26/7/2021
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak muridnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketiadaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dirasai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memetik nama anak muridnya itu semasa Sidang Khas Parlimen hari ini dalam ucapannya.
Untuk rekod Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas didapati positif Covid-19 dan tidak dapat menghadiri sidang khas.
Anwar tidak berpuas hati dengan keputusan Kerajaan yang mengumumkan Proklamasi Darurat tidak akan dilanjutkan selepas berakhir pada 1 Ogos ini dan mendesak supaya perkara tersebut dibahaskan atas alasan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong walhal diketahui umum blok pembangkang sendiri yang mendesak supaya ia dibatalkan dengan segera.
“Saya teliti, Presiden UMNO sendiri pun minta bahas soal darurat, ya tapi maknanya ia tidak lagi suara kecil, ia suara majoriti rakyat,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Anwar sebelum ini dikaitkan dalam pakatan sulit dengan Zahid untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar mendesak kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya terlebih awal menyembah maklum dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara demikian.
“Apakah pembatalan ini telah mendapat perkenan Agong? Oleh demikian pengumuman tidak boleh dibuat tanpa perkenan Seri Paduka dan ia seolah-olah satu penghinaan kepada Majlis Raja-Raja.
“Kerajaan dan Perdana Menteri harus bertanggungjawab kerana usul terlebih dahulu tetapi mengetepikan institusi raja dengan harus mendapat perkenan terlebih dahulu,” katanya lagi.
Anwar pada 25 Januari lalu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dengan menamakan PM dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Terdahulu di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan bersetuju untuk tidak melanjutkan darurat kesihatan selepas perintah sedia ada tamat 1 Ogos ini.
Sehubungan itu kerajaan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkannya.
“Saya ingin mengesahkan pada hari ini, bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila tamat pada 1 Ogos 2021.
“Kerajaan telah buat keputusan berdasarkan kepada perkara 105(3) Perlembagaan Persekutuan untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dibuat semasa proklamasi darurat ini.
“Oleh itu, isu pembatalan (undang-undang) tidak lagi relevan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.