Saturday, July 31, 2021

Zahid pertahan keputusan gesa Muhyiddin letak jawatan, kekal sokong PN

malaysiakini.com
Diterbitkan 31 Jul 2021, 11:48 am
Dikemaskini 11:49 am

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pendirian partinya mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur dan pada masa sama tetap menyokong Perikatan Nasional.

"Persoalan ini dijadikan propaganda pasukan siber anti-Umno pula sedangkan perkara itu bukanlah suatu perkembangan baharu.

"Umno sebaliknya sejak lama konsisten dalam hal ini dan (Ahli Parlimen Pekan) Najib Razak turut mengulanginya semalam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Zahid menyamakan situasi politik dengan anak kapal yang harus mengikut arahan nakhoda yang memimpin mereka ke arah yang salah.

"Tetapi malangnya nakhoda terlalu ego mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

"Maka untuk memperbetulkan kapal kembali ke laluan sebenar dengan menggantikan kepada nakhoda yang berkemampuan," katanya.

Tambah Zahid, meskipun perdana menteri tidak campur tangan dalam kerja-kerja kementerian masing-masing, para menteri mesti tetap mengikuti arahan umum yang ditetapkan oleh perdana menteri.

"Perdana menteri tidak tertakluk nasihat kabinetnya. Memiliki kuasa penuh menentukan tadbir urus," katanya.

Oleh itu, Zahid berkata adalah penting bagi orang yang berkemampuan untuk menjawat jawatan perdana menteri.

"Sebab itu Umno konsisten mahu perdana menteri diganti. Nakhoda perlu ditukar supaya kerajaan yang telah gagal kembali ke landasan rakyat dan negara," katanya.

Dia mengatakan perdana menteri baru akan menyeru pilihan raya umum setelah wabak Covid-19 berjaya ditangani.

Pada 8 Julai, Zahid mengumumkan bahawa Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin tetapi daripada 38 ahli parlimen Umno, sesetengah dilihat tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Muhyiddin dianggarkan mendapat majoriti empat kerusi dengan sokongan penuh Umno.

Ini bermakna Zahid hanya memerlukan segelintir ahli parlimen Umno untuk menghalang agenda perundangan yang dibawa perdana menteri untuk diluluskan di parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-