Tuesday, August 13, 2019

Ada undang-undang untuk urus hasutan, Dr M ulas petisyen haramkan Dong Zong

Adam Abu Bakar
-August 13, 2019 5:49 PM


SEPANG: Perdana menteri mengingatkan ada undang-undang khusus untuk menangani hasutan, susulan petisyen mendesak kerajaan mengharamkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dalam kontroversi pengajaran khat di sekolah-sekolah aliran.

“Jika anda terus menghasut orang ramai untuk berlawan antara satu sama lain, sudah tentu ia menyalahi undang-undang,” kata Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

“Kita mempunyai kebebasan bersuara tetapi harus sentiasa sensitif tentang tidak menghasut orang.”

Petisyen mengharamkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang dilancarkan kelmarin hari ini sudah mengumpul lebih 90,000 tandatangan ketika berita ini ditulis.

Kempen itu digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) selepas Dong Zong merancang suatu petisyen membantah pengajaran khat di sekolah-sekolah aliran.

Semalam, Mahathir membidas bantahan Dong Zong kerana tidak membangkitkan isu itu sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), memandangkan ia sudah diluluskan sejak 2012.

Hari ini, perdana menteri mengkritik Dong Zong kerana sentiasa berjuang untuk kepentingan satu kaum sahaja, sedangkan Malaysia negara berbilang bangsa.

“Mereka tidak pernah berjuang untuk Malaysia,” tegasnya. “Mereka harus fikir apa perasaan orang lain apabila lakukan sesuatu. Jika mereka tidak gembira, maka cubalah untuk ambil jalan berunding.”

Zakir Naik

Sementara itu, Mahathir turut mengulas desakan menghantar pulang penceramah kontroversi Zakir Naik ke negara asalnya, India.

Perdana menteri berkata Malaysia tidak boleh menghantar dia pulang kerana “ada risiko untuk dibunuh”.

“Tetapi jika ada mana-mana negara yang mahukan dia, sangat dialu-alukan,” katanya.

Beliau enggan mengulas dakwaan Naik bahawa rakyat Malaysia berketurunan India lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Tanya kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-