Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor hari ini menyentuh tentang kebimbangan terhadap "perpecahan, perbalahan dan permusuhan" dalam kalangan orang Islam muktahir ini.
Menurut mimbar, situasi hari ini parah apabila perbalahan dan pertelingkahan berlaku secara terbuka termasuklah dalam media-media sosial dan di media arus perdana.
"Perpecahan antara orang Islam yang berlaku akhir-akhir ini dilihat begitu ketara sekali. Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan.
"Gejala perpecahan ini menjadi bertambah buruk apabila terdapat sesetengah pihak yang melemparkan cercaan dan hinaan terhadap umatnya sendiri secara bebas dan terbuka tanpa sekatan, bahkan tiada lagi rasa dan segan dan silu," kata teks khutbah bertajuk bertajuk 'Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan' yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Jelas mimbar, umat Islam yang berpegang teguh dengan akidah Islam, nescaya akan menjadi umat yang bersatu padu.
Mimbar turut mengingatkan umat Islam akan dosa besar akibat perbalahan yang berlaku hari ini.
"Allah SWT telah menegaskan bahawa budaya mengecam, mencerca dan menghina yang boleh menyakiti orang lain adalah suatu dosa yang besar di sisi Allah SWT," kata mimbar.
Selain itu, mimbar turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.
Kata mimbar, semua nilai-nilai murni itu kurang diambil perhatian pada hari ini.
"Ia sepatutnya wujud dalam diri setiap Muslim di setiap peringkat dan hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain.
"Nilai-nilai murni itu juga sepatutnya menjadikan kita umat yang insaf, sentiasa memperbaiki kesilapan diri, menjauhi perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri, bahkan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenarnya," kata mimbar.
Tambah mimbar, mengambil kira keadaan semasa mengenai perpecahan ini, umat Islam diseru agar bersatu-padu dan saling membantu.
"Apa yang diperlukan oleh orang Islam pada saat ini adalah memperkukuh perpaduan dan mengelak perpecahan. Ini dapat dilaksanakan dengan membina hubungan yang baik disetiap lapisan masyarakat," kata mimbar lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.