Showing posts with label PRU15. Show all posts
Showing posts with label PRU15. Show all posts

Monday, May 29, 2023

Dana judi: Tarik balik kenyataan, minta maaf kata PAS

agendaily.com
29/05/2023
Perikatan Nasional diwakili PAS menang semua kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU-15.

PAS menegaskan pihak yang melemparkan tuduhan mendakwa Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu perlu menarik balik dan membuat permohonan maaf.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tindakan itu perlu selepas pengesahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, baru-baru ini.

“Kita pegang jawapan beliau, tak ada bukti dakwaan itu.

“Sepatutnya siapa-siapa yang membuat tuduhan ini kena tarik balik dan mohon maaf sebab sudah ada jawapan rasmi daripada kerajaan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Jajahan Tanah Merah kepada 243 penerima di Gobek, hari ini.

Isu berkenaan berbangkit selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu, membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti Melayu dan Islam datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, siasatan berkenaan isu itu masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab bagi mengumpul bukti sebelum tindakan sesuai diambil.

“Sudah tentu, ia ada banyak agensi dan siasatan ini apabila ada bukti barulah diambil tindakan. Biarlah agensi itu jelaskan,” katanya menjawab soalan sama ada siasatan berkait isu itu masih diteruskan.

Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan tersebut seperti didakwa Anwar.

Katanya, siasatan mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka bagaimanapun, Azalina tampil sekali lagi memberi penjelasan lanjut mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Susulan kenyataan itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara itu.

Menyentuh soal kemungkinan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dicalonkan pada pilihan raya negeri (PRN), Mohd Amar yang juga Menteri Besar Kelantan berkata perkara itu belum diputuskan oleh parti.

“Bertanding di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) terlalu kecil untuk Annuar yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang bertaraf nasional.

“Saya percaya beliau sertai PASs hanya nak menyatakan sokongan kepada perjuangan PAS dan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berpendapat kejatuhan nilai ringgit ketika ini membuktikan pelabur asing kurang yakin terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar seharusnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terutama melibatkan ekonomi.

“Beliau perlu tumpu kepada isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat seperti isu barang mahal dan ringgit yang jatuh berbanding sibuk mencari orang itu, orang ini untuk disaman,” katanya.

Wednesday, December 28, 2022

Zahid Dedah Punca BN Kalah, Maafkan 10 MP Terkait SD

bbcportal.my
UTAMA
Dikemaskini pada 28, Dec 2022
KUALA LUMPUR 03 DISEMBER 2016. Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi menggulung perbahasan di hari terakhir pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). NSTP/ASYRAF HAMZAH

28 DIS: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terhidu banyak bangkai tikus dalam partinya ketika menghadapi pilihan raya umum yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)berkata situasi itu yang menyumbang kepada kekalahan teruk gabungannya dalam PRU15.

“Saya tidak pernah menduga (hanya menang 30 kerusi). Jika adanya penyatuan, rasa kekitaan dan juga kerja sepasukan sepenuhnya di dalam UMNO-BN…tapi saya terhidu bangkai tikus di banyak tempat.

‘There is always skeleton in the cupboard’.

“Jadi bagaimana sebuah organisasi mahu menang banyak jika masalah melayani perbezaan, melayani kepentingan peribadi, melayani kepentingan kelompok menjadi keutamaan berbanding kepentingan parti pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya soal jangkaan kekalahan teruk BN pada PRU15 ketika Program Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung, menerusi NR Channel TV malam tadi.

Ketika dibangkit soal akuan bersumpah melibatkan 10 ahli Parlimen BN itu, Zahid berkata beliau memilih untuk memaafkan dan melupakan perkara itu.

“Saya beginilah, forgive and forget…Ya kita sentiasa berjaga-jaga.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula ahli-ahli politik. Semuanya bercita-cita tinggi. Kita santunilah semua perbezaan-perbezaan itu,” katanya.

Mengulas soal gabungan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, Zahid berkata keputusan itu dibuat selepas melalui penilaian politik jangka pendek dan panjang bagi melihat tahap kemudaratan kepada partinya.

“Kita lihat dari segi mudarat. Mana mudaratnya yang lagi besar? Dengan PN (Perikatan Nasional) atau dengan PH? Kami lakukan analisis politik bukan hanya analisis politik sekarang. Analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Mudarat mana yang kurang dan boleh terus merelevankan Umno.

“Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan dengan PN lebih banyak mudaratnya sebab mereka bertanding di kawasan yang sama kita bertanding iaitu kawasan yang mempunyai kelompok pengundi-pengundi Melayu. Mereka menang 73 kerusi ketika itu. Sekarang 74 kerusi selepas menang Padang Serai. Tentunya kita akan berperang di gelanggang yang sama.

“Dalam PH kita lihat dari segi analisis politik dan kita lakukan beberapa unjuran bahawa potensi besar untuk kita menang semula kawasan-kawasan yang kita kurang undi dahulu boleh kita gali semula potensinya. Saya tidak riak tetapi saya fikir hal ini lebih baik kalau kita bersama-sama dengan PH untuk survival, kesinambungan jangka panjang kepada UMNO-BN,” katanya.

Beliau turut mendedahkan hanya dua ahli MT UMNO yang menentang cadangan gabungan dengan PH sebelum berlakunya pembentukan kerajaan perpaduan.

“Harus diingat dalam MT, kita berbeza pendapat tapi apabila sesuatu keputusan itu sudah dicapai mereka sepakat. Saya tidak mahu berkongsi di ruang ini untuk bercerita berapa orang yang tidak setuju. Saya ingin sebut, tidak lebih daripada dua orang yang tidak setuju daripada seluruh ahli MT yang ada

“Jadi adakah itu tidak demokratik? Adakah saya menggunakan kuasa autokratik? Atau saya seorang diktator yang membuat keputusan sendiri? Saya menjaga kepentingan parti sendiri kerana ini amanah yang diberi oleh perwakilan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan peluang kepada wakil partinya untuk menjawat sebagai menteri penuh.

“Kita sudah cukup bernasib baik. Kita hanya menang 30 kerusi diberikan enam jawatan menteri penuh. Ada sebuah parti itu menang 40 kerusi lebih daripada kita, dapat empat kerusi saja,” 

– Oleh NUR EISYA

Sunday, December 25, 2022

Semua Jawatan Dalam Pemilihan UMNO Perlu Dipertandingkan Demi Maruah Parti – Muqharabbin

mykmu.net
25/12/2022
Semua Jawatan Dalam Pemilihan UMNO Perlu Dipertandingkan Demi Maruah Parti – Muqharabbin

Jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan dalam pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, beliau berpendapat UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.
Tegasnya, ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam buat UMNO selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita bukan menang besar semasa PRU15. Sekiranya menang sekalipun, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap wajar dipertandingkan.

“Setiap tiga tahun kita mengadakan pemilihan parti. Kali terakhir tahun 2018, 150,000 perwakilan mengundi memilih pimpinan baharu di peringkat Bahagian dan Pusat.

“Jika dulu sebelum PRU15 kita tidak mengadakan pemilihan atas alasan tidak mahu perpecahan dalam parti dan fokus PRU, sekarang pun tidak boleh?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Melabel UMNO sebagai “bukan parti keluarga”, Muhamad Muqharabbin menegaskan parti yang mempunyai lebih tiga juta ahli itu perlu terbuka mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.

“Presiden kita sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga presiden pertama yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada tahun 2018 selepas kali terakhir jawatan ini dicabar dalam pemilihan parti tahun 1987.

“Ia bukti UMNO semakin matang dan demokratik seiring usianya. Tiada pun masalah timbul tahun 2018. Yang menang dihormati, yang tewas kekal bersetia.

“Jadi, kenapa kita tiba-tiba ingin ambil langkah kuno ke belakang? Sedangkan, kita kalah teruk PRU15, yang jelas lebih menuntut perubahan dan pembaharuan,” ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata. mana-mana pihak atau individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO.

Menurut Mohamed Nazri, sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini, UMNO perlu menunjukkan contoh dengan membenarkan pemilihan semua jawatan dalam parti dipertandingkan.

Katanya, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu daripada dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.

 AA

Saturday, December 24, 2022

Jangan sekat demokrasi dalam UMNO, ujar Nazri Aziz

satuberita.my
By SatuBerita
-December 24, 2022
MANA-mana pihak atau individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Mohamed Nazri, sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini, UMNO perlu menunjukkan contoh dengan membenarkan pemilihan semua jawatan dalam parti dipertandingkan.

Katanya, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu tidak dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.

“Kita sepatutnya bergerak ke depan bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak mengambarkan UMNO sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.

“Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk kita pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu,” katanya, lapor Astro AWANI.

Mohamed Nazri juga menyifatkan pihak yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti seolah-olah memandang rendah keupayaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, kedua-dua pemimpin ini telah membuktikan kehebatan masing-masing dengan memenangi pemilihan lalu tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Zahid dan Tok Mat (Mohamad) menang ketika pemilihan tahun 2018 dulu masa UMNO jadi pembangkang, menang bertanding bukan menang percuma.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang kerana ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur.

“Sebelum ini, kita kata tidak mahu ada pemilihan sebab nak fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti, kalau selepas PRU15 masih tidak mahu ada pemilihan, bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri menegaskan, pihak yang mencadangkan agar jawatan nombor satu dan dua dalam UMNO tidak dipertandingkan perlu melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguji keabsahannya.

“Kita sekarang sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)… satu kerjasama yang pernah saya cadangkan pada 2019 hingga saya diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang sekarang ini menyokong usaha ini.

“Bila kita sokong dan adakan kerjasama sepatutnya kita contohi juga amalan demokrasi dalam parti-parti PH macam PKR dan DAP yang berani buat pemilihan sebelum PRU15 lalu.

“Mereka suburkan amalan demokrasi dalam parti mereka tetapi kita ada pula yang masih berfikiran 30 tahun ke belakang, mahu jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Dengan pemilihan ini, Zahid dapat membuktikan bahawa beliau ada sokongan dan keputusan bekerjasama dengan PH mendapat restu ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

Mohamed Nazri juga berpendapat tidak mungkin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan bersetuju dengan cadangan untuk tidak diadakan pemilihan jawatan tertentu dalam parti.

Hujah beliau, RoS merupakan badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan demoktarik ahli-ahli parti politik.

“Jika RoS bersetuju, bermakna badan itu tidak lagi berfungsi sepertimana sepatutnya iaitu menjaga hak demokratik ahli parti politik.

“Dan sebelum ini RoS meluluskan untuk pemilihan ditangguhkan enam bulan selepas PRU15, jadi kalau jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan maka keputusan RoS sebelum ini sia-sia,” ujar beliau.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin peringkat bahagian yang mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Antara alasan yang diberikan adalah bimbang akan berlaku perpecahan dalam UMNO akibat pemilihan tersebut.

Kata Mohamed Nazri lagi, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Kalau benar-benar nak elak perpecahan dan jaga perpaduan dalam parti, maka jawatan-jawatan ketua dan timbalan ketua di peringkat cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam UMNO tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi telah kalah teruk.

“Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” bidas beliau.

Wednesday, December 14, 2022

Banjir tak berlaku, tetapi saya yang ditohmah - Ahmad Zahid

malaysiakini.com
Oleh Rafidah Mat Ruzki 
fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan gesaannya supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada November lalu adalah tepat kerana tidak berlaku banjir seperti yang dijangka sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebelum ini ada pihak yang melemparkan tohmahan terhadapnya.

"Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir, tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.

"Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini mendapat kecaman ramai pihak, termasuk ia dijadikan modal politik beberapa parti ketika ceramah pilihan raya.

Sebelum ini, media melaporkan Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil untuk kawasan Parlimen Sepang ditukarkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil berikutan bangunan sekolah itu dilanda banjir dan tenggelam sepenuhnya pada 17 November lalu.

Proses mengundi di 11 pusat pengundian di Parlimen Baram pula digantung pada hari pengundian 19 November lalu berikutan cuaca buruk menyebabkan petugas tidak dapat tiba ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.

Turut dilanda banjir empat pusat pengundian bagi PRU15 di utara Sarawak iaitu di Bahagian Limbang dan Miri, namun proses pengundian diteruskan apabila pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Media sebelum ini melaporkan seramai 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15.

Antara alasan yang dikemukakan adalah mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula dengan banjir dijangka melanda beberapa negeri di Malaysia, terutama di Pantai Timur.
Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Dewan Taklimat ICU Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Sunday, December 11, 2022

Kawasan majoriti Melayu tolak calon PH membimbangkan, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
K. Parkaran
-December 11, 2022 7:46 AM
Penguasaan undi Melayu oleh Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu ditangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sejumlah 27 daripada 44 calon Pakatan Harapan (PH) hilang deposit di kawasan majoriti Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah, pada PRU15.

Justeru, situasi berkenaan dilihat sebagai tamparan terhadap gabungan pelbagai kaum itu, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata trend berkenaan membimbangkan ketika gabungan itu yang kini menerajui kerajaan perpaduan ditolak di negeri terbabit, yang mana kesemua calon PH bertanding tumpas kecuali di Sungai Petani, Kedah.

Katanya, Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang kini perdana menteri, sedaya mungkin mengekang sentimen kaum dan agama yang tidak pernah berlaku dalam politik negara, terutama mengambil kira kerajaan ditunjangi parti dari pelbagai kaum buat pertama kalinya.

“Perlu diingatkan semua calon itu adalah Melayu dari PKR dan Amanah, dua parti yang membawa stigma kerana bersekutu dengan DAP. Bukan mudah untuk mengalihkan gelombang yang berlaku terutama di tiga negeri yang mana mereka mengundi berdasarkan faktor agama.

“Kita hanya menipu diri sendiri jika berpandangan pengundi ini menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan. Tidak, mereka mengundi PAS dan bukan Bersatu, menjurus kepada gelombang spiritual,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, petanda jelas daripada keputusan membabitkan DAP dan PAS yang mana menjadi satu-satunya parti yang calonnya tidak hilang deposit, sekali gus menunjukkan jurang dalam antara kaum dan agama walaupun negara pada satu ketika dulu pernah mekar dalam keharmonian antara kaum.

Katanya, rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 22 calon dari Barisan Nasional (BN) juga hilang deposit, manakala 13 bagi PN. Calon pilihan raya hilang deposit sekiranya tidak berjaya meraih satu perlapan undi daripada jumlah undi.

“Bagaimanapun, gambaran paling besar (calon hilang deposit) merupakan calon bukan Muslim dari MCA, Gerakan dan MIC.”

Azmi berkata, penting bagi kerajaan perpaduan membuktikan kepada rakyat bahawa konsep baharu kerajaan hari ini mampu membawa penyelesaian menghapuskan sebarang bentuk elemen pelampau, selain menambah kebergantungan kepada Anwar menangani perkara sensitif untuk beberapa tahun mendatang.

“Sekiranya kerajaan gagal menunjukkan bahawa agenda dibawa merupakan yang terbaik memacu negara ke depan, corak PRU15 mungkin kembali berulang pada PRU16, jika tidak lebih teruk. Saya harap Anwar berkemampuan membalikkan situasi yang berlaku,” katanya.

Katanya, satu-satunya perkara yang mencetuskan harapan dalam keputusan PRU15 membabitkan prestasi calon Melayu dari DAP, Syahredzan Johan, di kawasan majoriti Melayu di Bangi, yang mana beliau meraih 141,568 undi, jumlah undi kedua terbesar diperoleh.

Undi paling tertinggi diraih calon DAP, Gobind Singh Deo, yang mendapat 142,875 undi selepas menang di Damansara.

Keseluruhannya, sejumlah 367 calon hilang deposit RM10,000 setiap seorang pada PRU15 membabitkan RM3.67 juta, satu rekod kepada SPR.

Menurut data SPR, 192 daripada 221 kerusi ditandingi menyaksikan sekurang-kurangnya seorang calon hilang deposit. Jumlah yang hilang deposit dalam satu kawasan ditandingi berlaku di Batu membabitkan lapan calon, diikuti Ampang (7) dan Kota Raja serta Bangi (masing-masing 6).

Antara pemimpin terkenal yang mengalami nasib sama adalah bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), anaknya, Mukhriz (Pejuang-Jerlun), bakal presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Presiden Putra Ibrahim Ali (Putra-Rantau Panjang) dan bekas presiden PPP, M Kayveas (Ipoh Barat).

Nama lain termasuk bekas naib presiden Amanah, Husam Musa (Pasir Mas), bekas presiden MCA, Ong Tee Keat (Warisan-Pandan), Naib Presiden MIC A Kohilan Pillay (Batu), bekas Ahli Parlimen DAP dan PKR, Wee Choo Keong (bebas-Wangsa Maju) dan bekas naib presiden PKR, Tian Chua (bebas-Batu).

Friday, December 9, 2022

Umno pecat 3 pemimpin bahagian

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-December 8, 2022 11:32 PM
Ahli MKT Umno Puad Zarkashi memaklumkan tiga pemimpin bahagian itu dupecat kerana bertindak mencemuh parti dan berkempen bagi pihak lawan pada PRU15.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Ahmad Zahid Hamidi memecat tiga pemimpin bahagian Umno.

Ahli MKT, Puad Zarkashi yang memaklumkan perkara itu memberitahu mereka yang dipecat seorang daripadanya berjawatan ketua bahagian dan dua lagi adalah ketua wanita bahagian kerana bertindak mencemuh parti dan berkempen bagi pihak lawan pada PRU15.

Puad turut memaklumkan Zahid kali ini agak tegas dalam isu melibatkan disiplin membabitkan ahli parti.

“Presiden parti agak tegas dalam isu disiplin dan beliau tidak akan kompromi kepada mereka yang suka burukkan parti termasuk bocorkan hasil mesyuarat MKT,” katanya ketika ditemui pemberita menghadiri mesyuarat berkenaan di Menara Dato’ Onn.

Sebelum ini empat ahli Umno yang bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada PRU15 digugurkan keahlian daripada parti.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, empat ahli berkenaan ialah Shahidan Kassim (Parlimen Arau) dan Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) yang bertanding untuk Perikatan Nasional (PN).

Keahlian Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi selain Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis turut digugurkan.

Dalam perkembangan sama, Puad memaklumkan mesyuarat MKT turut membincangkan isu dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion oleh kerajaan PN di mana Umno menyerahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan.

“Ada bincang, tapi akan serah kepada perdana menteri untuk lakukan siasatan, tapi Umno yakin perlu dilakukan siasatan, kita tak mahu mereka yang kata mereka bersih, sebenarnya ada benda lain yang dibuat tapi rakyat tak tahu, jadi perlunya siasatan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin memaklumkan mesyuarat MKT malam ini tidak dihadiri dua naib presiden, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid.

“Dia (Ismail ) mohon maaf tidak dapat hadir mesyuarat MKT. Dia ada majlis lain,” katanya.

Media turut dimaklumkan Umno tidak akan membuat sebarang sidang media atau kenyataan media hasil mesyuarat malam ini.

Tuesday, December 6, 2022

SPRM siasat dakwaan Muhyiddin beri Umno jutaan ringgit

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 6, 2022 7:32 PM
SPRM dijangka memanggil Muhyiddin Yassin dan Annuar Musa untuk membantu siasatan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa berhubung bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin memberi Umno jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.

Menurut sumber, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu dan akan memanggil Muhyiddin serta Annuar untuk disoal siasat.

Dalam video yang dimuat naik ke TikTok pada 21 Nov lalu, Annuar mendakwa Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberinya “berpuluh juta” ringgit. Ini menimbulkan persoalan di media sosial dari mana datangnya wang itu.

“Saya loncat naik atas kapal terbang pergi ke Sibu…tanya Muhyiddin, saya masuk dalam bilik tidur dia beritahu Umno habis duit di Sabah, tak cukup duit. Berpuluh juta Muhyiddin bagi membantu Umno Sabah,” kata Annuar dalam video yang dimuat naik dua hari selepas PRU15.

Dalam video itu, Annuar berkata, dakwaan pengerusi Perikatan Nasional itu mahu “membunuh” Umno “palsu dan rekaan”.

Annuar yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia, antara pemimpin Umno yang digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15.

Wednesday, November 30, 2022

'BN maklumkan MCA supaya bersama PN lepas PRU15'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 30, 2022 6:29 PM
Timbalan Presiden MCA Mah Han Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.
“Selepas berakhirnya PRU15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya.

Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.
Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta - keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.
Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

Presiden ada hak pandu arah parti selepas PRU, kata ketua bahagian Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-November 30, 2022 7:00 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, ketetapan parti itu sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan PRU15, bukan untuk selepasnya.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak menentukan hala tuju parti atau membentuk jajaran baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) demi kepentingan negara, tegas ketua-ketua bahagian parti itu.

Ketua Umno Tambun Aminuddin Md Hanafiah berkata, walaupun dalam perhimpunan agung Umno (PAU) sebelum ini telah diputuskan prinsip “Tolak Anwar, Tolak DAP”, namun parti terpaksa “menongkah arus” dengan akur titah Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) dapat bersama membentuk kerajaan perpaduan.

“Presiden ada tanggungjawab untuk memandu arah parti, pada masa sama kita kena tengok kebaikan kepada negara. Negara perlu bergerak dan perlu ada kerajaan, jadi bila Agong titah (kerajaan perpaduan), kita terpaksa akur … PN tidak mahu, itu hal mereka.

Sebagai ketua parti, Zahid ada hak untuk membawa hala tuju parti sama ada baik atau buruk. Kalau kita tak mahu dengar titah Agong, sampai sekarang kita tiada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zahid bahawa ketetapan Umno sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan PRU15, bukan untuk selepasnya.

Zahid yang juga pengerusi BN berkata, kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Agong.

Aminuddin yang juga setiausaha Umno Perak berkata, tidak timbul isu akar umbi merasa tertipu dengan kepimpinan Zahid kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam beberapa mesyuarat bersama Dewan Tertinggi BN selepas PRU tegas tidak mahu melibatkan diri dalam mana-mana gabungan.

Namun, jelasnya, BN terpaksa akur apabila tiada penyelesaian dalam pembentukan kerajaan selepas PN menolak titah Agong agar bersama PH dalam kerajaan perpaduan.

Turut senada, Ketua Umno Shah Alam Azhari Shaari yang berkata, keputusan parti untuk tidak bekerjasama dengan PH dan Anwar adalah berdasarkan keadaan ketika itu, dan boleh diubah mengikut kesesuaian selepas PRU.

“Selepas PRU, yang kita semua kena ambil maklum apa saja keputusan menyertai kerajaan perpaduan adalah atas (dasar) menjunjung titah Tuanku. Jadi apakah kita nak sembah derhaka dengan Tuanku?” soalnya.

Dalam pada itu, Ketua Umno Batu Yahaya Mat Ghani menggesa semua pihak akur dengan titah Agong dalam pembentukan kerajaan perpaduan, dan tidak lagi mencari kesalahan kepimpinan tertinggi parti.

“Kita nak berpadu dalam Umno, kita tak mahu kecoh-kecoh lagi, macam mana kita nak harung lima tahun akan datang kalau macam ini?

“Minta dari bawah sampai atas, berpadulah semua, bersatu semula, perbezaan pendapat itu biasa, tapi inilah masanya kita bercantum semula rapatkan barisan kita,” katanya.

Friday, November 25, 2022

Buat ‘post mortem’ cari punca kenapa rakyat tolak, kata pemimpin Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 25, 2022 5:15 PM
Nur Jazlan Mohamed berkata tidak wajar hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain berterusan mendesaknya meletak jawatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu melakukan “post mortem” mencari punca mengapa gabungan itu ditolak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berkata pemimpin parti juga mesti cuba untuk mengakui dan memperbetulkan kesilapan serta mencari jalan bagaimana untuk bangkit semula.

“Bagi saya cari itu lebih afdal daripada kita duduk sibuk dengan hal-hal yang semuanya terikat kepada perlembagaan dan peraturan parti.

“Itulah sebabnya BN kalah kali pada PRU15 sebab masih ramai tak belajar dari peristiwa hitam 2018. Ramai masih nak tuding jari pada orang lain dan anggap diri sendiri suci sangat,” katanya di Facebook.

Jazlan berkata, adalah tidak wajar untuk hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab kepada pengerusi BN yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain berterusan mendesaknya meletak jawatan.

“Seeloknya semua pengerusi Umno dan BN negeri umumkan letak jawatan dan bukan hanya desak presiden Umno yang juga pengerusi BN saja yang berundur.

“Ini termasuk juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kalah dan juga ketua-ketua sayap parti yang kalah sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.

“Kalau mereka tak nak letak jawatan, jadi jangan minta orang lain pula berundur. Sebaiknya dalam keadaan ini, semua pihak bermuhasabah, renung dalam diri masing-masing, akui kesalahan sendiri juga sebelum tuding jari pada orang lain,” katanya.

Jazlan berkata, beliau juga termasuk dalam kumpulan calon BN yang kalah tapi tidak pula sibuk hendak menyusun atur hala tuju parti.

“Saya tak ada nak desak presiden letak jawatan” katanya.

Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), manakala satu kerusi untuk PBM dan dua calon bebas.

Ia adalah prestasi terburuk BN selepas keputusan buruk diperolehinya pada PRU14.

Sunday, November 20, 2022

Lagi desakan minta Zahid letak jawatan parti

bharian.com.my
Noor Atiqah Sulaiman 
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
- November 20, 2022 @ 12:02pm
Zahid Hamidi didesak letak jawatan, segerakan pemilihan kepemimpinan baharu UMNO.

KUALA LUMPUR: Lagi desakan menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO selepas kekalahan teruk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin juga menggesa agar pemilihan parti yang sebelum ini ditetapkan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15, dipanggil dengan segera.

Beliau melihat sentimen bahawa rakyat tidak menyukai Zahid sudah diterjemahkan melalui undi pada PRU15 dan mendakwa, BN kecundang kerana angkuh dan sombong, memilih bergerak solo dan tidak mahu berubah serta mendengar pandangan akar umbi dan rakyat.

"Ini yang sebenarnya menjadi kelemahan, 100 batang lidi lebih kuat berbanding sebatang lidi kerana 100 batang lidi mampu menyapu sampah dengan berkesan berbanding sebatang.

"Oleh yang demikian, wajarlah presiden parti berundur dan pemilihan parti perlu diadakan segera bagi memberi mandat baru kepemimpinan UMNO membuat perubahan yang sebenarnya" katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga mendesak Zahid meletak jawatan Presiden UMNO sebagai tanggungjawab atas kekalahan parti berkenaan yang mencatat prestasi terburuk pada PRU15.

Onn berkata, langkah itu sebagaimana diambil Datuk Seri Najib Razak yang berjiwa besar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas kegagalan pada PRU14.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin, mendakwa beliau sudah menyuarakan beberapa perkara secara dalaman sejak awal lagi, antaranya tidak meletakkan calon payung terjun dan kes mahkamah.

Selain itu, katanya, keputusan memilih calon BN diubah pada saat akhir menyebabkan kegagalan pada PRU semalam.

"Saya juga selalu meminta Muafakat Nasional (MN) mesti dikekalkan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti PRN Melaka dan Johor bukanlah penentu kekuatan BN dalam memenangi PRU kerana pilihan raya yang sebenarnya jauh daripada PRN.

"Kita wajar melihat dan menghargai PAS kerana kebangkitan UMNO selepas kecundang pada PRU14 lalu adalah kerana keberadaan dan kebersamaan PAS sepanjang tujuh Piliharaya Kecil (PRK).

"Tapi kita menidakkan PAS hanya kerana beberapa kenyataan segelintir di antara mereka. Kita lupa kenyataan sebahagian kita juga mengguris hati mereka," katanya.

PRU-15: Pengarah SPR Perak menghadap Sultan

hmetro.com.my
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
MOHD Nazri Ismail tiba di Istana Kinta FOTO L Manimaran

Ipoh: Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail dilihat tiba di Istana Kinta, di sini, bagi sesi sembah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak yang bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Difahamkan, sembah menghadap itu dijadualkan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta pembentukan kerajaan negeri Perak yang masih tergantung susulan tiada gabungan parti politik berjaya pada kedudukan mejoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN ke atas daripada keseluruhan 59 DUN di Perak.

Beliau tiba menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail kira-kira jam 10.23 pagi

Terdahulu, kenderaan membawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin turut kelihatan memasuki perkarangan istana dengan luar perkarangan istana turut dikawal polis.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan, Perikatan Nasional (PN) mendahului apabila memenangi 26 kerusi DUN namun kekurangan empat lagi kerusi bagi membentuk mejoriti mudah.

Ia seterusnya diikuti Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merangkul 24 kerusi, dan Barisan Nasional (sembilan) kerusi DUN.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya PAS Perak dalam sidang media awal pagi tadi mengulangi pendirian tegas menolak kerjasama dengan PH khususnya bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta parti DAP.

Razman yang turut diumumkan memenangi kerusi DUN Gunong Semanggol, berkata PN Perak akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi kerjasama membentuk kerajaan negeri Perak susulan kelompongan bilangan kerusi yang ada.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 11:18am

BN kalah teruk pada PRU15, MB Johor gesa Zahid letak jawatan

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-November 20, 2022 9:08 AM
Onn Hafiz Ghazi berkata, tindakan Ahmad Zahid Hamid meletak jawatan sebagai presiden akan membantu Umno mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, Zahid perlu “berjiwa besar” meletakkan jawatan utama dalam parti itu, sebagaimana dilakukan Najib Razak pada 2018.

Tindakan itu, katanya, akan membantu Umno mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu menolak Umno.

“Umno telah rebah. Umno dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

Sembilan kerusi yang dimenangi BN di Johor pada PRU15 terdiri daripada Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.

Dalam pada itu, Onn yang juga pengarah operasi pilihan raya BN Johor berkata, pimpinan Umno perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi pada PRU15, meskipun ia cukup pahit untuk ditelan.

“Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya.

Usaha untuk memulihkan dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang, tegasnya.

“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.”

BN alami kekalahan terburuk

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan 
bhnews@bh.com.my
- November 20, 2022 @ 2:23am
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas gagal mempertahankan sejumlah besar kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Setakat jam 2 pagi ini, makluman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan BN hanya menang di 25 kerusi Parlimen.

BN tewas semua kerusi Parlimen yang ditandingi mereka di Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Melaka, termasuk tewas di banyak kerusi kubu kuatnya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi pula, BN yang diwakili empat parti utama termasuk UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diramal tidak menang di lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU15 kali ini.

Antara kerusi BN dan UMNO yang tewas kali ini termasuk Parlimen Jasin, Labuan, Mersing, Pasir Salak, Machang, Kepala Batas, Ketereh, Baling, Gerik, Arau, Gua Musang dan Padang Besar.

Lebih mengejutkan, kerusi disandang pemimpin utamanya seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Mahadzir Khalid di Padang Terap dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, turut tewas kali ini.

Semua kerusi yang tewas itu dirampas Perikatan Nasional (PN).

Setakat jam 2 pagi ini, beberapa kerusi yang sudah dimenangi BN antaranya di Parlimen Bera, Bagan Datuk, Rembau, Sembrong, Ayer Hitam, Tenggara, Kota Tinggi, Tanjung Piai, Pengerang dan Pontian.

BN juga berjaya merampas kerusi Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk Titiwangsa dan Simpang Renggam.

UMNO, BN berputih mata kalah semua kerusi di Melaka

agendaily.com
20/11/2022
Calon Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati Samsudin mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah dalam PRU-15 setelah menang majoriti 4,411 undi.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami tamparan paling hebat apabila semua calonnya yang bertanding di kerusi Parlimen di Melaka, tewas kepada pesaing, masing-masing daripada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH), pada PRU-15 semalam (19 November 2022).

Kekalahan itu dipercayai berpunca daripada penolakan rakyat, khususnya anak muda berusia 18 hingga 35 tahun, berikutan beberapa skandal membabitkan pemimpin UMNO, selain perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional, manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka dimenangi PH.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor Gajah mengalahkan calon ‘heavyweight’ BN iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.

PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperoleh majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali daripada BN yang hanya memperoleh 30,780 undi.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.

Perikatan Nasional turut membuat kejutan apabila penyandang kerusi Parlimen itu di Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.

Dua wakil PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional berjaya merampas kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.

Saturday, November 19, 2022

PRU15: 70 peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang

bharian.com.my
Oleh Irwan Shafrizan Ismail 
bhnews@bh.com.my
- November 19, 2022 @ 6:13pm
Roslan @ Abd Razak Masran, 59, menjadi pengundi terakhir di Pusat Mengundi SJKC Chung Hwa, Kota Kinabalu sebelum ditutup tepat jam 5.30 petang. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

PUTRAJAYA: Sebanyak 70 peratus pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), setakat jam 4 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Meskipun peratusan itu masih lebih rendah berbanding PRU14 yang mencatat keseluruhan 82.32 peratus keluar mengundi, namun jumlah pengundi PRU15 setakat ini sudah melebihi jumlah pengundi pada PRU14.

Pada PRU14 empat tahun lalu, jumlah 82.32 peratus yang keluar mengundi adalah bersamaan dengan 12,299,514 daripada keseluruhan 14,940,624 pengundi.

Dalam PRU15, jumlah pengundi keseluruhan meningkat kepada 21,173,638 berikutan pelaksanaan daftar pemilih automatik dan pembabitan pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Pemilih terdiri daripada 20,853,681 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan, dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada jam 7.30 pagi tadi di Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala di Semenanjung Malaysia pula jam 8 pagi.

Turut diadakan serentak kali ini ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

'BN mampu bentuk kerajaan malam ini' - Ismail Sabri

bharian.com.my
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
 - November 19, 2022 @ 11:39am
Ismail Sabri bersama dengan isterinya mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong hari ini

BERA: Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu malam ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, walaupun mampu membentuk kerajaan sendiri, kerjasama akan diteruskan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

"Saya harap sebab sasaran kita boleh lepasi 112, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau sudah dapat majoriti mudah kita akan bentuk kerajaan.

"Jika sudah boleh dapat 112 kerusi untuk bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan malam ini," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di SMK Bandar Kerayong jam 9.20 pagi.

Ismail Sabri dan isteri selesai menunaikan tanggung jawab sejam kemudian selepas beratur selama satu jam bersama pengundi lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sama ada kerajaan BN dapat dibentuk bersendirian atau perlu gabungan parti lain, selain GPS dan GRS hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.

"BN tidak akan meninggalkan parti GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan," katanya.

Pecutan terakhir - Anwar, Zahid, Muhyiddin ulangi tawaran untuk rakyat

malaysiakini.com

Diterbitkan: Nov 18, 2022 11:23 PM
PRU15 | Berbaki kurang daripada 24 jam sebelum hari mengundi, tiga gabungan politik utama iaitu PH, BN dan PN membuat pecutan terakhir sebelum hari mengundi esok.

Di Meow Garden Tambun, ribuan berbaju merah hadir di ceramah grand finale PH malam ini bagi mendengar amanat Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

Hujan tidak mematahkan semangat lebih 10,000 penyokong, dengan sebahagiannya dilihat memegang payung dan memakai baju hujan.

Dalam ucapannya, Anwar antara lain berjanji untuk mengurangkan saiz kabinet kepada separuh jika PH diberi mandat mentadbir negara.

Dalam usaha meyakinkan rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan, Anwar juga berjanji gaji menteri akan dikurangkan separuh.
Sementara itu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam perutusannya pula mengulangi tekad BN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan membawa kemakmuran kepada negara jika diberi mandat sekali lagi.

Kata Zahid, BN telah membentangkan 99 Perancangan Amal dan Usaha (Padu), sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

"Dengan Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional atau Padu, tekad, azam dan janji kami, In Sha Allah, matlamat mencapai kestabilan dan kemakmuran, akan memberikan masa hadapan yang lebih baik buat Malaysia.
"Dengan mandat yang mutlak daripada saudara-saudari sekalian, kita mampu membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap dan bersedia untuk mengharungi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global. Hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja akan dapat mengatasinya,” kata Zahid.

Dalam pada itu Pengerusi PN, Muhyiddin turut tidak ketinggalan menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi dan memilih PN esok.

Dalam perutusannya, Muhyiddin mengimbas semula pentadbirannya ketika menangani pandemik Covid-19 seperti pelaksanaan program vaksinasi, bantuan tunai, bakul makanan dan moratorium khas kepada rakyat.
“Sewaktu saya menjadi perdana menteri, banyak keputusan yang sukar telahpun diambil. Saya dihina, dikeji, dicaci. Tak mengapa.

"Setiap satu keputusan yang saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pakar baik kesihatan mahupun ekonomi serta bersama-sama pemimpin negeri dan rentas parti,” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Sebagai gabungan baru, Muhyiddin berkata sokongan terhadap calon PN di seluruh negara amat memberangsangkan, terutamanya daripada kalangan anak muda.

“Pilihlah parti yang telah buktikan dalam masa singkat bahawa ia merupakan satu wadah aspirasi dan cita-cita rakyat.

“Tolaklah parti yang tak mementingkan integriti, membudayakan rasuah dan tak mampu menunaikan janji,” katanya.

Friday, November 18, 2022

BN rugi ‘Bossku’ tiada, nama besar digugur, kata badan pemikir

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 18, 2022 8:30 PM
Ilham Centre berkata Barisan Nasional kehilangan momentum selepas mengumumkan senarai calonnya untuk PRU15.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir berkata, ketiadaan Najib Razak dan keputusan Barisan Nasional menggugurkan beberapa panglima perangnya antara faktor gabungan itu hilang kelebihan menjelang pilihan raya umum ke-15.

Ilham Centre berkata, BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan pembubaran Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya, ketika lawannya dilihat tidak bersedia dan terpecah.

“Segalanya berubah selepas calon diumumkan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah, BN dilihat tidak sepakat dan bersatu bagi membentuk persepsi meyakinkan kepada pengundi.

Menurutnya, pengguguran nama besar BN memburukkan keadaan apabila ada dalam kalangan mereka, seperti bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan bekas Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

“Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN turut mengundang pertanyaan.”

Katanya, strategi Umno mengemukakan 80% muka baharu turut memakan diri kerana ia membawa tindak balas di luar jangkaan, khasnya pemimpin kanan akar umbi yang bekerja keras meletakkan diri sebagai calon.

“Masalah ‘housekeeping’ parti berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih menjadikan Umno berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang mereka sendiri tentukan.”

Satu lagi faktor yang menjejaskan BN ialah beberapa pemimpin Umno menyerang Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ilham Centre, spekulasi berhubung Ismail Sabri Yaakob mungkin tidak dilantik semula sebagai perdana menteri juga menjejaskan peluang BN menarik sokongan pengundi atas pagar.

“Faktor ketiadaan Najib sebagai ikon kebangkitan parti untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU15, secara langsung meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah.”

Tetapi katanya, sokongan dalam kalangan orang Melayu memberi kelebihan di kerusi majoriti Melayu.

BN, menurutnya, masih boleh bertahan di kawasan Melayu, namun kepimpinan Zahid menjadi liabiliti dan gagal membawa lonjakan sokongan kepada gabungan itu.

“Beliau juga gagal menggantikan peranan ‘Bossku’ yang disaksikan dalam siri-siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri sebelum ini.”

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-