Diterbitkan 26 Aug 2021, 4:20 pm
Dikemaskini 5:07 pm
Senarai barisan menteri kabinet di bawah pentadbiran perdana menteri yang baru dilantik Ismail Sabri tidak akan diumumkan hari ini.
“Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan senarai kabinetnya, petang ini selepas senarai cadangannya mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah kabinet baru itu semasa sesi menghadap di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, pagi tadi.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan dilantik sebagai menteri kewangan dalam kabinet Ismail Sabri.
Sementara itu, sumber-sumber Umno dan Bersatu pula mendakwa bahawa Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri bersama penyokongnya jika tidak dijadikan timbalan perdana menteri.
Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham menafikan laporan itu dan berkata ia adalah "sama sekali palsu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab".
Terdapat juga beberapa jangkaan bahawa kabinet Ismail Sabri tidak akan terlalu berbeza dengan kerajaan Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Star Online sebelum ini melaporkan senarai kabinet itu sepatutnya dipersembahkan semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini, memandangkan Yang di-Pertuan Agong tidak berada di Kuala Lumpur.

Selepas senarai kabinet itu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, majlis angkat sumpah dijangka diadakan secepat mungkin.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.