12/8/2021
Ahli Parlimen DAP Bangi Ong Kia Ming.
Seorang pemimpin DAP, Ong Kia Ming menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung beberapa reformasi dan perubahan di dalam Perlembagaan, hari ini
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi mengajak semua parti politik menyahut seruan itu dan duduk berbincang mengenai cadangan yang telah dikemukakan.
“Perdana Menteri telah mengusulkan suatu langkah ke hadapan untuk melakukan reformasi terhadap sejumlah Perlembagaan yang memberi kesan berpanjangan terhadap politik Malaysia jika diluluskan.
“Oleh itu saya berpendapat bahawa semua parti politik sepatutnya duduk untuk berbincang sama ada usul itu boleh diterima atau tidak,” katanya dalam kenyataan menerusi Twitternya hari ini.
Beliau mengulas tujuh tawaran Perdana Menteri kepada blok pembangkang untuk mengembalikan kestabilan politik negara dan menegaskan tidak akan membiarkan kleptokrat kembali menguasai tampuk kuasa.
DAP yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) adalah antara parti yang menentang kuat kerajaan kleptokrat UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Terdahulu, Muhyiddin berkata cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat menumpukan kepada usaha menangani krisis kesihatan negara dan tidak mahu kumpulan kleptokrat yang sedang merancang untuk menjatuhkannya kembali berkuasa.
Antara lain Perdana Menteri menjanjikan suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, jika memperoleh sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.
Beliau juga berkata kerajaan memberi jaminan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah MP Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
Muhyiddin dalam ucapannya juga menjemput semua pimpinan parti politik untuk bersama membincangkan cadangan tersebut dan sekiranya dipersetujui akan memanggil sidang khas untuk membentang usul undi percaya dengan segera.
“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.
“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.
“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.