Sunday, August 15, 2021

Pemimpin PH dibenarkan berbincang dengan pihak lawan, kata Guan Eng

malaysiakini.com
Diterbitkan 15 Aug 2021, 3:56 pm

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dibenarkan mengadakan perbincangan dengan seteru politik mereka, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Namun, tiga pemimpin utama PH - Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Lim - mesti berunding satu sama lain sebelum melakukannya.

Dia mengatakan bahawa ini adalah keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden PH.

"Kecuali tiga pemimpin tertinggi dari DAP, PKR dan Amanah, ramai ahli Parlimen dan pemimpin dari ketiga-tiga parti dalam PH mengadakan banyak perbincangan dengan lawan politik.

"Bagaimanapun, perbincangan seperti itu harus mendapat persetujuan dari kepemimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH agar ia boleh memberi kesan," katanya dalam satu kenyataan.

Lim menanggapi laporan berita yang disifatkannya "tidak menguntungkan" yang mendakwa bahawa ahli parlimen DAP telah beebincang dengan Perikatan Nasional (PN), yang membawa kepada tawaran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos.

Pagi ini, Sin Chew Daily, yang memetik sumber tanpa nama, mendakwa bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah membincangkan perkara itu dengan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Kemudian, The Star, memetik sumber tanpa nama yang mendakwa bahawa DAP adalah parti "paling bersedia" untuk berbincang dan mendakwa bahawa terdapat "banyak pertemuan".

Pua belum membalas permintaan Malaysiakini untuk ulasan lanjut. Ong tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Pua dan Ong sebelum ini secara terbuka menyatakan bahawa PH sekurang-kurangnya harus mendengar tawaran Muhyiddin sebelum membuat keputusan.

Namun, Majlis Presiden PH dan parti pembangkang lain menolak tawaran Muhyiddin tidak lama selepas ia diumumkan.

Dalam kenyataan berasingan, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengatakan PH harus "berfikiran terbuka" mengenai perbincangan yang berpotensi mengakhiri krisis Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik.

Namun, dia mengatakan bahawa perbincangan mesti mengikut dua prinsip - satu, Muhyiddin mesti menawarkan pelan yang dapat mengubah situasi dalam mengendalikan Covid-19.

Kedua, Muhyiddin mesti mendapat persetujuan DAP dan PH bahawa rancangan itu adalah demi kepentingan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-