Tuesday, August 3, 2021

Tiada krisis perlembagaan, hubungan dengan Agong masih utuh, kata Annuar

FMT Reporters
-August 3, 2021 9:30 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yakin Agong tidak suka pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan menokok tambah cerita bagi memenuhi agenda masing masing.

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menolak tanggapan bahawa negara sedang berdepan krisis perlembagaan, sambil menegaskan, hubungan kerajaan dengan Yang di-Pertuan Agong kekal utuh.

Terdahulu, kerajaan menerima teguran daripada Istana Negara setelah mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat, yang katanya dibuat tanpa perkenan Agong. Peristiwa ini mencetuskan seruan agar Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menterinya meletak jawatan.

“Tiada krisis perlembagaan …kerajaan tetap terus mengekalkan hubungan baik dan penuh kesetiaan pada raja dan negara,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu di Facebook.

Katanya, kerajaan sudah mempunyai cara penyelesaian tentang isu pembatalan ordinan-ordinan berkenaan dengan mengambil kira titah pandangan Agong.

“Kita yakin Agong tidak suka pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan menokok tambah cerita, dgn menambah ‘perasa’ politik bagi memenuhi agenda masing masing.

“Jemaah Menteri dan Agong akan sentiasa dan terus saling berbincang dan secara bersama melaksanakan tugas mentadbir negara seperti biasa, menurut undang undang dan Perlembagaan negara, dengan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.

Pada Ahad, penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan belia menganjurkan demonstrasi #Lawan di Kuala Lumpur untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, dan semalam, Ahli-ahli Parlimen pembangkang cuba berarak ke Parlimen sambil membawa kain rentang, mendesak Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya berundur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-