Monday, March 2, 2020

Muhyiddin mula tugas sebagai perdana menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama beliau tiba di pejabatnya bagi memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali (tiga, kiri). Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua, kiri). 
Foto BERNAMA

AGENDA

PUTRAJAYA, 2 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.

Beliau memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, tepat pukul 8 pagi bagi memulakan tugas secara rasmi sebagai perdana menteri.

Muhyiddin disambut Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali ketika tiba di Perdana Putra sebelum dibawa ke aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari pertamanya, Muhyiddin mempunyai jadual temujanji dengan Mohd Zuki, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-