9/8/2021
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti itu supaya tiga parti teras Melayu-Islam - PAS, UMNO, Bersatu - kekal di bawah Perikatan Nasional.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi pendirian parti itu yang mahukan UMNO dan Bersatu duduk semeja di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus mentadbir negara.
Pada masa sama beliau mengingatkan umat Islam menunjukkan contoh dengan kembali kepada ajaran agama dan menolak sebarang agenda peribadi serta kumpulan yang berfikiran sempit.
Beliau membuat gesaan itu takkala segelintir Ahli Parlimen UMNO diketuai presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik diri daripada kerajaan PN setelah tidak lagi mahu menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun tindakan kumpulan itu dibantah majoriti Ahli Parlimen UMNO dan pemimpin peringkat bahagian yang mendakwa Zahid tiada hala tuju untuk memulihkan UMNO setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.
Kumpulan Zahid juga dilihat semakin ghairah untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.
Walaupun pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu melaungkan ‘No Anwar No DAP’, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menganggap laungan itu hanya sentimen dan Zahid boleh mengubahnya untuk duduk di bawah naungan PH.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PAS, UMNO dan Bersatu adalah tiga parti teras Melayu-Islam dan Bumiputera, dan perlu disatukan.
“Ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional bersama prinsip yang fleksibel) bagi melakukan perubahan yang positif berikutnya.
“Pada masa yang sama, (kerajaan PN) tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata semua pihak perlu mengetepikan tindakan negatif sebaliknya yakin dengan ketetapan Allah SWT.
“Maka, hendaklah disingkirkan langkah negatif yang diambil oleh kalangan penganut Islam yang lemah serta tidak yakin kepada agama sendiri dan rupa bangsa yang menjadi ketetapan Allah SWT.
“Kemudian diikuti dengan kumpulan bukan Islam yang ekstrem sehingga boleh merosakkan kaum mereka sendiri, bukan sahaja hubungan antara kaum dan agama,” katanya.
Abdul Hadi turut mengingatkan bagaimana negara besar memansuhkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan mereka dan menghapuskan sistem beraja, sehingga memaksa masyarakat majmuk menghapuskan identiti bangsa dan bahasa.
“Mereka dipaksa menukar nama diri dan tidak membenarkan bahasa kaum masing-masing digunakan, sehingga gagal menyatukan rakyat sendiri. Semua perkara tersebut sudah cukup untuk menjadi iktibar yang mewajibkan kita memperkenalkan acuan Islam bersama pelaksanaan hijrah,” katanya.
Oleh itu katanya, umat Islam sendiri terlebih dahulu perlu kembali kepada agama dengan perpaduan umat satu agama dan bangsa dengan menolak sebarang agenda peribadi dan kumpulan yang sempit kerana boleh merosakkan peranan Islam yang wajib memimpin.
“Manakala golongan bukan Islam perlu sedar betapa kedudukan mereka lebih baik daripada rakan mereka di negara lain yang dipaksa menukar rupa bangsa, nama bukan dalam bahasanya dan tidak membenarkan bahasa kaumnya dipelajari,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.