Monday, September 7, 2020

Kewibaan Muhyiddin hasil sejarahnya dalam Umno, kata penganalisis

Faiz Zainudin
freemalaysiatoday
-September 7, 2020 9:37 AM
Minggu lalu, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, tiada pemimpin yang lebih berwibawa daripada Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri, sama ada dari Umno, PAS atau PPBM.

PETALING JAYA: Kewibawaan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ialah hasil daripada sejarah panjangnya dalam Umno, kata penganalisis politik, Azmi Hassan mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin yang pemimpin lain kekurangan karisma dimiliki presiden PPBM itu.

“Jangan lupa Muhyiddin dibentuk dalam Umno dan aura beliau bukan kerana PPBM, tetapi kerana sejarah beliau dalam Umno yang membentuk kepimpinannya,” kata pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia itu kepada FMT.

“Jadi, agak janggal bila Khairy mendakwa tiada pemimpin lain yang beraura status perdana menteri kerana pada penghayatan saya, ada lebih ramai pemimpin dalam Umno yang berwibawa tokoh perdana menteri.”

Beliau berkata, Umno mempunyai organisasi perkaderan mantap atau pembentukan pemimpin dari peringkat akar umbi dan Muhyiddin ialah satu daripada contoh itu.
Azmi Hassan
Minggu lalu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda dilaporkan berkata, satu tinjauan mengenai kadar penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin menyokong pandangannya berhubung kedudukan Muhyiddin.

Katanya, tiada pemimpin yang lebih berwibawa daripada Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri, sama ada dari Umno, PAS atau PPBM.

“Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka perdana menteri yang kita dukung adalah Muhyiddin, soal PRU akan datang itu masih dalam perbincangan,” kata menteri sains, teknologi dan inovasi itu.

Tetapi, Azmi menyifatkan kenyataan Khairy bersifat peribadi dan tidak menolak tindakan ahli Parlimen Rambau itu kerana tidak mahu dituduh berminat melobi jawatan perdana menteri.

“Beliau sebahagian daripada Umno dan sepatutnya dapat menilai jika ada pemimpin berwibawa dalam Umno atau mungkin Khairy berkata demikian kerana tidak mahu dituduh berminat dengan jawatan perdana menteri atau berat sebelah dengan berpihak kepada Umno.
Kamarul Zaman Yusoff
“Mungkin juga khairy tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional menjadi tidak stabil sebab itu beliau menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin.”

Bagaimanapun, beliau menilai kenyataan Khairy daripada sudut tersirat, iaitu cabaran kepada pemimpin Umno untuk membuktikan parti itu akan berlaku proses menghasilkan calon terbaik untuk jawatan perdana menteri.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, kenyataan Khairy tidak semestinya tepat kerana pemimpin Umno dan PAS lain belum diberi peluang menerajui negara dan kewibawaan mereka belum diuji.

“Jika dilihat kepada potensi pada pemimpin Umno dan PAS yang belum mampu menunjukkan kewibawaan mereka kerana tiada ruang begitu berbanding Muhyiddin yang sudah ‘perform’ selepas dilantik sebagai perdana menteri.”

Katanya, bagi mengelakkan polemik terus berpanjangan, langkah terbaik ialah tidak membincangkan isu pengganti Muhyididn kerana setiap parti sudah pasti mempunyai calon sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-