Tuesday, September 28, 2021

Kes saman serangan seksual, Anwar dakwa satu lagi rekaan

agendadaily.com
28/9/2021

Bekas staf, Yusoff Rawther membuat tuntutan saman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas disaman bekas staf Muhammed Yusoff Rawther pada Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pembelaannya mendakwa ia satu lagi cerita rekaan yang cuba menjatuhkannya dan didalangi individu tertentu yang belum diketahui.

Ketua Pembangkang itu menafikan bertemu dengan Yusoff di Bukit Segambut pada 2 Oktober 2019 seperti didakwa dalam saman berhubung serangan seksual yang difailkan Julai lalu.

Bagaimanapun, kenyataan pembelaan tersebut tidak menamakan individu yang didakwa mendalangi komplot tersebut dan menyifatkan ia sebagai usaha untuk mencemarkan imej beliau menjelang kongres PKR selain mengganggu perjanjian peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya sebelum ini.

“Dalam hal ini, masa guaman ini pada pertengahan Julai 2021 adalah dirancang oleh Yusoff, dan dengan kerjasama individu atau individu-individu yang pada masa kini tidak diketahui, untuk mencemarkan imej politik DSAI (Anwar) dan bagi merosakkan sebarang kemungkinan DSAI untuk menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia,” kata kenyataan pembelaan itu

Selain itu, Anwar turut Beliau turut memetik perselisihan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembelaan tersebut dan mengatakan wujud percubaan untuk menentang “kemajuan politik” beliau.

“Khususnya, perselisihan antara kumpulan DSAI dan kumpulan Azmin Ali dan/atau individu-individu yang menentang kemajuan politik (political advancement) dan/atau kepimpinan DSAI telah secara progresifnya membara dan meningkat kepada kemuncak kongres, sewaktu kongres dan selepasnya,” katanya dalam kenyataan pembelaan itu.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi Perdana Menteri (PM).

Beliau merujuk peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM yang mencetuskan kekosongan jawatan itu pada Ogos lalu dan Pakatan Harapan (PH) menamakan Anwar sebagai calon bagi jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sokongan yang cukup dari Ahli Parlimen (MP). Sebaliknya, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat majoriti dan mengangkat sumpah sebagai PM pada 22 Ogos.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menawarkan kerja kepada Yusoff di banglo beliau di Petaling Jaya selepas bersetuju dengan kehendak Allahyarham SM Idris yang merupakan pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Anwar turut menafikan Yusoff sebagai pembantu penyelidik, mengatakan dia merupakan “sukarelawan junior” yang dipantau oleh kakitangan kanan dan diberikan tugas-tugas seperti menjawab panggilan telefon dan menyambut tetamu.

Beliau turut menafikan dakwaan Yusoff yang mengatakan dia diberikan penginapan di pejabat banglonya di Jalan Gasing.

“Sebaliknya, pejabat tersebut mempunyai kemudahan-kemudahan yang membenarkan staf dan sukarelawan-sukarelawan yang antara lainnya bekerja sehingga lewat untuk menyegarkan diri atau bermalam (jika perlu).”

Menurut Anwar, Yusoff dituduh membuat pembelian yang tidak disahkan menggunakan kad kredit milik seorang pegawai.

Ekoran insiden tersebut, Anwar berkata Yusoff kemudiannya dipindahkan untuk bertugas di Yayasan Aman, sebuah yayasan diketuai beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar seterusnya berkata Yusoff adalah “pro-Israel” ketika itu, sambil menambah dia juga memiliki masalah disiplin.

Katanya lagi, Yusoff meletakkan jawatannya kira-kira sebulan selepas surat amaran dikeluarkan oleh Yayasan Aman pada Mei 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-