan enakmen atau akta syariah serta mekanisme fatwa sedia ada.

Sunday, February 16, 2025

Presiden PAS perlu ditukar? Pandangan tidak masuk akal

harakahdaily.net
February 16, 2025
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan PAS akhir tahun ini, muncul beberapa penganalisis politik yang mencadangkan supaya jawatan Presiden PAS ditukar dengan individu lain, meskipun parti itu kini berada pada prestasi terbaik.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyifatkan pandangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan PAS kini berada di kedudukan paling kukuh dalam sejarah politiknya.

Beliau merujuk kepada kejayaan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan memperoleh jumlah kerusi paling banyak di Dewan Rakyat, menguasai empat negeri, serta memiliki wakil di hampir semua Dewan Undangan Negeri.

“Agak melucukan apabila PAS berada di tahap terbaik, tiba-tiba ada yang mencadangkan supaya Presidennya digantikan. Ini sama seperti seorang pelajar yang mendapat markah cemerlang tetapi disuruh untuk meninggalkan sekolahnya. Logiknya di mana?” katanya dalam kenyataannya di media sosialnya, hari ini.

Beliau yang juga Ajli Parlimen Alor Setar menegaskan bahawa penganalisis politik seharusnya lebih menumpukan perhatian kepada parti lain yang mengalami kemerosotan sokongan, seperti Umno dan PKR, berbanding mengkritik PAS.

“Lebih mengejutkan, UMNO dan PKR yang mendapat prestasi rendah dalam pilihan raya pula mengambil langkah menghalang pertandingan bagi jawatan tertinggi mereka.

“Umno telah meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, sementara PKR sedang mempertimbangkan langkah serupa. Ini yang sepatutnya dikritik oleh penganalisis politik,” katanya.

Menurut Afnan, PAS berbeza dengan kedua-dua parti tersebut kerana terus mengamalkan dasar keterbukaan dalam pemilihan parti, termasuk membenarkan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tanpa sebarang sekatan.

“Walaupun PAS mencapai keputusan terbaik dalam pilihan raya, tiada sebarang usul untuk menghalang pertandingan jawatan utama. Ini menunjukkan keterbukaan dan kepercayaan kepada proses demokrasi dalam parti kami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penganalisis politik supaya lebih berpegang kepada nilai akademik dan objektiviti dalam membuat analisis agar tidak dilihat sebagai berpihak atau sekadar mengikut kehendak tertentu.

“Masyarakat lebih menghormati penganalisis yang bersikap adil dan objektif berbanding mereka yang menganalisis mengikut kehendak pihak yang memberi ganjaran kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Afnan enggan mengulas mengenai Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyatakan bahawa sayap pemuda parti tersebut lebih selesa berdialog dengan pasu bunga.

“Itu hak mereka. Jika mereka rasa lebih layak berdialog dengan pasu bunga, silakan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha DPPM, Muhd Khidhir Izaidin, berkata Pemuda Amanah kelihatan terlalu terdesak untuk mendapatkan perhatian sehingga sanggup mengugut mahu meletakkan pasu bunga jika wakil DPPM tidak hadir ke debat yang mereka cadangkan.

:Jika Pemuda Amanah benar-benar mahu berdebat demi kepentingan umat, lebih baik mereka cari lawan yang lebih relevan—seperti DAP, parti yang secara terang-terangan tidak menghormati Islam dan sering mencabar batasan umat Islam di negara ini. Atau mungkin Pemuda Amanah sendiri tidak berani menegur ‘abang besar’ mereka?” katanya.

Beliiu mencadangkan Pemuda Amanah teruskan sahaja berdebat dengan pasu bunga kerana mungkin itu lebih sesuai dengan tahap dan kelayakan mereka serta boleh dimasukkan dalam buku laporan mesyuarat agung. 

HARAKAHDAILY 16/2/2025

Monday, February 10, 2025

Sila tanding semua kerusi, pemimpin Umno Johor cabar PH

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
0 Feb 2025, 06:08 PM

Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata kenyataan PKR dan Amanah sering bangkit isu agihan kerusi untuk PRN16 mencerminkan sikap gelojoh serta pentingkan diri.
Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata Umno negeri belum pernah membincangkan pembahagian kerusi untuk PRN16. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Umno Johor mencabar parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang, selepas Pemuda PKR negeri meminta Umno tidak mendominasi kerusi berpotensi dimenangi mereka.

Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata kenyataan pemimpin PKR itu dan Amanah sering membangkitkan isu pembahagian kerusi menjelang PRN Johor ke-16 mencerminkan sikap gelojoh dan pentingkan diri gabungan itu.

“Lebih baik AMK (Pemuda PKR) dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan Umno tandingi pada PRN16 nanti.

“Tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan Umno bukan parti komponen PH.

“Umno boleh bertanding semua (DUN) dan Umno juga boleh memilih kerusi mana yang dirasakan sesuai untuk ditandingi.”

Tegasnya, Umno Johor belum pernah membincangkan pembahagian kerusi untuk PRN16.

“Gambaran yang diberikan pula seolah-olah Umno tamak dan PRN akan berlangsung esok.”

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PKR Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, berkata rundingan pembahagian kerusi pada PRN akan datang perlu mempraktikkan prinsip menang-menang melibatkan PH dan BN.

Katanya, kerajaan negeri diketuai Onn Hafiz Ghazi perlu membuktikan keikhlasan bekerjasama dengan menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran negeri di pelbagai peringkat, termasuk jawatan ketua kampung.

Disember lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Muda pada pilihan raya lalu perlu diserahkan kepada PH memandangkan dua kerusi itu diberikan kepada Muda yang menjadi rakan sekutu politik PH ketika itu.

Monday, February 3, 2025

Pemuda PAS jangan samakan jenaka Harith dengan ugut bunuh - PKR

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 9:00 PM
Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung menegur Pemuda PAS agar berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai pelawak Harith Iskander.

"Saya rasa para pemimpin Pemuda PAS seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis.

"Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya itu pada satu kenyataan.

Lee menasihatkan Pemuda PAS supaya memahami keutamaan dan tidak mengaitkan undang-undang negara dengan kepentingan politik peribadi.

"Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri (gambar atas) mendakwa pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang tidak seimbang terhadap Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap.

Hafez berkata pihak berkuasa bertindak dengan pantas terhadap individu yang mengugut Harith dan keluarganya namun tindakan terhadap Harith dan Yap masih belum diambil secara sewajarnya.

Dia mendakwa perkara ini membuktikan terdapat ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini.

Bagaimanapun, Lee membidas Hafez kerana menyamakan jenaka dengan ugutan terhadap keluarga seseorang, sambil turut menyalahkan polis kerana mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan ugutan.
"Harith Iskander adalah seorang pelawak yang bergantung pada jenaka dan gurauan untuk kerjayanya.

"Jika gurauan dan sindiran kini boleh dijadikan alasan untuk mengugut seseorang, maka di manakah kebebasan bersuara di negara kita," soalnya.

Pada 31 Jan lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun kerana melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isteri Harith.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menghantar mesej WhatsApp yang mengandungi gambar serta kata-kata ugutan, dengan niat merogol dan membunuh anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun.

Keluarga Harith menerima ugutan selepas pihak polis menyiasat pelawak itu berhubung hantaran sindiran mengenai penggunaan perkataan "ham", susulan kontroversi status halal sandwic yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Cecelia Yap, yang turut disiasat kerana mengulas mengenai hantaran Facebook Harith, telah tampil memohon maaf.

Laporan polis telah dibuat terhadap Harith dan Yap, yang dituduh menghina Islam dan Nabi Muhammad menerusi kenyataan mereka di media sosial.

Sunday, February 2, 2025

Hassan Karim persoal dua jawatan tertinggi PKR tak dicabar

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
Februari 2, 2025 @ 11:34am
Dari kiri, Rafizi Ramli, Hassan Abdul Karim dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.

Hassan yang juga pemimpin PKR Johor berkata PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.

Lebih menimbulkan persoalan kepada beliau apabila jawatan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.

Tegasnya, beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.

"Pucuk pimpinan PKR perlu yakin atas kebijaksanaan ahli parti. Jika mereka menilai jawatan presiden sekarang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak dicabar, jadi kita terimalah itu hakikat politik sebenar mengenai kekuatan dan pengaruh Anwar sebagai presiden parti.

"Bagaimanapun, mengapa jawatan nombor dua juga tidak wajar dicabar? Ramai pemimpin kanan layak mencabar Rafizi.

"Mengapa perlu dihalang? Biarkan seribu kuntum bunga berkembang di halaman PKR.

"Jangan disekat pertandingan jawatan nombor dua. Kalau nak lawan presiden pun OK, silakan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, berkata cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

Dalam pemilihan PKR pada 2022, Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Rafizi menang jawatan timbalan presiden selepas menewaskan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hassan juga menggesa supaya tidak ada seruan, arahan atau usul secara langsung atau tidak langsung, yang tersirat atau tersurat, bertujuan supaya dua jawatan tertinggi itu tidak ditandingi atau dicabar.

"Tidak perlu Setiausaha Politik Perdana Menteri menzahirkan penyataan bahawa dua jawatan itu tidak dicabar," katanya.

Saturday, February 1, 2025

Demo antirasuah: AMK bantah polis panggil 13 mahasiswa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 1, 2025 2:05 PM
Pemuda PKR menyatakan bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa memanggil 13 orang individu dalam kalangan mahasiswa yang menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Haziq Azfar berkata tindakan itu adalah tidak wajar memandangkan kerajaan tidak menghalang perhimpunan berkenaan.

“Ini kerana perdana menteri telah pun memberi jaminan kepada orang ramai sebelum perhimpunan itu bahawa kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan berkenaan.

“Walaupun pihak berkuasa bertindak berdasarkan prosedur, keputusan memanggil peserta perhimpunan aman bagi memberi keterangan wajar dinilai semula dan ditarik balik kerana tidak sejajar dengan dasar dan pendekatan kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu pihak polis memanggil 13 pelajar universiti yang terlibat dalam perhimpunan antirasuah pada 25 Januari lalu untuk memberikan keterangan.

Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan itu, Tobey Qi-Sean ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan dia menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan perkara itu.

“Saya menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada polis hari ini sekitar jam 12.30 tengah hari (semalam).

“Senarai 13 nama pelajar telah diberikan dan kami dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini pada pukul 1 tengah hari,” katanya.

Himpunan yang diadakan Sabtu lalu mengumpulkan kira-kira 200 peserta yang berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka di ibu negara.

Perhimpunan itu mendapat perhatian berikutan kebimbangan dibangkitkan penganjur mengenai syarat yang dikenakan oleh pihak polis.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehari sebelum perhimpunan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk perhimpunan itu diteruskan.

Tuesday, January 28, 2025

‘Sempena Tahun Baharu Lunar, maafkanlah Razman’, pemimpin PKR beritahu Hannah

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-28 Jan 2025, 01:21 PM

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung berkata polemik dicetuskan pemimpin PAS itu jika tidak ditangani dengan konstruktif akan menjarakkan lagi sesama rakyat.
Razman Zakaria sebelum ini menuduh Hannah Yeoh ‘anak orang kaya’ dan ‘anak perempuan YTL’.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR berpendapat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tidak perlu meneruskan tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria kerana beliau sudah meminta maaf secara terbuka.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata Razman mengakui cubaannya mengaitkan Ahli Parlimen Segambut daripada DAP itu dengan keluarga Yeoh, konglomerat YTL Corporation Berhad berlaku tanpa sengaja.

“Kita harus sedar bahawa polemik yang cuba dicetuskan oleh Razman, jika tidak didepani dengan tepat dan konstruktif, bakal menjarakkan dan bukan mendekati sesama rakyat Malaysia.

“Kepada Hannah, sekarang merupakan masa terbaik untuk membalas sangkaan jahat dengan hati budi yang menonjolkan nilai saling memaafkan dan kemuliaan yang sebenar, khususnya sempena Tahun Baharu Lunar ini,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi video tular di media sosial, Razman yang juga Adun Gunong Semanggol mendakwa Yeoh ‘anak orang kaya’ dan ‘anak perempuan YTL’.

Yeoh kemudian membidas tuduhan itu dan memaklumkan akan menyerahkan notis tuntutan saman kepada Razman, walaupun beliau sudah memohon maaf secara terbuka.

Razman mendakwa laporan media berkait isu terbabit hanya mengambil kira 10 saat daripada 30 minit daripada ceramahnya.

Ucapan itu dibuat dalam program Gerak Muafakat Perak diadakan selama tiga hari membabitkan tiga dewan utama PAS.

Dalam pada itu, Lee turut menegur Razman supaya menyemak fakta dan mengenali budaya kaum lain sebelum membuat kenyataan terbuka memandangkan tuduhan fitnah bukan kali pertama dilakukan pimpinan PAS.

“Secara strukturnya, ianya berakar daripada alam kehidupan sesetengah rakyat yang jarang bergaul dan melibatkan diri dalam kegiatan silang budaya.

“Nasihat saya kepada Razman sebagai pemimpin politik adalah – semak fakta dan kenali budaya lain sebelum membuat kenyataan terbuka,” katanya.

Friday, January 24, 2025

PAS desak AGC rayu hukuman pada Iswardy demi wibawa Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 10:15 AM
Membandingkan beberapa kes lain melibatkan Yang di-Pertuan Agong, PAS hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan berhubung hukuman ke atas seorang pemimpin PKR Sarawak semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata rayuan berkenaan penting "demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat".

Katanya berbanding apa yang dikenakan ke atas Iswardy Morni, hukuman ke atas buruh dan suri rumah sebelum ini adalah lebih berat.

Jika tiada rayuan dikemukakan, katanya, kerajaan akan dilihat memperlekehkan institusi diraja.

"Bandingkan kes ini dengan kes buruh dan suri rumah yang masing-masing dihukum penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan serupa.

"Perbezaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang.

"Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Iswardy yang juga Pengarah Strategi Jabatan Pilihan Raya PKR Sarawak didenda RM5,000 kerana disabitkan bersalah menghina Agong kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, M Edwin Paramjothy, berkata Iswardy memang membuat hantaran di Facebook dengan menujukannya kepada Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dia juga menyatakan untuk pesalah kali pertama seperti Iswardy pada umumnya mendapat beberapa tahap mitigasi, kecuali untuk kes melibatkan kesalahan sangat teruk.

Hakim juga antara lain menegaskan tiada bukti menunjukkan bahawa tertuduh melakukan salah laku yang lazim atau berulang.

Iswardy, 48, diarah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal melangsaikan denda tersebut.

Menurut Ahmad Fadhli, jika AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman ke atas Iswardy, persepsi orang ramai bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara akan bertambah tebal.

"Justeru, demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira status, kerajaan mesti memastikan rayuan terhadap hukuman ini difailkan.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi raja tetapi juga mengundang ketidakpercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Wednesday, January 22, 2025

PKR datang dari jalanan, jangan halang rakyat berhimpun – Hassan Karim

ByJanatul Firdaus Yaacob
22/01/2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

Justeru PH khususnya PKR diingatkan supaya tidak sesekali lupa diri,” demikian peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

“Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

“Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.

“Jangan lupa diri,” tegas beliau.


Kenyataan wakil rakyat PKR ini menyusul selepas polis menolak permohonan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan dianjurkan dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.

“Tidak elok Kerajaan Madani susah-susahkan rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Lebih-lebih lagi tujuan mereka berhimpun untuk menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah. Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

“Tidakkah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu.

“Akta perhimpunan aman 2012 pada masa kerajaan BN memerintah digubal dengan tujuan untuk memudahkan rakyat berhimpun secara aman kerana kerajaan menghormati hak rakyat di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berhimpun.

“Di bawah Perkara 10 yang sama dinyatakan hak rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan fikiran.Apa yang Kerajaan Madani sekarang takutkan? soal Hassan lagi.

Bukan cuma itu, beliau juga memaklumkan, Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2019 telah meminda akta perhimpunan itu untuk memudahkan lagi rakyat berhimpun.

Malah katanya Kerajaan PH 1.0 telah menyediakan Padang Merbok tak jauh dari Bangunan Parlimen sebagai tempat untuk berhimpun.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu membantu para aktivis, NGO dan anggota masyarakat untuk berhimpun secara aman.Itu hak rakyat.

“Tujuan mereka hendak lawan rasuah.Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Dalam Negeri perlu bimbing pihak polis supaya menyedari zaman dulu-dulu sebelum 2012 memang kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengeluarkan permit polis boleh atau tak boleh rakyat berhimpun.

“Sekarang kuasa Polis di bawah Akta Polis telah dibatalkan dan diganti dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak Polis supaya menjadi fasalitator atau pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman.
Lihat perhimpunan aman pada 6 Januari lalu di Istana Kehakiman di Putrajaya berjalan dengan aman.Ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman bukannya perusuh.Polis harus hadir dalam perhimpunan aman benci rasuah ini sebagai pasukan pengaman yang bertujuan untuk mempermudahkan rakyat berhimpun,” jelas beliau.

Kata Hassan, di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 itu terdapat tempat-tempat atau lokasi yang perhimpunan aman tidak boleh diadakan seperti di kawasan stesen minyak misalnya.

“Jadi pihak polis boleh nasihatkan pihak penganjur supaya memilih tempat lain yang tidak dilarang oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut.

“Nama baik Kerajaan Madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun,” tegas Hassan.

Tuesday, January 21, 2025

Kawalan arak MBI: PAS Perak gesa MCA usah jadikan alat politik

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Jan 21, 2025 8:11 PM
PAS Perak hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap langkah kawalan penjualan arak di premis seperti kedai runcit dan serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di negeri itu.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, menegaskan sewajarnya perkara itu tidak menjadi polemik terutama dalam kalangan parti politik bukan Islam.

“PAS Perak menasihatkan parti politik bukan Islam tidak menjadikan isu ini sebagai alat politik yang boleh mencetus kehangatan antara umat Islam dan bukan Islam di negeri ini.

“PAS Perak yakin kebanyakan orang bukan Islam menyedari bahaya arak dan mereka juga menghormati hak umat Islam khasnya di kawasan majoriti Muslim," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak menambah, isu larangan penjualan arak di kawasan petempatan majoriti Muslim tidak sewajarnya ditimbulkan.

Katanya ia boleh dicapai jika semua parti politik di negara ini memahami peraturan dan mematuhinya.

"Toleransi ini mestilah dikekalkan bagi menjamin kestabilan dan keamanan di Perak,” katanya.
Razman berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang ditimbulkan MCA Perak ekoran peluasan sekatan penjualan arak di kawasan tertentu di Ipoh.

Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung, kemudian mengecam pemimpin kerajaan Perak khususnya DAP kerana tidak bersuara dalam keputusan diambil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tersebut.

Larangan tersebut disahkan Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin.

“Berapa lama lagi DAP dan PKR akan terus menipu rakyat?

“Adakah ini kejahilan atau cubaan menyembunyikan isu yang disengajakan untuk memperbodohkan orang ramai?" kata Chung.

Memang ada peraturan

Beberapa hari lalu, Rumaizi berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran penduduk setempat.

Pagi tadi, Pemuda Umno Malaysia turut mengingatkan MCA agar "jangan jadi bodoh" dalam isu berkenaan.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata mengikut Seksyen 59 Enekmen Jenayah Syariah 1992 Perak, memang menjadi kesalahan jenayah bagi seseorang Islam mengambil minuman memabukkan.

“PAS Perak menyokong penuh hasrat MBI dan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negeri ini yang berhasrat melarang premis awam menjual arak di kawasan majoriti beragama Islam.

“PAS Perak mengakui arak tidak diharamkan kepada bukan Islam dan hak mereka dijamin oleh perlembagaan dan agama Islam.

"Isu timbul berikutan bantahan dari kawasan majoriti Islam dalam negeri Perak khususnya di kawasan bandar raya Ipoh.

“Hak umat Islam sewajarnya dihormati oleh bukan Islam di negeri ini.

"Mereka hanya menuntut larangan di kawasan majoriti umat Islam tanpa menyentuh kawasan bukan majoriti Islam.

“Telah menjadi peraturan bahawa penjualan arak termasuk barangan yang dikawal dan tidak boleh dijual secara bebas,” katanya.

Tambah Razman lagi, mengikuti peraturan mana-mana premis yang ingin menjual minuman memabukkan seperti arak mestilah mengiklankan di beberapa akhbar tempatan pelbagai bahasa selama beberapa hari dan beberapa syarat lain bagi mendapatkan maklum balas penduduk.

Saturday, October 19, 2024

‘Kenapa isu tahanan di rumah ada dalam ucapan belanjawan?’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 19, 2024
Ahli Parlimen PKR Hassan Karim menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menyentuh soal tahanan di rumah.

Ahli Parlimen PKR itu bertanya jika ia adalah “persiapan awal” untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang-undang “untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu”.

“Hanya satu perenggan sahaja.Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan?

“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.

“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mempersoalkan apakah jenis kesalahan jenayah yang akan dikenakan hukuman itu, Hassan bertanya adakah ia turut meliputi mereka yang disabit bersalah atas dakwaan rasuah dan pecah amanah jenayah.

Dia berkata walaupun Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 - yang melibatkan perubahan signifikan dalam undang-undang kewarganegaraan - diluluskan dengan majoriti dua pertiga, keadaan pastinya tidak sama untuk sebarang usaha menggubal akta berkaitan tahanan di rumah.

Katanya, ia pasti akan ditentang oleh rakyat dan ahli Parlimen jika dilihat dari awal ia untuk memberi keistimewaan tertentu kepada golongan elit.

“Saya harap perdana menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,” katanya lagi.

Hukuman alternatif

Semalam, ucapan Anwar turut mengandungi bahagian berkenaan “peluang kedua” dan membayangkan rancangan untuk merangka undang-undang baru bagi membolehkan tahanan di rumah sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.

"Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara," menurut teks ucapan.

Anwar bagaimanapun tidak membacakan bahagian itu ketika berucap semalam.

Menurut peguam, banduan di Malaysia tidak boleh memohon untuk tahanan di rumah memandangkan tiada peruntukan berkenaannya dalam sistem perundangan negara.

Isu tersebut hangat diperkatakan pada awal tahun lalu apabila bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa pengampunan diraja terhadapnya membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabit bersalah dalam kes SRC International dan masih lagi dibicarakan untuk kes-kes berkaitan skandal 1MDB.

Friday, October 4, 2024

'Kenyataan Nur Jazlan dangkal, lemah, bodoh'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 4, 2024 11:43 AM
Bekas naib ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman membidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed yang menggunakan perumpaan bermain poker untuk menunjukkan pentingnya PH menerima kritikan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kenyataan Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan PKR dan Amanah tidak layak berada di meja "poker" adalah kenyataan dangkal, lemah dan bodoh.

"Tidak seharusnya seorang pemimpin bertaraf kepimpinan tertinggi komponen kerajaan mengeluarkan kenyataan tempang yang berbaur perpecahan.

"Tindakan beliau ini diibaratkan seperti parasit yang berusaha ke arah meruntuhkan kerjasama Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan.

Menurut aktivis PKR itu, dia terkejut apabila seorang yang bertaraf Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara seperti Nur Jazlan boleh mengeluarkan kenyataan demikian seolah-olah mencerminkan sikap sebenarnya yang gemar berjudi.

"Adakah hari ini kita memiliki Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara yang bertaraf tahi judi?

“Adakah ini tahap profesionalme yang ditunjukkan oleh Nur Jazlan?" katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Nur Jazlan pada hantaran di media sosial menggunakan perumpamaan permainan daun terup "poker" dan beberapa sindiran lain untuk menekankan kepentingan PH menerima cadangan dan teguran agar perbezaan dalam kerajaan perpaduan dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Dalam konteks permainan poker politik ni, hanya mereka yang benar-benar ada skill, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama.

"Bagi saya hanya Umno, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise" dan bila nak ambil risiko.

"Parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu," kata Jazlan.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, Jazlan sepatutnya mengeluarkan pandangan yang positif ke arah pengukuhan kerajaan perpaduan dan bukan sebaliknya.

"Seharusnya beliau mengeluarkan kenyataan yang lebih positif menyeru ke arah pengukuhan kerajaan perpaduan kerana hubungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno berada di tahap terbaik.

"Justeru itu, saya menyeru kepimpinan Umno untuk mengambil tindakan tegas terhadap Nur Jazlan.

“Tidak seharusnya pemimpin bersikap parasit seperti ini dibiarkan untuk merencatkan agenda pengukuhan kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Saturday, September 21, 2024

PAS balas cabaran Anwar dengan cabaran baru

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 21, 2024 
Baru beberapa jam dicabar oleh Anwar Ibrahim, PAS hari ini bingkas menjawab berhubung usul undi tidak percaya yang dilontarkan perdana menteri malam tadi.

Menurut PAS berdepan dengan usul undi tidak percaya dalam keadaan sekarang tidak menjadikan Anwar seorang anak jantan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua ahli parlimen kerajaan diikat dengan perjanjian terlebih dulu semasa usul undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat pada Dis 2022.

Dia merujuk kepada usul yang dibentangkan Fadillah Yusof dan Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Dis tahun berkenaan. Ia berlangsung kira-kira tiga minggu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Usul berkenaan diluluskan secara undian suara majoriti.

Menurut Ahmad Fadhli jika Anwar benar-benar berani dan anak jantan, ahli parlimen Tambun itu disarankan untuk membebaskan semua ahli parlimen kerajaan daripada ikatan perjanjian.

"Beri mereka kebebasan mengundi mengikut pilihan sendiri. Nah, kita tengok adakah Datuk Seri masih kekal ataupun tersungkur!" katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi Anwar mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Persoal layanan speaker

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, kata-kata Anwar itu dipercayai merujuk kepada usul Pemuda PAS dalam muktamar parti itu pada minggu lalu supaya dia meletakkan jawatan.

Presiden PKR itu turut menempelak gesaan tersebut sebagai tidak tahu hukum dan peraturan.

“Mahu main-main dengan kita, ada 30 orang (suruh) Anwar turun, negara apa? Sistem apa? Datang ke sini bagitahu suruh Anwar turun.

“Ingat negara dia? Tak ada ikut peraturan tak ada ikut hukum. Nak turunkan sila, saya bagi jaminan. Ada sidang parlimen pertengahan Oktober, bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan.

“Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai perdana menteri, tak payah jerit.

“Kamu itu turun dulu, banjir pun tak terurus, muka ini juga nak pergi tolong,” katanya ketika berucap di Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor.

Ahmad Fadhli turut menzahirkan kecurigaannya jika usul tersebut dibawa.

"Boleh sahaja usul tidak percaya dibawa ke parlimen, tetapi dengan speaker yang ada, adakah ia akan dilayan dengan adil?" katanya.

Anwar cabar pembangkang bawa usul undi tak percaya

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 21, 2024 

Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Perkara itu dipercayai diungkapnya sebagai respons selepas Pemuda PAS membuat usul dalam muktamar parti pada minggu lalu supaya Anwar meletakkan jawatan.

Presiden PKR itu turut menempelak gesaan itu sebagai tidak tahu hukum dan peraturan.

“Mahu main-main dengan kita, ada 30 orang (suruh) Anwar turun, negara apa? Sistem apa? Datang ke sini bagitahu suruh Anwar turun.

“Ingat negara dia? Tak ada ikut peraturan tak ada ikut hukum. Nak turunkan sila, saya bagi jaminan. Ada sidang parlimen pertengahan Oktober, bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan.

“Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai perdana menteri, tak payah jerit. Kamu itu turun dulu, banjir pun tak terurus, muka ini juga nak pergi tolong,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat: Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor, malam tadi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS dalam muktamar yang diadakan di Temerloh, minggu lalu mendesak Anwar meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan pihak pembangkang ketandusan modal untuk menghentamnya.

Malah katanya pembangkang hanya menggunakan hal-hal lampau dan isu dirinya sebagai bekas banduan.

“Hari ini mereka boleh bercerita hal-hal lampau, pembangkang tidak ada modal paling tidak apa mereka kata? Ya bekas banduan jadi perdana menteri.

“Ya saya memang bekas banduan, tetapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji dan dulu bapa-bapa kamu, pemimpin-pemimpin PAS antara yang pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah itu.

“Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah yang menjadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada orang-orang yang mencuri harta sekarang mahu jadi jaguh?” ujarnya.

Acara himpunan itu diadakan sebagai memperingati tarikh 20 September iaitu hari Anwar ditangkap selepas dipecat daripada jawatan timbalan menteri pada 26 tahun lalu.

Wednesday, September 18, 2024

ULASAN l Saifudin, PKR jangan seperti ‘lepaskan anjing tersepit’ - Tuan Ibrahim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 18, 2024 10:33 AM
ULASAN l Ketakutan dan kegelisahan Pakatan Harapan (PH) kepada PAS serta presiden parti, Abdul Hadi Awang secara khususnya amat terserlah.

Perasaan ini menyebabkan Saifuddin Nasution Ismail membuat satu kenyataan media atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri. Agak janggal apabila kenyataan media kementerian hanya menyemai kebencian terhadap presiden PAS dan bukan berkaitan keselamatan negara.

Sejak penubuhan PAS, Abdul Hadi adalah sosok yang telah berjaya mengangkat PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.
Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuk Saifuddin yang hanya berniat jahat. Barangkali Saifuddin harus diingatkan bahawa PAS yang berpresidenkan Abdul Hadi adalah parti tunggal yang mempunyai wakil ahli Parlimen (MP) terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini.

Walaupun Abdul Hadi difitnah dengan pelbagai perkara, namun dia berjaya membawa bersamanya 42 orang MP berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang.


Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding PAS yang menguasai empat buah negeri. Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong PAS sehingga ke tahap ini, alhamdulillah.

Dalam era kepimpinan beliau juga PKR menumpang kasih bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihanraya. Bahkan kejayaan Abdul Hadi bermula dengan menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan BN ketika itu.
Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihanraya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang PAS, parti yang dicerca olehnya hari ini. Dengan persetujuan Abdul Hadi, dia diberi ruang bertanding dan memenangi parlimen Machang pada tahun 2008.

Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa Abdul Hadi. Atau mungkin juga Saifuddin perlu diingatkan apabila Anwar Ibrahim bertemu dengan presiden PAS dan arwah bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat memohon agar mereka membantu PKR satu masa dulu.

Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya menggigit tangan mereka yang membantunya dahulu.

Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar dia tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa Melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’.

PAS sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab ini. Hal ini kerana sepanjang muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh presiden dalam ucapannya.
PAS dalam muktamar itu sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya.

Saya yakin, kenyataan tidak beradab yang dikeluarkan oleh menteri dalam negeri ini tidak akan terhenti di sini. Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU, semakin mengelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya. Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong.

Semoga Allah mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang. Kepada Allah kami berserah.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah timbalan presiden PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Thursday, September 12, 2024

Hadi: Bukan Islam ‘naik kepala’ sebab pemimpin Islam k'jaan lemah

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali & Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 12, 2024 5:59 PM
MUKTAMAR PEMUDA PAS l Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan perpaduan kerana tidak berupaya menangani rakan-rakan pimpinan bukan Islam.

Keadaan itu katanya menyebabkan pemimpin bukan Islam ‘naik kepala’.

“Ini menunjukkan betapa kerajaan perpaduan yang dikuasai oleh Umno yang Melayu-Islam, PKR ada Melayu- Islam dan Amanah ada Melayu Islam, tak boleh menguasai keadaan, tak berwibawa.

“(Mereka) tak mampu nak menangani rakan-rakan orang bukan Islam, orang bukan Islam naik kepala dengan begitu rupa. Ini satu pendekatan yang sangat lemah,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Abdul Hadi berkata dia menasihatkan rakan-rakan yang masih bersekongkol dengan kerajaan yang tiada keupayaan.

Tambahnya walaupun duduk dalam kerajaan, orang Islam dalam kerajaan itu tak ada keupayaan menyebabkan Islam tiada dan tiada kehebatan.

“Sehingga kita saksikan berlakunya isu-isu yang sangat mendukacitakan. Isu-isu orang bukan Islam berani bercakap attack Islam, berani bercakap perkara orang Islam. Yang mutakhir ialah isu murtad, halal dan haram.

“Ini hak orang Islam diganggu, padahal ini hak orang Islam. Orang Islam ada hak untuk menentukan halal dan haram.
“Halal dan haram ini penting bagi orang Islam, untuk jaga rohnya, jaga diri dia, jaga iman, jaga hubungan dengan Allah. Tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam,” tegasnya merujuk kontroversi membabitkan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkait isu pensijilan halal.

Umno dulu dominan, kini tunduk kepada PKR-DAP – Tun M

harakahdaily.net
September 12, 2024
Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), telah mengeluarkan kenyataan keras terbaharu terhadap integriti Umno sebagai parti yang pernah gah suatu ketika dahulu.

Beliau menyatakan bahawa Umno, yang dulunya dominan dengan jumlah wakil rakyat terbanyak, kini telah merosot menjadi parti kecil dalam Pakatan Harapan (PH), terpaksa tunduk dan menyokong DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tiga suku dari ahli Umno dan penyokong sudah tolak Umno. Yang tinggal hanya wakil rakyat dan penyokong yang mengikut arahan (Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Ahmad) Zahid (Hamidi) supaya undi DAP,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial milik, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengkritik Umno yang dulunya menolak Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP tetapi kini menjadi ‘alat’ kepada kepada kedua-duanya.

Beliau juga menyebut bahawa matlamat Umno kini hanyalah untuk melindungi Zahid Hamidi daripada hukuman rasuah dan penyelewengan wang, dan bukan lagi untuk memperjuangkan bangsa, negara, dan agama.

“Parti yang menggagalkan Malayan Union British, memerdekakan negara dan membangunnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia, sudah jadi pengikut buntut PKR/DAP dan alat Zahid Hamidi,” katanya. 

Saturday, September 7, 2024

Tarik balik kenyataan sijil halal dan mohon maaf, kata Pemuda Bersatu

suaramerdeka
 7 September 2024

PEMUDA Bersatu meminta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya mengenai pensijilan halal untuk semua premis makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Ketua sayap pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mengancam untuk membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP itu kerana didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan royalti.

Kenyataan Teresa yang membantah pensijilan halal mandatori kerana mendakwa akan membebankan peniaga kecil, menunjukkan pemahaman yang cetek mengenai isu itu, kata Wan Fayhsal, yang merupakan ahli parlimen Machang.

“Mencari yang halal adalah kewajipan asas bagi umat Islam. Tidak ada yang memalukan untuk mewajibkan semua perniagaan yang berurusan dengan orang Islam mematuhi piawaian ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula berkata DAP harus mengelak daripada mengulas mengenai pensijilan halal, dengan mengatakan ia hanya akan menguatkan persepsi bahawa parti itu anti Islam.

“Sekiranya mereka mesti ingin menanganinya, mereka harus melakukannya melalui pihak lain dalam kerajaan.

“Mereka boleh berunding dengan PKR, Amanah, atau Umno melalui presidennya untuk bercakap bagi pihak DAP,” kata Fadhli.

Awal semalam, Teresa yang juga naib pengerusi DAP menyuarakan bantahan terhadap cadangan untuk mewajidkan semua premis perniagaan yang menjual makanan halal untuk umat Islam mendapatkan sijil halal yang mana ia sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Na’im Mokhtar berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan itu kerana pensijilan halal pada masa ini secara sukarela untuk pengusaha makanan.

Teresa berkata langkah itu boleh membebankan perniagaan kecil, menyekat kebebasan pengguna, dan mungkin bertembung dengan kepelbagaian budaya Malaysia. 

SM

Tuesday, September 3, 2024

'Anwar mungkin dihumban jika k'jaan terus guna akta zalim'

malaysiakini.com
Zarrah Morden
Diterbitkan: Sep 3, 2024 9:30 AM
Rakyat yang mengangkat PH dan BN ke tampuk kuasa tidak akan teragak-agak untuk menumbangkan kerajaan jika terdapat ancaman untuk menggunakan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, kata penganalisis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan partinya PKR harus peka terhadap perkara ini kerana janji-janji reformasi mereka sebelum ini, kata profesor adjung Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jayum Anak Jawan kepada Malaysiakini.
Jayum Anak Jawan
"Pemimpin politik perlu peka dengan hal ini kerana dalam dekad yang lalu, rakyat tidak segan untuk menukar kerajaan dan pemimpin yang, pada pandangan mereka, tidak berkhidmat untuk kepentingan terbaik mereka.

"Apabila rakyat bersuara, kerajaan dan pemimpin harus mendengar kerana seperti mana mereka (rakyat) meletakkan mereka di sana (dalam kerajaan), mereka juga boleh menyingkirkan mereka melalui proses demokratik yang sama," katanya yang juga ahli Akademi Sains Malaysia.

Akta Hasutan 1948 undang-undang era kolonial kontroversi, menjenayahkan ucapan yang mempunyai "kecenderungan menghasut."
Antara definisi kecenderungan menghasut dalam akta ini termasuk kecenderungan untuk menimbulkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja, kerajaan atau pentadbiran keadilan, untuk mempromosikan perasaan tidak senang dan permusuhan antara kaum atau kelas yang berbeza dan untuk mempersoalkan sebarang keistimewaan yang diperuntukkan untuk orang Melayu, pribumi dan kerabat diraja.

Akta ini pertama kali diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1948 dan kemudian dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 untuk memperluas skop sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Kerajaan PH telah berjanji untuk memansuhkan akta ini sebagai sebahagian daripada manifesto gabungan tersebut.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Syukri (gambar atas) bersetuju dengan pandangan Jayum mengenai apa yang bakal dihadapi kerajaan jika gagal menunaikan janji reformasi.

Kata Syaza ini memberi peluang kepada pembangkang untuk menonjolkan hipokrasi parti pemerintah.

Secara keseluruhannya, tidak ada kelebihan untuk PH dalam mengekalkan akta ini, katanya.

"Satu-satunya kelebihan yang saya lihat sekarang, untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga diraja kerana penggunaan akta hasutan baru-baru ini berkaitan dengan kerabat diraja," katanya kepada Malaysiakini.

Dia merujuk kes Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang didakwa di mahkamah Kelantan pada 27 Ogos atas ucapannya semasa pilihan raya kecil Nenggiri baru-baru ini.
Kenyataan Muhyiddin itu telah mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana menuduh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menghalang percubaannya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15.

Anwar mempertahankan penggunaan akta hasutan terhadap Muhyiddin berkata dia mesti menghadapi akibat daripada kata-katanya itu.

Sementara itu penganalisis politik Wong Chin Huat (gambar bawah) berkata kerajaan mungkin dilihat sebagai "menjual orang Melayu" jika akta hasutan dimansuhkan.
Ini boleh dielakkan jika pembangkang menyokong pemansuhan akta tersebut, tambahnya.

"Dari segi politik, ramai orang Melayu melihat akta hasutan sebagai alat untuk melindungi dominasi politik dan kepekaan mereka daripada dicabar," jelasnya.

Untuk mengatasi naratif ini, dia berkata kerajaan boleh melaksanakan garis panduan dalam penggunaan akta tersebut yang dapat mengurangkan kebencian partisan yang memecahkan pengundi Melayu.

"Pada masa ini, kerajaan bertindak balas terhadap isu ini dengan memposisikan dirinya sebagai proistana, berdasarkan anggapan bahawa kebanyakan orang Melayu juga proistana.
"Walaupun anggapan ini tepat, pandangan seperti itu mungkin berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Garis panduan mengenai penggunaan akta hasutan akan memastikan aplikasi akta tersebut yang tidak berat sebelah, konsisten dan munasabah, tambahnya.

Wong juga berkata ini akan berfungsi untuk menghilangkan kebimbangan bahawa kerajaan sekarang sama seperti "autoritarianisme gaya lama BN dalam pakej baru."

"Menghapuskan kawasan kelabu, memastikan pelaksanaan yang konsisten, kerajaan akan muncul sebagai reformis yang tulen walaupun akta hasutan kekal," katanya.
Namun, dalam memansuhkan akta tersebut, Wong berkata kerajaan tidak akan dilihat sebagai hipokrit atau "mengingkari janji," yang akan menjadi satu kelebihan.

Sementara itu, Syaza berkata isu lain yang perlu ditangani kerajaan termasuk jika rakyat Malaysia sudah bersedia untuk kebebasan bersuara terutamanya melibatkan perbincangan 3R (kaum, agama, raja).

"Adakah kita boleh membenarkan orang mengkritik isu 3R seperti yang dilakukan Muhyiddin? Adakah kita boleh menghentikan penyamaan kritikan dengan hasutan?

"Kerana isu 3R didakwa sebagai menghasut dan boleh menyebabkan ketidakharmonian," katanya.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-