-November 4, 2019 2:27 PM

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
KUALA LUMPUR: Seramai 24,600 pekerja sektor swasta diberhentikan kerja sehingga 30 Sept lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, daripada jumlah itu, seramai 21,625 orang terlibat dengan pemberhentian biasa, manakala 2,975 lagi menerima Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).
Seramai 7,944 pekerja daripada sektor pembuatan, sektor aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309), perdagangan, borong dan runcit (2,123), aktiviti kewangan dan insurans (1,748), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (1,049) serta sektor maklumat dan komunikasi (679).
Beliau menjawab soalan Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang ingin tahu jumlah pembuangan pekerja dalam semua sektor sejak tahun lalu serta bilangan peluang pekerjaan yang diwujudkan sepanjang tahun ini.
Bagi 2018, Kula berkata, 23,168 pekerja yang diberhentikan melibatkan 17,236 pemberhentian biasa dan 5,932 VSS.
Mengenai bilangan peluang pekerjaan, beliau berkata, sehingga Ogos lepas, kekosongan pekerjaan yang didaftarkan majikan bagi kategori siswazah sebanyak 50,326 jawatan, manakala 642,798 kekosongan jawatan untuk kategori bukan siswazah.
Katanya, lebih 20,000 pengiklanan dilakukan majikan aktif yang menawarkan pelbagai jawatan di semua kategori pekerjaan sektor awam dan swasta.
“Portal JobsMalaysia (JMC) di bawah kementerian ini merupakan portal rasmi pasaran pekerja untuk pencarian dan penawaran pekerjaan melalui sistem padanan kerja secara ‘web-based’. Setiap pencari kerja berpeluang mendapatkan pekerjaan dan majikan pula berpeluang mendapatkan calon sesuai.
“JMC di seluruh negara menawarkan pelbagai informasi kekosongan pekerjaan dan perkhidmatan khidmat nasihat pekerjaan kepada pencari kerja.
“Majikan dan pencari kerja juga berpeluang menyertai karnival pekerjaan di seluruh negara, termasuk program temu duga terbuka di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara sepanjang tahun,” katanya.
tak mahu kerja dh wak, nk pencen pulak
ReplyDelete