Sunday, January 30, 2022

PRN Johor: AMK kemuka 6 calon muda

hmetro.com
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Akmal Nasrullah ketika sidang akhbar sempena Pilihan Raya Negeri Johor bersama anggota Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di Pejabat Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor, Tampoi Indah, Johor. 
FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Johor Bahru: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengemukakan sekurang-kurangnya enam calon muda daripada sayap itu bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, senarai enam calon itu sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk ditimbangkan bertanding pada PRN nanti.

Katanya, AMK juga sudah mengenalpasti kerusi yang wajar diletakkan calon muda AMK termasuk di kawasan bandar raya ini.

"Anak muda AMK bersedia diberikan tanggungjawab bertanding di kerusi yang mungkin agak sukar dan bukan kerusi yang tradisinya boleh dimenangi PKR.

"Ada kerusi yang kita sudah kenal pasti di kawasan Johor Bahru dan ada di kawasan luar bandar. Jadi bagi saya biar ada keseimbangan di situ.

"Kita cadangkan 30 peratus daripada calon PH yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah calon muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat AMK Negeri Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, menerusi calon muda itu, AMK akan menumpukan isu orang muda, walaupun menyedari anak muda tidak meminta atau mahukan PRN diadakan.

Katanya, pandangan dan 'mood' golongan itu yang mahukan lebih ramai anak muda ke depan selain mahukan kepimpinan lebih 'segar' mengambil amanah serta tanggungjawab sebagai pemimpin.

"Ini bukan kepentingan rakyat Johor atau mahu tentukan siapa Menteri Besar semata-mata tetapi hakikatnya terdapat percaturan politik yang lebih besar di Johor boleh berlaku sedangkan PRU dalam tempoh setahun," katanya.

Beliau berkata, selain isu anak muda, pihaknya juga akan membawakan isu besar dalam PRN berkenaan contohnya isu harga barang yang terus naik di samping kelangsungan hidup rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-