Showing posts with label PN. Show all posts
Showing posts with label PN. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Parlimen kecoh susulan Ahli Parlimen Jelutong cadang berita bahasa Tamil, Cina diperkasakan

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
Februari 26, 2025 
RSN Rayer (kanan), dan Datuk Rosol Wahid

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 kecoh seketika susulan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan supaya laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil diperkasakan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berang susulan mendakwa cadangan dikemukakannya itu dijadikan 'bahan jenaka' oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.

"Saya mencadangkan supaya penekanan diberikan kepada media digital dan online (dalam talian) terutama babitkan bahasa Tamil.

"Apa salahnya? Kenapa Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid) bantah sangat pengunaan bahasa Cina dan Tamil. Ini bukan satu lawak jenaka.

"Adakah itu pendirian Hulu Terengganu, BERSATU, PAS dan PN untuk bantah penggunaan bahasa Cina dan Tamil?" soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kekecohan timbul selepas Rosol bangkit memberi pandangan berhubung cadangan Rayer yang mahu bukan sahaja bahasa Melayu tetapi berita dalambahasa Cina dan Tamil turut diberi ruang yang sama.

Menurut Rosol, dia tidak membantah cadangan Rayer, cuma berpandangan keutamaan tetap perlu diberikan kepada bahasa kebangsaan.

"Saya tak bantah, tetapi keutamaan kita adalah bahasa Melayu. Bukanlah pula bermaksud ketepikan bahasa lain. Tetapi kalau orang Cina guna bahasa Mandarin, begitu juga (masyarakat India gunakan bahasa Tamil), bila perpaduan nak wujud?

"Ini bukan kenyataan untuk menyakiti sesiapa, tetapi satu pandangan. Timbalan Speaker (Alice Lau Kiong) pun bersetuju dengan saya," katanya.

Susulan pertikaman lidah itu, Rayer sekali lagi bangkit dengan merujuk peraturan 36 (9c) kerana mendakwa Rosol mengeluarkan pandangan yang boleh menimbulkan permusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Bagaimanapun, melihat suasana semakin tidak terkawal, Alice memberikan petua dan mengarahkan Rayer dan Rosol supaya segera duduk.

"Pada saya itu (sekadar) pandangan Hulu Terengganu (Rosol) dan dia tak kata bantah hujah Jelutong (Rayer)," katanya.

Sementara itu, R Yuneswaran (PH-Segamat) yang bangkit mengambil bahagian dalam perbahasan, turut menyentuh isu sama.

Beliau bersetuju dengan saranan Rayer supaya ruang yang sama diberikan bagi laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil.

"Perlu ingat, perkhidmatan laporan BERNAMA ini turut terbitkan kandungan dalam bahasa Cina, Tamil, Sepanyol dan Arab, selain (laporan berita) dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Jadi, maknanya semua berita dilaporkan secara adil dalam pelbagai bahasa. Maka saya setuju dengan Jelutong (Rayer) kita akui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain digunakan secara saksama, di sinilah kita mahu adanya perubahan," katanya.

Wednesday, February 19, 2025

Ahli Parlimen PN bawa suara rakyat bantah URA

harakahdaily.net
February 19, 2025

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin mewakili Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menerima serahan memorandum membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Menurut beliau, URA yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan itu akan menyebabkan beberapa kumpulan yang terlibat ‘gusar’ dengan undang-undang di dalam akta tersebut.

“Dalam mana kita mengekalkan hidup kita yang aman dan harmoni, segala undang-undang itu sepatutnya mengambil kira kedudukan semua kaum. Supaya kita dapat memberikan keadilan dalam negara kita.

“Sekiranya akta ini boleh memberikan keharmonian kepada semua kaum yang ada dalam negara ini, akan kita bantah sebaik mungkin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut di pintu pagar masuk Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima serahan memorandum yang disampaikan oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mewakili 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam lain.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Hamzah dalam pada itu memberikan jaminan untuk turut berjuang bagi mengemukakan bantahan terhadap akta teesebut.

“Saya dan semua kawan-kawan daripada Perikatan Nasional bersama-sama untuk berjuang dengan saudara-saudara. Di semua peringkat sama ada mereka yang profesional, bertanggungjawab untuk memikirkan akta mana yang lebih baik.

“Maka percayalah kami akan berada di sini bersama saudara-saudara semua,” katanya.

 HARAKAHDAILY 19/2/2025

Friday, August 23, 2024

PN umpama parti 'kura-kura', sanggup sorok kepala gadai prinsip - Zahid

malaysiakini.com
Haspaizi Zain & Shakira Buang & Isabelle Leong
Diterbitkan: Aug 23, 2024 4:12 PM
PAU 2024 | Umno menyifatkan PN sebagai parti "kura-kura" yang sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa, selain bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia berbeza dengan Umno yang sentiasa mempertahankan prinsip perjuangan termasuk menjaga agenda Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu.

"Kita bukan seperti mereka yang saya sifatkan sebagai parti kura-kura, menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa.

"Bersatu pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024).

Ahmad Zahid turut membangkitkan usaha menandatangani Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dibawa salah seorang menteri Bersatu ketika menjadi kerajaan.
“Usaha untuk menerima pakai ICERD – dibawa oleh salah seorang pimpinan mereka yang menjadi menteri ketika itu.

"Malah perdana menterinya juga dari Bersatu. Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa.

“Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang, nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mempersoalkan perjuangan PAS untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"PAS yang bertopengkan agama, ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? RUU 355 senyap sepi seribu bahasa. Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana," katanya.

‘Sandiwara politik yang mengkhayalkan’

Justeru Ahmad Zahid berkata, orang Melayu perlu sedar tentang perkara ini dan memahami bahawa gabungan PN hanya tahu memainkan sentimen dan emosi.

Tambahnya, PN tidak memainkan peranan dalam memperkukuhkan kedudukan Islam selain hanya membawa sandiwara politik mengkhayalkan.

"Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini. Mereka (PN) hanya tahu memainkan sentimen dan emosi bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan.

"Saya ingin menyeru kepada seluruh umat Melayu. Janganlah terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata. Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara," katanya lagi.

Tuesday, August 20, 2024

PRK Nenggiri: PAS tanggung kekalahan terbesar, kata penganalisis

malaysiakini.com
Shahrin Aizat Noorshahrizam & Sheha Mohd Amin
Diterbitkan: Aug 20, 2024 8:30 AM
Kekalahan PN dalam PRK Nenggiri antaranya disebabkan penyokongnya, menurut penganalisis politik.

Mereka berpandangan penyokong Bersatu bukan saja enggan keluar mengundi, malah ada yang mengundi Umno.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata, kekalahan sebenar ditanggung oleh PAS ekoran isu calon yang menyebabkan boikot di kalangan penyokong Bersatu.

“Cara calon dipilih menunjukkan betapa kuatnya PAS sehingga mereka boleh membuat keputusan di pihak Bersatu.

“Ini membawa kepada khabar angin sesetengah penyokong Bersatu bukan saja boikot, malah sabotaj dengan mengundi Umno.

“Jadi secara keseluruhan, PAS kalah paling besar dan disusuli PN kerana selepas ini, mungkin ada lebih banyak konflik antara Bersatu dan PAS,” katanya kepada Malaysiakini.

PN meletakkan Mohd Izwadi Ismail daripada Bersatu bagi PRK itu, namun dia didapati “diimport” daripada PAS memandangkan dia sebelum itu adalah anggota parti itu.

Senada dengan Azmi adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Shukri yang berkata dia terkejut dengan keputusan PRK Nenggiri dan yakin pengundi BN “sudah kembali”.

Syaza berkata walaupun Kelantan adalah kubu kuat PAS, Nenggiri adalah kerusi tradisi BN sehinggalah ia dirampas Bersatu dalam PRN tahun lalu.

“Jadi saya tak fikir kita boleh buat generalisasi dengan mengatakan orang Kelantan menolak PAS. Nenggiri adalah kerusi spesifik dengan sejarah dan bentuk yang tersendiri,” katanya.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani daripada BN menewaskan Rizwadi dengan majoriti 3,352 undi.

Ini merupakan kekalahan PRK terbesar PN selepas PRU15.

Ini juga PRK pertama selepas PRU15 di mana parti penyandang tewas.

Kemenangan Ku Li, bukan Madani

Syaza juga memuji strategi yang digunakan BN dan berkata kemenangan gabungan itu disebabkan pengarah strategi PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Apa yang saya lihat, ini bukan kemenangan kerajaan Madani. Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaan kenaikan gaji penjawat awam tidak memainkan apa-apa peranan dalam PRK ini. Ini adalah masterclass Ku Li,” katanya lagi.

Penganalisis politik dari Sunway University Wong Chin Huat berkata strategi Ku Li untuk tidak melibatkan DAP dalam kempen adalah keputusan yang betul dan natural.

Berhubung jika Umno boleh memanfaatkan DAP dalam usaha mendapatkan undi Orang Asli, Wong berkata Umno sendiri boleh mendapat sokongan mereka, terutama dengan penglibatan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

“Jadi, walaupun jika DAP berkempen di kawasan Orang Asli dan PN menggunakannya (untuk menyerang ketika kempen), ia sukar untuk membangkitkan (sentimen) fobia DAP.

“Pertimbangan nyata barangkali berkenaan sama ada Umno mampu mendapatkan undi Orang Asli dan ia tidak mahu berkongsi kredit dengan DAP (atas kejayaan itu),” katanya.

PAS tak kebal

Perkembangan politik mutakhir di Kelantan menyebabkan penganalisis mempersoalkan tanggapan kekebalan PAS di negeri itu.

Azmi berkata sukar untuk membuat sebarang andaian jika perbezaan undi kurang daripada 1,000, namun majoriti kemenangan BN di Nenggiri menunjukkan PAS bukanlah langsung tak dapat digugat.

“Jika PAS boleh ditewaskan di Kelantan, pastinya ia mampu dicabar di negeri lain. Saya melihat kekebalan PAS lebih kepada mitos pada masa ini kerana di Kelantan mereka bukan saja kalah, tapi kalah dengan teruk,” katanya lagi.

Syaza juga senada dengan pandangan itu dan berpandangan tahap sokongan PN mungkin sudah mencapai takat tertingginya.

“Kita melihat tahap sokongan terhadap PN mungkin sudah mencapai takat tepu. Bagi PN, usaha untuk mengekalkan tahap sokongan ini akan menjadi sangat mencabar, terutama bagi menarik pengundi Nenggiri seperti yang dapat dilihat di Nenggiri,” kata Syaza.

Pandangan para penganalisis membayangkan kemungkinan perubahan dalam dinamik politik di Kelantan - negeri yang sekian lama dianggap kubu kuat PAS.
View Synonyms and Definitions

Saturday, August 17, 2024

PN kalah di Nenggiri, prestasi terburuk dalam PRK

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Aug 17, 2024 10:08 PM
Kekalahan PN di Nenggiri merupakan prestasi terburuk gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus.

Jumlah undi yang diterima juga menurun daripada 6,517 undi kepada 5,739 undi.

Pengarah operasi pilihan raya PN untuk Nenggiri, Annuar Musa, mendakwa lebih daripada 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi kerana BN telah 'membeli undi'.

Namun, dia tidak menjelaskan kaitan antara kedua-dua dakwaan tersebut.

Peningkatan kehadiran pengundi dan keputusan di pusat daerah mengundi (PDM) juga menunjukkan terdapat peralihan undi kepada BN.

Berbanding pilihan raya negeri tahun lalu, PRK kali ini hanya terdapat penambahan 40 pengundi berdaftar.

Namun, kadar keluar mengundi kali ini jauh lebih tinggi iaitu 73.9 peratus berbanding 61 peratus tahun lalu.

Peratusan undi BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus, manakala jumlah undi yang diterima juga meningkat 3,384 undi kepada 9,091 undi.

Ini dapat dilihat berdasarkan keputusan di PDM, di mana BN menang 17 daripada 20 PDM, berbanding hanya tujuh PDM tahun lalu.

Meskipun tewas di PDM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh, BN berjaya mengurangkan majoriti PN daripada tiga angka di setiap PDM kepada dua angka.

Kemenangan BN di Nenggiri adalah kali pertama sejak PRU15 selepas kerusi itu bertukar tangan.

Apa sebenarnya yang mendorong peralihan sokongan kepada BN masih belum jelas buat masa ini.

Namun, antara perkembangan penting semasa tempoh berkempen adalah pengumuman Kementerian Kewangan bahawa Nenggiri bakal menerima mesin ATM.

Pada masa ini, penduduk di Nenggiri terpaksa berjalan sejauh 50km ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang daripada ATM.

Sementara itu, kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan skim kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Ini juga merupakan PRK pertama di mana DAP - musuh lama Umno yang kini menjadi sekutu - tidak terlibat dalam kempen.

Monday, July 29, 2024

Bersatu pertaruh bekas pemimpin Pemuda PAS Gua Musang di Nenggiri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 29, 2024 6:54 PM
PRK NENGGIRI | PN menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail, sebagai pertaruhan terbaik parti itu bagi mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasuruddin Daud di Masjid Hijau Renok, Gua Musang.

Mat Rizwadi merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang yang kemudian menyertai Bersatu.

Selepas pengumuman rasmi dibuat Mohd Rizwadi mengambil tempat di atas pentas untuk melafazkan ikrar dan sumpah laknat.

Antara lain dia bersumpah untuk patuh kepada perlembagaan Bersatu serta tidak akan meninggalkan parti berkenaan atau bakal dilaknat Allah.


[Berita penuh menyusul]

Monday, July 15, 2024

Adun Sg Udang cabar ketua menteri Melaka bubar DUN

malaysiakini.com
Ili Aqilah
Diterbitkan: Jul 15, 2024 8:36 PM

Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof mencabar Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas kenyataan Ab Rauf bahawa Umno Melaka akan merampas semula kerusi Sungai Udang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mohd Aleef menggesa dia supaya segera membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya.

“Saya cabar YB Tanjung Bidara ini bubar DUN sekarang dan kita lawan. Bubar DUN negeri melaka dan kita lawan dalam pilihan rakyat.

"Tak guna untuk berkokok sebegini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ab Rauf, yang juga pengerusi perhubungan Umno Melaka, menyatakan kesungguhan parti itu untuk mendapatkan kerusi Sungai Udang pada pilihan raya akan datang.

Dia menyorot kejayaan sebelum ini di tiga lagi kawasan di bawah parlimen Tangga Batu iaitu Kelebang, Paya Rumput, dan Pantai Kundor, walaupun tewas di Sungai Udang.

Mohd Aleef memenangi kerusi Sungai Udang dengan kelebihan 530 undi menentang calon BN Mohamad Ali Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd Aleef menyifatkan Ab Rauf tidak faham realiti di Sungai Udang.

Dia berkata ia boleh menjejaskan prospek Umno bukan sahaja di Sungai Udang tetapi juga di tiga kerusi lain.
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh
“Apakah Tanjung Bidara ini tidak mempunyai perisik-perisik di kalangan rakyat, sentimen-sentimen di kalangan rakyat ini, apakah YB Tanjung Bidara ini tak baca dengan teliti?

"Bukan kata Sungai Udang, silap-silap tiga kerusi yang dipegang itu yang terlingkup termasuk Sungai Udang," katanya.

Pada masa ini, BN memegang bilangan kerusi DUN terbesar di Melaka, dengan 21 kerusi, diikuti oleh Pakatan Harapan, dengan lima kerusi, dan PN, dengan dua kerusi.

Pada pilihan raya negeri lalu, Umno memenangi 18 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan.

Selain Sungai Udang, parti itu turut tewas di Bukit Katil kepada Amanah dengan majoriti 1,057 undi.

Bersatu bertanding 15 kerusi dan memegang kedua-dua kerusi PN iaitu Sungai Udang dan Bemban.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Sunday, July 7, 2024

Kalah PRK Sg Bakap, rakyat kurang percaya kerajaan, kata Puad

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
07 Jul 2024, 12:21 PM

Ahli MKT Umno itu meminta gabungan perpaduan agar tidak memberi sebarang ‘alasan’ pada kala rakyat sedang tidak berpuas hati.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi mengingatkan kerajaan perpaduan agar tidak cepat lupa daratan susulan kemenangan pada PRK Kuala Kubu Baharu Mei lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan mula merosot seperti yang terlihat menerusi kekalahan gabungan perpaduan pada PRK Sungai Bakap semalam, kata seorang ahli MKT Umno.

Puad Zarkashi berkata, gabungan itu harus menerima kekalahan tersebut tanpa memberikan sebarang ‘alasan dan formula’ kerana rakyat sedang tidak berpuas hati.

“Kejayaan di Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak bertahan lama. Beberapa keputusan dan tindak tanduk kerajaan selepas PRK KKB jadi bola tanggung lawan.

“Jangan cepat lupa daratan selepas menang di KKB. Jangan cepat buat kejutan, jangan abaikan kekhuatiran rakyat, gugur saja mereka yang tidak berprestasi,” katanya di Facebook.

Semalam, calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS Abidin Ismail menang pada PRK Sungai Bakap dengan 14,489 undi, memperoleh majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi.

Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Pengerusi PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff menang pada PRN tahun lepas menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi itu kosong apabila Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan gabungan perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK yang berlangsung semalam itu.

Katanya, kerajaan Madani menginsafi keputusan tersebut dan berazam menggiatkan usaha melaksanakan dasar dan inisiatif yang tepat untuk rakyat.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Saturday, July 6, 2024

LANGSUNG | Tak rasmi: Sg Bakap kekal milik PN

malaysiakini.com
PRK SG BAKAP | Dalam pertembungan satu lawan satu hari ini, calon PH Joohari Ariffin berdepan calon PN, Abidin Ismail dalam usaha untuk dinobat sebagai wakil rakyat DUN Sungai Bakap.
Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.

7.40 pm - Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa keputusan malam ini mencerminkan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam catatan di X, Rafizi berkata analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu adalah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

“Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar," katanya.
7.35pm: Malaysiakini mengisytiharkan kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap berdasarkan pengiraan tak rasmi.

Dengan 62 daripada 66 peti undi dikira setakat ini, PN mendahului dengan sekitar 3,700 undi dan telah melepasi ambang 50 peratus mengikut anggaran Malaysiakini.

Dengan jumlah itu, PH tidak mungkin dapat memintas.

7.18 pm - PH semakin ketinggalan. Dengan 33 daripada 66 peti undi dikira mengikut keputusan tidak rasmi, Joohari dari PH ketinggalan 2,000 undi setakat ini.


7.00 pm: Walaupun set pertama keputusan, termasuk undi pos, menyaksikan Pakatan Harapan di depan, Perikatan Nasional (PN) nampaknya mula memintas.

Sehingga jam 7 malam, Abidin dari PN mempunyai lebih 1,300 undi setakat ini, manakala PH mempunyai sekitar 1,000 undi.

6.10pm: Sungai Bakap, Nibong Tebal - Seorang guru sekolah tahfiz tidak sempat membuang undi kerana tiba di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap selepas jam 6 petang.

Mohd Farizal Ahmad, 43, yang datang dari Kepala Batas, Seberang Perai Utara, berkata dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 2km.

“Saya tinggal dan mengajar di Kepala Batas tetapi Sungai Bakap adalah kampung halaman saya,” katanya.


6pm: Sungai Bakap, Nibong Tebal - Semua sembilan pusat pengundian ditutup sekali gus berakhirnya proses pengundian.

Tinjauan Malaysiakini di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap mendapati anggoat polis segera menutup pintu pagar utama apabila jam tepat menunjukkan waktu 6 petang.

Sebelum itu beberapa pengundi saat akhir dilihat sempat menunaikan tanggungjawab mereka.

Kini tumpuan beralih kepada proses pengiraan undi dan keputusannya bagi memuktamadkan siapakah bakal mengisi kekosongan pada kerusi berkenaan.

Saturday, June 29, 2024

Kerjasama parti ‘resipi’ tawan Putrajaya, PAS beritahu Dr M

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-29 Jun 2024, 08:00 PM

PAS berkata tiada parti boleh bentuk kerajaan persekutuan bersendirian tidak kira dalam gabungan PN, BN atau PH.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Dr Mahathir Mohamad setiap parti memerlukan kerjasama parti lain untuk bentuk kerajaan persekutuan.

PETALING JAYA: PAS yakin dasarnya yang akan bekerjasama dalam pelbagai bentuk dari sudut politik antara ‘resipi’ utama menawan Putrajaya pada PRU16.

Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setiap parti memerlukan kerjasama parti lain termasuk dengan pihak di Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu daripada 15 kali PRU, PAS bertanding dalam pelbagai bentuk kerjasama politik pada 13 kali PRU. PAS meyakini kerjasama politik serta persefahaman antara resipi utama dalam pembentukan kerajaan menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tiada parti boleh membentuk kerajaan persekutuan bersendirian tidak kira dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, dalam temu bual dengan FMT bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan sendiri memandangkan popularitinya yang terhad.

Mahathir yang juga penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS dikenali SG4 berkata, parti itu hanya mampu meraih undi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Mereka mesti bekerjasama dengan orang lain. Jika PAS mahu menjadi kerajaan, ia perlu mencari kira-kira 80 kerusi lagi untuk membentuk 112 (untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat)…80 kerusi ini akan datang dari pantai barat (Semenanjung) dan orang pantai barat bukan penyokong PAS.

“Jadi PAS dengan sendirinya tidak boleh memerintah negara. Ia perlu bekerjasama dengan bukan Melayu dan Melayu yang bukan ahli (atau penyokong) PAS,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata tidak timbul dasar PAS tidak diterima bukan Melayu serta pengundi Sabah dan Sarawak.

Dakwanya, PH juga tidak mendapat sokongan di Kelantan dan Terengganu.

“Apa yang penting kerjasama politik pelbagai kumpulan adalah strategi utama setiap kali menghadapi PRU,” katanya.

Senada dengan Tuan Ibrahim, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata semua kerajaan yang memerintah negara adalah gabungan parti.

“Umno dahulu berkongsi dalam Perikatan. Kemudian bentuk BN. (Jadi) Kena tanya Mahathir apa maksud beliau,” katanya.

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Sunday, June 16, 2024

Ketepi ego, kembali pada Umno jika mahu terus kerjaya politik, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-16 Jun 2024, 08:45 AM

Mazlan Ali dan Azmi Hassan berkata KJ dan Shahril Hamdan perlu berjuang dalam Umno memandangkan ia platform terbaik bagi mereka.
(Dari kiri) Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Hishammuddin Hussein berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Ahli dipecat atau digantung keahlian yang tidak kritikal kepada Umno perlu dialukan semula menyertai parti itu, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ahli digantung mahupun dipecat ketika ini terpecah dua kumpulan – satu menyendiri, selain sudah menyertai seteru Umno.

Beliau memberi contoh individu seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, sebagai menyendiri, walaupun mereka kelihatan ‘proaktif’ dalam politik, menerusi hos bersama dalam audio siar.

Pada Januari 2023, Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy, dan menggantung bekas ketua penerangan, Shahril, selama enam tahun.

“Kumpulan lain adalah yang menentang Umno dengan menyertai Perikatan Nasional terutama PAS. Mereka mungkin tidak ingin kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Antara personaliti dipecat Umno dan menyertai PAS adalah bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa, dan bekas menteri wilayah persekutuan, Shahidan Kassim.

Mazlan berkata, beliau menjangkakan Khairy dan Shahril kembali kepada Umno pada masa depan, memandangkan presiden, Zahid Hamidi telah menstabilkan parti. Katanya, ‘tiba masa untuk mereka kembali dan mengukuhkan parti”.

“Mereka ini masih sayang kepada parti dan saya beranggapan tidak salah bagi Zahid menerima mereka kembali,” katanya sambil menyatakan mereka yang dipecat atau digantung mesti berfikiran terbuka dan memikirkan masa depan politik masing-masing.

Bulan lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jalaluddin Alias, berkata parti bersedia menerima kembali pemimpin dan ahli yang disingkirkan selepas PRU15, khususnya jika mereka masih setia dan sealiran dengan perjuangan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ahli Umno dipecat atau digantung yang masih ingin meneruskan kerjaya politik sepatutnya mengetepikan ego masing-masing, termasuk juga Khairy.

“Saya rasa Khairy dan Shahril akan kembali kerana Umno menjadi platform terbaik bagi mereka. Hishammuddin Hussein, yang ‘low profile’ sejak penggantungan, berkemungkinan akan kembali,” katanya merujuk bekas naib presiden digantung enam tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka bekas ahli MKT, Isham Jalil akan menyertai semula Umno memandangkan beliau telah ‘menyeberang jambatan’.

“Isham kritikal kepada Umno sejak disingkirkan dan juga mula muncul di pentas seteru Umno,” katanya.

Isham dipecat pada Disember kerana melanggar etika parti, termasuk gagal mematuhi arahan parti. Beliau dipecat di tengah-tengah kritikan terhadap Umno kerana berterusan bekerjasama dengan DAP.

Bulan lalu, Isham berkata beliau tidak berhasrat kembali kepada Umno kerana parti itu menyimpang daripada matlamat asal.

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Thursday, March 21, 2024

PN mungkin penyelamat usaha k'jaan pinda perlembagaan

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Mar 21, 2024 9:30 PM
Kerajaan mungkin mempunyai tidak dapat berharap sepenuhnya kepada sekutu yang ada untuk membantu mereka mendapatkan sokongan kepada pindaan undang-undang kewarganegaraan.

Hal itu kerana desakan untuk menolaknya datang dari dalam kalangan ahli parlimen PH sendiri ketika mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Sekiranya sebahagian daripada ahli parlimen kerajaan 'menderhaka' terhadap usul tersebut, kerajaan masih boleh berharap untuk mendapat undi yang mencukupi bagi meminda Perlembagaan Persekutuan - iaitu dengan sokongan PN.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli parlimen PN masih menunggu butiran rang undang-undang itu sebelum membuat penilaian.

Bagaimanapun, selepas diberi taklimat oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin, Tuan Ibrahim berkata ahli parlimen PN "yakin bahawa pindaan itu perlu".

“Jika ia dibawa dan dibentangkan (di Dewan Rakyat), kami tiada bantahan untuk menyokong rang undang-undang untuk meminda perlembagaan itu.

"Apapun kami akan tunggu detail (butiran) pindaan dibuat," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan ketika ini menguasai 147 kerusi parlimen dan kedudukan itu hanya kurang satu undi daripada jumlah majoriti dua per tiga kedudukan dalam Dewan Rakyat bagi membolehkan sesuatu peruntukan perlembagaan dipinda.
Tuan Ibrahim Tuan Man
PN pula menguasai 74 ahli parlimen termasuk enam daripadanya yang sudah memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Setakat ini dua ahli parlimen kerajaan telah bersuara secara terbuka menentang pindaan itu.

Beberapa ahli parlimen dari penyokong kerajaan pula menyatakan seawal Nov lalu bahawa mereka mungkin mengundi menolak rang undang-undang berkenaan jika unsur-unsur regresif tidak dibatalkan.

Rang undang-undang yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri itu bertujuan untuk meminda tujuh peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan.

Gerakkan lobi menolak

Ia termasuk dua pindaan yang akan memberikan seseorang wanita Malaysia hak untuk menurunkan kewarganegaraannya kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, pengkritik berkata, lima pindaan lain boleh memburukkan lagi masalah individu tanpa kerakyatan, terutamanya cadangan untuk menghapuskan kewarganegaraan automatik bagi anak-anak.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail cuba mewajarkan keperluan pindaan mengenai isu anak terdampar untuk membendung sebarang pihak mengambil kesempatan, termasuk membabitkan pendatang asing yang sengaja meninggalkan bayi mereka di hospital.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Tuan Ibrahim menyatakan sentimen yang sama seperti Saifuddin.

"Pada saya kita kena bezakan antara anak yang memang sah dilahirkan daripada ayah ibu warganegara, dengan mereka yang tidak diketahui status ibu bapanya, sama ada rakyat Malaysia atau bukan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim sebagai kerajaan pihak berkuasa perlu menyiasat latar belakang keluarga seseorang bayi terdampar, bahkan penentuan nasab merupakan elemen penting dalam Islam.

"Apa yang penting semua anak terdampar tu (boleh) mendapat kerakyatan.

“Cuma isunya ialah, sama ada ia secara automatik atau melalui perdaftaran (dengan kuasa menteri," katanya.
Saifuddin Nasution Ismail
Pengkritik pula berhujah bahawa naratif Saifuddin mengenai isu anak-anak terdampar adalah lemah.

Hal itu kerana, menurut mereka, perlembagaan semasa menjelaskan bahawa untuk layak mendapat kerakyatan automatik, ibu bapa bayi yang ditinggalkan mestilah tidak diketahui.

Peruntukan itu kata pengkritik sekali gus membatalkan kelayakan bayi yang ditinggalkan di hospital oleh ibu bapa migran.

Aktivis yang menentang pindaan itu kini sedang melobi ahli parlimen dari kedua-dua pihak untuk menolak rang undang-undang itu.

Kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang itu sebelum sidang Dewan Rakyat semasa berakhir pada 27 Mac.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-