Monday, September 28, 2020

PN, MN masih nak ‘sedekah’ kerusi majoriti Melayu pada MCA?

Athirah Huda Zalhe
ismaweb.net

Sudahlah menang atas ihsan UMNO-BN, palu pula isu sekolah vernakular


BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Sangat pelik jika pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) masih mahu ‘sedekahkan’ kawasan majoriti Melayu kepada MCA.

Ini kerana, sudah jelas parti berasaskan kaum itu telah ‘dibungkus hidup-hidup’ oleh DAP selepas kalah di empat kerusi – termasuk satu daripadanya adalah kubu tradisi MCA – pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, PN dan MN hanya mempertaruhkan kekalahan jika masih mahu memberikan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu.

“Contoh yang nyata adalah Kuantan (67 peratus), Alor Gajah (61 peratus), Padang Serai (59 peratus), mereka kalah di semua 10 kawasan majoriti Melayu kecuali Air Hitam (58 peratus) pada PRU-14.

“Adalah sangat pelik andai pembesar PN atau MN masih ingin ‘menyedekahkan’ kawasan majoriti Melayu kepada MCA, dipertandingkan untuk kalah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCA bertanding di empat kerusi dalam PRN Sabah iaitu di kerusi tradisi N.25 Kapayan serta tiga lagi kerusi baharu iaitu N.55 Elopura, N.54 Karamunting dan N.19 Likas.

Bagaimanapun, parti itu kalah di semua kerusi yang dipertandingkan.

Pada PRU-14 lalu juga, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang menjadikan kekalahan paling teruk dalam sejarah 69 tahunnya.

November lalu, MCA memenangi satu kerusi Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai – kawasan majoriti Melayu yang didakwa kononnya kerusi tradisi.

“Selepas 2 Ahli Parlimen MCA menang dengan ihsan UMNO-BN dan undi orang Melayu, mereka terus palu perjuangan SJKC dan pendidikan vernakular, tolak Jawi dan pemerkasaan undang-undang Syariah, tuntut jawatan menteri, CEO GLC serta pelbagai lagi.

“Dan mereka terus dapat! Bertuahnya MCA. Peliknya pemimpin Melayu ini mendabik dada mengangkat diri pejuang agama, bangsa dan negara.

“Berubahlah, atau rakyat akan mengubahnya,” kata Dr Zainur Rashid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-