Monday, January 13, 2020

Hina permaisuri: Pemimpin diam diri, tak bertanggungjawab

Jual kestabilan negara demi politik peribadi, parti tidak boleh diterima

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
13/01/2020


BANGI, 17 Jamadilawal 1441H, Isnin – Kegagalan pemimpin hari ini untuk bertegas terhadap elemen antinasional serta penyuburan sifat cauvinis secara sistematik yang diwariskan kepada generasi muda sama ada secara pendidikan atau budaya, menyebabkan perpaduan negara bagaikan retak menanti belah.

Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Eqwan Roslan berkata demikian mengulas isu cercaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berlegar di media sosial terutama dalam kalangan netizen berbangsa Cina.

Eqwan berkata, sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin negara dalam isu penghinaan terhadap baginda, bukan sahaja menunjukkan bahawa mereka memiliki sifat tidak bertanggungjawab, bahkan menyumbang ke arah masalah yang melanda.

“Sikap seperti ini amat merisaukan. Jika dilihat dengan teliti hinaan-hinaan yang dibuat, ia memberi gambaran ia berlegar di sekitar menentang identiti nasional dan diterapkan kepada kaum Cina.

“Pemuda ISMA risau dengan kestabilan masa depan negara yang bakal diwarisi anak muda,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Ismaweb.net melaporkan bahawa terdapat sebuah halaman di Facebook dipercayai menjadi medan netizen dalam kalangan orang Cina menghina Raja Permaisuri Agong.

Pengguna dikenali sebagai Nengtung Ting difahamkan mencerca, Tunku Azizah susulan tindakan baginda yang menggunakan tulisan jawi di Twitter sebagai langkah untuk memperkasakan tulisan berkenaan.

“Nenek sihir yang rasis,” kata Ting dalam tulisan mandarin.

Mengulas lanjut, Eqwan berkata, pemimpin yang gagal bertegas dalam hal ini kemungkinan besar akan merasai kemusnahan di masa hadapan.

“Menjual kestabilan masa depan negara bagi kedudukan politik peribadi dan parti pada hari ini adalah sikap yang penting diri dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, katanya, hala tuju dan tindakan yang lebih konkrit diperlukan dari pemimpin termasuklah pendirian kerajaan dan tindakan pihak berkuasa untuk bertindak ke atas penghina Raja Permaisuri Agong dan memantau aktiviti mereka di laman sosial.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-