Showing posts with label Dr Mahathir Mohamad. Show all posts
Showing posts with label Dr Mahathir Mohamad. Show all posts

Saturday, March 15, 2025

Dr M: Tutup GISBH, hancurkan perniagaan Melayu Islam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 15, 2025 4:44 PM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang disifatkannya sebagai “membunuh” perniagaan Melayu Islam.

Menurut Mahathir, jika GISBH didapati mempunyai penyelewengan dalam fahaman agama maka sepatutnya yang diperbetulkan aspek agamanya bukan menutup perniagaan mereka.

GISBH, katanya merupakan syarikat Bumiputera yang berjaya sehingga mampu mengembangkan perniagaan ke 21 buah negara.

“Nilai (perniagaan) mereka (GISBH) RM250 juta, mungkin fahaman mereka itu boleh dipersoal... Dulu dengan al-Arqam kita tak tangkap masuk penjara Arqam... kita cuma bawa mereka dengar syarahan agama yang betul.
"Tapi kali ini kita dapati syarikat ini terbabit jenayah terancang, kononnya ada kursus liwat, bolehkah kita percaya ada orang buat kursus liwat?

“Lepas tu kononnya syarikat ini tak bayar cukai, (tapi) LHDN kata bayar. Jadi, apa kesalahan yang dia buat selain (kesalahan) agama?


"Berkenaan agama kita betulkan agama, seperti mana kita betulkan al-Arqam dulu. Tetapi ini, operasi syarikat ini dikenali sebagai jenayah terancang. Eh, jenayah terancang di Amerika Syarikat dia bunuh orang, curi, samun... saya tak nampak ada kes kononnya dia (GISBH) bunuh orang, curi, samun.

"Mereka boleh dikatakan konglomerat yang berjaya, tapi kita ambil tindakan tutup semua (perniagaan)... bila buat macam ini, bukan sahaja mereka menderita, pekerja mereka menderita tak ada kerja, bukan itu sahaja kita rosakkan sebuah syarikat Bumiputera,” katanya melalui Podcast Dr. M, hari ini.
Mahathir bersetuju bahawa jika GISBH bersalah, tindakan perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Pada 23 Oktober tahun lalu, pengurusan tertinggi GISBH dan isteri mereka adalah antara 22 individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata pertuduhan itu dibuat selepas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Turut akan didakwa mengikut pertuduhan yang sama esok (hari ini) ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan kesemua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin, mendedahkan bahawa pemimpin tertinggi GISBH adalah antara 58 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Setakat ini:

35 individu masih dalam tahanan reman

273 individu dibebaskan dengan jaminan

37 individu dibebaskan tanpa syarat

2 individu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah

1 individu diserahkan kepada Imigresen untuk pengusiran

‘Bailout’ Sapura

Dalam isu lain, Mahathir turut mengulas mengenai "bailout" yang dilakukan semasa pemerintahannya.

Apabila ditanya mengenai tindakan kerajaan Madani menyuntik dana bagi menyelamatkan Sapura Energy, Mahathir menegaskan pendiriannya mengenai bailout tetap konsisten.
Menurut Mahathir langkah tersebut bukan semata-mata untuk menyelamatkan syarikat tetapi juga bagi menjaga kebajikan pekerja serta pihak berkepentingan lain.

Beliau menafikan tuduhan bahawa tindakan bailout ketika itu bertujuan membantu kroni, seperti didakwa oleh pengkritiknya.

"Seperti yang saya sebutkan tadi, syarikat bukan hak pemilik sahaja, pekerja juga ada kepentingan dalam syarikat... kadang-kadang ia melibatkan bank, kalau dia bankrap, syarikat tak boleh bayar pinjaman... banyak pihak terlibat sebab itu kita timbang patut diselamatkan atau biar jadi bankrap.

"Bila syarikat bankrap, dia tak bayar cukai, kita nak syarikat (beri) 26 peratus kepada kita (cukai). Jadi macam kerajaan juga bayar sebab kita hilang cukai,” katanya lagi.

Mahathir turut menjelaskan bahawa Amerika Syarikat sendiri sering melakukan bailout bagi menyelamatkan ekonomi mereka apabila syarikat strategik menghadapi masalah.

Thursday, February 27, 2025

Mahathir kagum dengan keterjaminan makanan di Indonesia

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 27, 2025
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang melawat bekas presiden Indonesia Joko Widodo menyatakan kekaguman dengan keterjaminan makanan negara republik itu.

Dr Mahathir berkata, Indonesia berjaya mengekalkan bekalan makanan yang stabil meskipun penduduknya hampir 300 juta orang.

Katanya, pada pertemuan itu perbincangan tertumpu kepada pembangunan Malaysia dan Indonesia.

"Dalam pertemuan saya dengan Presiden Jokowi, perbincangan kami tertumpu kepada pembangunan Malaysia dan Indonesia.

"Saya juga kagum dengan keupayaan Indonesia dalam mengekalkan bekalan makanan yang stabil, meskipun jumlah penduduknya hampir 300 juta orang.

"Saya harap kerjasama antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan, terutamanya dalam bidang perdagangan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, media tempatan Indonesia melaporkan bekas perdana menteri dua kali itu mengadakan kunjungan ke kediaman peribadi Jokowi di Banjarsari, Solo, Indonesia.

Kehadiran Dr Mahathir disertai anak perempuannya Marina dan rombongan pegawainya dari Malaysia.

Jokowi dilihat menjemput rombongan Dr Mahathir di Bandara Adi Soemarmo, Solo sekitar jam 11 pagi waktu tempatan sebelum menuju ke kediamannya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata banyak produk dari Indonesia boleh diimport ke Malaysia tanpa perlu bergantung kepada negara sumber.
"Banyak produk dari Indonesia boleh diimport ke Malaysia, dan sebaliknya, daripada bergantung kepada bekalan dari negara lain.

"Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga bapak Joko Widodo atas layanan mesra kepada saya serta delegasi saya," katanya lagi.

Saturday, February 22, 2025

Dr M: Anwar bohong setiap kali buka mulut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2025 12:02 PM
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong apabila menafikan pemimpin luar disekar dari bertemu bekas perdana menteri itu.

“Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.

“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang 'setiap kali buka mulut mesti bohong’," kata Mahathir dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan Mahathir itu selepas Anwar menyangkal dakwaan kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengan bekas perdana menteri itu.

Anwar berkata tiada mana-mana pemimpin luar negara yang ingin bertemu dengan Mahathir dan sekiranya ada sekalipun, dia tidak ada halangan.

Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya hari ini turut mengecam Anwar kerana mengulangi dakwaan mengenai harta anaknya.

"Kemudian dia ulang lagi pasal anak saya mempunyai harta RM1.2 bilion. Ini dia asaskan kepada kenyataan (Ketua Pesuruhjaya) SPRM Azam Baki.

"Tapi dia tak cerita habis yang Azam Baki kata tu adalah harta yang dijumlahkan sejak 43 tahun yang lalu.

"Sedangkan Azam Baki juga yang menyata harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta," kata Mahathir.

Bulan lalu, Azam berkata anak lelaki bekas presiden Umno itu, Mirzan dan Mokhzani, mengisytiharkan kira-kira RM1 bilion aset.

Selepas menolak liabiliti, nilai bersih peribadi Mokhzani berjumlah kira-kira RM360 juta manakala Mirzan berjumlah RM120 juta.

Mahathir juga menegaskan bahawa Anwar terus mengulangi dakwaan itu untuk "meneruskan pembohongannya".

"Seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti dari jadi perdana menteri.

"Hakikatnya, saya telah saman dia (Anwar) dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak (mengandungi bukti) pun yang dia buktikan," tambahnya.

Thursday, February 6, 2025

Zahid cuba lengahkan bicara fitnah, kata Mahathir

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 6, 2025 11:31 AM
Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa permohonan menghina mahkamah terhadapnya oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah percubaan untuk melengahkan perbicaraan saman fitnah bekas perdana menteri itu terhadap timbalan perdana menteri tersebut.

Dalam afidavitnya bagi membantah permohonan komital tersebut, bekas perdana menteri dua kali itu menegaskan bahawa sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu tidak boleh dianggap sebagai serangan terhadap badan kehakiman.

Mahathir mendakwa bahawa kenyataannya semasa sidang media itu hanyalah penjelasan mengenai keterangannya di mahkamah terhadap Zahid.

"Permohonan defendan untuk komital ini adalah berniat jahat dan hanya bertujuan melengah-lengahkan prosiding perbicaraan mahkamah," kata bekas ahli Parlimen Langkawi itu dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari.

Prosiding komital dijalankan terhadap tindakan atau kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan adil sesuatu kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Pada 7 Januari, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Zahid untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah, membuka jalan bagi perbicaraan lanjut dengan pasukan peguam kedua-dua pihak mengemukakan hujah sama ada Mahathir perlu dipertanggungjawabkan atas penghinaan tersebut.

Jika mahkamah sivil mendapati dia bersalah, plaintif berusia 99 tahun itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

Saman fitnah Mahathir terhadap Zahid berkaitan dakwaan kewujudan kad pengenalan (IC) dengan nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Melalui saman itu, Mahathir mendakwa kenyataan Zahid pada 2017 mengenai IC tersebut bersifat fitnah kerana ia merupakan satu gerakan politik yang kejam, berniat jahat, satu pembohongan besar, dan tidak benar.

Plaintif berusia 99 tahun itu mendakwa bahawa dakwaan tersebut bertujuan menjejaskan reputasinya sebagai tokoh pembangkang ketika itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Mahathir berjaya memenangi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya tersebut untuk satu penggal.

Dia mendakwa bahawa kenyataan itu membawa maksud bahawa dirinya telah mengeksploitasi orang Melayu demi kepentingan politik dan peribadi.

Mahathir juga mendakwa bahawa Zahid telah menunjukkan salinan IC “Kutty” yang didakwa itu menerusi skrin telefon pintar.

Dalam penyataan pembelaannya, Zahid, yang ketika itu adalah menteri dalam negeri, menafikan bahawa kenyataannya pada 2017 adalah berniat jahat, bersifat fitnah, atau merosakkan reputasi Mahathir di mata umum.

Ahli politik berusia 72 tahun itu mendakwa bahawa nama pada IC tersebut merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Zahid juga mendakwa bahawa dia tidak mempunyai kawalan ke atas penyebaran video-video susulan di platform media yang merujuk kepada kenyataannya.

Saman sivil Mahathir terhadap Zahid itu difailkan tiga tahun lalu dan berkaitan dengan ucapan Zahid di mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Thursday, January 30, 2025

'Umno ular berbisa, Dr M sebenarnya lalat terbang ke sana sini'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 30, 2025 9:44 AM
Ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengambil pendekatan lebih lembut dalam menjawab kenyataan Dr Mahathir Mohamad, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi pula mengambil pendekatan berbeza.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mohd Puad menyamakan Umno sebagai “ular berbisa” dan menyifatkan Mahathir, yang berusia lebih sembilan dekad, sebagai lebih layak digelar “lalat

Menurut Mohd Puad, Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin bertanggungjawab menjadikan Mahathir seperti “lalat” yang terpaksa “terbang ke sana sini.”

"Akhirnya dia dijadikan lalat oleh grup Muhyiddin. Dia diterajang daripada parti Bersatu kerana dituduh jadikan Bersatu lalat kepada DAP sehingga kalah teruk PRK Tanjung Piai.

“Tun M terpaksa terbang ke sana ke mari macam lalat mencari tempat baru,” kata Mohd Puad.

Mohd Puad mengulas perumpamaan diberikan Mahathir kepada Umno yang digelar sebagai "lalat" dalam kerajaan kerana takutkan DAP.

Mahathir menggunakan perumpamaan itu selepas Nga Kor Ming membidas Ketua Pemuda Umno, Akmal Salleh, yang baru-baru ini mengajak pemimpin DAP itu berdebat mengenai isu jualan sandwic ham yang mencetuskan kontroversi.

Nga menolak pelawaan itu dengan menyatakan, “singa tidak berdebat dengan lalat.”

Mahathir dalam satu kenyataan kemudiannya menyatakan, “Sebab takut singa, Umno terima jadi lalat. Inilah Umno sekarang. Tidak lebih dari lalat dalam kerajaan.”

Dalam hantarannya, Mohd Puad mengingatkan Mahathir bahawa bekas perdana menteri itulah yang cuba menjadikan Umno sebagai "lalat" apabila menubuhkan Bersatu.

"Tun M lupa dia sebenarnya yang mahu Umno jadi lalat. Dia cuba bunuh Umno dan diganti oleh Bersatu.

"Umno tidak terkesan pun didakwa umpama lalat. Umno terbukti ular berbisa di Nenggiri dan Mahkota,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid enggan terheret dalam perdebatan tersebut dan memilih untuk tidak mengulas lanjut selain menyatakan dia menghormati bekas perdana menteri itu atas faktor usia, tetapi bukan pendapatnya.

Tuesday, January 28, 2025

Dr M: Umno sekadar lalat dalam kerajaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2025 5:26 PM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kedudukan wakil rakyat Umno dalam kerajaan hanya 'lalat'.

Mahathir menggunakan perumpanaan itu sebagai memetik pandangan pemimpin DAP terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh baru-baru ini.

"Yang berhormat ahli Umno, mengikut Nga Kor Ming, Umno hanya lalat. Nga Kor Ming adalah singa.

"Sebab takut singa, Umno terima jadi lalat. Inilah Umno sekarang. Tidak lebih dari lalat dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Nga yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan melabelkan Akmal sebagai lalat ketika naib pengerusi DAP itu mengambil pendirian enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi 'sandwic ham'.

Jelas Nga dia meletakkan dirinya sebagai singa dan tidak layak untuk berdebat dengan Akmal yang dianggap sebagai lalat.
Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub membidas kenyataan Mahathir yang disifatkan sebagai sekadar untuk menghina Umno.

Katanya, Mahathir sengaja mengalih makna lalat yang ditujukan Nga kepada Akmal secara peribadi..

"Mahathir tahu yang dimaksudkan oleh Nga itu ialah kepada Akmal. Kecualilah kalau bahasa Melayunya difahami secara terbalik seperti kereta api menjadi api kereta. Tapi kerana niat jahatnya dan busuk hatinya kepada Umno maka dia dengan sengaja memutar maksud Nga itu dengan tujuan menghina Umno.

"Nasihat veteran kepada Mahathir supaya berhentilah mengeluar kenyataan dan komen bodoh kerana dendamnya kepada Umno," kata Mustapha.

Tambah Mustapha lagi, semasa menjadi perdana menteri buat kali kedua, Mahathir sendiri melantik pemimpin DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

“Bila ditanya mengapa dia melantik Lim bagi jawatan itu, katanya bekas setiausaha agung DAP berkenaan mahukannya.

"Maknanya dia pernah menjadi lalat dan Lim singa. Sepatutnya dialah singa kerana dia perdana menteri masa itu," tambah Mustapha lagi.

Tuesday, January 21, 2025

SPRM: Harta Mokhzani hampir RM1 bilion, Mirzan RM246 juta


Berita
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jan 21, 2025 5:28 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dua anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan harta mereka kepada agensi tersebut.

Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki berkata nilai harta yang diisytiharkan Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir adalah berjumlah lebih RM1 bilion.

"Kedua-dua anak Dr M telah mengisytiharkan harta kepada saya secara peribadi, kerana saya yang keluarkan notis atau pun waran untuk isytihar harta.

"Saya nak memberi maklumat serba sedikit, jumlah aset Mokhzani keseluruhan lebih kurang RM1 bilion yang diisytihar. Nilai peribadi adalah dalam RM360 juta. Yang lain itu ada bentuk aset, pegangan saham, kita ambil maklum tolak liabiliti yang mereka tanggung.

"Harta yang diisytihar, Mirzan secara keseluruhan RM246.2 juta dan nilai peribadinya adalah RM120 juta. Selebihnya adalah berkaitan saham dan aset setelah mengambil liabiliti yang mereka tanggung," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, SPRM masih meneruskan siasatan dan sedang membuat analisis mengenai harta yang diisytiharkan kedua-dua mereka.

Pada 18 Jan tahun lepas, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.

Pada bulan berikutnya, mereka mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak agar bersabar dan memhami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun.

Pada 24 Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memohon kepada SPRM untuk melanjutkan tarikh akhir untuk kedua-dua mereka mengisytiharkan harta masing-masing selepas diberikan lanjutan sebelum ini.

Turut dilaporkan bahawa Mokhzani disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Azam juga mengesahkan bahawa SPRM sedang mengenal pasti harta yang dimiliki keluarga allaharyam Daim Zainuddin dan keluarganya di luar negara.

Thursday, October 10, 2024

Golongan Kaya Dan Miskin: Memahami Ketidakseimbangan Sosial Dan Keperluan Campur Tangan Kerajaan

mediaislam.net
MI October 10, 2024
Di setiap negara, kewujudan jurang ekonomi antara rakyat adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Struktur sosial dalam sesebuah masyarakat sering kali terdiri daripada tiga kumpulan utama: golongan kaya, golongan miskin, dan golongan pertengahan yang berada di antara keduanya.

Walaupun golongan pertengahan tidak mengalami kemiskinan atau kekayaan yang melampau, perbezaan yang luas antara golongan kaya dan miskin terus menjadi punca konflik dan ketegangan dalam pelbagai negara di seluruh dunia.

Ketidakseimbangan sosial ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia menjadi semakin ketara dalam era moden, khususnya ketika menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi.

Menurut satu kajian oleh seorang profesor dari Amerika, corak penggunaan antara golongan kaya dan miskin sangat berbeza.

Golongan kaya didapati menggunakan sekitar 32 kali ganda lebih banyak berbanding mereka yang miskin.

Penggunaan berlebihan ini bukan sahaja menonjolkan ketidaksamaan dalam pengagihan sumber, tetapi juga menekankan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh golongan kaya, yang menghasilkan sisa buangan lebih banyak berbanding golongan miskin.

Kajian ini juga memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara kedua-dua kumpulan, bukan sahaja dari segi kekayaan tetapi juga dalam kesan alam sekitar yang mereka tinggalkan.

Dalam era perubahan iklim ini, ketidakseimbangan tersebut menjadi lebih jelas.

Golongan kaya, dengan sumber yang banyak, lebih mampu menghadapi kesan buruk daripada perubahan iklim.

Mereka boleh mendapatkan teknologi yang boleh mengurangkan kesan bencana alam, akses kepada perkhidmatan kesihatan, dan berpindah ke tempat yang lebih selamat jika perlu.

Sebaliknya, golongan miskin menghadapi kerentanan yang lebih besar dengan pilihan yang terhad untuk mengatasi akibat bencana alam, yang seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi mereka yang sudah pun lemah.

Ketidakseimbangan ini juga melangkaui isu alam sekitar.

Secara sosial, golongan miskin percaya bahawa mereka berhak mendapat akses yang sama seperti golongan kaya terhadap kemudahan dan perkhidmatan kerajaan.

Mereka juga mengharapkan lebih banyak kelonggaran daripada kerajaan, terutamanya ketika menghadapi kesukaran ekonomi.

Namun begitu, tanpa campur tangan yang secukupnya, jurang antara kaya dan miskin terus melebar.

Terdapat kecenderungan bagi golongan kaya untuk semakin menambah kekayaan, sementara golongan miskin berjuang untuk bertahan.

Apabila golongan kaya terus mengumpul lebih banyak aset dan pengaruh, golongan miskin terpaksa menjual harta benda mereka yang sedikit untuk terus hidup, yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan ekonomi mereka.

Kitaran ini memperlihatkan bagaimana kekayaan terus berpihak kepada golongan kaya di atas kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik.

Dr. Mahathir Mohamad dalam pandangannya mengenai isu ini, menyatakan bahawa jika dibiarkan, ketidakseimbangan ini boleh membawa kepada ketegangan sosial.

Apabila ketidaksamaan ini tidak dikawal, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Golongan miskin yang semakin tersisih dan merasa tidak berdaya mungkin akan beralih kepada tindakan pemberontakan atau kekacauan, suatu senario yang telah banyak kali berlaku dalam sejarah.

Penyelesaiannya, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir, terletak pada campur tangan kerajaan.

Ketidakseimbangan antara golongan kaya dan miskin tidak boleh dibiarkan berlaku dengan sendirinya.

Kerajaan mesti memainkan peranan yang aktif dalam menangani isu ini dengan melaksanakan dasar yang mampu mengagihkan kekayaan, mewujudkan peluang yang sama rata, dan melindungi golongan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Tanpa langkah-langkah sedemikian, kitaran ketidaksamaan ini akan terus melebar dan akhirnya membawa kepada ketidakstabilan.

Campur tangan kerajaan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk cukai progresif, program kebajikan sosial, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik, dan pendidikan.

Dengan melabur dalam kesejahteraan golongan miskin dan pertengahan, kerajaan dapat membantu mengurangkan jurang perbezaan dan mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif dan stabil.

Pada akhirnya, matlamatnya adalah untuk memperlahankan, jika tidak menghentikan, jurang ekonomi yang semakin membesar ini.

Kesimpulannya, jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin adalah satu isu yang mendesak dengan implikasi yang besar kepada masyarakat.

Walaupun golongan kaya terus mengumpul sumber dan melindungi diri mereka daripada cabaran ekonomi dan alam sekitar, golongan miskin terpaksa menanggung beban ketidaksamaan ini.

Tanpa tindakan yang bermakna daripada kerajaan, trend ini berkemungkinan besar akan membawa kepada ketidakpuasan sosial dan ketidakstabilan.

Pandangan Dr. Mahathir menjadi peringatan yang tepat mengenai keperluan untuk pemerintahan yang proaktif dan penuh belas kasihan dalam menangani cabaran-cabaran ini serta mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama untuk semua.

Wednesday, September 25, 2024

Kenapa 3R dan MOU

bebasnews.my
Media Gallery

Author:Editor
25/09/2024
Tun Dr Mahathir Mohamad

Oleh Dr Mahathir Mohamad

1. Tujuan sebenarnya 3R dan MOU ialah supaya mulut rakyat dan wakil mereka ditutup sehingga tidak boleh kritik Kerajaan.

2. Kerajaan PMX bukan dipilih oleh rakyat. Pakatan UMNO dengan PH berasas kepentingan diri. Sebelum Pilihanraya UMNO dakwa tidak akan terima Anwar dan DAP.

3. PKR, DAP dan Amanah pula tidak akan terima UMNO.

4. Tetapi kerana pemimpin UMNO mungkin dipenjara dan pemimpin PH tidak mungkin jadi PM, maka parti-parti yang ditolak oleh rakyat ini bergabung untuk jadi Kerajaan.

5. Jumlah gabungan ialah 112, lebih 1 dari separuh. Maka gabungan ini dapatlah diri Kerajaan.

6. Apabila gabungan ini diri Kerajaan maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan. Jumlah Pakatan Harapan, UMNO dan Sarawak/Sabah ialah 144; menjadikan Kerajaan memiliki lebih dari 2/3 wakil rakyat. Memang kuat sekarang.

7. Parti yang terkuat dalam gabungan ini ialah DAP dengan 40 kerusi. Bagi PMX tuntutan DAP perlu dilayan jika ia ingin kekal sebagai PM. Sebaliknya UMNO dengan wakil rakyat Melayunya agak tidak senang bekerjasama dengan DAP. Jika UMNO tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong.

8. Jika UMNO dan Sarawak tidak sokong Kerajaan akan jatuh. Oleh itu mulut orang Melayu perlu ditutup. Dengan itu diperkenal 3R dan kemudian MOU.

9. Tetapi gabungan ini tidak stabil.

10. Wakil rakyat pembangkang jangan tandatangan MOU.


DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
25 September 2024

(Dipetik dari https://www.facebook.com/share/p/3rqtrm5aF9TvoE4f/)

BebasNews

Thursday, September 5, 2024

Penubuhan SG4 satu perkembangan positif - Ahmad Zahid

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
- September 5, 2024 @ 11:16am
Ahmad Zahid pada majlis Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di KLCC, hari ini. NSTP/AIMAN HARIZ AZHAR

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat penubuhan syarikat dinamakan SG4 Group Sdn Bhd oleh empat kerajaan negeri ditadbir pembangkang sebagai satu perkembangan positif, khususnya bagi penerokaan sumber ekonomi secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang tentunya mempunyai strategi tersendiri selari dengan penubuhan syarikat terbabit.

"Saya melihat SG4 yang ditubuhkan itu mempunyai maksud yang baik, namun kita tahu harga unsur nadir bumi (REE) di pasaran dunia kini merosot 70 peratus.

"Ini disebabkan oleh 'dumping' atau lambakan REE di pasaran dunia dengan pengeluaran 'stockpile' oleh negara tertentu," katanya selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Isnin lalu, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama untuk pembangunan negeri.

Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, walaupun berlaku penurunan harga REE di pasaran dunia, namun potensinya masih cukup besar untuk diterokai.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang ditentukan Kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport.

Tuesday, September 3, 2024

Tak jemput Mahathir ke sambutan Merdeka tindakan 'biadap', kata pemikir terkemuka

malaysianow.com.my
MalaysiaNow
September 3, 2024 5:57 petang

Chandra Muzaffar mengulas klip tular pemimpin berusia 99 tahun itu yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan atas kapasiti peribadi.
Dr Mahathir Mohamad mengibarkan Jalur Gemilang ketika hadir pada sambutan Hari Merdeka di Putrajaya pada 31 Ogos lalu.

Pemikir terkemuka Chandra Muzaffar membidas keputusan kerajaan untuk tidak menghantar jemputan rasmi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini, menyifatkan ia perbuatan yang membelakangi akhlak dan etika yang membentuk budaya Malaysia.

"Dengan tidak menjemput bekas perdana menteri - perdana menteri kita yang paling lama berkhidmat - ia melanggari adat Melayu dan Malaysia secara terang-terangan. Ia adalah biadab," kata bekas akademik itu kepada MalaysiaNow, dalam komen yang mencerminkan kemarahan orang ramai di media sosial susulan penularan klip menunjukkan pemimpin berusia 99 tahun itu hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya atas kapasiti peribadinya.

Beliau turut mengingatkan tentang prinsip kelima Rukunegara yang menyentuh "kesopanan dan kesusilaan".

"Bagi sebuah negara muda seperti Malaysia yang masih dalam proses membentuk identiti kebangsaannya, adalah penting berpegang kepada adab dan akhlak yang sudah lama diikuti. Dendam peribadi tidak seharusnya menghalang usaha murni ini," kata Chandra, yang pernah melancarkan kempen untuk menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah kepada dokumen perlembagaan.
Chandra Muzaffar.
Chandra yang merupakan antara pengasas utama PKR yang memainkan peranan besar dalam gerakan reformasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan mesti memberikan penjelasan yang "jujur ​​dan telus", di samping permohonan maaf kepada Mahathir dan rakyat yang "terluka dan marah" dengan tindakan itu.

"Jika ada keputusan untuk tidak menjemput Tun, siapa dalang di sebalik langkah itu? Apakah rasional keputusan sedemikian? Orang ramai mengharapkan penjelasan ikhlas seperti yang dilihat daripada reaksi spontan rakyat," katanya.

"Penjelasan itu, tidak kira siapa yang bertanggungjawab, perlu disertai permohonan maaf tanpa syarat daripada kerajaan kepada Tun dan rakyat."

Sejak beberapa hari lalu, pelbagai klip tersebar menunjukkan Mahathir mencuri tumpuan orang ramai semasa sambutan Hari Merdeka di Putrajaya, pusat pentadbiran yang dibina bekas pemimpin itu lebih dua dekad lalu ketika pertumbuhan pesat ekonomi 1990-an.

Video tersebut turut mencetuskan perdebatan di media sosial mengenai kepentingan mengetepikan politik dalam sebarang acara patriotik.
Seorang jurucakap pejabat Mahathir mengesahkan kepada MalaysiaNow pihaknya tidak menerima jemputan rasmi untuk beliau menyertai Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin utama kerajaan di pentas utama.

Difahamkan, kali terakhir kerajaan menjemput Mahathir menghadiri sambutan Hari Merdeka adalah pada 2022, di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

Jemputan itu dihantar oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri kira-kira dua minggu sebelum acara itu, yang merupakan sambutan kemerdekaan pertama dibuat secara besar-besaran selepas pandemik Covid-19.

"Memandangakan beliau menerima gelaran Tun yang paling kanan, beliau sepatutnya duduk sebaris dengan tetamu-tetamu utama di atas pentas. Malangnya, beliau dijangkiti Covid-19 pada hari itu dan dimasukkan ke hospital," kata seorang sumber kepada MalaysiaNow.

Chandra, bekas profesor pengajian global di Universiti Sains Malaysia dan bekas pengarah Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya, berkata sambutan Merdeka melangkaui kesetiaan parti.

"Ia tiada kaitan dengan kesetiaan kepada individu tertentu. Ia tidak ditentukan oleh perasaan suka atau tidak suka," katanya.

Beliau berkata pemimpin Malaysia terdahulu secara umumnya menghormati prinsip ini dalam menyambut kemerdekaan.

"Inilah sebabnya ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau sentiasa menjemput Tunku ke sambutan Merdeka walaupun mereka berbeza fahaman politik," katanya merujuk kepada Tunku Abdul Rahman yang pernah memecat Mahathir daripada Umno. .


"Begitu juga, adalah diketahui bahawa Tun Razak, semasa menjadi perdana menteri, memarahi pembantunya kerana sengaja mengabaikan protokol yang diberikan kepada Tunku," tambahnya.

Tiada bandar di dunia yang dapat tandingi keindahan Putrajaya, akui Tun M

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid 
suzalina@bh.com.my
- September 3, 2024 
Dr Mahathir bangga dengan pembangunan Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun Putrajaya megah berdiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertanggungjawab dalam 'melahirkan' bandar pentadbiran itu, melahirkan rasa kagum dan bangga dengan pembangunan kawasan itu.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada barisan pegawai yang mentadbir Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia.

Akui Dr Mahathir, tiada mana-mana bandar di dunia yang diterokanya dapat menandingi keindahan dan susunan pembangunan di Putrajaya.

"Jalannya dipenuhi dengan tanaman bunga dan pagar yang dihias cantik manakala barisan pokok rendang pula menghiasi jalan raya.

"Taman pula dijaga dengan baik dengan adanya landskap. Pihak pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dengan menghargai keindahan.

"Bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) tengah itu mengagumkan. Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik," katanya di platform X.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, keindahan Putrajaya pastinya membanggakan rakyat Malaysia apatah lagi dengan pertumbuhannya yang sangat luar biasa.

"Dari pelancarannya pada 1995, bandar ini sudah matang namun paling membanggakan rakyat Malaysia ialah keindahan bandar itu. Ia benar-benar mencerminkan sebuah bandar dalam taman.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbir Putrajaya kerana anda berjaya melaksanakan satu tugas yang hebat," katanya.

Asalnya dikenali sebagai Prang Besar, idea penubuhan Putrajaya adalah cetusan daripada Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri ke-empat.

Kawasan itu dibangunkan menjadi pusat pemerintahan kerajaan pada 12 Oktober 1994 namun aktiviti pembinaan dimulakan pada 16 April 1995.

Kos pembangunan Putrajaya menelan belanja sebanyak RM20.5 bilion membabitkan kawasan berkeluasan 4,931 hektar sebelum diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001.

Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan selepas ia ditukarkan dari Kuala Lumpur pada 1999

‘Apa jadi SG4 jika PAS tumbang di Kedah, Terengganu, Perlis?’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 3, 2024 10:38 AM
Seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini tampil mempersoalkan nasib syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group), jika kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) tumbang di satu atau dua negeri yang menubuhkannya.

Menurut Mohd Puad Zarkashi, perkara itu tidak mustahil dan mendakwa langkah itu bukan untuk membantu mana-mana negeri tetapi hanya bermotifkan politik.
“Apa akan jadi kepada Syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan.

“Trengganu, Kedah dan Perlis bukan mustahil dirampas semula oleh BN.

“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Ketua Panel Penasihat SG4, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan dengan membentuk SG4.
Katanya, setiap satu negeri akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.

Menurut Mahathir, syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh pun, seperti Perlis, boleh mendapat hasil.

Malah, katanya, keuntungan dalam SG4 akan diagihkan secara saksama.

Mengulas lanjut, Puad secara sinis menyindir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwanya tidak suka berkongsi.
“Sanusi pula tidak suka kongsi-kongsi. Takut Sanusi kata, ‘Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi’.

“Justeru penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan. Apa lagi penasihatnya adalah Tun (Dr) Mahathir,” katanya lagi.

Semalam, pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor, Sanusi menegaskan pihaknya akan membawa isu tuntutan caj air mentah kepada Pulau Pinang ke mahkamah untuk diputuskan.

Hal itu kerana, Kedah menanggung kerugian yang besar sejak sekian lama dan Pulau Pinang sendiri mencadangkan agar ia dirujuk ke mahkamah.
Ditanya nilai kerugian yang ditanggung oleh Kedah ekoran bekalan air ke negeri jirannya itu, Sanusi berkata: “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi, tak tahulah berapa.”

Monday, September 2, 2024

SG4 terima komitmen pelaburan dari Korea, Jepun dan China

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
- September 2, 2024 @ 4:32pm
Ahmad Samsuri (dua kanan) bersama Mohamad Sanusi (dua dari kiri); Mohd Nassuruddin (kanan) dan Mohd Shukri (kiri) pada sidang media selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bandar Baru Bangi. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

BANGI: Syarikat yang ditubuhkan empat negeri pembangkang, SG4 Group Sdn Bhd sudah menerima komitmen pelaburan daripada beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Jepun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata, jumlah pelaburan berkenaan masih belum boleh diumumkan, sehingga ia dapat direaliasasikan.

"Selain itu, ada juga yang sedang dalam perbincangan dengan China. Jumlah pelaburan itu, saya tak ingin sebut sebab masih pada peringkat awal, mungkin boleh jadi atau tidak jadi.

"Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah pihak, (pelaburan) yang berpotensi pun disebut dalam angka untuk diuar-uarkan.

"Bila direalisasikan, barulah kita sebut angka, jadi banyak lagi masih pada peringkat perbincangan ketika ini," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Terdahulu, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Syarikat berkenaan yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd, akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Mengenai sasaran pelaburan syarikat, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan ditentukan, namun ia mesti angka yang boleh dicapai.

"Kita akan bergerak dalam keadaan semasa yang ada dulu. Tentulah kita nak lihat dari segi angka yang munasabah bagi negeri SG4," katanya.

Mengulas potensi negeri SG4, Ahmad Samsuri menyifatkan ia amat besar, merangkumi bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal, pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon, perdagangan dan ekopelancongan, industri halal dan teknologi kewangan syariah serta pendidikan.

"Pembangunan negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan sumber membuka ruang kepada negeri SG4 yang masih memiliki zon industri yang lebih luas dan kos yang lebih efektif untuk menarik pelaburan berpotensi tinggi," katanya.

Negeri PN bentuk syarikat SG4 Group untuk kongsi kekayaan bersama

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali & Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 2, 2024 12:12 PM
Empat negeri dikuasap PN mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan secara bersama dengan membentuk syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group), kata Dr Mahathir Mohamad.

Dia yang menjadi Ketua Panel Penasihat SG4 - melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis - berkata setiap satu negeri akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.

“Syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh pun, macam Perlis, boleh dapat hasil. Syarikat dah ditubuhkan dan sudah mulakan kerjasama.

“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi (REE) ini satu punca kekayaan.

"Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.

"Justeru dalam satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya pada sidang media Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, hari ini.

Hadir sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga penasihat S4G dan Ketua Whip ahli parlimen pembangkang Takiyuddin Hassan merangkap setiausaha eksekutif S4G, serta semua empat menteri besar.

Mahathir berkata, syarikat yang ditubuhkan itu hanya memberi tumpuan untuk pembangunan empat negeri berkenaan, bukannya membawa haluan lain daripada kerajaan persekutuan.

“Kita bukan nak ubah ke jalan lain, kita nak tumpu kepada pembangunan empat negeri ini yang tidak dapat kekayaan yang sama berbanding negeri-negeri lain.

“Kita juga nak majukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmat daripada kekayaan negara.

“Kita boleh cuba urus FDI (pelaburan langsung asing) dan kalau perlu dapatkan maklumat dan contoh dari negara-negara yang mempunyai model yang baik,” katanya.

Sementara itu Takiyuddin menjelaskan syarikat S4G Group memberi tumpuan kepada lima kluster yang mahu diterokai.

Katanya ia membabitkan kluster infastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan; dan sumber pendapatan baru.

“Setiap kluster dipengerusikan oleh exco kerajaan dari sebuah negeri dan dianggotai exco-exco negeri lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Monday, August 26, 2024

‘Zahid berbohong, tiada siapa panggil saya Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 26, 2024 10:55 AM
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berbohong kerana tiada siapa yang pernah memanggil bekas perdana menteri itu sebagai 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

Plaintif itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tidak pernah mempunyai kad pengenalan (IC) yang memaparkan bahwa dia mempunyai nama seumpama itu.

“Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty, ia adalah satu pembohongan. Tidak ada IC yang menunjukkan nama saya sebegitu sejak saya lahir sehingga saya masuk universiti dan tamat pengajian.

“Tiada siapa pernah rujuk nama saya sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

"Ia tidak pernah ditulis di mana-mana sehingga Zahid membuat kenyataan kononnya dia ada IC Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Itu satu pembohongan Zahid," kata pemimpin berusia 99 tahun itu ketika perbicaraan kes saman fitnah hari ini.

Dia mendakwa presiden Umno itu membuat kenyataan tersebut emasa berucap pada mesyuarat Umno bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Mahathir mendakwa semasa ucapan itu, Zahid mendedahkan salinan kad pengenalan lama plaintif, yang kononnya memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Dalam pernyataan pembelaannya, Zahid menafikan bahawa kenyataan itu berniat jahat, memfitnah atau menjejaskan reputasi awam Mahathir.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa bahawa nama “Mahathir, anak Iskandar Kutty” merujuk kepada individu tersebut berdasarkan maklumat dalam salinan lama kad pengenalan.

Defendan mendakwa dia tidak mempunyai kawalan ke atas mana-mana penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Firma guaman Shahrul Hamidi dan Haziq mewakili Zahid.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bertindak untuk Mahathir.

[Baca berita penuh]

Dr M beri keterangan hari ini dalam saman isu gelaran ‘Kutty’

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-26 Aug 2024, 08:30 AM

Peguam Rafique Rashid Ali berkata pada usia 99 tahun, Mahathir mungkin pengadu paling tua memberi keterangan dalam perbicaraan di negara ini.
Dalam samannya, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan saman terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu kutty membabitkan bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan itu akan dipengerusikan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata Mahathir, 99, mungkin pengadu paling tua memberi keterangan dalam prosiding undang-undang di negara ini.

Beliau akan membaca kenyataan saksi dan bersedia untuk disoal balas oleh peguam Zahid, katanya kepada FMT.

Rafique berkata, seorang lagi saksi mungkin akan memberi keterangan, jika perlu, sebelum Mahathir menutup kesnya.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, dijangka memberi keterangan dan disoal balas esok.

Kami menjangkakan pembelaan akan menutup kesnya pada hari yang sama kerana Zahid merupakan satu-satunya saksi pembelaan, katanya.

Rafique berkata, tidak ada kemungkinan kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah kerana kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.

Perbicaraan, yang pada asalnya dijadualkan pada 13 Feb, ditangguhkan selepas Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan tidak sihat untuk menghadiri prosiding.

Gan mengarahkan agar tarikh perbicaraan awal ditetapkan kerana usia Mahathir.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Mahathir mendakwa, kenyataan tersebut antaranya membawa maksud beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Zahid dalam pernyataan pembelaan berkata nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan lama.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Monday, August 12, 2024

Zahid bukan hero, tak perlu dabik dada selamatkan Umno - Dr M

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 12, 2024
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengaku berjasa menyelamatkan parti itu daripada diharamkan ketika era pentadbiran PH selepas PRU14.

Mahathir menafikan dakwaan Zahid bahawa dia telah cuba untuk mengharamkan Umno, sebaliknya mengingatkan bagaimana parti itu mengalami kekalahan pilihan raya yang paling buruk dan buat kali pertama tersingkir dari Putrajaya.

"Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat Umno.

"Zahid bukan hero. Dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi timbalan perdana menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya," kata Mahathir merujuk ucapan Zahid ketika mesyuarat bahagian Umno Cameron Highlands baru-baru ini.
Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan berjuta-juta ringgit dari Yayasan Akalbudi pada 2018, dan diperintahkan untuk membela diri pada Januari 2022.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan penuh (DNAA).

Sementara itu, Mahathir juga mengingatkan presiden Umno itu pada sekurang-kurangnya dua pertemuan peribadi, dia telah menasihatkan Zahid bahawa parti itu telah menyimpang dari perjuangan asalnya.

"Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal Umno, hak untuk dikenali sebagai parti Umno sudah hilang.
"Oleh itu adalah lebih baik bagi nama Umno tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama Umno.

"Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna Umno," kata Mahathir.

"Saya tidak boleh dijatuh oleh Zahid atau Umno (pimpinan)nya. Parti yang kalah tidak berhak jatuh parti yang menang.

"Selepas berjumpa Zahid kali kedua, beliau cuba jelaskan yang dia tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebar umum. Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau," katanya lagi
Selanjutnya, Mahathir menegaskan dia telah meletakkan jawatan perdana menteri pada Februari 2020 selepas Bersatu - parti yang diasaskannya selepas keluar Umno - enggan mengikut nasihatnya.

"Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan.

"Dan itulah yang saya lakukan," kata Mahathir yang mencapai usia 99 tahun pada bulan lalu.

Peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan peristiwa seterusnya yang berkaitan dengan ‘Langkah Sheraton’ akhirnya menyaksikan pembentukan kerajaan PN di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang pada masa itu bekerjasama dengan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Star.

Saturday, March 16, 2024

PANDUANKINI | Kekayaan, kontroversi Mirzan dan Mokhzani

malaysiakini.com
Yap Si Err
Diterbitkan: Mar 16, 2024 9:28 AM
PANDUANKINI | Dua anak lelaki bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani, sedang disiasat oleh SPRM dan telah diarah mengisytiharkan harta mereka.

Kedua-duanya diketahui aktif dalam dunia perniagaan dan terkenal mempunyai kekayaan yang besar. Tetapi bagaimana mereka meraih kekayaan, dan berapa kekayaan sebenar mereka?

Dalam siri KiniGuide ini, kami menyemak semula perkara yang diketahui umum tentang kekayaan mereka dan kontroversi yang pernah dikaitkan dengan mereka.

Siapa Mirzan dan Mokhzani?

Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah mempunyai empat anak kandung; Mirzan dan Mokhzani adalah anak kedua dan ketiga masing-masing, dengan Marina sebagai anak sulung dan Mukhriz anak bongsu daripada empat mereka.

Pasangan itu juga mempunyai tiga anak angkat: Melinda, Mazhar, dan Maizura.
Mirzan Mahathir
Menurut Bloomberg dan laman web alumni University of Pennsylvania, Mirzan pernah bekerja untuk bank pelaburan yang berpangkalan di AS Salomon Brothers dan kini merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat pegangan pelaburan dan penasihat kewangan Malaysia Crescent Capital Sdn Bhd.

Dia memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat awam dan swasta di Asia Tenggara, termasuk penapis minyak terbesar Filipina Petron dan pengeluar elektronik tempatan Betamek. Dia juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Konsortium Logistics Berhad (KLB).

Sementara itu, Forbes pernah menyenaraikan Mokhzani sebagai antara orang terkaya Malaysia beberapa kali sejak 2007. Forbes meletakkannya sebagai kesembilan terkaya di Malaysia pada 2013, dengan kekayaan lebih RM4.22 bilion daripada industri minyak dan gas.

Dia mengasaskan fabrikasi peralatan minyak Kencana Petroleum, yang kemudiannya menjadi SapuraKencana Petroleum berikutan penggabungannya dengan SapuraCrest pada 2012 dan kini dikenali sebagai Sapura Energy.

Mokhzani dilaporkan telah melepaskan pegangannya dalam SapuraKencana pada akhir 2017.
Perjalanan Mirzan

Pada 1990-an, Asiaweek menilai pegangan Mirzan dalam syarikat awam sahaja melebihi AS$880 juta.

Pencapaian utamanya di Malaysia, selepas pulang dari AS, adalah dalam Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), pendahulu KLB.

Menurut penyata tahunan KLB 1999, Mirzan berjaya meningkatkan perolehan KLB daripada RM100 juta pada tahun 1995 kepada RM417 juta pada tahun 1996, lebih daripada empat kali ganda perolehannya dalam hanya satu tahun. Ia mencecah RM730 juta pada kemuncaknya pada tahun 1997, menarik perhatian daripada pasaran domestik dan antarabangsa.

Malangnya, pengambilalihan dan pengembangan agresif syarikat itu meletakkannya di bawah tekanan hutang yang ketara, dan ia terjejas teruk oleh permulaan Krisis Kewangan Asia 1997. Liabilitinya meningkat kepada RM400 juta.

Sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah yang berterusan, menteri kewangan pada masa itu, Anwar Ibrahim, mendakwa Mahathir telah cuba menyelamatkan beberapa syarikat yang mengalami masalah kewangan di tengah-tengah krisis, termasuk KPB.

Mahathir dikatakan kecewa apabila Anwar enggan dan bimbang tentang potensi memalukan jika perkara itu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

Jadi sebaliknya, Mahathir didakwa mengenepikan kuasa Anwar dengan mengarahkan Petronas menyelamatkan KPB memandangkan syarikat minyak itu berada di bawah bidang kuasanya sebagai perdana menteri.

Anak syarikat Petronas MISC Bhd membeli KPB dengan harga AS$220 juta.
Dr Mahathir Mohamad
Dalam autobiografinya ‘A Doctor in the House’, Mahathir mempertahankan langkah itu, berkata ia bukan cubaan 'bailout' kerana Petronas membeli KPB pada harga rendah dan menjual beberapa kapal pengangkut pada keuntungan yang lumayan apabila industri perkapalan pulih.

Mirzan kekal sebagai pengerusi eksekutif KLB sehingga Ogos 2007, manakala syarikat itu berkembang untuk dikenali sebagai Pos Logistic Bhd hari ini.

Bagaimana dengan Mokhzani?

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa Kenchana Petroleum milik Mokhzani memenangi lesen untuk mereka bentuk struktur luar pesisir daripada Petronas pada 2002.

Dakwaan itu dibuat pada 2020 sebagai tindak balas kepada dakwaan Mahathir bahawa anak-anak Najib mendapat manfaat daripada kontrak kerajaan semasa menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, Mokhzani juga menafikan dakwaan Najib dengan mengatakan bahawa Sapura Kencana Petroleum hanya ditubuhkan pada 2012, selepas Mahathir berundur sebagai perdana menteri.
Mokhzani Mahathir

Namun, bukti daripada penyata tahunan Kencana 2011 mengesahkan bahawa Kencana Petroleum Bhd, sebelum penggabungan dan penamaan semulanya, sememangnya telah memperoleh kontrak Petronas pada 2002 seperti yang didakwa Najib.

Mokhzani juga pernah mengetuai pengeluar gentian optik Opcom Group yang diasaskan oleh adiknya, Mukhriz.

Dalam tuntutan mahkamah, Anwar mendakwa Mohkzani, Mirzan, Mukhriz, dan isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria adalah pengarah syarikat itu dari 1994 hingga 2021.

Dia mendakwa dalam tempoh ini, Mahathir telah menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mempengaruhi keputusan Telekom Malaysia (TM), yang menjalankan rundingan terus dengan Opcom untuk pembekalan kabel gentian optik.

Opcom juga menimbulkan persoalan selepas dianugerahkan kontrak RM11.16 juta daripada TM hanya beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-14 dan Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di bawah gabungan Pakatan Harapan.

TM kemudian menjelaskan keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya berikutan proses tender terbuka.

Kemudian apabila Pelan Gentian dan Ketersambungan Kebangsaan diumumkan pada 2019, harga saham Opcom melonjak di tengah-tengah spekulasi bahawa ia akan menjadi penerima utama projek itu.

Menteri komunikasi dan multimedia pada masa itu Gobind Singh Deo kemudiannya menjelaskan bahawa Opcom tidak boleh membida kontrak itu kerana ia tidak mempunyai lesen yang berkaitan.

Apa kata Mahathir?

Mahathir telah lama menegaskan bahawa kekayaan anak-anaknya adalah hasil kerja keras mereka sendiri dan tidak ada kena mengena dengannya.

“Jika mereka kaya sekarang, ia adalah atas usaha mereka sendiri.

“Mereka berhak menjadi kaya, iaitu jika mereka boleh menjadi kaya. Tetapi beberapa saudara saya miskin seperti tikus gereja,” katanya pada 2018.

Semasa temu bual dengan Asiaweek pada 1998, dia menjawab dakwaan nepotisme dan kronisme dengan berkata kerajaan mesti membantu sektor swasta, terutamanya syarikat milik bumiputera, untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

Dia mencabar penemramah untuk "Beritahu saya mana-mana ahli perniagaan yang tidak rapat dengan kerajaan ini".

Dalam tuntutan mahkamah dengan Anwar, Mahathir menuduh bekas anak didiknya sebagai pembohong yang tidak pernah menunjukkan bukti atas dakwaannya menyalahgunakan kuasa.

Dia menegaskan bahawa Anwar sendiri memberitahu media pada Mac 1998 bahawa pembelian KPB oleh MISC bukanlah 'bailout' tetapi keputusan perniagaan.

Dia juga membantah bahawa Opcom jauh mendahului pesaingnya sebagai perintis dalam membekalkan kabel gentian optik di Malaysia, dengan pelbagai pensijilan ISO untuk menunjukkannya.

Malah, kata Mahathir, Anwar telah mengakui bahawa TM sendiri telah mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom berhubung kontrak gentian optik itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-