Tuesday, May 26, 2020

Masalah pemandu mabuk semakin parah, cadangan Menteri tidak praktikal, Pas pula membisu

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
May 26, 2020 5:50 pm


Kerajaan digesa untuk lebih bertanggungjawab menyelesaikan isu pemandu mabuk ketika ini yang menyebabkan kecederaan dan kematian membabitkan orang awam tidak bersalah.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sama sekali dilihat tidak prihatin dalam menangani isu pemandu mabuk.

Dakwanya, kerajaan lebih banyak membisu dan gagal memberikan sebarang penyelesaian praktikal ke atas masalah yang timbul biarpun kes kemalangan disebabkan pemandu di bawah pengaruh alkohol telah meragut banyak nyawa.

Lebih-lebih lagi apabila Pemuda Pas dalam satu rakaman videonya pula dilihat langsung tidak memperjuangkan pengharaman penjualan arak, berbeza tingkahnya seperti semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Pemuda Pas pula kini membuat pusingan U. Dalam satu video yang viral, Naib Pemuda itu menyatakan arak dibenarkan dijual kerana ianya pendapatan negara.

“Tiada lagi suara-suara mahu menghalang arak daripada dijual. Mengapa sikap Pas berubah setelah menjadi kerajaan?

“Apakah setelah dilantik menjadi Menteri MEWA, mendapat (jawatan) GLC, (Timbalan Presiden) Tuan Ibrahim dan Pemuda Pas lupa dengan perjuangan mereka?,” soalnya sambil membangkitkan kenyataan Wee Ka Siong yang pernah mencadangkan agar individu mabuk menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat kurang bijak dan ala kadar sebagai respon kepada isu yang timbul ketika ini.

Kerana pada hakikatnya Shazni berkata, pemandu E-hailing juga tidak mahu mengambil risiko membawa penumpang mabuk dalam kenderaan mereka.

Sebaliknya, cadangan Menteri Pengangkutan itu dikatakan hanya akan memberi ruang kepada jenayah lain yang akan berlaku.

Sementara itu, Shazni berpendapat, adalah lebih baik agar PN meneruskan usul PH yang mahu meminda undang-undang berkait pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

“Namun, setelah Langkah Sheraton merompak mandat rakyat, pindaan ini tidak dapat dibawa ke Dewan Rakyat seperti dijadualkan.

“Malah dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini, usul ini tidak dibawa kerana keengganan kerajaan mengadakan sidang Parlimen lebih lama.

“Inilah kesannya pengkhianatan mandat rakyat yang akhirnya menyaksikan nyawa rakyat terus diancam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Semalam, seorang kakitangan Alam Flora maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dalam kejadian jam 9.38 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Terdahulu awal bulan Mei ini juga, seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-