Tuesday, October 19, 2021

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 19, 2021 9:01 AM

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia menerima "bayaran bulanan" daripada sindiket judi haram yang didakwa beroperasi di negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Amirudin juga menyifatkan tuduhan dibuat pemilik akaun Twitter @edisi_siasatmy itu sebagai tidak berasas.

"Berhubung tuduhan mengaitkan saya menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram, saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut," kata Amirudin dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh Pusat Informasi Negeri Selangor (PINS) di Twitter semalam.


Adun Sungai Tua itu menjawab tuduhan pemilik akaun berkenaan yang mendakwa dia menerima bayaran sebanyak RM150,000 sebulan daripada sindiket judi haram di mana wang itu digunakan untuk membiayai kegiatan politik.

Berikutan penafian Amirudin, PINS berkata pihaknya menunggu penafian serupa daripada pihak lain yang nama mereka dinamakan oleh akaun Twitter berkenaan.

Selain Amirudin, pemilik akaun Twitter itu juga mendakwa terdapat pegawai kanan polis, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) melindungi penjenayah dan sindiket judi haram.

Sebagai respons, pemilik akaun Twitter @ edisi_siasatmy berkata penafian Amirudin itu sudah dijangka, namun meminta rakyat Selangor melihat sendiri kegiatan judi haram di kawasan mereka.

"ES (Edisi Siasat) memang tahu dia akan nafi tapi wahai rakyat Selangor, lihat kawasan anda dan tanya diri anda dengan jujur ada ke tak pusat judi di kawasan anda yang masih jalan?

"Kalau makcik tua berniaga tepi jalan tanpa lesen cepat penguatkuasa sampai tapi kenapa korang tak nampak pusat-pusat judi ini?" soalnya.

Sejak September lalu, pentadbir akaun Twitter berkenaan mensasarkan pelbagai agensi pihak penguatkuasa, termasuk pegawai polis yang didakwa menerima rasuah dan melindungi kegiatan jenayah.

Pemilik akaun itu juga mendakwa memperoleh maklumat dari sumber dalaman.

Antaranya, akaun Twitter itu mendedahkan kehilangan wang tunai AS $ 6.94 juta yang disita pegawai SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Pihak polis mengatakan tidak ada laporan dibuat secara rasmi mengenai kehilangan wang berkenaan.

SPRM kemudiannya mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari untuk membantu siasatan terhadap tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-