26/7/2021
Sidang Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia.
Sidang Khas Parlimen yang bermula hari ini menonjolkan sikap biadap pemimpin DAP yang bertindak menjerit-jerit semasa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua Ahli-Ahli Parlimen (MP) untuk bertafakur dan membacakan Al-Fatihah kepada semua mangsa Covid-19.
Sebelum bermula sesi, Muhyiddin yang juga MP Pagoh mengucapkan takziah kepada semua mangsa Covid-19 dan meminta izin kepada Yang di-Pertua Dewan, Datuk Azhar Harun untuk bertafakur serta membaca doa sebagai menghormati mangsa yang terkorban.
“Sebelum saya memulakan penerangan, saya mewakili kerajaan dan seluruh ahli Parlimen dengan perasaan sedih dan hiba ingin menyampaikan salam takziah buat semua ahli keluarga mangsa Covid-19 yang diuji dengan kehilangan insan-insan tersayang.
“Datuk Yang di-Pertua, saya memohon izin untuk kita semua bertafakur seketika dan membaca surah Al-Fatihah bagi mengingati mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia. Al-Fatihah,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa MP DAP bangun antaranya Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo dan Nga Kor Ming dan terus menjerit-jerit tanpa menghiraukan Muhyiddin yang sedang membacakan surah Al-Fatihah.
“Point of order, point of order,” kata Guan Eng yang mengetuai MP DAP untuk menghalang Muhyiddin meneruskan ucapan.
Azhar bagaimanapun meminta Muhyiddin untuk meneruskan ucapan walaupun diganggu oleh pemimpin DAP yang tidak berpuas hati dengan ucapan tersebut.
Sidang Khas Parlimen yang bermula hari ini akan diadakan selama lima hari sehingga 2 Ogos ini, ia pertama kali semenjak Proklamasi Darurat diisytiharkan pada Januari.
Dijangkakan lima menteri termasuk Muhyiddin akan memberi penerangan mengenai keseluruhan termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sidang khas Parlimen diadakan untuk kerajaan membentangkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat seperti yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.
Mengikut Peraturan Am 11(3), Perdana Menteri menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat yang hanya akan melibatkan:
a) Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.
b) Pembentangan Proklamasi Darurat (2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik serta Pembentangan Proklamasi Darurat (3) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil N66 Bugaya, Sabah.
c) Penerangan menteri-menteri di bawah Peraturan Am 14(1)(i).
Ahli-ahli Dewan boleh bertanyakan soalan hanya selepas menteri selesai setiap sesi penerangan dan terhad kepada isu yang merangkumi penerangan menteri.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.