Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

Polis tahan penjual jagung, isteri berhubung notis rasis

malaysiakini.com
Hariz Mohd dan Haspaizi Zain
Diterbitkan: Feb 18, 2025 
Polis telah menahan seorang penjual jagung dan isterinya berhubung satu notis yang berunsur perkauman di Kota Warisan, Sepang, Selangor, yang mencetuskan kemarahan di media sosial dan dikutuk oleh pelbagai kumpulan.

Penjual yang sejak itu membuat permohonan maaf, dan isterinya ditahan semalam.

Dia yang dikenali sebagai Abdul Aziz Musa dilaporkan berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.

Walaupun penjual jagung itu yang kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, isteri warga Indonesia lelaki tersebut masih dalam tahanan kerana dokumen perjalanan yang tamat tempoh.
Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata penjual itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan, manakala isterinya dipanggil sebagai saksi.

"Kami sedang melengkapkan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Hujung minggu lalu, satu rakaman video tular di media sosial selepas seorang penjaja tepi jalan didapati meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dengan penjaja terbabit meletakkan notis yang berunsur rasis.

Video itu menjadi tular dan mengundang rasa berang pelbagai pihak yang mahu tindakan segera diambil.

Antara mereka, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang berkata, tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Adun Merlimau itu tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.

“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

Sunday, January 26, 2025

Suspek ugut Harith Iskander direman hingga Selasa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 26, 2025 9:27 AM
Individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes mengugut bunuh Harith Iskander dan keluarganya kini direman sehingga 28 Jan ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihak berkuasa sudah mendapat kebenaran menahan reman lelaki terbabit daripada mahkamah semalam.

Katanya lelaki berusia 31 tahun berkenaan dipercayai membuat dua ugutan ke atas pelawak dan pelakon berkenaan serta keluarganya masing-masing pada pada 21 Jan, serta 17 Jan.

"Lelaki itu mengugut untuk membunuhnya (Harith Iskander) dengan cara kasar selepas mangsa mengeluarkan kenyataan mengenai isu ham," katanya dipetik BH Online hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan persembahan Harith Iskander di Dewan Filharmonik Petronas - sepatutnya berlangsung malam tadi - dibatalkan selepas keluarganya menerima ugutan bunuh.

Pembatalan itu disahkan bekas isteri Harith Iskander yang juga merangkap pengurusnya ketika ini, Dr Jezamine Lim.

“Baru-baru ini saya menerima ugutan bunuh yang ditujukan kepada saya, tetapi apa yang lebih mengejutkan dan menakutkan saya adalah ancaman penderaan yang keji terhadap anak-anak kami.

“Disebabkan ancaman ini dan serangan dalam talian tanpa henti daripada individu tertentu, DFP (Dewan Filharmonik Petronas) dan keluarga kami bersetuju bahawa, demi keselamatan, adalah lebih baik untuk tidak meneruskan persembahan seperti yang dirancang,” katanya.

Menurut Razarudin, laporan polis berhubung ugutan tersebut dibuat Jezamine di Balai Polis Dang Wangi dua hari lalu.

"Kami telah merampas telefon bimbit suspek untuk memudahkan siasatan lanjut," katanya.

Tuesday, October 29, 2024

Polis siasat insiden kibar bendera asing di Johor Bahru

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
29 Oct 2024, 11:13 AM

Program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan di Sentosa itu kelmarin menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata siasatan termasuk di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap insiden tular pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, Johor Bahru malam kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima satu video tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar.

Menurutnya, program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan itu menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.

“IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu laporan polis berhubung pengibaran negara luar dalam perarakan itu pada 3 petang semalam.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil penganjur dan saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Johor Bahru selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Tuesday, July 23, 2024

Kerajaan tak perlu polis tangani kritikan, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
23 Jul 2024

Bekas menteri undang-undang itu berkata tidak perlu tindakan drastik sedemikian terhadap pengkritik.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kerajaan mempunyai sumber yang diperlukan untuk menentang pengkritik.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak memerlukan sokongan pasukan polis terhadap kritikan kerana ia mempunyai sumber untuk menentang pengkritik, kata seorang bekas menteri undang-undang.

Zaid Ibrahim berkata Putrajaya boleh menggunakan sumber dan platform media sosialnya untuk menyampaikan maklumatnya sendiri, malah propaganda juga.

Mengapa pemimpin begitu paranoid terhadap kritikan? tambahnya dalam hantaran di X.

Zaid mengulas laporan seorang peguam yang disiasat atas tuduhan menghasut selepas menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘scammer’ kerana gagal mengotakan janji.

Rafique Rashid Ali telah membuat ucapan itu semasa perhimpunan antikerajaan pada bulan Jun.

Zaid berkata adalah tidak adil dan tidak wajar untuk menggelar Anwar sebagai ‘scammer’ kerana perdana menteri telah mengambil beberapa tindakan positif untuk memulihkan industri, seperti menarik pelabur ke negara ini untuk mewujudkan hab bagi semikonduktor mewah.

Beliau berkata Anwar juga telah membantu banyak projek infrastruktur di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan ke atas Rafique adalah tidak wajar, menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Beliau berkata Anwar sendiri pernah berkata Akta Hasutan hanya akan digunakan untuk membendung isu berkaitan 3R kaum, agama dan raja.

Saya menggesa perdana menteri untuk memberitahu polis supaya melepaskan peguam itu dan terus bercakap tanpa halangan, katanya.

“Ia bagus untuk imej Anwar sendiri.

Saturday, March 30, 2024

Video diedit larang sebut kafir - Fadhlina terima ugutan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 30, 2024 9:03 PM
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerima ugutan di alam maya susulan perkongsian video dan imej yang telah diedit pada hantaran di Facebook dan tular di media sosial.

Hantaran yang tular itu menuduh Fadhlina menyebut "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah" dan "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah saya."

Lantaran itu, Fadhlina berkata pihaknya telah melaporkan kepada pihak berkuasa dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

"Ujaran kebencian, tuduhan tidak benar, malah ancaman keselamatan diterima di alam maya.

"Laporan polis telahpun dibuat, atas faktor keselamatan.

"Manakala atas nasihat pasukan peguam, kesemua bukti daripada hantaran, komentar, dan mesej peribadi di media sosial yang pelbagai sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil.

"Mungkin ada yang memang bertindak dengan sengaja, ada pula bertindak melulu atas kejahilan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan setiausaha politik kepada menteri pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin telah membuat laporan polis susulan hantaran tular itu.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Atiqah berkata hantaran tersebut telah menyebabkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

"Saya bimbang keselamatan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana isu ini akan menjadi isu 3R (kaum, agama dan raja-raja)," katanya pada laporan itu.

Thursday, March 21, 2024

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Thursday, March 7, 2024

Nota 'jangan cabar Islam" ditabur di luar rumah ibu bapa Nga

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2024 3:21 PM
Salinan nota bertulis tangan memberi amaran Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming supaya "jangan cabar Islam" bertaburan di luar kediaman ibu bapanya di Ayer Tawar, Perak.

Ibunya, yang menemui nota itu telah membuat laporan polis.

Menurut Sin Chew Daily, Nga, yang berada di Hong Kong atas utusan rasmi berkata dia akan menyerahkan perkara itu kepada polis.

Bagaimanapun, menteri itu memberitahu pihak di sebalik kejadian itu supaya tidak menyusahkan keluarganya terutama ibu bapanya yang sudah tua.
Sebelum ini, bom molotov dilemparkan ke rumah sepupunya Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, yang juga terletak di Ayer Tawar.

[Berita penuh menyusul]

Bekas pegawai kerajaan dakwa wang simpanan dalam Tabung Haji lesap

 hmetro.com.my

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
JABIDAH menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan wang simpanannya. FOTO Mohd Roji Kawi

Kuching: Bekas pegawai kanan kerajaan kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018.

Bagaimanapun, kehilangan wang itu hanya disedari Datuk Jabidah Monseri, 66, pada 30 November tahun lalu.

Jabidah berkata, selepas bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2017, beliau ditawarkan jawatan baharu sebagai Pengerusi Unimas Holdings iaitu anak syarikat milik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"Berikutan terlalu sibuk dengan tugas baharu, saya tidak mengemaskini akaun Tabung Haji, tambahan pula saya amat yakin dengan keselamatan wang yang disimpan di Tabung Haji.

"Pada 2019, saya dilantik pula sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dan saya bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji," katanya kepada wartawan NSTP.

Menurutnya, pada November tahun lalu, beliau terjumpa semula buku akaun Tabung Haji itu.

"Saya kemudian ke pejabat Tabung Haji di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun saya itu.

"Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74, sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000," katanya.

Menurutnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank, manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.

Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).

Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.

Berikutan itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita di sini, pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga kini, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.

"Saya mengharapkan pihak Tabung Haji memberi maklum balas dan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan saya itu," katanya.

Disiarkan pada: Mac 7, 2024 @ 9:12am

Monday, March 4, 2024

Ingatkan polis tak perlu lagi permit berhimpun, Maria Chin beritahu KDN

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
 - 04 Mar 2024, 10:00am

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 permit tidak diperlukan lagi untuk mengadakan perhimpunan aman.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata penganjur hanya perlu maklum kepada polis, dan mereka tiada kuasa untuk menolaknya.

PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen PKR menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain “memperbetulkan” pemahaman bahawa permit polis tidak lagi terpakai untuk perhimpunan awam.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur hanya perlu memaklumkan kepada polis sebelum perhimpunan diadakan.

Tegasnya, mengikut akta yang diwartakan 12 tahun lalu itu, polis tidak lagi mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perhimpunan.

“KDN dan KPN mesti membetulkan polis dan memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan mereka.

“Polis perlu dilatih semula dalam cara menangani perhimpunan serta mempunyai pemahaman yang lebih lengkap tentang apa yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat berdemokrasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas tindakan polis yang didakwa enggan menerima notis perhimpunan dihantar jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini.

Semalam WMMY mendakwa pihaknya berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk memohon kebenaran mengadakan perhimpunan namun ditolak tanpa sebarang alasan.

WMMY diadakan setiap tahun sempena Hari Wanita Sedunia. Tahun ini perhimpunan itu dijadual diadakan pada Sabtu ini berdekatan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan selepas Akta Perhimpunan Aman 2012 diwartakan bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967.

Seksyen 9(1) menyatakan penganjur perlu memaklumkan pegawai yang bertanggungjawab dalam daerah polis di mana himpunan akan diadakan, lima hari sebelum himpunan tersebut diadakan.

Thursday, January 11, 2024

Rumah Ngeh Koo Ham dibakar: Polis rakam keterangan 7 individu

hmetro.com.my
Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
Kediaman dan tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini terbabit kebakaran. FOTO BOMBA

Manjung: Polis sudah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang dipercayai berunsur khianat, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat.

"Tujuh orang sudah diambil keterangan, termasuk dua jiran yang dilaporkan membunyikan loceng kediaman mangsa, namun tiada lagi tangkapan dibuat setakat ini.

"Kami akan terus memantau dan mempertingkatkan lagi rondaan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, pihaknya sedang menunggu keputusan laporan 11 sampel yang diambil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

NGEH Mohd Yusri sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal di tempat kejadian menemui satu botol disyaki 'molotov cocktail' yang dipercayai dibaling ke kediaman Ngeh di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini.

Pada kejadian jam 2.55 pagi itu, Mercedes Benz E300 milik Ngeh musnah terbakar, dua lagi kereta dan syiling di perkarangan rumahnya turut terbakar.

Ketika kejadian, Ngeh dan isteri sedang tidur di tingkat atas sebelum terjaga kerana deringan loceng rumah yang dibunyikan berkali-kali oleh jiran mereka.

Disiarkan pada: Januari 11, 2024 @ 1:18pm

Monday, December 18, 2023

Langgar lari: DSP Nazri didakwa bunuh pelajar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 18, 2023 10:13 AM
Seorang pegawai kanan polis hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang memasuki mahkamah sambil kepala ditutup dengan kain, berbaju putih dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya Azlina Rasdi (Ketua), Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said, Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Timbalan Pendakwa Raya J.S. Geetha dan Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui.

Sementara tertuduh diwakili peguam Low Yap Loong.

Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Feb 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berkaitan, antaranya laporan kimia.

Pada 15 Dis lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Zaharif meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula Sabtu, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang mangsa Zarul Fitri, 29, dilihat berlinangan air mata ketika mengikuti sesi pertuduhan tersebut.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan mahkamah apabila keluarga Muhammad Zaharif tiba bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

Bapa saudara mangsa Abdul Razak Judin, 48, ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah berkata beliau bersama dua lagi saudara yang lain, hadir bagi mendengar pertuduhan kes hari ini.

“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa, Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Puluhan anggota polis turut dilihat mengawal sekitar perkarangan mahkamah, dan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai kanan polis terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Thursday, September 21, 2023

Muhyiddin ‘menghadap’ polis lagi, siasatan 3 jam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 21, 2023 1:36 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini ‘menghadap’ polis lagi bagi membantu siasatan berkaitan kes 3R (agama, raja dan kaum).

Media melaporkan disiasat di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Kuala Lumpur.

Dia hadir pada jam kira-kira 9.15 pagi dan dan beredar kira-kira jam 12 tengah hari, hampir tiga jam.

Anggota parlimen Pagoh yang juga presiden Bersatu itu tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat Muhyiddin bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 serta Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada 3 September lalu, dia dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah semasa kempen pilihan kecil raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.

Dia antaranya berkata orang Melayu tidak lagi menguasai kerajaan.

Monday, September 4, 2023

Polis rakam keterangan Abdul Hadi hari ini

bharian.com.my
Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
September 4, 2023
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipercayai berkaitan kenyataannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan, pagi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata proses rakam keterangan ke atas Abdul Hadi dijadual bermula jam 9.30 pagi tadi.

Proses merakam keterangan terhadap Abdul Hadi dilakukan pada hari ini selepas proses yang sepatutnya dijalankan pada kelmarin, tertangguh.

"Pegawai khasnya memaklumkan (Abdul Hadi) masih dalam rawatan kesihatan.

"Tarikh baharu diberikan (kepada Abdul Hadi) pada 4 September (hari ini) jam 9.30 pagi," katanya.

Difahamkan, proses rakam keterangan oleh Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu dijalankan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut di sini.

Kelmarin, BH melaporkan polis menangguhkan janji temu untuk merakam keterangan Abdul Hadi selepas dimaklumkan, Presiden PAS itu berada dalam keadaan uzur dan meminta proses berkenaan ditangguhkan.

Proses rakam keterangan ke atasnya susulan siasatan polis berkait kenyataan beliau yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar minggu lalu.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (duluTwitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Tuesday, July 18, 2023

Polis tahan Sanusi jam 3 pagi tadi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 8:19 AM
Polis dilaporkan telah menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di sebuah hotel di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Menurut portal Berita Harian, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan penahanan itu oleh sepasukan polis dari USJT dan D7, JSJ Bukit Aman.

Sanusi dikatakan ditahan ketika berada dalam sebuah bilik di tingkat 33A, di hotel berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial berita penahaan Sanusi susulan rakaman sebuah video daripada seorang pegawai Adun Jeneri itu, Helmi Khalid mengenai tahanan berkenaan.

Sanusi kemudiannya dilaporkan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Menurut Helmi, Sanusi ketika itu baharu sahaja pulang dari mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Menurut kronologi ditunjukkan itu, pada jam 2.30 pagi, lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Sanusi.

“YAB MB dibawa keluar dari bilik penginapan ke bawah. YAB diarah menaiki sebuah MPV menuju ke Balai Polis IPD Gombak,” dakwanya.

Berdasarkan maklumat laman sesawang mahkamah, nama Sanusi tertera dan dia dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi, pagi ini.

Prosiding pendakwaan akan dilakukan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Media sebelum ini melaporkan, Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan yang menghina Sultan Selangor.

Menerusi video itu, pemimpin PAS itu turut didakwa memperlekehkan pelantikan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.

Sunday, July 2, 2023

Polis P Pinang buka kertas siasatan kes azan 'terlalu kuat'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 2, 2023 8:25 AM
Polis membuka kertas siasatan berhubung laporan terhadap seorang lelaki yang meminta memperlahankan laungan azan kerana mendakwa ia terlalu kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar di Sungai Puyu, Butterworth.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Siti Nor Salawati Saad berkata kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis telah terkesan melalui media sosial pada hari ini berhubung penyebaran menuntut agar masyarakat Islam memberi sokongan dan bantahan berkaitan isu pembesar suara laungan azan di Sungai Puyu, Butterworth dalam daerah SPU.

"Sebelum ini pada 28 Jun satu laporan polis telah dibuat oleh seorang penduduk tempatan berkaitan tindakan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali memintanya memperlahankan laungan azan kerana mendakwa terlalu kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Siti Nor Salawati berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi kemarahan yang boleh menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awam.

Katanya polis juga boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

Wednesday, March 22, 2023

Acara ‘Thai Hot Guy’ batal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 22, 2023 5:02 PM
Acara pembukaan sebuah kelab malam yang menampilkan ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan susulan amaran keras pihak polis dan bantahan pelbagai pihak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata mereka telah memberikan amaran keras kepada penganjur dalam pertemuan pada awal petang ini.

“Amaran keras telah diberikan oleh pihak polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

Sementara itu, Ashari mendedahkan setakat pukul empat petang hari ini, polis menerima 60 laporan yang membantah penganjuran program berkenaan.

“Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

Friday, March 17, 2023

Kertas siasatan kes guru dorong murid peluk Islam masih belum lengkap

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 17, 2023 1:54 PM
Siasatan ke atas kes seorang pelajar didakwa diajak memeluk Islam jika mahu peluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan masih belum selesai meskipun sudat berlarutan lebih sebulan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata Bukit Aman pada 16 Mac lalu mengarahkan supaya siasatan lanjut dilakukan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Ketua Penolong Pengarah D5, Bukit Aman dan telah diterima semula oleh pihak Bahagian Siasatan Daerah Cheras semalam dengan arahan lanjut siasatan.
ACP Zam Halim Jamaluddin
“Kertas siasatan lengkap akan diedarkan semula ke Bukit Aman pada 20 Mac ini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan keluarga bahawa mereka tidak mendapat sebarang maklumat berhubung kes itu.

Awal Februari lalu, satu laporan polis dibuat terhadap seorang guru selepas ibu bapa mendakwa anak mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dipujuk memeluk Islam, dengan alasan ini mampu meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Guru berkenaan juga didakwa telah mencadangkan beberapa nama Islam untuk dipilih oleh remaja berusia 15 tahun itu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Kementerian Pelajaran (KPM) juga dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman.
Arun Dorasamy
Sebelum ini Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy yang mewakili pihak keluarga berkata bahawa pihaknya bersiap sedia membawa isu itu ke mahkamah sekiranya tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.

"Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan dalam kes ini. Pihak penguatkuasa tidak telus. Kami tidak diberitahu sebarang maklumat mengenai kes ini.

"Ibu bapanya berasa bimbang untuk menghantar budak itu semula ke sekolah.

Arun juga berkata pihaknya berasa pelik dengan tindakan polis menghantar kertas siasatan ke Ibu Pejabat Kontigen untuk tindakan selanjutnya.

"Saya rasa kes ini tidak begitu rumit. Ini bukan skandal 1MDB.

"Polis telah datang ke sekolah bagi menjalankan siasatan ke atas beberapa pelajar dan guru. Semua prosedur telah dilakukan dan mengikut laporan media kertas siasatan telah telah diserahkan kepada IPK.

"Saya tidak tahu mengapa mereka perlu mengemukakan kepada IPK. Ia sepatutnya pergi ke pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya. Kelihatan seperti polis sedang menunggu untuk NFA (tiada tindakan lanjutan)," katanya.

Malah, kata Aun, pihak keluarga murid berkenaan memandang serius kelewatan pihak berkuasa bertindak dalam kes ini.

"Ini kes serius, ada pihak menyalahgunakan fasiliti sekolah berdakwah kepada murid bawah umur," katanya.

Pada 23 Feb, Zam Halim memberitahu Malaysiakini bahawa kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Thursday, March 9, 2023

Bukit Aman siasat Hadi berkait kenyataan jatuhkan kerajaan

freemalaysiatoday.com
Bernama 
- 09 Mar 2023, 2:49pm

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden PAS itu.
Polis menerima laporan terhadap Abdul Hadi Awang yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas dalam sidang media di IPD Sentul, ketika diminta mengulas perkembangan isu itu.

Laporan polis itu dibuat Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua PKR Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Hadi yang mengaku terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadi pada Isnin ketika ditemu bual media di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau akuan berkanun (SD).

Tuesday, February 21, 2023

Adakah cinta kepada Islam jadi kesalahan zaman Malaysia Madani?

agendaily.com
21/02/2023
Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Polis mengesahkan perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang turut membawa replika senjata seperti pedang dan lembing adalah salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata replika dan warisan Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin turut berterima masih kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang mengesahkan gambar yang tular di media sosial sebenarnya acara perarakan yang dipertandingkan.

Beliau berkata, kenyataan itu sekali gus menjawab tohmahan jahat seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengkaitkan Cosplay Himpunan ‘HIMPIT’ di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat mengikut Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan juga ada yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’.

“PAS menegaskan bahawa himpunan HIMPIT di Terengganu adalah satu Manifestasi Semangat Sayang Kepada Perjuangan Para Sahabat dan cinta kepada Islam dengan pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam di zaman para sahabat Rasullullah SAW.

“Apakah cinta kepada Islam agama sejahtera itu sudah salah di zaman pemerintahan Malaysia Madani?

“Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada PAS dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak khususnya pemimpin kerajaan PH-Barisan Nasional (PH-BN) menyerang PAS setelah gambar perarakan itu ditularkan media sosial dan media massa, sehingga Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, membuat laporan polis.

Raja Kamarul Bahrin berkata tindakan kumpulan itu disifatkan sebagai ekstrem dan boleh menggugat keharmonian antara kaum bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara.

“Acara perarakan di jalanan secara terbuka dengan memakai pakaian perang dengan membawa peralatan berbentuk seperti pedang dan lembing adalah satu bentuk intimidasi yang boleh menimbulkan kerisauan orang ramai.

“Kami lihat Pas kini semakin berani menunjukkan sikap ekstrem mereka secara terangan-terangan tanpa memikirkan kesan terhadap perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

Malah, memetik laporan Mkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerajaan PH-BN, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata beri gambaran tidak baik kepada agama dan negara.

“Perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara,” kata Mohd Na’im.

Monday, December 5, 2022

Segerakan juga siasat pemimpin PH main isu sensitiviti umat Islam: Hadi

agendaily.com
5/12/2022
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap kepada media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini (5 Disember 2022). - Gambar Agenda Daily

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membuat kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Barulah adil,” kata Presiden PAS itu.

Pada masa sama Abdul Hadi melihat tindakan memanggil beliau memberi keterangan ‘dengan cepat’ setelah laporan polis dibuat terhadapnya, sebagai langkah aktif kerajaan baharu PH-UMNO pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekarang adalah giliran saya (beri keterangan kepada polis)… saya nampak kerajaan baharu ini sangat aktih… proaktif.

“Saya juga minta supaya giliran pihak lain… (siasatan terhadap) pihak PH (membuat kenyataan) yang menyentuh umat Islam juga mesti disegerakan.

“Siasat sama… baru adil… kita tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, selepas memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat terhadap beliau.

Abdul Hadi disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menjawab soalan, Abdul Hadi berkata pihak PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pernah membuat laporan berhubung kenyataan pemimpin PH yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada akan dipanggil memberi keterangan lagi atau tidak, selain pihak polis juga tidak merampas apa-apa barang, termasuk telefon bimbitnya.

Mengulas kenyataan Ahli PArlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu merujuk kepada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sekurang-kurangnya untuk PRU akan datang… kita lihat pengaruh yang kita ada sekarang. Kita lonjakkan lagi (sokongan).

“Kita juga akan lihat kepada perkembangan apakah tindakan kerajaan… kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan yang ada hari ini,” katanya.

Menjawab soalan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Abdul Hadi berkata PAS dan Perikatan Nasional akan berbincang dengan menteri besar negeri berkenaan dalam masa terdekat.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-