Tuesday, November 11, 2014

Kesederhanaan dan toleransi rakyat Malaysia diserang Umno - Kit Siang


KUALA LUMPUR, 10 NOV – Gerakan kederhanaan anjuran Perdana Menteri Najib Razak nampaknya tidak mendapat sambutan di negara sendiri walaupun beliau gigih mencanangkan ke seluruh dunia tentang usahanya itu.

Malah lebih menyedihkan lagi, Najib Razak sendiri tidak mampu mempertahankan usahanya apabila pemimpin Umno sendiri mengasak idea tu yang disifatkan membuka jalan bagi memudahkan Islam dan Melayu diserang.

Berucap membahaskan peruntukan belanjawan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang meluahkan simpatinya kepada Najib Razak yang dilihat tidak bermaya dan lemah ekoran gerakan kesederhanaannya diasak.

Bekas menteri Umno Zainuddin Maidin menulis di blognya: “Perdana Menteri Datuk Seri Najib berjaya dalam usahanya untuk mempromosikan imej Malaysia di luar negara sebagai contoh negara Islam sederhana tetapi mendatangkan kesan yang negatif dalam negara…”

Zainuddin turut mengesahkan kenyataan oleh Timbalan Ketua Pemuda Umno Johor Khairul Anwar Rahmat bahawa kesederhanaan tidak sesuai untuk isu-isu tertentu, dan mendakwa pula bahawa itulah pendapat dan fikiran akar umbi Umno.

“Saya tidak mahu terlibat dalam polemik keagamaan, tetapi tesis bekas menteri Umno ini yang mendakwa mewakili hasrat akar umbi Umno sangat merisaukan, kerana beliau nampaknya mencadangkan bahawa Islam bukanlah agama kesederhanaan,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“Jangan tersalah faham, Melayu dan Islam tidak diserang di Malaysia,” tambahnya.

“Sebaliknya kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia yang sedang diserang oleh pihak-pihak ekstremis yang tidak bertoleransi yang cuba menjadikan kesederhanaan suatu kata kesat di Malaysia,” jelas Kit Siang.

Menurut beliau, Melayu dan Islam tidak diserang di Malaysia malah sebenarnya Umno lah yang sedang terkepung.

“Sedang wujud usaha terdesak untuk menyamakan serangan terhadap Umno ini sebagai Melayu dan Islam, dan ini adalah satu kekeliruan yang sangat hebat,” ujarnya.

Kit Siang turut bertanya sama ada negara sedang menuruti jalan ‘Talibanisasi’ hanya supaya Umno dapat terus kekal berkuasa di Malaysia.

Apa jadi dengan semakan semula Akta Hasutan?

“Sudah dua bulan berlalu sejak Peguam Negara berjanji untuk menyemak semula pesta pendakwaan Akta Hasutan. Adakah ini telah dilakukan, siapa yang melakukan semakan tersebut – atau adakah Nancy langsung tidak tahu menahu tentangnya?” soal Kit Siang lagi.

Lebih merisaukan, Jabatan Peguam Negara tetap tidak mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali yang mengugut mahu membakar Bible dengan alasan bahawa pemimpin Perkasa itu patut menikmati kekebalan undang-undang, kerana mempertahankan kesucian Islam dan dilindungi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“(Hujah itu) bukan sahaja cetek, dangkal dan menyimpang tetapi turut memperlihatkan bahawa Peguam Negara telah gagal dalam tanggungjawabnya untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang,” kata Kit Siang.

Jabatan Peguam Negara menyatakan demikian selepas konteks dikaji secara menyeluruh, dan kenyataan Ibrahim Ali tidak termasuk ke kategori menghasut.

Kit Siang mempersoalkan sama ada langkah tersebut bermakna wujud konteks tertentu yang membenarkan seseorang mengugut mahu membakar mana-mana kitab suci.

“Adakah wujud sebarang konteks tertentu di mana mengugut mahu membakar kitab-kitab suci agama lain dibolehkan, contohnya Tripitaka Buddha, kitab Veda Hindu, Kitab Taurat Yahudi, Guru Granth Sahib agama Sikh dan Tao Te Ching agama Tao?”

“Adakah juga wujud justifikasi kontekstual untuk membolehkan ugutan membakar Al-Quran?”

“Pastinya tidak. Tidak boleh ada justifikasi dalam konteks apa pun untuk mengugut membakar kitab suci mana-mana agama dalam negara Malaysia.”

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan memuji tindakan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengecam tindakan seorang paderi di negara tersebut yang mahu membakar Al-Quran.

Namun, Najib Razak masih gagal mengutuk tindakan Ibrahim Ali yang mengugut mahu membakar Bible, atau pun menyusun pimpinan Umno dan Barisan Nasional untuk menuruti jalan sederhana yang dianjurkannya. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-