Monday, September 27, 2021

UMNO sudah berkerat rotan dengan Bersatu

agendadaily.com
27/9/2021

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Ya'akub.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Ya’akub mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan tidak menolak kemungkinan pertembungan kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, dengan angkuh beliau mengingatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak membuang masa meletakkan harapan UMNO akan bersama Bersatu dalam PRU15 nanti.

“UMNO telah berbulat tekad tidak akan bersama dengan Bersatu. Sudah berkerat rotan berputus arang. Bercerai talak tiga dan tak boleh rujuk lagi.

“Bersedialah untuk berdepan. Hanya yang terbaik akan menang,” katanya dipetik daripada Malaysiakini ketika mengulas kenyataan pemimpin Bersatu bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan terkesan sekiranya berlaku pertembungan antara parti dalam kerajaan pada PRU akan datang.

Pada PRU14 lalu, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak hilang kuasa pemerintahan buat kali pertama sejak negara merdeka kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu turut disertai Bersatu.

Bagaimananpun, susulan keinginan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan PH tumbang apabila Bersatu menarik diri.

Muhyiddin mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama PAS memberi peluang kepada UMNO untuk meninggalkan kerusi pembangkang dan duduk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Bagaimanapun, pengkhianatan 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebabkan Kerajaan PN diketuai Bersatu pula tumbang, dan kini kerajaan baharu dipimpin Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa pemimpin UMNO termasuk Najib dan Zahid juga kini sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan jenayah yang didakwa dilakukan mereka ketika berkuasa, membabitkan jutaan ringgit.

Mengulas lanjut Mustapha berkata keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mac lalu dengan jelas menolak Bersatu.

“Veteran UMNO ingin menyedarkan Muhyiddin bahawa bagi UMNO sudah terang lagi bersuluh tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

“Veteran dapat membaca apa yang tersirat di sebalik kekeliruan Muhyiddin itu. Dia sedar Bersatu tidak berkemampuan untuk berdepan dengan UMNO dalam PRU-15.

“Bersatu tidak mempunyai jentera untuk menggerakkan jentera pilihan raya. Bersatu juga sedar PAS tidak dapat membantu mereka kerana PAS akan menumpukan jenteranya bagi memenangkan calon-calon PAS,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-