Showing posts with label Ahmad Zahid. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Zahid. Show all posts

Tuesday, October 15, 2024

Adik Zahid serah borang sertai PAS kepada Hadi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-15 Oct 2024, 08:35 PM

Tidak dapat dipastikan sama ada Abdul Hakim Hamidi pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.
Abdul Hakim Hamidi menyerahkan borang pendaftaran keahlian kepada Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Abdul Hakim Hamidi, adik kepada Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini memohon menyertai PAS yang borang keahliannya diserahkan kepada Presiden Hadi Awang.

Perkembangan itu diumumkan Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki yang juga Yang Dipertua PAS Bagan Datuk menerusi Facebook.

Semoga dengan kehadiran beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pimpinan Umno yang cintakan perpaduan yang berlandaskan Islam, katanya.

Dalam video disertakan dalam hantaran itu menunjukkan borang keahlian PAS Hakim diterima oleh Hadi di Pejabat Agung PAS Pusat.

Tidak dapat dipastikan sama ada Hakim pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.

Sunday, August 25, 2024

Kembalikan Umno sebagai parti dominan antara fokus utama PAU2024

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 25, 2024 9:00 AM
ANALISIS | Suasana Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024) berbeza berbanding PAU sebelum ini selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Aura kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri mewarnai PAU2024 dalam mood kemenangan dan kegembiraan.

Umno wajar bergembira dengan kemenangan di Nenggiri kerana bukan saja berjaya merampas kembali kerusi yang dimenangi PAS dalam PRN tahun lalu, namun menang bergaya dengan majoriti lebih besar.

Langkah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kemenangan di Nenggiri ada asasnya kerana ia cukup signifikan untuk menyemarakkan kembali perjuangan Umno agar tidak suram.

Benar, mood PAU2024 berbeza sekali berbanding sebelum ini, di mana perwakilan lebih bersemangat dan Umno dilihat mula menemui kembali rentaknya.

Dalam kegembiraan kemenangan DUN Nenggiri, kedudukan Umno dalam kerajaan serta hala tuju Umno dalam PRU16 terus menjadi perdebatan di pentas PAU.
Malah, lebih daripada itu kepimpinan Umno di setiap peringkat melihat kepada keperluan untuk mengembalikan Umno sebagai parti dominan seperti mana era kegemilangan BN.

Enam dekad Umno menjadi parti dominan dalam kerajaan BN sebelum perpecahan berlaku selepas parti itu tewas dalam PRU14.

Oleh itu, untuk kembali dominan, Umno bukan sahaja perlu dilihat relevan tetapi harus sesuai dengan selera masa kini dan terus menjadi perbahasan.

Umno sebagai parti teras kepada orang Melayu mahu terus dilihat menjuarai dan mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu dan kesucian Islam meskipun dalam kerajaan perpaduan bersama PH yang turut ditunjangi DAP.

Menjawab kepada persoalan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan yang parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan kerajaan jika kedudukan Melayu, Raja-raja Melayu dan kesucian Islam gagal dipertahankan.

Cabaran besar kepada Umno untuk menjadikan parti itu kembali dominan ialah mengembalikan keyakinan dan sokongan orang Melayu kepada Umno.
Dengan adanya PAS dan Bersatu, Umno yang hilang sokongan orang Melayu dalam PRU15 mempunyai cabaran besar untuk meyakinkan kaum majoriti itu hanya Umno parti yang boleh membela nasib mereka.

Seperti mana disentuh Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani dalam ucapan penggulungannya bahawa naratif orang Melayu memerlukan Umno perlu ditukar kepada Umno yang memerlukan sokongan orang Melayu.

Ia penting bagi meyakinkan orang Melayu serta memastikan kepentingan orang Melayu, Islam sentiasa menjadi pasak kepada perjuangan Umno.

Bergerak solo?

Bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan, perkara itu juga turut dibincangkan dalam PAU kali ini secara serius.

Pemuda Umno melalui Ketuanya, Dr Akmal Saleh membayangkan parti itu perlu bergerak solo dalam PRU14 untuk menjadi parti yang dominan jika berada dalam kerajaan.
Malah Akmal menetapkan tanda aras agar BN dapat mencapai kemenangan dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat dalam PRU16 nanti.

Namun, Ahmad Zahid pula berpendapat Umno perlu melihat dinamika politik sebelum membuat keputusan untuk bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan.

Ia kata Zahid selaras dengan perubahan masa yang manyaksikan kerjasama politik antara parti tidak hanya berlaku di Malaysia namun juga membabitkan negara lain di dunia.

Katanya, sokongan ahli Umno semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar yang jauh lebih besar.

Ketika Ahmad Zahid membayangkan tiada keperluan untuk Umno bergerak solo, timbalannya pula, Mohamad Hasan mengatakan tidak adil untuk menilai dan membuat keputusan pada masa ini.

Mohamad berpendapat keputusan untuk bergerak solo atau bekerjasama dengan parti lain hanya akan dibuat apabila tiba masanya iaitu ketika menghadapi pilihan raya kelak.
Keperluan untuk menetapkan keputusan Umno perlu bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan harus diputuskan segera bagi memudahkan gerak kerja serta membina keserasian sebelum memasuki gelanggang PRU16.

Agenda bebaskan Najib

Pentas PAU kali ini juga turut menepis persepsi bahawa perjuangan pembebasan Najib Razak bukan lagi agenda Umno pimpinan Ahmad Zahid seperti mana dakwaan pihak tertentu.

Membuktikan pembebasan bekas perdana menteri itu satu agenda berterusan parti, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan usul pengampunan penuh Najib paling banyak diterima pada persidangan parti itu.
Daripada 171 bahagian usul yang diterima, 72 bahagian Umno mengusulkan mengenai pembebasan penuh bekas presiden Umno itu.

Ahmad Zahid pada akhir ucapannya pada sesi penggulungan pula turut memberi jaminan sekali lagi bahawa Umno akan terus berusaha membawa keluar Najib yang kini terkurung di sebalik tirai besi.

Mengakhiri PAU2024, Ahmad Zahid mendedikasikan sebuah puisi buat "sahabatnya" itu.

Friday, August 23, 2024

'SD Muhyiddin ada klausa batalkan semua perjanjian sebelum PRU15'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2024 11:51 AM
Akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh semua ahli parlimen yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 mempunyai klausa yang membatalkan semua perjanjian sebelum pilihan raya, kata Bersatu.

Justeru, ketua penerangan parti itu, Razali Idris berkata bahawa kesahihan SD tersebut tidak boleh dipertikaikan dan apa yang ditandatangani oleh ahli parlimen itu sebelum PRU15 tidak boleh diambil kira.

Razali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang mempersoalkan kesahihan SD tersebut.
“Zahid salah. Kenapa?

“Kerana SD yang ditandatangani oleh semua MP yang menyokong Muhyiddin mempunyai klausa bahawa semua dokumen yang ditandangani sebelum ini berkaitan pembentukan kerajaan selepas PRU-15 adalah terbatal.

“Ini bermakna semua 115 SD yang PN serahkan kepada Istana Negara pada jam 1.28 petang, 21 November 2022 adalah sah,” dakwanya.
Sebelum ini, Zahid berkata PN hanya mempunyai 105 ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas PRU15 memandangkan 10 SD daripada BN adalah tidak sah.

Ini, katanya kerana ahli parlimen BN telah menandatangani tiga dokumen yang menyerahkan kuasa kepadanya sebagai presiden parti, mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti, dan perjanjian untuk membayar denda RM100 juta jika mereka keluar parti atau menyokong orang lain.

Malah menurut Razali, dia yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim ketika itu tidak menikmati sokongan majoriti untuk mempertikaikan SD Muhyiddin.
“Adakah Anwar Ibrahim mempunyai lebih 112 SD pada masa itu untuk dilantik sebagai PM?

“Saya fikir tidak. Kenapa?

“Kerana kalau Anwar telah mempunyai lebih 112 SD sebelum jam 2.00 petang pada 21 November 2022, iaitu tempoh masa yang ditetapkan oleh Istana Negara untuk penyerahan SD, dia tentunya berlari ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah,” katanya.

Semalam, Razali Razali Idris membidas membidas pihak yang mengkritik presiden partinya, dengan mencabar Muhyiddin supaya mendedahkan nama-nama ahli parlimen yang menyokong dirinya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum lalu.

Sambil menasihatkan mereka supaya 'menutup mulut', Razali berkata ahli parlimen BN tersebut telah diugut dan mereka perlu memberi keterangan di mahkamah jika Muhyiddin didakwa atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong sebelum ini berhubung pelantikan perdana menteri selepas PRU15.
Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Untuk membantu siasatan polis terhadap ucapannya itu, dia telah menyerahkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

SD daripada PN dan MP PAS adalah berasingan kerana PN pernah bertanding menggunakan logo PAS di Terengganu dan Kelantan.


Thursday, August 22, 2024

'Level kita dua pertiga' - Akmal mahu Umno jadi parti dominan

malaysiakini.com
Shakira Buang, Zarrah Morden & Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 22, 2024 12:04 PM

PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dengan sekadar menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sebaliknya, Akmal berkata Umno perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara ini.

“Perasaan kita sama juga dengan perasaan akar umbi, kita tak mahu Umno ini terus selesa dengan situasi semasa dengan menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

“Umno perlu menjadi parti dominan dalam negara hari ini, angka 26 kita perlu tingkatkan menjadi dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Ini barulah level Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Akmal, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
“Pemuda Umno komited dan yakin sepenuhnya kepada presiden untuk meningkatkan jumlah 26 kerusi kepada dua per tiga majoriti

“Umno ini bukan parti pelengkap dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai level Umno,untuk kembali dominan dalam politik tanah air ini. Ini janji Pemuda Umno,’ katanya.

‘Jangan sentuh 3R’

Sementara itu, Akmal juga turut mengulangi pendirian yang Pemuda Umno akan menentang sesiapa sahaja termasuk rakan dalam kerajaan perpaduan jika mereka menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

“Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa, kami Pemuda Umno boleh kawan dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan tentang kamu habis-habisan,” katanya.

Turut hadir mendengar ucapan dasar itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Akmal dalam pada itu turut mengambil kesempatan menzahirkan kesediaan Pemuda Umno untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas Umno mendapat kemenangan di Nenggiri.

“Pemuda Umno sedia sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk DUN Mahkota.

“Nenggiri sudah berjaya. Jika diberi tanggungjawab sekali lagi Pemuda sedia galas di DUN Mahkota,” katanya.

Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang PRK Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi sekali gus menawan semula kerusi itu.

Sunday, August 4, 2024

‘Bersatu keluarga kami, tiada siapa kena tunggang’, PAS jawab Zahid

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-04 Aug 2024, 11:27 AM

Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad berkata pengundi Nenggiri boleh terima pemimpin PAS dahulu Mohd Rizwadi Ismail menyertai Bersatu dan calon PN.
Persefahaman PAS dan Bersatu dapat dilihat menerusi pemilihan Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon PRK Nenggiri, kata Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad. (Gambar Facebook)

GUA MUSANG: PAS Gua Musang menyangkal dakwaan Presiden Umno Zahid Hamidi yang parti itu menunggang Bersatu susulan bekas pemimpinnya Mohd Rizwadi Ismail menjadi calon PRK Nenggiri.

Ketuanya Azman Ahmad berkata dua parti itu saling memerlukan ibarat sebuah keluarga yang dapat disaksikan dengan persefahaman memilih Mohd Rizwadi sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Mohd Rizwadi, bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang menyertai Bersatu menjelang pengumumannya sebagai wakil PN yang akan menggunakan logo bulan PAS pada pilihan raya kecil 17 Ogos depan.

“PAS dengan Bersatu macam adik-beradik dan keluarga, tiada siapa tunggang siapa.

Pengundi boleh terima calon PN yang dahulu PAS sekarang bersama Bersatu sebagai calon PN, yang tak boleh terima mereka sahaja (Umno), katanya ditemui FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zahid semalam yang mendakwa PAS ‘menunggang’ Bersatu apabila bekas pemimpinnya yang baharu menyertai parti itu diangkat sebagai calon PN.

PAS Gua Musang sebelum ini berharap calonnya diberi laluan bertanding PRK DUN Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Azman mendakwa tindakan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim berpaling tadah selepas menang memberi kesan dalam kalangan pengundi di kerusi bawah Parlimen berkenaan.

Mengulas tindakan bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang Che Ariffin Hussin bersama 480 ahli menyertai Umno, Azman berkata tindakan itu tidak menjejaskan peluang PN.

Dakwanya, mereka yang keluar itu termasuk Che Ariffin disifatkan bermasalah dan tidak memberi sebarang kesan kepada pergerakan PN Gua Musang.

“Tak banyak kegiatan dibuatnya sepanjang jadi timbalan Bersatu Gua Musang.

Sebenarnya lagi ramai ahli Umno masuk PAS dan Bersatu…cuma tidak diuar-uarkan, dakwanya.

Monday, July 22, 2024

Umno nafi wujud perbincangan dengan PAS untuk bentuk kerjasama

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Jul 22, 2024 12:13 PM
Umno menafikan spekulasi bahawa wujud siri perbincangan antara parti itu dengan PAS bagi membentuk kerjasama.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perbincangan itu mungkin di kalangan ahli ataupun penyokong parti, bukannya kepimpinan kedua-dua parti.

"Saya setiausaha agung Umno pun tak tahu, kalau nak berbincang ia berbincang dengan kepimpinan.

"Macam saya dengar pemimpin PAS bincang dengan Pakatan Harapan (PH) pun boleh berbincang," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, pagi ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan wujud perbincangan antara pemimpin PAS dan Umno bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu di dedahkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mendedahkan be­berapa siri pertemuan bersama pe­mimpin Umno kerap berlaku ketika ini.

Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pe­mimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Pada 8 Julai lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Ahmad Zahid berkata, pengalaman bekerjasama dengan PAS sebelum ini menyebabkan keputusan tersebut diambil.

Dia juga dilaporkan berkata, banyak keputusan bersama yang dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati oleh PAS.

Monday, July 8, 2024

Tiada kerjasama Umno selagi Hadi presiden PAS - Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 8, 2024
Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman bekerjasama dengan PAS sebelum ini menyebabkan keputusan tersebut diambil.

Menurutnya, banyak keputusan bersama yang dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati oleh PAS

"PAS ini membohong daripada dulu sampai sekarang. Saya ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang. Sewaktu berdepan kita setuju, tetapi esok tukar, tidak setuju.

"Jangan percayalah, selagi orang itu jadi presiden. Jangan harap kita hendak bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam," katanya lapor Sinar Harian.

Dia berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui rakan-rakan dari PH ikhlas bekerjasama sama ada di dalam kerajaan mahupun gerak kerja politik.

Malah katanya, ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, biarpun BN hanya mempunyai sembilan kerus DUN tetapi PH mahu Menteri Besar dipilih dalam kalangan pemimpin BN.

Jelas Ahmad Zahid begitu juga situasi di Pahang apabila PH turut sedia menerima Menteri Besar daripada BN.

Sunday, February 25, 2024

‘Tawaran’ PAS hidup semula MN tak ikhlas, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou 
25 Feb 2024, 7:05pm

Presiden Umno mengingatkan bahawa PAS yang keluar dan ‘menikam belakang’.
Zahid Hamidi berkata PAS ‘menikam kami dari belakang’ ketika ditanya mengenai tawaran menghidupkan semula Muafakat Nasional.

CYBERJAYA: Zahid Hamidi percaya tawaran kerjasama daripada PAS bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) tidak ikhlas.

Presiden Umno itu mengingatkan bahawa PAS yang “keluar” daripada kerjasama itu.

“Yang keluar MN itu bukan Umno. Mereka yang keluar… mereka yang menikam kami dari belakang.

“Mereka yang membuat kerenah melebihi apa yang kami setujukan. Saya tak fikir mereka ikhlas dalam membuat tawaran itu,” katanya kepada pemberita, selepas majlis perasmian program Penggerakan Wanita Risda (Pewaris).

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pada 16 Feb lalu berkata beliau “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan PAS dengan Umno bagi menghidupkan MN, yang digagaskan ketika keduanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan.

Beliau juga berkata PAS tidak akan menutup ruang kerjasama dengan Umno untuk menghidupkan semula MN biarpun pemimpin Umno Puad Zarkashi menegaskan partinya sudah “tutup buku”.

Sebelum ini, PAS dan Umno saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka hampir lima tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional pada 2020 yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Saturday, February 17, 2024

Sokongan Terhadap Zahid Dalam Umno ‘Makin Suram’, Dakwa Penganalisis

malaysia-today.net
By MT Webmaster 
On Feb 17, 2024
(FMT) – Sokongan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dalam parti “semakin suram” susulan kegagalan mendapatkan pengampunan penuh Najib Razak, kata penganalisis.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, berkata ada beberapa pihak hanya menyokong Zahid selepas beliau berjanji berusaha melepaskan Najib dari penjara, pada perhimpunan agung parti itu tahun lalu.

Katanya, penyokong tegar Najib masih mengharapkannya kembali sambil menggambarkan “aura” bekas perdana menteri masih kuat dalam kalangan akar umbi.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan umum hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun berbanding 12 tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM201 juta kepada RM50 juta.

Sehari selepas itu, Umno berkata parti itu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan walaupun parti itu “terkesan dan bersedih”.

Hisomuddin berkata, kepimpinan Zahid sentiasa mencetuskan rasa tidak puas di peringkat akar umbi Umno, selepas memutuskan bekerjasama dengan musuh ketat, DAP dalam kerajaan perpaduan.

“(Ini) jelas apabila berlaku peralihan undi kepada PN (Perikatan Nasional) pada PRN lalu dan beliau kini dilihat gagal menunaikan janji (mendapatkan pengampunan penuh kepada Najib).

“Jika perkara ini tidak diatasi, lebih banyak undi pergi kepada PN,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan beberapa pimpinan bahagian menggesa parti menarik diri daripada kerajaan perpaduan dalam pertemuan tertutup.

Menurut Malaysiakini, 46 ketua bahagian tidak hadir untuk mendengar dalam sesi penjelasan Zahid pada 4 Feb, dengan seorang daripada mereka menyatakan “tidak berminat mendengar penjelasan (Zahid)”.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan gesaan supaya parti keluar daripada kerajaan perpaduan. Katanya, hanya 20 ketua bahagian tidak hadir kerana notis singkat.

Dalam pada itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata “penyelesaian segera” bagi Umno yang berdepan kehilangan sokongan sejak PRU15 adalah dengan Zahid meletak jawatan sebagai presiden.

“Parti memerlukan reform yang serius, bermula peletakan jawatan Zahid sebagai presiden,” katanya kepada FMT.

Azmil berkata, Umno sepatutnya segera meninggalkan kerajaan perpaduan agar mempunyai masa cukup mendapatkan menarik semula ahlinya yang beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN) sebelum PRU akan datang.

“Ini kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan bersama musuh ketat DAP tidak disukai ahli tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Monday, November 13, 2023

Kemaman kubu kuat Umno, bukan PAS - Zahid

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Nov 13, 2023 4:21 PM
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Dis ini, kerana kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO dan bukannya parti PAS.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan fitnah terhadap UMNO dan BN selain penggunaan sumber kewangan yang luar biasa oleh pihak lawan.

“Kita merasakan Kemaman bukan kubu kuat PAS, Kemaman ialah kubu kuat UMNO.

“Namun, disebabkan terjahan isu fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO khususnya dan BN, serta penggunaan sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu, maka kita kekurangan undi di Kemaman,” katanya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kemaman di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumum sebagai calon langsung BN bagi PRK Kemaman.

Ahmad Zahid berkata Raja Mohamed Affandi yang dibesarkan di Kemaman, dilihat mampu meraih sokongan rakyat sekali gus merampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan kepimpinannya dalam ketenteraan.

“Beliau mempunyai latar belakang yang sangat kuat dalam kerjaya ketenteraan dan beliau telah melalui kerjaya profesional ini dengan begitu gigih,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan jentera UMNO dan BN terhadap pemilihan Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN, Ahmad Zahid meluahkan keyakinan terhadap sokongan ahli parti dan pengundi di Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 Nov.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept, yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Kerusi Parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.

- Bernama

Wednesday, September 13, 2023

Kerajaan Anwar sekat kebebasan bersuara rakyat, BERSIH kecewa janji tak ditunaikan

agendadaily.com
13/09/2023

BERSIH membidas kerajaan campuran dipimpin Anwar dan anak muridnya, Zahid.

Langkah kerajaan campuran menyekat kebebasan bersuara rakyat adalah amat mengecewakan, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan janji yang sebelum ini dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menyemak dan menghapuskan akta yang disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji berkenaan kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, berikutan itu pihaknya menggesa kerajaan untuk menunaikan serta menegakkan janji mereka sebelum ini.

Dalam pada itu, BERSIH menempelak tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang perhimpunan aman diadakan, seterusnya menafikan hak rakyat dalam Perlembagaan kerana perkara itu adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

“Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

“Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penganjur perlu memohon permit lima hari sebelum tarikh perhimpunan juga adalah tidak tepat.

Katanya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan itu hanya perlu memberikan notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini sudah banyak perhimpunan aman diadakan termasuk BERSIH 4 dan BERSIH 5 dan ia berlangsung secara aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

“Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka,” katanya.

Semalam, Ayob berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan sempena Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ayob berkata, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu memohon permit sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan.

“Perlu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan dan kalau diikutkan, hari ini adalah hari terakhir permohonan permit perlu dibuat,” katanya seperti dilaporkan semalam.

Sebelum ini media melaporkan perhimpunan aman bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia” itu akan dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dilapor berkata perhimpunan itu diadakan susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi sebelum ini.

Friday, September 8, 2023

‘Zahid lepas tapi pencuri RM22 berdepan penjara 10 tahun’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 
Biro undang-undang Bersatu mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim pilih kasih.

Timbalan ketuanya Sasha Lyna Abdul Latif berkata demikian ketika membandingkan kes Zahid Hamidi dengan kes curi tabung masjid sebanyak RM22 di Kuala Terengganu.

Katanya, terdapat perbezaan ketara apabila pihak pendakwaan memohon Zahid dilepaskan sedangkan tertuduh kes kecil berdepan penjara 10 tahun.
Sasha Lyna Abdul Latif
“Kenapa ada beza antara layanan terhadap rakyat biasa yang menganggur dengan timbalan perdana menteri,” soalnya.

Dia menegaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang sama di sisi undang-undang.

Isnin lalu, pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding walaupun mahkamah telah memerintahkan tertuduh membela diri selepas kes prima facie dibuktikan.

Pihak pendakwaan antaranya memberi alasan bagi membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut, melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu suruhanjaya siasatan diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur justeru melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid Hamidi
Sementara dalam kes curi di Kuala Terengganu itu, penganggur 45 tahun Suhaidi Abdul Hamid mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

[Baca berita asal]

Sunday, August 13, 2023

‘Isu Zahid dan pemenjaraan Najib juga punca Umno kalah’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 13, 2023 
Selain kerjasama Umno dengan DAP melalui Pakatan Harapan (PH), isu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta kedudukan Najib Razak yang kini meringkuk di penjara memberi kesan kepada BN pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, berkata rekod Umno menunjukkan parti itu kalah teruk dalam PRN enam negeri apabila menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi.
“Kita (hanya) menang 1 (kerusi) di Kelantan, 2 di Pulau Pinang, 2 di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.

"Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak Umno akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli MKT itu berkata, dia telah meluahkan sebelum ini bahawa kerjasama dengan DAP adalah amat sensitif kepada akar umbi Umno.

“Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN.

“Ini yang telah berlaku di enam negeri ini," katanya.

Selain isu kerjasama dengan DAP, Isham berkata terdapat dua perkara yang menyebabkan kekalahan teruk parti itu pada PRN semalam iaitu berkenaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan berkaitan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
"Berkenaan isu presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang presiden, namun saya hormat institusi itu.

“Saya mohon supaya presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

"Berkenaan Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika Najib ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah. Namun, Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuk Najib," katanya.
Menurutnya, Najib kerap berkata kepadanya bahawa dia bukan mahu kesnya digugurkan, tetapi mahu mendapat perbicaraan yang adil dan ia masih belum berlaku.

"Saya telah cadang supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Najib sementara dia menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.

"Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.

“Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan Umno akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun," tambahnya.

Thursday, August 10, 2023

Selepas pendakwa kanan kes Zahid digugur, PMX janji tak kompromi menteri rasuah

agendaily.com
10/08/2023
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.

Kerajaan campuran tidak akan berkompromi dengan anggota Jemaah Menteri yang terbabit aktiviti rasuah dan mereka akan dipecat serta-merta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri (PMX) itu memberi jaminan sekiranya terdapat menteri yang terlibat rasuah akan dihukum tanpa pilih kasih, ia selepas media melaporkan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan baru-baru ini.

Anwar juga mendakwa setakat hari ini, tiada lagi menteri Kabinet yang terbabit dengan aktiviti rasuah.

“Semua menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diterajang keluar dan dimasukkan ke penjara jika terbabit dengan rasuah.

“Mereka sering diberi peringatan berhubung perkara itu pada setiap kali mesyuarat Kabinet, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan siasatan jika menerima laporan ada antara menteri terbabit aktiviti rasuah,” katanya dipetik dalam laporan BH.

Anwar berceramah semasa program di Kuala Telemong malam tadi.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan kerajaan campuran menukar Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran daripada mengendalikan kes rasuah dihadapi Zahid.

Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan YAB melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Perikatan Nasional (PN) diminta menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) untuk menukar kerajaan.

“Pimpinan parti gabungan PN perlu bersabar dan tunggu PRU-16 untuk menukar kerajaan.

“Jika keputusan Pilihan Raya negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini tidak memihak kepada calon daripada Kerajaan Perpaduan, ia tidak akan mengubah Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Monday, August 7, 2023

UMNO sudah ‘hancur’, PN sedia penuhi kehendak dan sentimen orang Melayu

utusantv.com
Oleh Azrul Hakimie Anuer
-August 7, 2023
Mantan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruhkan segala-galanya dalam memenuhi kehendak serta sentimen orang Melayu yang tidak berjaya diterjemahkan dengan baik oleh parti yang diharapkan membela mereka iaitu UMNO.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat, UMNO kini tidak lagi seperti dahulu terutamanya selepas memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP – parti yang nyata bertentangan ideologi.

Oleh yang demikian, beliau tidak berasa hairan mengapa begitu ramai pemimpin besar dan ahli parti keramat orang Melayu itu mula melangkah keluar meninggalkan mereka.

“Sentimen orang Melayu contoh di mana nak harap, nak harap UMNO, UMNO dah hancur dibuatnya oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, saya Timbalan Presiden UMNO dulu jadi satu tahu apa perjuangan UMNO.

“Namun, apa yang berlaku kepada UMNO sekarang…jadi saya beritahu orang UMNO eloklah kalau keluar atau pun kalau tak keluar beri sokongan kepada kita (PN),” katanya ketika ditemui UtusanTV, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, dukungan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin kepada PN penting terutamanya dalam memperkukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyifatkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai figura berketerampilan dan atas sebab itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempelawa beliau menyertai mereka.

“Sokongan itu nyata, dalam podcast pun berkali-kali beliau berkata PN menang, saya rasa ia penting kerana beliau adalah figura yang menarik.

“Memang kita pelawa, sudah beberapa kali jumpa saya, beliau tidak membuat keputusan apa-apa… itu soal pertimbang politik, dia lebih tahu. 

“Sikap kita dari segi sesiapa yang nak menyertai kita terbuka. Dalam situasi sebegini kita memerlukan sokongan dan dukungan terutama orang Melayu, kerana kalau tak buat begitu masa depan kita gelap,” katanya lagi.

Menyentuh soal kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin melihat, ia bukan sekadar hubungan politik tetapi bersifat peribadi di antara sesama manusia.

“Dalam semua perbincangan adalah berkaitan untuk memastikan PN menang, menang dengan besar dan mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu.

“Kapasiti sebagai negarawan sejauh mana beliau ada pengaruh boleh berperanan, cakap dengan tokoh-tokoh Melayu lain, di luar politik pun beliau boleh bercakap supaya ada kesedaran untuk bersama-sama kita,” katanya.

Sunday, July 9, 2023

Pemuda UMNO bidas Guan Eng, tapi Zahid pertahan dakwa cuba burukkan DAP

agendaily.com
09/-7/2023
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum selepas kenyataan kontroversinya dalam artikel China Press.

Presiden UMNO itu dilihat berbeza pandangan dengan Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh yang mendesak supaya Guan Eng disiasat pihak berkuasa ekoran kenyataan yang dilihat berbau unsur perkauman kerana menyentuh isu yang sensitif.

Zahid berkata menjelaskan ada pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan yang cuba memburukkan Guan Eng itu adalah satu pembunuhan karakter.

“Tidak, saya juga membacakan laporan laporan itu. Ia berlaku sudah beberapa lama tetapi ia diulang untuk memburukkan Lim Guan Eng.

“Saya fikir kalau kita berbeza politik sekalipun, eloklah perbezaan itu dengan akhlak politik yang baik. Jangan ikutkan character assassination (pembunuhan karakter),” katanya dipetik laporan BH.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar China Press melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Susulan itu, Dr Akmal dilaporkan meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya yang itu sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

Thursday, July 6, 2023

Annuar cabar Zahid berdebat, dakwa UMNO kini jadi peminta sedekah kerusi

agendaily.com
06/07/2023
Annuar mencabar Zahid untuk berdebat.
Cabaran dilontar Tan Sri Annuar Musa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat bagi melihat siapa sebenarnya pengkhianat orang Melayu dan Islam.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat Zahid sebelum ini, mendakwa pengkhianat orang Melayu sebenar adalah Timbalan Perdana Menteri tersebut yang mengorbankan prinsip demi jawatan untuk bekerjasama dengan DAP.

“Hamba menawarkan diri buat pentas letak Zahid situ letak hamba situ, mari kita berdepan dengan rakyat menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.

“Yang merosakkan perjuangan politik orang Melayu dan Islam hari ini adalah Zahid dan bukannya pemimpin-pemimpin PAS,” katanya semasa berucap di ceramah Pakat Pertahan di Bachok malam tadi.

Dalam ucapannya lagi, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata langkah Zahid bersama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk jajaran baharu bersama DAP sudah bermula sejak 2020 lagi.

“Strategi jajaran baharu, daripada tahun 2020 sampai sekarang ini saya nak beritahu kepada sahabat ambo dalam UMNO.

“UMNO hari ini sudah tidak UMNO dulu, UMNO dulu yang berdiri tegak berdiri bebas atas kaki sendiri, UMNO hari ini adalah menjadi barua kepada Anwar dan barua kepada DAP,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, UMNO kini dibawah penguasaan Zahid sudah semakin lemah dan terpaksa tunduk kepada abang besar iaitu DAP yang lebih berkuasa dalam kerajaan campuran.

“Tak malu muka lagi kita nak duduk dalam UMNO, dulu UMNO adalah parti yang menentukan kerusi bagi semua pihak…

“Abang besar (UMNO), hari ini UMNO adalah parti peminta sedekah, nak bertanding di Selangor dan Negeri Sembilan nak kena minta sedekah kerusi.

“Dan sudah tentulah abang besar adalah PH, dia tidak akan bagi cukup kerusi… Kerusi-kerusi kawasan undi bukan Melayu dia tak berani ambil dari DAP, akhirnya hari ini UMNO bukan sahaja menjadi parti yang hilang wibawa tetapi Barisan Nasional (BN) itu sendiri sudah tidak ada nilai,” ujarnya.

Bagi menguatkan lagi hujah UMNO-BN kini sudah lemah dan sekadar menjadi pak turut, Annuar berkata keputusan MIC dan MCA tidak meletak calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bukti yang jelas menunjukkan bekas partinya itu bukan lagi kuat seperti sebelum ini.

“Hari ini tengok MCA umum tak pernah berlaku dalam sejarah, enam negeri pilihan raya MCA tidak akan letak calon seorang pun, petang tadi MIC pula buat pengumuman enam negeri pilihan raya, MIC tidak akan letak calon seorang pun.

“MIC dan MCA tidak lagi bersama dengan semangat Barisan Nasional kerana sudah dibunuh Zahid Hamidi kerana mahu jadi kuli kepada DAP,” katanya lagi.

Annuar menasihati ahli-ahli UMNO agar tidak memangkah UMNO pada PRN di enam negeri kali ini kerana setiap satu undi hanya akan menguatkan lagi DAP dalam kerajaan campuran.

“Maka pesanan hamba kepada sahabat-sahabat dalam UMNO, jangan melabur saham untuk memperkuatkan DAP, jangan cuba melabur dengan sokong UMNO erti akan tegap dan kukuh lagi kedudukan DAP.

“Kalau sayang kepada agama, bangsa dan negara, duduk dalam UMNO undi kena bersatu dengan Perikatan Nasional pada pilihan raya ini,” ujarnya lagi.

Wednesday, July 5, 2023

Jangan hina penjawat awam, Ahmad Fadhli bidas Zahid dakwa ada ‘kacang hantu’

agendaily.com
05/07/2023
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Zahid Hamidi.

Penghinaan terhadap penjawat awam dengan dakwaan kononnya terdapat ‘kacang hantu’ di dua jabatan kerajaan dikecam Pemuda Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat tuduhan kononnya terdapat ‘kacang hantu’ dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia ekoran isu kekecohan melibatkan seorang menteri baru-baru ini.

“Kalau nak kira kacang hantu, dalam Kabinet tak ada kacang hantukah?

“Jangan cemarkan nama baik jabatan kerajaan, kami ni pembangkang tapi kami hormat jabatan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Ahmad Zahid dalam satu sidang media dipetik berkata, terdapat ‘kacang hantu’ dalam dua jabatan yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ‘kacang hantu’ itu perlu dibanteras kerana tindakan kumpulan berkenaan menyebabkan jabatan itu menerima tuduhan yang tidak benar.

Ahmad Fadhli sebaliknya menggesa supaya kerajaan campuran menyiasat secara telus dan mendakwa mereka yang terlibat kerana ketika ini kerajaan sedia ada mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing membuat kecoh setelah menyerbu masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong China yang dinafikan daripada memasuki negara ini oleh JIM.

Malah dalam kenyataannya menjelaskan keadaan itu, King Sing mendakwa pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat aktiviti rasuah.

Saturday, July 1, 2023

Anwar pertahan lantikan Zahid walaupun berdepan kes mahkamah

agendailt.com
01/07/2023
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun menerima kritikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan campuran.

Perdana Menteri (PMX) berkata tidak pernah campur tangan dengan mengganggu perjalanan kes perbicaraan yang dihadapi Presiden UMNO sepanjang tujuh bulan pentadbiran kerajaan campuran, walaupun umum mengetahui pasport sudah dipulangkan dan perbicaraan belum selesai sekarang.

“Ada orang bangkit Anwar ambil timbalan perdana menteri orang UMNO. Masih dalam siasatan (perbicaraan), saya tidak ganggu. Itu urusan mahkamah.

“Tetapi yang penting sejak tujuh bulan kita pegang kerajaan, satu kontrak pun kita tidak tolak-ansur.

“Tak boleh izin mana-mana keluarga menteri ambil kepentingan daripada projek itu. Bagi saya itu kejayaan besar, bagi mereka tidak nampak langsung hal ini,” katanya dipetik laporan portal MG hari ini.

Beliau menyerahkan kes itu kepada mahkamah kerana kejayaan kerajaan yang lebih besar apabila telus dalam pemberian kontrak yang tidak melibatkan mana-mana kroni dalam pentadbiran kerajaan campuran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Qurban Perdana Madani di Kawasan Perniagaan Arowana Permatang Pauh, Seberang Perai Utara.

Pentadbiran Anwar berdepan kritikan walaupun melaungkan usahanya membanteras rasuah dan perlu tatakelola baik namun mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang berdepan kes rasuah.

Zahid ketika ini membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Mengulas lanjut, Anwar juga pelik dengan tindakan pembangkang yang mempersoalkan beliau gagal menjadi ketua kerajaan dalam tempoh tujuh bulan.

Ujar beliau, dalam tempoh singkat itu mustahil untuk seorang membuktikan sesuatu sedangkan beliau mengambil alih kerajaan yang mempunyai hutang negara mencecah RM1.2 trilion.

Saturday, June 24, 2023

Anwar, Zahid tak muncul di perhimpunan mega madani Selangor

agendaily.com
24/06/2023
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua pemimpin utama yang juga cikgu dan anak murid, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat tidak munculkan diri pada perhimpunan bersama gabungan mereka malam ini yang diadakan di Shah Alam.

Bayang Presiden PKR dan UMNO yang dikenali sebagai cikgu dan anak murid yang dinanti-nanti penyokong kerajaan campuran tidak nampak di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, kurang 1km dari perhimpunan Perikatan Nasional (PN) di IDCC, menurut laporan Malaysiakini.

Dalam perhimpunan PN tersebut, pemimpin utama mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PN Selangor Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil pada program malam ini.

Dalam pada itu, media melaporkan terdapat terdapat bahan publisiti dan poster “Jelajah Mega Madani” Pakatan Harapan (PH) yang menyenaraikan pemimpin tertinggi kerajaan dan parti pemerintah sebagai penceramah utama.

Setiausaha Agong DAP Anthony Loke turut tidak menghadiri program malam ini.

Selangor dilihat sebagai negeri yang bakal menyaksikan pertempuran sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, yang akan membuktikan sama ada pengundi telah menerima kerjasama politik baharu antara PH dan UMNO-Barisan Nasional (BN) serta sama ada sebahagian besar sokongan Melayu masih dipegang PN.

Dua hari lalu, laman Facebook rasmi PH menyiarkan poster mengundang penduduk Selangor untuk hadir ke Jelajah Mega Madani.

Hantaran itu turut menyatakan antara yang akan hadir adalah pimpinan tinggi PH dan BN, termasuk Anwar, Zahid, Loke dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Namun, semakan dengan pejabat Zahid mendapati beliau tidak dijadualkan untuk hadir ke acara itu.

Terdahulu hari ini, Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Johan Aziz dipetik sebagai berkata, BN tidak akan menyertai acara pelancaran jentera pilihan raya itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-