Showing posts with label SPRM. Show all posts
Showing posts with label SPRM. Show all posts

Monday, March 17, 2025

KATA MP l Terserlah kepincangan nyata siasatan kes Ismail Sabri

malaysiakini.com
Hassan Abdul Karim
Diterbitkan: Mar 17, 2025 
KATA MP l Saya pernah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) bagi memantau perjalanan SPRM.

Saya lihat banyak perkara yang aneh yang dilakukan oleh SPRM dalam hal proses penyiasatannya terhadap mantan perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob. Siasatan belum selesai tetapi perdana menteri kesembilan itu telah awal-awal lagi dianggap suspek.
Hassan Abdul Karim
Kalau suspek bermakna SPRM telah menangkap Ismail Sabri. Tetapi dia belum lagi ditahan.

Orang yang dipanggil untuk siasatan digelar OYDS iaitu orang yang disaman bukan ditangkap.

Jika SPRM berkata kepada Ismail Sabri anda ditangkap maka barulah dia dipanggil suspek.

Apabila dituduh di mahkamah maka dipanggil OKT - orang kena tuduh.

Pendedahan bahan bukti atau evidence lazimnya dibuat ketika perbicaraan. Tetapi dalam kes Ismail Sabri siasatan belum selesai tetapi bahan bukti telah dipamerkan pada sidang media. Apa tujuannya?
Azam Baki
Investigation papers atau kertas siasatan belum lagi SPRM hantar ke pejabat pendakwa raya, tetapi Ismail Sabri telah dibicarakan di media massa dan media sosial. Apa juga tujuannya?

Inikah modus operandi baru? Bukan trial in court of justice tetapi trial by media oleh agensi kerajaan?

Saya menyokong penuh usaha kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah.

Dalam nafas yang sama sebagai ahli parlimen yang pernah menduduki JKMR saya penuh yakin atas keupayaan SPRM untuk melaksanakan tugasnya secara professional.

Tetapi di dalam penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM ke atas Ismail Sabri sekarang ini terserlah kepincangan yang nyata yang melanggar etika professional sebuah agensi penguatkuasa.
Ismail Sabri Yaakob
Saya berharap dalam usaha kita semua termasuk SPRM untuk membanteras rasuah maka SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa yang bidang tugasnya untuk melakukan siasatan sahaja jangan terbawa-bawa untuk melaksanakan pendakwaan pula yang terletak di bawah bidang kuasa pendakwa raya.

HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, March 13, 2025

Ibrahim Ali persoal bila SPRM nak siasat Teresa?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 13, 2025 
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali mempersoalkan bila SPRM akan menyiasat ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu rasuah yang membabitkan bekas kakitangan pejabatnya.

Ini kerana katanya, Kok boleh disiasat berdasarkan Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 kerana gagal melaporkan rasuah.

“Kalau tahu ada rasuah tapi buat bodoh dan tak lapor, itu dah satu kesalahan.

“Teresa sendiri mengaku dia dah tahu sejak tahun lepas, tapi tak ambil tindakan. Hukuman penjara sampai 10 tahun atau denda RM100,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Teresa Kok
Kok sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan kontroversi melibatkan bekas pembantunya yang disiasat SPRM akan mempengaruhi peluangnya untuk mempertahankan kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam pemilihan parti pada 16 Mac ini.

Menurutnya, dia sedia maklum ramai pihak yang tidak berpuas hati dengannya susulan penangkapan bekas kakitangannya itu yang didakwa terlibat dalam rasuah berhubung pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Pada 6 Mac, naib pengerusi DAP itu mendedahkan bahawa SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum meletak jawatan tahun lepas.

Bekas menteri perladangan dan komoditi itu percaya siasatan SPRM ada kaitan dengan pembelian papan pintar pada harga yang didakwa melambung tinggi.

Jelasnya, pada penghujung Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasan pilihan rayanya sebanyak RM99,000 telah digunakan untuk menyalurkan papan pintar dan TV pintar kepada 16 sekolah.

Ibrahim turut mempersoalkan apakah Kok tidak melaporkan kes penyelewengan tersebut tetapi hanya memecat pembantunya itu.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu menyorot kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana sengaja tutup mata.

“Apabila dana awam dirompak depan mata, tapi orang yang bertanggungjawab buat tak tahu, itu bukan salah ke?

“Undang-undang kata kalau tahu jenayah berlaku dan sengaja tak lapor, boleh kena tindakan. Hukuman penjara sampai enam bulan atau denda,” katanya yang turut merujuk Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kes pecah amanah jenayah.

Ibrahim berkata sekiranya Kok tahu bahawa ada penyelewengan, tetapi tidak berbuat apa-apa, maka tindakannya boleh dianggap sebagai kecuaian yang membawa kepada pecah amanah jenayah.

Sabit kesalahan, bekas presiden Perkasa itu berkata hukumannya adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda.

“Soalan mudah: kalau bukan salah staf tu, kenapa pecat? Kalau staf tu salah, kenapa tak lapor?

“Ini bukan syarikat mak bapak dia, ini duit peruntukan RM700,000 bagi sekolah-sekolah dalam kawasan dia yang lesap.

“Kalau ini terjadi dekat MP (ahli parlimen) pembangkang, agak-agak apa jadi? Mesti SPRM dah berkampung depan rumah siap ada sidang media.

“Tapi sebab Teresa Kok dari kerajaan Madani dan bekas menteri DAP, tiba-tiba semua senyap. Undang-undang mesti sama untuk semua. Kalau dia dah tahu duit lesap, tak lapor, cuma pecat staf, itu bukan tindakan, itu cover-up. Jadi, bila SPRM nak siasat?” soal Ibrahim lagi.

Saturday, March 8, 2025

Ops Sky: Ramai penjawat awam bakal berstatus muflis - KP MDI

bharian.com.my
Oleh Ilah Hafiz Aziz 
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
- Mac 8, 2025 @ 12:16pm
Sekurang-kurangnya 27 individu termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan serta seorang orang awam, ditahan bagi membantu siasatan dalam Ops Sky. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR: Lebih ramai penjawat awam bakal tersenarai dalam status bankrap selepas satu sindiket perundingan kewangan ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Berkongsi unjurannya, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid, berkata penjawat awam yang melakukan pinjaman bank 'luar biasa' pasti tidak lagi mampu membayar pinjaman itu selepas tiada lagi bayaran yang akan disumbangkan oleh sindiket.
KUALA LUMPUR 12 FEBRUARI 2025. Ketua Pengarah, Jabatan Insolvensi, Datuk M Bakri Abd Majid dalam Program BH `Borak Hariini. NSTP/YAZIT RAZALI
"Kita tidak pasti jumlah pinjaman yang dilakukan mereka dan kemampuan berdasarkan gaji mereka, tetapi jika dia membuat pinjaman di empat bank serentak, dengan jumlah RM200,000 setiap satunya, dia mungkin tersenarai (status bankrap).

"Sebelum itu, dia akan diambil tindakan oleh pemiutang (bank) kerana saya rasa dia tidak mampu membayarnya atau mungkin mereka sudah masuk dalam senarai bankrap," katanya dalam Podcast Borak Harini, yang disiarkan BH Online hari ini.

SPRM dalam operasi baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan melalui Ops Sky.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M Bakri Abd Majid (kiri) ditemubual hos podcast ‘Borak Harini’, Ilah Hafiz Aziz. - Foto NSTP/Yazit Razali
Ops Sky yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dilaksanakan dengan kerjasama BNM dan sekurang-kurangnya 27 individu, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan serta seorang orang awam, ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan SPRM turut membabitkan tiga selebriti yang menjadi duta syarikat perunding kewangan itu, iaitu penyanyi Ziana Zain, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tetapi disahkan mereka hanya menerima bayaran atas perkhidmatan yang dijalankan, bukannya terbabit dalam menguruskan kegiatan dilakukan syarikat itu.

Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank bernilai lebih RM17 juta.

Mengulas lanjut, M Bakri berkata, kes penjawat awam diisytiharkan bankrap selepas melakukan pinjaman bank melebihi kemampuan sememangnya wujud.

Penjawat awam pinjam RM700,000

"Kita pernah mentadbir kes penjawat awam yang meminjam hingga RM700,000 dan dia diisytiharkan bankrap," katanya.

Tambahnya, seorang penjawat awam juga boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya dikesan melakukan tindakan kewangan yang serius.

PAS untung jika pemimpin Umno masih dikait rasuah, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-08 Mar 2025, 09:00 AM

Syaza Shukri dari UIAM berkata kontroversi terbaharu melibatkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin menyebabkan penyokong Umno.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata ramai masih melihat rasuah sebagai sesuatu yang sudah berakar dalam Umno.

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat PAS mungkin mendapat manfaat susulan dakwaan bahawa beberapa pemimpin Umno dikaitkan dengan rasuah hasil siasatan dibuat pihak berkuasa ketika ini.
Syaza Shukri.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata Umno mempunyai sejarah dan sering dikaitkan politik wang, terbaharu membabitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkemungkinan menyebabkan penyokong Umno beralih daripada parti itu.

Ismail yang juga bekas naib presiden Umno, masih mengetuai parti itu di peringkat kawasan.

“Golongan atas pagar mungkin beralih kepada PAS kerana politik PAS berasaskan Islam,” katanya kepada FMT.

Pada 2 Mac, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu kira-kira RM170 juta dalam bentuk wang tunai serta 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit telah disita dalam satu siasatan melibatkan empat pegawai kanan yang dikaitkan dengan Ismail.

Wang tunai dan jongkong emas itu ditemui dalam serbuan di kediaman empat pegawai terbabit serta tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’.

Keesokan harinya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail dianggap sebagai suspek, bukan sebagai saksi dalam siasatan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Syaza berkata kontroversi ini tidak mungkin mempengaruhi mereka yang masih merasakan mereka boleh mendapat manfaat daripada Umno.

“Bagi sesetengah ahli Umno, memerangi rasuah mungkin bukan keutamaan. Mereka akan tetap bersama Umno selagi mereka merasakan parti itu memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Nasionalisme Umno tidak lagi laku
James Chin.
Seorang lagi penganalisis politik James Chin pula berkata dakwaan itu tidak mengejutkan memandangkan sejarah Umno dengan politik wang.

Menurutnya, walaupun parti itu mungkin cuba menangani isu ini, menghapuskan politik wang dalam Umno hampir mustahil.

“Kenyataannya ialah kebanyakan orang menyertai Umno kerana mereka mahu sesuatu daripadanya.

“Akar umbi mungkin menentang rasuah pada awalnya, tetapi setelah mereka mencapai kedudukan tertinggi dan mendapat bahagian mereka, mereka akan berdiam diri,” katanya.

Menurutnya, Umno yang kehilangan kuasa dalam PRU pada 2018 masih bergelut menarik sokongan pengundi Melayu.

“Parti yang benar-benar mewakili suara Melayu hari ini ialah PAS. Nasionalisme Umno tidak lagi laku,” katanya.

Syaza turut berkata bahawa persepsi umum terhadap Umno masih tidak berubah kerana ramai yang melihat rasuah sudah berakar dalam parti itu.

“Sejauh mana lagi persepsi terhadap Umno boleh menjadi lebih buruk apabila salah seorang pemimpinnya sudah pun dipenjara atas kesalahan rasuah besar?” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara akibat kes SRC International.
Azmi Hassan.
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penglibatan Ismail dalam kes ini tidak memberikan impak seteruk skandal rasuah Najib.

“Walaupun kes ini tidak memberi imej yang baik kepada parti, ia tidaklah seteruk kes Najib,” katanya.

Namun, menurutnya, kontroversi ini tetap mengukuhkan persepsi bahawa pemimpin Umno tidak boleh dipercayai apabila melibatkan isu rasuah.

“Kebanyakan penyokong Umno kemungkinan akan beralih kepada PAS, yang dilihat sebagai pelindung Islam. PAS adalah pemenang dalam situasi ini,” katanya.

Friday, March 7, 2025

Zahid: Harap Ismail Sabri dapat keadilan macam saya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2025 9:27 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak terlibat dalam siasatan SPRM terhadap bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Zahid berkata Umno menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan politik dan percaya kepada proses undang-undang untuk menentukan kebenaran.

"Kita menghormati SPRM dan kita harap SPRM berlaku adil dan tentunya profesional di dalam melakukan penyiasatan.

"Secara peribadi saya juga pernah mengalami keadaan itu jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan sebagainya.
"Akhirnya keadilan telah dapat ditegakkan dan saya harap perkara yang sama akan dapat berlaku di mahkamah dan itulah harapan kita (dalam kes ini)," katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Masjid Tanah, Melaka.

Pada 4 Sept 2023, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ini selepas ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan.

Dalam pada itu, Zahid hari ini juga merujuk kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menjelaskan pendirian parti berhubung isu siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri.
Asyraf berkata Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja "mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.”

SPRM telah bercakap dengan doktor Ismail Sabri hari untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan bekas perdana menteri itu dan memastikan dia sihat untuk memberi kenyataan pada tarikh baru itu, iaitu sehari selepas tempoh yang dinyatakan dalam MC berkenaan.

SPRM telah pun menyoal Ismail Sabri selama lima jam pada 18 Feb, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perbelanjaan untuk kempen promosi Keluarga Malaysia ketika pentadbiran perdana menteri kesembilan itu.

SPRM juga telah merampas RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16kg emas dari premis yang dikaitkan dengan bekas pembantu Ismail Sabri.
Beberapa hari selepas sesi soal siasat pertama, Ismail Sabri dilaporkan rebah di rumahnya dan dimasukkan ke hospital.

Sehari kemudian pada 23 Feb, anak perempuannya Nina Sabrina berkata bapanya "stabil dan semakin sihat", manakala setiausaha akhbarnya Azran Fitri Rahim dipetik berkata tekanan darah Ismail Sabri meningkat sedikit.

Teresa Kok jangka dipanggil SPRM selepas bekas pegawai direman

freemalaysiatoday.com
Howard Tsen-07 Mar 2025

Ahli Parlimen Seputeh itu juga mendedahkan pegawai SPRM melawat pusat khidmatnya ketika beliau berada di Parlimen.
Bekas pegawai Teresa Kok direman SPRM semalam berkaitan dengan ucapan beliau di Parlimen tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menjangkakan dirinya akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan bekas pegawainya yang dikatakan berkait ucapan Kok di Parlimen tahun lepas.

“Sebagai naib pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, setiap kali kami mengadakan mesyuarat, pegawai SPRM turut hadir. Jadi, mereka pasti akan memanggil saya,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis.

Beliau turut mendedahkan bahawa pegawai SPRM mengunjungi pusat khidmatnya ketika beliau berada di Parlimen, namun tidak dapat mengesahkan sama ada sebarang dokumen dirampas.

“Ia berlaku secara tiba-tiba. Mereka berkata proses siasatan tidak memerlukan notis awal dan dilakukan secara mendadak, jadi saya pun tidak tahu,” katanya.

Kok, yang juga naib pengerusi DAP, menegaskan bahawa beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Semalam, bekas pegawai Kok, Edmund Teoh dilaporkan direman SPRM hingga Ahad, dipercayai berkaitan dengan ucapan beliau di Parlimen tahun lalu.

Seorang lagi bekas pegawainya, Ng Yoot Kuen, turut dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan.

Kok berkata pada November lalu, beliau membangkitkan persoalan mengenai rasional di sebalik permintaan dan dan peruntukan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, ucapannya itu disiarkan sepenuhnya di platform media sosialnya sebagai rekod awam dan demi ketelusan.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana ada pihak dalam partinya sendiri serta keluarga bekas pegawainya yang menyalahkannya berhubung keputusan SPRM menyoal siasat Teoh dan Ng.

Hari ini, Kok menyifatkan dakwaan bahawa beliau mampu mempengaruhi SPRM untuk mengambil tindakan terhadap individu tertentu sebelum pemilihan parti sebagai sesuatu yang “melampau”.

Seramai 70 pemimpin DAP dijadual bertanding pada 16 Mac ini bagi merebut tempat dalam 30 anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu.

Saturday, March 1, 2025

Ismail Sabri disoal siasat SPRM sebelum dimasukkan ke hospital

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 1, 2025 
SPRM telah menyoal bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob di ibu pejabatnya selama lima jam pada 18 Feb, beberapa hari sebelum dia rebah di rumah dan dimasukkan ke hospital kerana hal berkaitan tekanan darah.

News Straits Times hari ini melaporkan ahli parlimen Bera itu disoal siasat berhubung siasatan perbelanjaan kerajaan untuk kempen promosi 'Keluarga Malaysia' sepanjang tempoh 14 bulan sebagai perdana menteri kesembilan.

Menurut laporan itu, Ismail Sabri dijangka dipanggil semula untuk siasatan lanjut, dan maklumat awal telah membawa penyiasat mengenal pasti empat bekas pembantunya sebagai orang berkepentingan yang perlu disoal siasat.

Pada 23 Feb, sehari selepas Ismail Sabri dimasukkan, dilaporkan empat pegawai yang dikaitkan dengannya direman - tiga ditahan selama lima hari bermula Jumaat, manakala individu keempat direman selama tiga hari dan dibebaskan pada 23 Feb.

Turut dilaporkan dalam serbuan SPRM di kediaman salah seorang bekas kakitangan Ismail Sabri pegawai penyiasat menemui lebih RM100 juta wang tunai dan barang berharga termasuk barang kemas dalam beg dan peti besi di beberapa bilik.

Sebelum ini, SPRM berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan sebarang penemuan termasuk nilai wang atau aset yang dirampas, namun tidak menolak kemungkinan memanggil saksi tambahan bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Monday, February 24, 2025

Bekas pegawai Ismail Sabri ditahan, apa kes?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 24, 2025 
Siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditahan reman pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam rasuah, masih di peringkat awal.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“SPRM masih belum dapat mendedahkan sebarang penemuan berhubung kes ini, termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai.

"Kami juga tidak menolak kemungkinan beberapa saksi lain akan dipanggil untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut meminta orang ramai memberi ruang kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan.

Pada Jumaat lepas, SPRM menahan reman empat pegawai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya.

Menurut sumber rapat SPRM, tiga daripada individu terbabit direman selama lima hari bermula Jumaat, manakala seorang lagi direman selama tiga hari dan telah dibebaskan pada Ahad (23 Feb).

- Bernama

Bekas KP SPRM sekolahkan Azam - Suntingan video 'rasuah' Sabah adalah bukti

malaysiakini.com
KiniTV
Diterbitkan: Feb 24, 2025 10:00 AM
WAWANCARA | Latheefa Koya menolak alasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang berkata video berkaitan skandal rasuah Sabah disunting, justeru tidak boleh digunakan sebagai bukti.

Latheefa, yang pernah menerajui suruhanjaya itu berkata dalam episod kedua podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini dan KiniTV.

Peguam itu berkata bahawa klip video 'can I advise you something' dalam kes melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor digunakan oleh SPRM sebagai bukti di mahkamah walaupun video itu telah disunting.

"Rakaman audio itu digunakan sebagai bukti di mahkamah. Ia dipotong, bukan audio penuh, dan ia digunakan di mahkamah sebagai bukti," katanya.

Latheefa merujuk kepada rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "can I advise you something?" (Boleh saya beri nasihat kepada kamu mengenai sesuatu) yang diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes Rosmah berkaitan dengan projek hibrid solar.

Rakaman audio itu ditampilkan oleh SPRM sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan Najib, dimainkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

"Ia banyak menjelaskan apabila video (skandal rasuah Sabah) itu ada. Mengapa tiada siasatan? Video itu sangat jelas, dan ada pengakuan daripada seseorang yang mengatakan, ‘Saya telah memberi (rasuah)’.

"Sekurang-kurangnya, anda mesti menjalankan siasatan. Bagaimana mungkin ada orang yang mengaku semua ini, tetapi tiada siasatan? Apa alasan anda?" soal Latheefa.
Latheefa menegaskan dia tidak bersetuju dengan kenyataan Azam bahawa video disunting tidak boleh dijadikan bukti.

"Untuk mencadangkan bahawa anda tidak boleh menggunakan video itu kerana ia disunting, bolehkah anda bayangkan beratus-ratus video di mana jenayah dilakukan, yang juga disunting? Anda melihat seseorang berlari dengan pisau, dan adakah anda akan berkata, ‘Saya tidak boleh menyiasat kerana itu diedit?’ Anda tidak boleh berbuat demikian.

"Kita tidak bercakap tentang kebolehterimaan bukti di mahkamah, kita bercakap tentang menggunakan apa sahaja yang anda ada untuk memulakan siasatan.

"Kemudian, anda akan memanggil sesiapa yang membuat video itu, orang yang mengaku, dan semua orang yang telah bercakap. Panggil mereka dan tanya apa yang berlaku dalam video ini.

"Kita tidak dapat mendengar semuanya. Bolehkah anda beritahu kami apa yang berlaku? Dan jika mereka mengatakan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang anda lihat dalam video, maka anda meminta dokumentasi," katanya dalam program yang dihoskan Dennis Ignatius.

Kerajaan negeri Sabah diheret dalam skandal rasuah sejak akhir tahun lalu, dengan pemberi maklumat menerbitkan video yang membabitkan beberapa Adun dalam dakwaan rasuah berhubung lesen cari gali mineral, termasuk ketua menteri Hajiji Noor.

Ketua menteri itu dan Adun yang terlibat telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa ia adalah konspirasi untuk menggugat kestabilan pentadbiran negeri menjelang pilihan raya.

Azam sebelum ini berkata hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut dan video yang ada setakat ini - seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini - tidak boleh diguna pakai sebagai bukti.

“Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.

"Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya

Sunday, February 23, 2025

SPRM reman 4 pegawai Ismail Sabri kes 'Keluarga Malaysia'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 2:19 PM
Empat pegawai Ismail Sabri Yaakob dilaporkan ditahan SPRM dalam siasatan rasuah berhubung kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan bekas perdana menteri itu pada Ogos 2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan kepada Malaysiakini hari ini.

Azam secara ringkas turut mengesahkan penahanan berkenaan berhubung siasatan kempen Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Harian Metro yang memetik sumber melaporkan SPRM mendapat perintah reman ke atas empat pegawai berkenaan di Mahkamah Putrajaya, semalam.

Menurut sumber laporan itu, perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.

Azam mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

"Kami memohon supaya pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi," katanya dipetik sebagai berkata.

Seksyen berkenaan menyentuh mengenai kesalahan meminta atau menerima rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ismail, dengan memfokuskan kepada projek tertentu semasa ahli Parlimen Bera itu memegang jawatan perdana menteri.

Sumber mendakwa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak yang dikaitkan dengan mempromosikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Ismail ketika menjadi perdana menteri.

Friday, February 21, 2025

1MDB: Pegawai penyiasat akui ke Riyadh untuk salin dan tampal kenyataan putera Arab, makan dan balik

hmetro.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
am@hmetro.com.my

GAMBAR fail. FOTO NSTP

Putrajaya: Pegawai penyiasat asal skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengakui kunjungan pasukan siasatan ke Riyadh, Arab Saudi, sudah dirancang lebih awal untuk hanya 'salin dan tampal' kenyataan 'putera Arab', makan dan pulang.

Saksi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, Nasharudin Amir, mengakui bahawa beliau sendiri selaku pegawai penyiasat tidak berpuas hati bahawa 'putera Arab' yang ditemui pasukannya di Riyadh adalah Putera Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud.

"Saya tidak pasti jumpa atau tidak orang itu, sebab saya tidak diperkenalkan kepadanya pun," katanya.

Putera Saud adalah putera Arab yang dikatakan menulis dan menandatangani empat surat 'derma Arab' kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Nasharudin bersetuju bahawa beliau sendiri tidak berpuas hati dengan hasil siasatan bahawa empat surat 'derma Arab' berkenaan adalah sahih dan wang RM2.6 bilion yang diterima dalam akaun Najib datang daripada Putera Saud.

Terdahulu, Nasharudin bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa kenyataan yang dirakamkan pegawai perakam daripada Putera Saud melalui wakilnya, Mohammad Abdullah Al Koman, dan kenyataan Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu Low Taek Jho, sudah tersedia lebih awal dan tugasnya hanya untuk 'salin dan tampal' ke dalam format SPRM sahaja.

Ahmad Akram: Setuju tiada soalan dan pertanyaan berlaku (ketika rakaman percakapan diambil)?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Tiada mereka kemukakan dokumen yang menyokong kenyataan itu?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Siasatan ini ada dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara?

Nasharudin: Ya, dan syor adalah untuk siasat lebih lanjut.

Ahmad Akram: Tuan sendiri tidak berpuas hati surat (derma) itu sahih?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Kunjungan itu sudah dirancang lebih awal, lengkapkan cerita, tidak tanya apa-apa, anda pergi makan dan balik?

Nasharudin: Ya.

Sementara itu, saksi bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa beliau tidak menjalankan analisis fizikal terhadap Putera Saud terlebih dahulu sebelum berlepas ke Riyadh bagi tujuan mengesahkan surat derma.

Menurut Nasharudin, beliau juga tidak berpuas hati dengan penelitian pasport diplomatik Putera Saud, di mana beliau sebagai pegawai penyiasat tidak melihat langsung dokumen itu, malah tiada salinan dibuat.

Saksi bersetuju dengan cadangan bahawa sepanjang rakaman kenyataan diambil, hanya Mohammad Abdullah berada dalam bilik di mana kenyataan itu diambil, dan bukannya Putera Saud.

Nasharudin, selaku saksi pembelaan ke-10, berkata demikian pada prosiding bela diri Najib yang didakwa terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding sebelum ini, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Fikri Ab Rahim, memberitahu mahkamah bahawa pasukan siasatan ke Riyadh bersama Nasharudin; Pegawai SPRM, Datuk Mohd Hafaz Naza; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki; dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu sebagai wakil Jabatan Peguam Negara.

Menurut Fikri, mereka ke Istana Riyadh antara 27 hingga 29 November 2015 untuk mengesahkan ketulenan empat surat derma daripada Arab Saudi dan menemuramah Putera Saud, iaitu individu yang dikatakan menandatangani surat derma kepada Najib.

Saksi itu berkata, beliau boleh merumuskan bahawa pihaknya berpuas hati dengan kenyataan wakil putera Arab, bagaimanapun siasatan masih diteruskan berkaitan derma itu sehingga betul-betul mendapatkan keterangan yang lebih kukuh.

Katanya, Azam memaklumkan bahawa mereka masih perlu mendapatkan keterangan lain selain keterangan putera Arab dan dokumen 'derma' terbabit.

Fikri berkata, pada pertemuan itu, pasukan siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab melalui wakilnya kerana mereka dilindungi imuniti (kekebalan).

Menjelaskan lanjut, saksi itu berkata, mereka dibawa ke satu ruangan yang besar dalam istana dan melihat tiga individu, di mana salah seorangnya ialah Putera Turki yang beliau kenal pasti melalui gambar sebelum itu.

Katanya, Putera Turki kemudian meminta Putera Saud mengeluarkan pasportnya, yang kemudian diserahkan (melalui pembantu istana) kepada Azam untuk disahkan.

Beliau kemudian diserahkan kepada dokumen itu untuk diteliti dan disahkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Disiarkan pada: Februari 21, 2025 @ 2:58pm

Tuesday, February 18, 2025

Azam Baki layak menang ‘anugerah jenaka terbaik’ - Warisan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 18, 2025 1:03 PM
Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua, percaya bahawa ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, telah memberikan pengajaran yang sangat berharga, walaupun bersifat lucu, kepada rakyat Sabah yang akan mengundi dalam pilihan raya negeri.

Dia secara sarkastik menyatakan bahawa Azam layak memenangi “anugerah jenaka terbaik”.

Dia juga berkata orang ramai akan menilai tindak balasnya dan cara kerajaan persekutuan menangani skandal rasuah Sabah.

“Saya dengan ikhlas memberitahu jika Malaysia mewujudkan anugerah jenaka terbaik, saya yakin Azam Baki boleh memenangi kejuaraan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau,” katanya.

Dia merujuk kepada kenyataan Azam bahawa video yang berkaitan dengan skandal tersebut tidak boleh digunakan untuk siasatan atau pendakwaan kerana ia telah disunting.

“Walaupun saya rasa sangat lucu berhubung kenyataan beliau, namun serahkan kepada masyarakat terutamanya rakyat Sabah sendiri yang menilaikan prestasi ketua pesuruhjaya SPRM dan peranan Kerajaan Persekutuan dalam siasatan kes ini.

“Saya berharap kes ini menjadi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat Sabah dalam memilih pemimpin pada pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Norfaizah menegaskan bahawa reaksi orang ramai terhadap kenyataan Azam jelas tercermin di media sosial.

Katanya, artikel di Facebook Malaysiakini BM sahaja telah menerima ejekan yang meluas.

“Saya ingin menasihatkan Azam Baki ayuh, sedarlah dengan 3,000 emoji ketawa yang dihadiahkan oleh masyarakat kepada beliau,” katanya.

Semalam, peguam kanan Shafee Abdullah menggesa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dan Adun yang dikaitkan untuk membuat laporan polis mengenai video “suntingan” yang dikeluarkan oleh anak guamnya.

Shafee mewakili ahli perniagaan yang mendakwa bahawa video tersebut mengandungi perbincangan mengenai rasuah yang didakwa diberikan kepada Adun sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.

"Kerajaan negeri tidak harus mensia-siakan peluang keemasan ini untuk membersihkan nama mereka," katanya.

Shafee juga meminta penjelasan Azam berkaitan dakwaan suntingan itu kerana istilah itu terlalu umum.

"Adakah SPRM mendakwa bahawa video ini telah dimanipulasi? Atau adakah mereka hanya merujuk kepada suara anak guam saya yang diubah untuk melindungi identiti?" soalnya.

"Sekiranya video itu benar-benar diubah, mengapa tunggu? Polis harus segera memulakan siasatan. Tangkap dia. Saya jamin dia akan menyerahkan semua bukti yang dimilikinya," tambahnya.

Hajiji menolak tuduhan tersebut sebagai cubaan untuk mencemarkan pentadbirannya, dengan mencadangkan bahawa pemberi maklumat sebenarnya bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Sunday, February 16, 2025

Skandal Sabah: Pasal apa tak tangkap, dulu saya pakai baju oren - Shafie

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 16, 2025 
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menyoal mengapa masih tiada tangkapan dilakukan dalam kontroversi rasuah di Sabah.

Menurutnya, perkara itu lebih menghairankan kerana dia sendiri pernah ditahan untuk siasatan berkaitan skandal 1MDB.

"Saya soal (tentang 1MDB), terus masuk (lokap). Saya direman.

"Berapa minggu, tidur lantai, pakai baju oren. Itu Muhyiddin kes pakai tie (tali leher), itu Najib masuk mahkamah pakai kot, saya pakai (baju lokap SPRM warna) oren tidur lantai lagi.
"Ini video punya orang, YB keluar video, baju oren pun tidak ada, tidur lantai pun tidak, pasal apa itu," katanya pada satu majlis sambutan Chap Goh Mei di Tenom, Sabah, malam tadi.

Video yang dirujuk Shafie merupakan siri video yang didedahkan oleh seorang pemberi maklumat kepada Malaysiakini yang mendakwa lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlibat dalam menerima rasuah.

Shafie pernah ditahan berkaitan 1MDB

Pada tahun 2016, Shafie digantung keahlian Umno walaupun ketika itu dia memegang jawatan naib presiden parti kerana lantang mengkritik bekas perdana menteri Najib berhubung skandal 1MDB.

Dia kemudian mengumumkan keluar daripada Umno dan menubuhkan Warisan, sebuah parti berasaskan Sabah, dalam usaha untuk menyingkirkan parti lamanya daripada pentadbiran negeri.

Pada tahun 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya atas dakwaan penyelewengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana pembangunan Sabah semasa dia menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Penahanan itu dilihat bermotifkan politik kerana Najib telah memecat Shafie daripada jawatan menteri pada tahun 2015 selepas dia mencabar kepimpinannya dalam menangani skandal 1MDB.

Umno mahu kerjasama Warisan?

Pada majlis sama, Shafie turut mendakwa Umno telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Warisan dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

"Lepas (pendedahan video) itu, Umno dia bilang dia mahu kerjasama sama Warisan. Saya bagi tahu Warisan tidak kerjasama mana-mana parti. Warisan kerjasama dengan orang Sabah, rakyat Sabah," katanya.

Bagaimanapun, semalam, Umno Sabah mengesahkan parti itu belum mencapai sebarang persefahaman pilihan raya dengan Warisan.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir berkata parti itu masih belum membuat keputusan untuk bersekutu dengan mana-mana pihak di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, yang sebelum ini menafikan sebarang rundingan dengan Umno Sabah.

Menurut Bernama, sebuah portal berita semalam melaporkan Warisan dan BN Sabah telah membincangkan kompromi bagi menghadapi pilihan raya negeri.

Laporan itu mendakwa kedua-dua parti bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

[Baca berita asal]

Saturday, January 25, 2025

Tak sangka skandal rasuah berlaku dalam pemerintahan Madani, dakwa mahasiswa

ByJanatul Firdaus Yaacob
25/01/2025
KUALA LUMPUR – Himpunan rakyat benci rasuah yang di Dataran Merdeka menuntut tiga tuntutan penting daripada Kerajaan Madani.

Rata-rata peserta himpunan terdiri dalam kalangan mahasiswa melibatkan 50 gerakan mahasiswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) berarak dari Kompleks beli belah Sogo ke Dataran Merdeka dalam anggaran 200 peserta.
Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli, 21, mahasiswa Universiti Islam Antrabangsa (UIA) berkata, antara tuntutan himpunan hari ini ialah menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) dari Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Selain itu, mereka turut menggesa kerajaan mengasingkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar diletakkan di bawah kelolaan Parlimen.

“Kerjaan digesa mengasingkan SPRM daripada kuasa eksekutif dengan meletakkan entiti itu di bawah Parlimen dan seliaan rakyat.

“Tuntutan ketiga ialah menyegerakan penggubalan Akta Pendanaan Politik,” katanya ketika berucap sewaktu himpunan pada Sabtu.

Ujar Zaim lagi, himpunan ini adalah luahan beban kekecewaan rakyat.

“Himpunan ini adalah manifestasi mahasiswa telah memikul kekecewaan, kemarahan dan semua bentuk emosi rakyat di bawah.

“Mahasiswa ketika ini paling cerdas menyuarakan kebimbangan negara.

“Kita juga tidak menduga skandal rasuah berlaku dalam kedaan Kerajaan Madani memerintah.

“Selain itu, kami juga nak tegur Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mereka berdua mengecewakan kita. Sedangkan perjuangan PKR bermula di jalanan, namun mereka menidakkan kita untuk berhimpun,” bidas Zaim.

Mengulas lanjut, Zaim memaklumkan memorandum tuntutan itu akan dimajukan ke Putrajaya dalam tempoh terdekat ini.

Tuesday, January 21, 2025

SPRM: Harta Mokhzani hampir RM1 bilion, Mirzan RM246 juta


Berita
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jan 21, 2025 5:28 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dua anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan harta mereka kepada agensi tersebut.

Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki berkata nilai harta yang diisytiharkan Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir adalah berjumlah lebih RM1 bilion.

"Kedua-dua anak Dr M telah mengisytiharkan harta kepada saya secara peribadi, kerana saya yang keluarkan notis atau pun waran untuk isytihar harta.

"Saya nak memberi maklumat serba sedikit, jumlah aset Mokhzani keseluruhan lebih kurang RM1 bilion yang diisytihar. Nilai peribadi adalah dalam RM360 juta. Yang lain itu ada bentuk aset, pegangan saham, kita ambil maklum tolak liabiliti yang mereka tanggung.

"Harta yang diisytihar, Mirzan secara keseluruhan RM246.2 juta dan nilai peribadinya adalah RM120 juta. Selebihnya adalah berkaitan saham dan aset setelah mengambil liabiliti yang mereka tanggung," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, SPRM masih meneruskan siasatan dan sedang membuat analisis mengenai harta yang diisytiharkan kedua-dua mereka.

Pada 18 Jan tahun lepas, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.

Pada bulan berikutnya, mereka mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak agar bersabar dan memhami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun.

Pada 24 Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memohon kepada SPRM untuk melanjutkan tarikh akhir untuk kedua-dua mereka mengisytiharkan harta masing-masing selepas diberikan lanjutan sebelum ini.

Turut dilaporkan bahawa Mokhzani disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Azam juga mengesahkan bahawa SPRM sedang mengenal pasti harta yang dimiliki keluarga allaharyam Daim Zainuddin dan keluarganya di luar negara.

Wednesday, September 18, 2024

2 pegawai Imigresen simpan RM800,000 dalam bilik tidur

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 18, 2024 3:33 PM
SPRM merampas wang tunai hampir RM800,000 yang disimpan di dalam bilik tidur ketika serbuan terhadap dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berkaitan sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi “counter setting”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seramai 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasaan, didapati bersekongkol dalam kegiatan itu.

Sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka dengan 95 individu telah diambil keterangan, katanya lagi.

"Sejumlah wang tunai RM518,250 dijumpai (di rumah) pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Pahang. Wang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidur.
"Selain itu, sejumlah wang tunai RM248,443 (dirampas) daripada pegawai Imigresen lelaki Gred KP19 di Melaka. Wang dijumpai di bawah katil bilik tidur utama,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata pihaknya turut merampas wang tunai dalam mata wang asing, iaitu AS$9,900 dan 5,470 Baht.

Selain dua pegawai tersebut, katanya lagi, serbuan turut dijalankan terhadap seorang pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Daripada serbuan itu, dia berkata SPRM merampas 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000; 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang; lebih 12 jam tangan pelbagai jenama dan lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama serta komputer riba.
Selain itu, Azam berkata bagi operasi ini, SPRM turut menyita sembilan buah kenderaan dan 13 buah motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang hasil kegiatan itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata dalang utama adalah seorang pegawai kanan Imigresen yang “berpengaruh” dalam sindiket dan dia akan dihadapkan ke mahkamah awal bulan depan.

Katanya, suspek yang berusia awal 40-an dan telah berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selama 20 tahun pernah meloloskan diri ketika operasi sebelum ini namun berjaya ditahan pada 5 September lalu.

"Suspek yang kita tangkap ini adalah dalang utama. Dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (imigresen) sebab dia yang berpengaruh.

"Dia menjadi 'focal person' (individu utama) sebagai perantara kepada hampir semua pegawai imigresen, supaya melaksanakan arahan yang diberikan olehnya," kata Azam lagi.

Katanya lagi, empat ejen lain yang terlibat juga akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Siasatan terhadap Najib berat sebelah, 'selekeh' - Peguam

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 18, 2024 2:31 PM
BICARA 1MDB | Siasatan terhadap Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion adalah berat sebelah dan 'selekeh', kata peguamnya.

Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas perdana menteri itu didakwa sebelum SPRM selesai merekodkan keterangannya.

Peguam itu berhujah bahawa Najib didakwa pada 20 September 2018, ketika SPRM belum habis merakam keterangaqn tertuduh bagi membantu siasatan.

Wan Azwan menegaskan bahawa terdapat niat awal untuk mendakwa Najib, tanpa mengira hasil siasatan.

“Kami dengan hormat berhujah bahawa siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat (Nur Aida Ariffin) adalah teruk, berat sebelah, terpilih, selekeh dan tidak lengkap.

"Ini menyebabkan terdapat jurang bukti dalam kes pendakwaan dan menafikan hak tertuduh yang dijamin oleh perlembagaan untuk mendapat siasatan dan perbicaraan yang adil, satu prinsip asas yang termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata peguam itu.

Hadapi 25 pertuduhan

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib, 71, didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pada 30 Mei tahun ini, pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada penghujung 2018.

Prosiding kini berada di peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, dan hanya pasukan peguam dan pendakwa akan mmebuat rumusan terakhir berdasarkan bukti lisan dan bukti berdokumen.
Seramai 50 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa sebahagian daripada kumpulan dalang utama 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low). Pihak berkuasa masih menjejaki Low.

Pihak pendakwaan mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion wang yang diselewengkan daripada dana kekayaan berdaulat tersebut antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku yang berlaku dalam 1MDB dan jika ada sebarang kesalahan yang berlaku, ia sepenuhnya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana tersebut.

Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini menyatakan bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi berjanji untuk memberikan sumbangan kewangan kepada tertuduh bagi tujuan politik.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengetuai pihak pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Sunday, September 8, 2024

PRU15 hingga 1BestariNet: Rentetan isu ‘tak sebelahi’ Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
Nicholas Chung dan Sean Augustin
-08 Sep 2024, 

Serbuan SPRM minggu lalu berkait projek seliaan Muhyiddin Yassin menjadi isu terbaru membelenggu bekas perdana menteri itu.
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, baru-baru ini didakwa kerana menghasut susulan ucapannya ketika berkempen pada PRK Nenggiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Serbuan agensi antirasuah di pejabat YTL Communications pada Rabu menjadi rentetan terbaru peristiwa terkait bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Pada 2011, YTL Commission dianugerahkan projek 1BestariNet, yang mana dimulakan Muhyiddin ketika menjadi menteri pendidikan dalam kerajaan Najib Razak.

Meskipun serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama sekali tidak melibatkan Muhyiddin, namun ia mengundang tanggapan ‘sangat buruk’ memandangkan projek itu sinonim dengannya, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Masalah Muhyiddin bermula selepas PRU 2022 apabila menolak cadangan dikemuka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). Justeru, menjadikan Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri, pada November 2022.

Lima bulan kemudian, Muhyiddin didakwa salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait program Jana Wibawa, inisiatif bagi membantu kontraktor Bumiputera, yang dimulakan di bawah pakej rangsangan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri.

Muhyiddin, bekas perdana menteri kedua selepas Najib dibawa ke mahkamah mohon dibicarakan dan mendakwa tuduhan dihadapi berunsur pendakwaan politik.

Walaupun berdepan masalah peribadi, gabungan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi baik di pada PRN enam negeri pada Ogos 2023 apabila terus menguasai di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, selain menang banyak kerusi di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – negeri diperintah PH.

Masalah Bersatu

Kepimpinan Muhyiddin dalam Bersatu mula dipersoalkan selepas tujuh wakil rakyatnya mengisytihar menyokong kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim, sedangkan wakil rakyat PAS kekal setia bersama partinya.

Di sebalik apa berlaku, beliau mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan presiden Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan, pada November 2023.

Sehari selepas pengumuman dibuat, Muhyiddin menarik balik kenyataan tersebut dan menyatakan menerima nasihat isteri bahawa Bersatu ‘kekal memerlukannya’ untuk kekal sepenggal lagi.

Beliau kemudian mengemukakan formula menjelang pemilihan parti bagi menyegarkan pimpinan Bersatu, di mana Setiausaha Agung Hamzah Zainudin menjadi orang nombor dua, dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, mengambil alih jawatan Hamzah.

Sikap dingin PAS

Muhyiddin kelihatan semakin hilang keyakinan oleh parti komponen utama PN, PAS. Ia terserlah kurangnya keghairahan PAS berkempen untuk calon Bersatu pada PRK Kuala Kubu Baharu pada Mei.

Situasi itu semakin terang apabila PAS berjuang berhabisan pada PRK Sungai Bakap sebulan kemudian, dan menang kerusi itu dengan majoriti besar, 4,267 undi.

Ketika PAS dan Gerakan bertelingkah peranan syarikat arak dalam menyumbang dana kepada sekolah Cina, Hamzah muncul pendamai, tanpa kelibat Muhyiddin yang berada di United Kingdom menghadiri majlis graduasi cucu perempuannya.

Tamparan hebat

Bagaimanapun, ucapan Muhyiddin pada kempen PRK Nenggiri Ogos lalu menjadi tamparan paling besar didepaninya, sehingga membawa kepada pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin didakwa mempersoal mengapa beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk dilantik perdana menteri selepas PRU 2022 walaupun mengatakan sudah mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen.

Sambil mempertahan kenyataan itu merupakan ‘fakta’, namun ia membawa akibat lain. Selain diheret berdepan pertuduhan di mahkamah, Istana Pahang sendiri menyangkalnya.

Penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, juga berkata ucapan Muhyiddin antara penyumbang kekalahan PN di Nenggiri.

Sekutu menjauh

PAS kemudian menjarakkan diri daripada Muhyiddin dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong titah Tengku Mahkota Pahang supaya Muhyiddin disiasat, sambil menegaskan kesetiaan kepada Sultan Abdullah.

Pada hari Muhyiddin didakwa kerana menghasut, kepimpinan atasan PAS tidak kelihatan, hanya setiausaha agung dan ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan hadir tanda sokongan terhadap pengerusi gabungan itu.

Sambil pimpinan PAS cuba menafikan ketidakhadiran mereka merujuk Ketua PAS Perak Razman Zakaria juga hadir pada prosiding, namun tidak pula mengulas kehadiran pimpinan lebih kanan seperti Presiden Abdul Hadi Awang, timbalannya, atau seorang daripada tiga naib presiden.

Kesan 1BestariNet

Namun, isu terbaharu siasatan SPRM terhadap 1BestariNet mungkin tidak menjadi ‘hukuman mati’ terhadap kerjaya politiknya, kata penganalisis Azmi.

Katanya, kontroversi 1BestariNet telah berlarutan sejak sekian lama dan hubungkait projek itu dengan Muhyiddin hanya kerana inisiatif berkenaan di bawah seliannya.

Ia tidak meletakkannya dalam kedudukan janggal berbanding ucapannya di Nenggiri, katanya kepada FMT mengambil kira ucapannya terhadap Agong sebelum ini mengatasi kontroversi menyelubungi 1BestariNet.

Saturday, March 16, 2024

PANDUANKINI | Kekayaan, kontroversi Mirzan dan Mokhzani

malaysiakini.com
Yap Si Err
Diterbitkan: Mar 16, 2024 9:28 AM
PANDUANKINI | Dua anak lelaki bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani, sedang disiasat oleh SPRM dan telah diarah mengisytiharkan harta mereka.

Kedua-duanya diketahui aktif dalam dunia perniagaan dan terkenal mempunyai kekayaan yang besar. Tetapi bagaimana mereka meraih kekayaan, dan berapa kekayaan sebenar mereka?

Dalam siri KiniGuide ini, kami menyemak semula perkara yang diketahui umum tentang kekayaan mereka dan kontroversi yang pernah dikaitkan dengan mereka.

Siapa Mirzan dan Mokhzani?

Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah mempunyai empat anak kandung; Mirzan dan Mokhzani adalah anak kedua dan ketiga masing-masing, dengan Marina sebagai anak sulung dan Mukhriz anak bongsu daripada empat mereka.

Pasangan itu juga mempunyai tiga anak angkat: Melinda, Mazhar, dan Maizura.
Mirzan Mahathir
Menurut Bloomberg dan laman web alumni University of Pennsylvania, Mirzan pernah bekerja untuk bank pelaburan yang berpangkalan di AS Salomon Brothers dan kini merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat pegangan pelaburan dan penasihat kewangan Malaysia Crescent Capital Sdn Bhd.

Dia memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat awam dan swasta di Asia Tenggara, termasuk penapis minyak terbesar Filipina Petron dan pengeluar elektronik tempatan Betamek. Dia juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Konsortium Logistics Berhad (KLB).

Sementara itu, Forbes pernah menyenaraikan Mokhzani sebagai antara orang terkaya Malaysia beberapa kali sejak 2007. Forbes meletakkannya sebagai kesembilan terkaya di Malaysia pada 2013, dengan kekayaan lebih RM4.22 bilion daripada industri minyak dan gas.

Dia mengasaskan fabrikasi peralatan minyak Kencana Petroleum, yang kemudiannya menjadi SapuraKencana Petroleum berikutan penggabungannya dengan SapuraCrest pada 2012 dan kini dikenali sebagai Sapura Energy.

Mokhzani dilaporkan telah melepaskan pegangannya dalam SapuraKencana pada akhir 2017.
Perjalanan Mirzan

Pada 1990-an, Asiaweek menilai pegangan Mirzan dalam syarikat awam sahaja melebihi AS$880 juta.

Pencapaian utamanya di Malaysia, selepas pulang dari AS, adalah dalam Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), pendahulu KLB.

Menurut penyata tahunan KLB 1999, Mirzan berjaya meningkatkan perolehan KLB daripada RM100 juta pada tahun 1995 kepada RM417 juta pada tahun 1996, lebih daripada empat kali ganda perolehannya dalam hanya satu tahun. Ia mencecah RM730 juta pada kemuncaknya pada tahun 1997, menarik perhatian daripada pasaran domestik dan antarabangsa.

Malangnya, pengambilalihan dan pengembangan agresif syarikat itu meletakkannya di bawah tekanan hutang yang ketara, dan ia terjejas teruk oleh permulaan Krisis Kewangan Asia 1997. Liabilitinya meningkat kepada RM400 juta.

Sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah yang berterusan, menteri kewangan pada masa itu, Anwar Ibrahim, mendakwa Mahathir telah cuba menyelamatkan beberapa syarikat yang mengalami masalah kewangan di tengah-tengah krisis, termasuk KPB.

Mahathir dikatakan kecewa apabila Anwar enggan dan bimbang tentang potensi memalukan jika perkara itu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

Jadi sebaliknya, Mahathir didakwa mengenepikan kuasa Anwar dengan mengarahkan Petronas menyelamatkan KPB memandangkan syarikat minyak itu berada di bawah bidang kuasanya sebagai perdana menteri.

Anak syarikat Petronas MISC Bhd membeli KPB dengan harga AS$220 juta.
Dr Mahathir Mohamad
Dalam autobiografinya ‘A Doctor in the House’, Mahathir mempertahankan langkah itu, berkata ia bukan cubaan 'bailout' kerana Petronas membeli KPB pada harga rendah dan menjual beberapa kapal pengangkut pada keuntungan yang lumayan apabila industri perkapalan pulih.

Mirzan kekal sebagai pengerusi eksekutif KLB sehingga Ogos 2007, manakala syarikat itu berkembang untuk dikenali sebagai Pos Logistic Bhd hari ini.

Bagaimana dengan Mokhzani?

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa Kenchana Petroleum milik Mokhzani memenangi lesen untuk mereka bentuk struktur luar pesisir daripada Petronas pada 2002.

Dakwaan itu dibuat pada 2020 sebagai tindak balas kepada dakwaan Mahathir bahawa anak-anak Najib mendapat manfaat daripada kontrak kerajaan semasa menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, Mokhzani juga menafikan dakwaan Najib dengan mengatakan bahawa Sapura Kencana Petroleum hanya ditubuhkan pada 2012, selepas Mahathir berundur sebagai perdana menteri.
Mokhzani Mahathir

Namun, bukti daripada penyata tahunan Kencana 2011 mengesahkan bahawa Kencana Petroleum Bhd, sebelum penggabungan dan penamaan semulanya, sememangnya telah memperoleh kontrak Petronas pada 2002 seperti yang didakwa Najib.

Mokhzani juga pernah mengetuai pengeluar gentian optik Opcom Group yang diasaskan oleh adiknya, Mukhriz.

Dalam tuntutan mahkamah, Anwar mendakwa Mohkzani, Mirzan, Mukhriz, dan isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria adalah pengarah syarikat itu dari 1994 hingga 2021.

Dia mendakwa dalam tempoh ini, Mahathir telah menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mempengaruhi keputusan Telekom Malaysia (TM), yang menjalankan rundingan terus dengan Opcom untuk pembekalan kabel gentian optik.

Opcom juga menimbulkan persoalan selepas dianugerahkan kontrak RM11.16 juta daripada TM hanya beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-14 dan Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di bawah gabungan Pakatan Harapan.

TM kemudian menjelaskan keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya berikutan proses tender terbuka.

Kemudian apabila Pelan Gentian dan Ketersambungan Kebangsaan diumumkan pada 2019, harga saham Opcom melonjak di tengah-tengah spekulasi bahawa ia akan menjadi penerima utama projek itu.

Menteri komunikasi dan multimedia pada masa itu Gobind Singh Deo kemudiannya menjelaskan bahawa Opcom tidak boleh membida kontrak itu kerana ia tidak mempunyai lesen yang berkaitan.

Apa kata Mahathir?

Mahathir telah lama menegaskan bahawa kekayaan anak-anaknya adalah hasil kerja keras mereka sendiri dan tidak ada kena mengena dengannya.

“Jika mereka kaya sekarang, ia adalah atas usaha mereka sendiri.

“Mereka berhak menjadi kaya, iaitu jika mereka boleh menjadi kaya. Tetapi beberapa saudara saya miskin seperti tikus gereja,” katanya pada 2018.

Semasa temu bual dengan Asiaweek pada 1998, dia menjawab dakwaan nepotisme dan kronisme dengan berkata kerajaan mesti membantu sektor swasta, terutamanya syarikat milik bumiputera, untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

Dia mencabar penemramah untuk "Beritahu saya mana-mana ahli perniagaan yang tidak rapat dengan kerajaan ini".

Dalam tuntutan mahkamah dengan Anwar, Mahathir menuduh bekas anak didiknya sebagai pembohong yang tidak pernah menunjukkan bukti atas dakwaannya menyalahgunakan kuasa.

Dia menegaskan bahawa Anwar sendiri memberitahu media pada Mac 1998 bahawa pembelian KPB oleh MISC bukanlah 'bailout' tetapi keputusan perniagaan.

Dia juga membantah bahawa Opcom jauh mendahului pesaingnya sebagai perintis dalam membekalkan kabel gentian optik di Malaysia, dengan pelbagai pensijilan ISO untuk menunjukkannya.

Malah, kata Mahathir, Anwar telah mengakui bahawa TM sendiri telah mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom berhubung kontrak gentian optik itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-