Sunday, January 24, 2021

Kartel daging dikawal bukan Bumiputera, kata Tajuddin

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-January 24, 2021 9:50 PM

Bekas timbalan menteri pertanian Tajuddin Abdul Rahman mengakui hadapi kesukaran memecahkan monopoli.

PETALING JAYA: Kartel daging memang wujud dan dimonopoli serta dikawal bukan Bumiputera, kata seorang bekas timbalan menteri pertanian.

Tajuddin Abdul Rahman, yang menjadi timbalan menteri dari 2013 hingga 2018, berkata kartel berkenaan beroperasi sejak berdekad-dekad lalu dan enggan mengongsikan perniagaan berbilion ringgit itu dengan syarikat Bumiputera.

Katanya, beliau mengambil beberapa langkah untuk memecahkan monopoli itu supaya beberapa kartel luar negara tidak cuma membekalkan untuk dua atau tiga syarikat bukan Bumiputera tempatan.

“Monopoli itu membolehkan mereka mengawal harga daging,” katanya.

Tajuddin, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan anggota majlis tertinggi Umno berkata, beliau bekerja dengan syarikat baharu dari India yang bersetuju membekalkan daging kepada syarikat Bumiputera.

“Kartel daging memang wujud. Syarikat ini mengawal pasaran eksport dari India dan Australia, dan jika ada pemain baru mereka mengurangkan harga atau berbuat apa saja untuk memegang monopoli,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu sama ada daging diimport kartel berkenaan dicampurkan daging bukan halal seperti dibangkitkan dalam media baru-baru ini.

Tanda soal terhadap pemeriksaan Jakim

Tajuddin berkata, ketika beliau di kementerian itu, beliau mencadangkan Jakim dan Jabatan Veterinar untuk melantik lebih ramai pegawai bagi memantau lebih kerap keperluan halal di sini dan negara sumber daging.

“Ini perlu dipantau secara tetap dan bukan selepas tempoh lama. Apa-apa boleh berlaku (jika tidak diperiksa). Status halal mungkin terjejas,” tambahnya.

Tajuddin berkata, jika pemantauan berkesan dilaksanakan pertikaian berhubung persijilan halal tidak mungkin timbul.

Bagaimanapun, beliau juga tidak tahu sama ada cadangannya melantik lebih pegawai untuk memantau bekalan serta membuka lebih rumah penyembelihan dilaksanakan selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum 2018.

Mengimbau kesukaran dalam menangani

sektor itu, Tajuddin berkata kartel tempatan dan asing bekerjasama dan tidak membenarkan pemain baharu dalam pasaran, seterusnya menyebabkannya mencari pembekal baharu dari India.

“Saya turut mendesak rumah penyembelihan halal baharu untuk memenuhi bekalan. Ada juga kesukaran dengan jabatan veterinar sedangkan ketika itu saya cuma mahu memujuk pengeksport membantu pembekal Bumiputera tempatan kita,” tambahnya.

Beliau turut mempertikaikan kenapa Jakim tidak melantik pegawai baharu untuk memantau pensijilan halal dan menambah, mereka patut memeriksa rumah penyembelihan di luar negara secara tetap untuk memeriksa sama ada mereka memenuhi syarat ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-