Tuesday, June 30, 2020

Jeffrey Chew ditahan bantu siasatan kes rasuah terowong dasar laut

MyMetro
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

JEFFREY Chew. FOTO Arkib NSTP

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, menahan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sumber SPRM berkata, bekas Timbalan Bendahari DAP Pulau Pinang itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, dekat Georgetown, 2 petang, tadi.

"SPRM menyiasat kes terowong itu selepas mendapat bukti baharu. Ramai saksi sudah dipanggil termasuk Chew dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang selain individu dari pejabat kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk direkod percakapan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Difahamkan, Chew akan didakwa di mahkamah, esok.

Beberapa pegawai SPRM turut dipercayai sedang membuat pemeriksaan di kediaman bekas Pengerusi PPC itu di Batu Ferringhi.

Bagaimanapun sumber enggan mengulas lanjut siapa lagi yang akan bakal ditahan.

SPRM dalam satu kenyataan 4 Mac tahun lalu, suruhanjaya itu mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

"Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

"Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM," katanya dalam satu kenyataan, pada 4 Mac tahun lalu itu.

Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu yang dikata berdasarkan kertas siasatan SPRM, mendakwa Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat Exco Kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut kerana projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka, sekali gus tidak memungkinkan wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 9:03 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-