Sunday, March 7, 2021

Puad fail permohonan ketepi injunksi Muhyiddin

Oleh MALAYSIA DATELINE
March 7, 2021 7:58 am


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin kerana memfitnah beliau semalam.

Dalam masa yang sama juga, beliau telah mengarahkan peguamnya agar memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah injunksi yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah injunksi yang telah diperolehi terhadap saya.
“Sekiranya permohonan saya dibenarkan saya pasti akan menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin.

“Saya percaya sepenuhnya kepada kebolehan dan kepakaran peguam-peguam saya dalam membela saya dan menegakkan keadilan,” Puad dalam satu kenyataannya semalam.

Puad semalam telah membuat satu laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin berkenaan dengan satu artikel yang bertajuk “AMC In Chaos, Puad Chickens Out And Backs Down” yang telah diterbitkan dalam Malaysia Today pada 04 Mac 2021.

Laporan polis itu dibuat kerana pemilik laman Malaysia Today itu telah melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar terhadap beliau bersandarkan kepada surat-surat peguam dan emel Mahkamah yang tidak patut berada di dalam milikannya.

“Tujuan laporan polis tersebut adalah berkenaan dengan surat daripada peguamcara saya dan peguamcara Tan Sri Muhyiddin Md Yassin serta emel daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah yang merupakan dokumen-dokumen yang dikongsi secara sulit dan peribadi.

“Adalah agak mustahil bagi dokumen-dokumen tersebut diperolehi oleh Raja Petra Kamarudin kerana ianya tidak boleh diakses di laman awam (public domain),” katanya.

Selain itu, katanya, tindakan saman oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya adalah suatu tindakan yang diambil secara peribadi oleh beliau dan tidak melibatkan kepentingan awam ataupun institusi kerajaan.

Seterusnya, kata Puad, kenyataan Raja Petra Kamarudin yang kononnya menyatakan bahawa Mahkamah telah memerintahkan beliau untuk menurunkan pos tersebut atau akan dikenakan prosiding penghinaan Mahkamah adalah jauh sekali dengan fakta yang sebenarnya berlaku.

Malah, katanay, apa yang sebenarnya berlaku adalah peguam beliau telah menulis kepada Mahkamah untuk satu klarifikasi bagi mendapatkan kepastian berkenaan dengan kehendak perintah injunksi yang diberikan oleh Mahkamah.

“Ini kerana tuntutan peguam Plaintif untuk saya memadamkan pos tersebut tidak disebut secara jelas dalam perintah injunksi tersebut,” katanya.

Bagi Puad, permohonan oleh peguamnya sama sekali tidak dibuat untuk melengah-lengahkan pematuhan perintah tersebut malah sejurus selepas pihaknya dimaklumkan berkenaan dengan arahan Mahkamah untuk memadamkan pos tersebut, beliau telah dengan serta-merta memadamkannya.

“Jadi tiada isu yang timbul bahawa saya telah menghina Mahkamah atau cuba untuk melengahkan pematuhannya.

“Apa yang lebih penting adalah kenyataan Raja Petra Kamarudin bahawa “The court then replied in no uncertain terms that Puad must comply with the court order immediately or else face contempt of court proceedings” adalah tidak pernah berlaku.

“Malah kenyataan itu menunjukkan bahawa perintah Mahkamah sewenang-wenangnya boleh diputar belitkan dan diberikan maksud-maksud yang berbeza yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Puad amat kesal dengan kenyataan dan penulisan Raja Petra Kamarudin yang seolah-olah bertujuan untuk merosakkan imej beliau, mempengaruhi orang awam dan Mahkamah untuk menghukum beliau.

“Sedangkan saman Tan Sri Muhyiddin Md Yassin baru sahaja dimulakan beberapa hari yang lalu.

“Yang lebih menggusarkan adalah kenyataan Raja Petra Kamarudin itu semestinya mencampuri kuasa Hakim Mahkamah Tinggi dan menghina Institusi Kehakiman negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-