Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, May 25, 2020

Sampai Bila Kita Perlu Dadapi Isu Pemandu Mabuk? – MCCF


KUALA LUMPUR – Sampai bila kita akan terus dihidangkan dengan insiden-insiden pemandu mabuk memandu dalam keadaan cuai sehingga ada kes meragut nyawa.

Makin lama semakin kerap pula, seolah-olah golongan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk itu tidak menjadi isu sebelum ini dan selama ini.

Beberapa minggu lepas, seorang anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maut dilanggar pemandu mabuk.

Pemandu itu juga ketika didakwa di mahkamah mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan walhal nyawa yang melayang itu sudah pastinya tidak akan kembali.

Kelmarin kita digemparkan pula dengan kejadian dua orang awam cedera selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai dipandu lelaki mabuk di tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Semalam juga ada kes pemandu mabuk melanggar pengguna jalan raya.

Presiden Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak ketika bercakap kepada MalaysiaGazette melahirkan rasa kecewa, binggung, marah dan tidak terdaya melihat golongan pemandu mabuk masih lagi ‘bermaharajalela’ ketika ini.

“Hukuman sedia ada sebenarnya tidak cukup menggerunkan, kerana itulah mereka seolah-olah tidak kisah dengan perlakuan memandu dalam keadaan melebihi paras alkohol. Pandu dalam keadaan cuai sehingga mendatangkan musibah kepada yang tidak bersalah.

“Mengapa tidak kerajaan gubal undang-undang hukuman lebih berat selain daripada setakat denda dan gantung lesen? Patutnya pihak berkuasa kaji serta gubah semula hukuman serta turunkan kandungan peratus alkohol seperti yang di dilulus badan antarabangsa.

“Tidak perlu pergi jauh, kita lihat sahaja statistik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah banyak kes pemandu mabuk di siarkan di media sosial sehingga meragut nyawa seorang pegawai yang menjalankan tugas SJR di Kajang awal bulan.

“Semalam pula ada dua kes melibatkan pemandu mabuk yang di viralkan oleh netizen di media sosial. Jadi soal saya, sampai bila kita perlu terus tengok sahaja? Bila didakwa di mahkamah, ada juga yang ‘terlepas’,” katanya.

Sambungnya lagi, ada baiknya jika minuman dengan kadar alkohol tinggi terus diharamkan sahaja penjualannya sekaligus.

“Jika tidak boleh gubal undang-undang dengan lebih keras dan tegas, apa kata jual hentikan sahaja penjualan arak dengan kandungan alkohol tinggi? Buatlah sesuatu supaya nyawa-nyawa orang tidak bersalah ini dapat di selamatkan. Tolonglah.

“Jika tidak, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat perlu mengkaji dan mengubah bentuk hukuman kesalahan menurut undang-undang Pengangkutan Jalanraya 1987 (Akta 333) dengan segera.

“Sewajarnya mereka yang melakukan kesalahan memandu dalam pengaruh alkohol perlu di kenakan hukuman yang lebih berat sebagai pengajaran berbanding hukuman sedia ada. Banyak keburukan daripada kebaikan, jadi patutnya perlu fikir panjang,” ujarnya.

Sambil itu, Halim menggesa agar pemandu di negara ini untuk lebih berhati-hati memandu terutamanya ketika musim perayaan.

“Semoga jumlah kematian kemalangan di jalanraya tidak melebihi jumlah kematian disebabkan wabak Covid-19. Sakit hati sebenarnya kerana kecuaian dan golongan pentingkan diri minum minuman keras tanpa had, mangsanya adalah golongan tidak bersalah,” tegasnya.

 – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-