Friday, July 30, 2021

Hisham ketepi tuduhan Zahid, sekutu pembangkang bahawa kerajaan gagal

agendadaily.com
30/7/2021

Menteri Kanan Luar Negara Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima sumbangan Arab Saudi yang disampaikan Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, di ibu negara hari ini. - Gambar Wisma Putra

Pemimpin veteran UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengetepikan tuduhan yang sering dilemparkan pembangkang, termasuk pemimpin parti beliau sendiri, bahawa kerajaan telah gagal.

Katanya jika kerajaan gagal pastinya negara luar tidak mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada Malaysia, sebaliknya pelbagai sokongan daripada banyak negara membuktikan negara tidak gagal.

Menteri Kanan Luar Negeri itu juga berkata Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

“Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

“Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan Caudi-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditamatkan serta-merta kerana mendakwa kerajaan gagal, termasuk dalam usaha membasmi wabak Covid-19.

Malah Zahid juga mendesak Muhyiddin meletak jawatan supaya tanggungawab itu boleh diambil alih oleh pemimpin lain yang beliau tidak namakan.

Bagaimanapun, ramai Ahli Parlimen UMNO yang enggan mengikut telunjuk Zahid, malah terus kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, Malaysia setakat ini sudah menerima sumbangan masing-masing sejuta dos vaksin daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

Katanya, United Kingdom (UK) pula menyumbangkan 450,000 dos vaksin yang dijangka tiba Selasa ini.

“Hari ini suka saya umumkan kerajaan Arab Saudi akan menyumbangkan sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia,” katanya.

Malaysia turut menerima sumbangan 4.5 juta unit bekalan peralatan perubatan bernilai RM21.14 juta daripada kerajaan Arab Saudi, termasuk pelitup muka, kelengkapan pelindung diri (PPE), bekalan oksigen dan katil elektrik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-