Saturday, October 30, 2021

PRN Melaka: Ismail Sabri diberi mandat runding dengan BERSATU, PAS

bharian.com
Oleh Ahmad Suhael Adnan 
ahmad.suhael@bh.com.my
 Oktober 30, 2021 @ 6:52pm

Bendera parti politik mula memenuhi persekitaran ketika tinjauan di Sungai Udang hari ini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti. 
- NSTP/SYAFEEQ AHMAD

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan BERSATU ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan BERSATU bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberi Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Keputusan UMNO adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga parti di Semenanjung. MKT UMNO memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara 2021 di sini, hari ini.

Perdana Menteri demikian ketika ditanya mengenai bentuk kerjasama di antara UMNO dan PAS dalam PRN Melaka, memandangkan PAS akan turut bekerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada 28 Oktober lalu, Mesyuarat Khas MKT UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka, selaras ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Ismail Sabri menegaskan, hanya parti pembangkang yang akan meraih keuntungan sekiranya berlaku pertembungan antara tiga parti kerajaan itu dalam PRN Melaka.

"Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru, pihak lain yang dapat keuntungan dan faedah. Mereka memang tengah tunggu untuk lihat parti kerajaan bertembung. Seperti kata orang dulu-dulu, 'antan sama antan berlaga, beras tertumpah keluar' dan ayam di tepi lesung yang kenyang. Ini kita kena elakkan, (sebab itu) kita sedang mengadakan rundingan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-