Sunday, January 24, 2021

Ketika Zahid Terus Diserang, Tumpuan Kini Terarah Ke ‘Surat Rahsia’ Kepada Agong

BERITA
By MT Webmaster 
On Jan 24, 2021


(Malaysia Now) – Akar umbi Umno kini mendesak parti itu menyiasat surat yang dihantar Ahmad Zahid Hamidi kepada Istana Negara tahun lepas bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow yang pertama mendedahkan isi kandungan surat itu bebeberapa hari selepas dihantar ke Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Oktober tahun lepas kini difahamkan, lembaga disiplin parti itu didesak agar mengambil tindakan terhadap presiden Umno.

Zahid dan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat itu secara bersama bagi menyokong Anwar menjadi perdana menteri, sebelum presiden PKR itu mengadap Agong.

Surat itu dihantar tanpa pengetahuan pemimpin utama parti, menyebabkan menteri-menteri daripada Umno terkejut presiden mereka menyokong ketua pembangkang walaupun parti Melayu itu merupakan sebahagian daripada blok kerajaan.

Ketika Zahid kini berdepan dengan peningkatan desakan untuk menyingkirkannya, beberapa pemimpin bahagian Umno mahu kepimpinan parti memberikan penjelasan berhubung surat itu.

Antaranya ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa Irwan Rizal Ali Napiah yang mengatakan lembaga disiplin parti gagal dalam melaksanakan tugasnya.

“Saya akan menulis surat kepada setiausaha agung untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kesahihan surat tersebut,” kata Irwan kepada MalaysiaNow.

Zahid dan Najib tidak pernah memberikan komen secara spesifik tentang surat itu dan tidak pernah juga mengesahkan kesahihannya walaupun kedua-duanya meningkatkan serangan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Malahan Najib tahun lalu secara terbuka meminta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Awal bulan ini, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mengesahkan Zahid ada menulis surat itu pada sidang media menjelaskan pemecatannya.

Irwan mempersoalkan mengapa Zahid menutup mulut.

“Zahid tidak lagi menjawab secara rasmi. Selagi dia tidak jawab, selagi dia lambat jawab pelbagai persepsi akan timbul. Pelbagai pihak akan menimbulkan keraguan,” katanya.

Zahid sebelum ini didesak beberapa pemimpin Pemuda Umno untuk meletakkan jawatan.

Desakan ini semakin hebat apabila Ketua Umno Bahagian Paya Besar Ahmad Tajuddin Sulaiman menggesa Zahid meletakkan jawatan kerana pendakwaan rasuah terhadapnya membebankan parti dan gagal melakukan pembaharuan selepas hilang kuasa pada 2018.

Irwan berkata, jawatankuasa khas perlu ditubuhkan kerana ia melibatkan kredibiliti Zahid sebagai presiden dan Umno itu sendiri.

“Lembaga disiplin sehingga kini tidak bertindak apa-apa dan hanya bertindak berdasarkan laporan, tapi saya tak pasti ada atau tidak laporan itu kepada lembaga tersebut.

“Tetapi bagi saya lembaga disiplin perlu bertindak secara proaktif jangan hanya tunggu aduan sahaja kalau ada yang melibatkan kredibiliti terutama sekali melibat ahli majlis tertinggi terutama sekali presiden Umno itu sendiri jadi perlu dilaksanakan siasatan kalau tidak perlu tubuh jawatankuasa khas,” katanya.

Exco Puteri Umno Siti Sokleha Nordin bersetuju Zahid perlu memberikan penjelasan kepada ahli-ahli parti tentang surat sokongannya terhadap Anwar untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Kami dalam Exco Puteri Umno Malaysia cuma mahukan kejujuran daripada presiden parti,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ketika iklim politik negara tidak menentu, kami berharap pemimpin parti di semua peringkat ketepikan politik peribadi dan meletakkan politik bangsa dan agama di hadapan.”

Sementara Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang Ruby Abdul Rani berkata, rakyat di bawah pada ketika ini berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kerana terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Umno bukan hak milik individu, jadi turunlah hulurkan bantuan jangan sibuk asyik berpolitik di atas sedangkan parti lain ambil kesempatan ini mengambil hati pengundi dengan memberi bantuan sewajarnya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, pemimpin Pemuda Umno bahagian di Johor dan Negeri Sembilan menggesa Zahid disingkirkan sebagai presiden parti dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi pula menggesa kepimpinan parti itu dirombak.

Irwan berkata, kepimpinan Zahid sebagai presiden terlalu lemah dan kerap menukar pendirian serta dilihat sebagai “flip flop”.

“Contohnya isu titah pengisytiharan darurat Agong, Zahid kata menjunjung titah tapi selepas itu Setiausaha Agung Ahmad Maslan keluarkan surat gesa ahli Parlimen Umno desak untuk adakan sidang Parlimen.

“Ini yang akar umbi persoalkan kenapa pendirian sentiasa berubah jadi ada asaslah minta presiden berehat.

“Ingin saya tegaskan di sini parti lebih besar daripada individu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-